Anjing serigala Saarloos
Nama lain | Anjing serigala Belanda | |||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Negara asal | Belanda | |||||||
| ||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Anjing serigala Saarloos[a] ialah satu baka anjing serigala yang berasal dari Belanda melalui penyilangan seekor anjing gembala Jerman dengan seekor serigala kelabu Siberia pada tahun 1935.[1] Anak-anak kemudian selanjutnya disilangkan dengan anjing gembala Jerman.
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Leendert Saarloos (1884–1969) ialah seorang ahli zoologi Belanda dan pembiak baka anjing yang percaya bahawa anjing gembala Jerman telah menjadi terlalu bela jinak dan ingin membiakbakakan sifat lebih semula jadi kembali untuk menerbitkan anjing pekerja lebih baik. Pada tahun 1935, beliau membiakbakakan seekor anjing gembala Jerman jantan dengan seekor serigala kelabu Eurasia betina (Canis lupus lupus) dari Siberia. Beliau kemudian membiakbakakan anak-anak pasangan itu kembali dengan anjing gembala Jerman untuk menerbitkan anjing dengan seperempat darah serigala. Hasilnya ialah anjing yang tidak berguna sebagai anjing pekerja tetapi sebagai teman yang dekat dengan alam semula jadi. Raad van Beheer op Kynologisch Gebied in Nederland mengiktiraf baka ini pada tahun 1975 sebagai "Saarlooswolfdog" sempena penciptanya. Pada tahun 1981, baka ini diiktiraf oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa (FCI).[1]
Bukti genetik
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 2015, sebuah kajian DNA mendapati bahawa anjing serigala Saarloos menunjukkan lebih banyak perkaitan genetik dengan serigala kelabu berbanding dengan baka lain, yang selaras dengan pembiakbakaan silang berdokumen terdahulu dengan serigala kelabu pada baka ini.[2] Pada tahun 2016, sebuah kajian DNA besar terhadap anjing bela jinak mendapati pembahagian mendalam antara anjing serigala Saarloos dengan semua anjing lain, yang menonjolkan keturunannya daripada penyilangan anjing gembala Jerman dengan serigala tangkapan pada tahun 1930-an.[3] Pada tahun 2019, sebuah kajian genom mendapati bahawa jumlah keleluhuran serigala kelabu yang dimiliki oleh anjing serigala Saarloos ialah 18–33% dan anjing serigala Czechoslovakia pula 20–30%.[4]
Perihal
[sunting | sunting sumber]Anjing serigala Saarloos ialah anjing dengan binaan kuat yang mempunyai tubuh, lapis bulu, dan pergerakan mirip serigala. Ketinggiannya ialah 65–75 cm (26–30 in) pada jantan dan 60–70 cm (24–28 in) pada betina.[1] Beratnya mencapai 45 kg (100 lb). Ia merupakan anjing atletik dari segi binaan, dengan tulang sederhana dan tubuh kuat dan berotot. Ia bergerak dengan ringan di atas kakinya dan berarak dengan anggun. Lapis bulunya pendek dan padat, lalu memberikan perlindungan baik daripada cuaca. Terdapat tiga warna: kelabu serigala, pérang hutan, dan putih. Oleh sebab gen kelabu serigala adalah dominan, ini ialah warna paling umum. Gen untuk warna putih adalah resesif, menjadikan ini kurang umum walaupun warna ini diterima. Anjing serigala Saarloos mempunyai ekspresi mirip serigala serta kepala mirip serigala.
