Beruk kentoi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Beruk kentoi
Pengelasan saintifik e
Domain: Eukaryota
Alam: Animalia
Filum: Chordata
Kelas: Mammalia
Order: Primates
Suborder: Haplorhini
Infraorder: Simiiformes
Keluarga: Cercopithecidae
Genus: Macaca
Spesies:
M. arctoides[1]
Nama binomial
Macaca arctoides[1]
(I. Geoffroy, 1831)
Taburan beruk kentoi
(biru – asli, merah – dibawa, jingga – mungkin pupus)
Sinonim[2]
  • Macaca brunneus (Anderson, 1871)
  • Macaca harmandi (Trouessart, 1897)
  • Macaca melanotus (Ogilby, 1839)
  • Macaca melli (Matschie, 1912)
  • Macaca rufescens (Anderson, 1872)
  • Macaca speciosus (Murie, 1875)
  • Macaca ursinus (Gervais, 1854)

Beruk kentoi ialah sejenis beruk yang tersebar dari India timur laut dan China selatan sehingga barat laut Semenanjung Malaysia. Beruk ini juga didapati di Burma, Thailand, Vietnam, dan timur jauh Bangladesh. Nama saintifiknya Macaca arctoides.


Morfologi[sunting | sunting sumber]

Beruk Kentoi mempunyai beberapa ciri yang membezakan beruk ini daripada beruk yang lain. Ketika dilahir, anak beruk ini berwarna putih, tetapi warnanya menjadi kelam dengan masa. Tubuh Beruk Kentoi mempunyai bulu coklat tua yang panjang