Pelatihan
[sunting | sunting sumber]Baka ini memerlukan sosialisasi menyeluruh sebelum usia minggu kedua belas untuk memastikan tingkah laku prososial.[5]
Program penyilangan ke luar
[sunting | sunting sumber]Dua buah kelab induk Belanda untuk anjing serigala Saarloos menyelidik kemungkinan untuk memperbaik kesihatan baka ini dengan meningkatkan kepelbagaian genetik. Mesyuarat pertama dengan Raad van Beheer diadakan pada tahun 2010. Ikutan mesyuarat ini, Universiti Wageningen diminta untuk menyiasat tahap kesalingkaitan populasi. Penyelidikan ini dijalankan oleh ahli genetik kuantitatif J.J. Windig dan Ir M. Spies-Stoop. Kajian ini mendedahkan bahawa populasi anjing serigala Saarloos sangat berkait rapat. Tanpa campur tangan, tahap pembiakbakaan dalam bakal mengancam kemandirian baka ini. Para ahli sains menasihatkan program penyilangan ke luar terkawal dan meluas, untuk meningkatkan kevitalan, kesuburan, dan variasi genetik baka. Raad van Beheer meluluskan program penyilangan ke luar pada tahun 2012.[6]
Dua jenis penyilangan ke luar digunakan dalam program penyilangan ke luar. Jenis pertama ialah penggunaan look-alikes ("[anjing] serupa"), iaitu anjing yang menyerupai anjing serigala Saarloos, tetapi tidak mempunyai pedigri atau tergolong dalam baka yang tidak diiktiraf oleh FCI.[7] Jenis kedua pula ialah penggunaan beberapa baka yang diiktiraf oleh FCI. Baka yang digunakan dipilih oleh anggota kelab baka dan dipersetujui dengan undi majoriti. Tatacara untuk kedua-dua jenis penyilangan ke luar adalah sama. Penyilangan ke luar dilakukan dan generasi F1 dihasilkan. F1 dinilai dan sepenuhnya disaring untuk kesihatan dan individu terbaik dipilih untuk menyumbang kepada generasi seterusnya. Ini dilakukan dengan membiakbakakannya kembali dengan anjing serigala Saarloos tulen, yang menghasilkan generasi F2. F2 sekali lagi dinilai dan diuji untuk kesihatan dan individu terbaik dibiakbakakan kembali dengan anjing serigala Saarloos untuk menghasilkan generasi F3. Keturunan anjing F3 dengan anjing serigala Saarloos (F4) baka tulen akan mendapatkan pedigri rasmi dan diiktiraf sebagai baka tulen. Untuk mengekalkan jenis baka betul, pembiakbakaan baka tulen bagi anjing serigala Saarloos mesti diteruskan seiring dengan program penyilangan ke luar.[6]
Setakat Januari 2019, penyilangan ke luar berikut telah dilakukan:
- Anjing gembala putih Switzerland (kini dalam F3)[8]
- Husky Siberia (kini dalam F2)[9]
- Podenco Ibiza (kini dalam F2)[10]
- Anjing pemburu elk Norway (kini dalam F3)[11]
- Anjing Inuit Utara serupa (kini dalam F3)[12]
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Catatan
[sunting | sunting sumber]- ^ Jawi: انجيڠ سريݢالا سرلوس ; Belanda: saarlooswolfhond ; Jerman: Saarlooswolfhund ; bahasa Inggeris: Saarloos wolfdog
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b c "FCI-Standard N° 311 SAARLOOSWOLFHOND (Saarlooswolfdog)" [Piawaian FCI No. 311 Anjing Serigala Saarloos] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Seidler, Chris. Disemak oleh Renée Sporre-Willes. Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 29 Mei 2015. Dicapai pada 16 Januari 2024.CS1 maint: others (link)
- ^ Skoglund, Pontus; Ersmark, Erik Ivar; Palkopoulou, Eleftheria; Dalén, Love (21 Mei 2015). "Ancient Wolf Genome Reveals an Early Divergence of Domestic Dog Ancestors and Admixture into High-Latitude Breeds" [Genom Serigala Purba Mendedahkan Pencapahan Awal Leluhur Anjing Bela Jinak dan Percampuran ke Dalam Baka Latitud Tinggi]. Current Biology (dalam bahasa Inggeris). Cell Press. 25 (11): 1515–1519. Bibcode:2015CBio...25.1515S. doi:10.1016/j.cub.2015.04.019. ISSN 0960-9822. PMID 26004765. S2CID 15117630.
- ^ Frantz, Laurent Alain François; Mullin, Victoria Elizabeth; Pionnier-Capitan, Maud; Lebrasseur, Ophélie; Ollivier, Morgane; Perri, Angela R.; Linderholm, Anna; Mattiangeli, Valeria; Teasdale, Matthew David; Dimopoulos, Evangelos Antonios; Tresset, Anne; Duffraisse, Marilyne; McCormick, Finbar; Bartosiewicz, László; Gál, Erika; Nyerges, Éva Ágnes; Sablin, Mikhail Valerievich; Bréhard, Stéphanie; Mashkour, Marjan; Bălășescu, Adrian; Gillet, Benjamin; Hughes, Sandrine; Chassaing, Olivier; Hitte, Christophe; Vigne, Jean-Denis; Dobney, Keith M.; Hänni, Catherine; Bradley, Daniel G.; Larson, Greger John (3 Jun 2016). "Genomic and archaeological evidence suggest a dual origin of domestic dogs" [Bukti genomik dan arkeologi mencadangkan asal usul duaan bagi anjing bela jinak]. Science (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Amerika untuk Kemajuan Sains. 352 (6290): 1228–1231. Bibcode:2016Sci...352.1228F. doi:10.1126/science.aaf3161. hdl:11858/00-001M-0000-002A-EA09-E. ISSN 0036-8075. JSTOR 24747601. PMID 27257259. S2CID 206647686.
- ^ Pilot, Małgorzata; Viola de Moura, André Eurico; Okhlopkov, Innokentiy Mikhailovich; Mamaev, Nikolay Viktorovich; Alagaili, Abdulaziz Nasser; Mohammed, Osama Badri; Yavruyan, Eduard G.; Manaseryan, Ninna H.; Hayrapetyan, Vahram Torikovich; Kopaliani, Natia; Tsingarska-Sedefcheva, Elena; Krofel, Miha; Skoglund, Pontus; Bogdanowicz, Wiesław Zbigniew (22 November 2019). "Global Phylogeographic and Admixture Patterns in Grey Wolves and Genetic Legacy of An Ancient Siberian Lineage" [Pola Filogeografi Global dan Pola Percampuran pada Serigala Kelabu dan Legasi Genetik Zuriat Siberia Purba]. Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 9 (1): 17328. Bibcode:2019NatSR...917328P. doi:10.1038/s41598-019-53492-9. hdl:20.500.12556/RUL-114125. ISSN 2045-2322. PMC 6874602. PMID 31757998. S2CID 208213229.
- ^ Verhoef-Verhallen, Esther J. J. (2005). The Complete Encyclopedia of Dogs [Ensiklopedia Lengkap Anjing] (dalam bahasa Inggeris). Edison, New Jersey, Amerika Syarikat: Chartwell Books. m/s. 73. ISBN 9780785819998. OCLC 61348310.
- ^ a b Kelab baka Belanda untuk anjing serigala Saarloos, rancangan pendekatan. (dalam bahasa Belanda) https://avls.nl/plan-van-aanpak/
- ^ Kelab baka Belanda untuk anjing serigala, menilai anjing serupa. (dalam bahasa Belanda) https://avls.nl/aankeuren-lookalike-2/
- ^ Kemas kinian persilangan ke luar dengan anjing gembala putih Switzerland. (dalam bahasa Belanda) https://avls.nl/zwitserse-witte-herder/
- ^ Kemas kinian persilangan ke luar dengan husky Siberia. (dalam bahasa Belanda) https://avls.nl/working-husky/
- ^ Kemas kinian persilangan ke luar dengan podenco Ibiza. (dalam bahasa Belanda) https://avls.nl/podenco-ibicenco/
- ^ Kemas kinian persilangan ke luar dengan anjing pemburu elk Norway. (dalam bahasa Belanda) https://avls.nl/noorse-elandhond/
- ^ Kemas kinian persilangan ke luar dengan anjing serupa. (dalam bahasa Belanda) https://avls.nl/lookalikes/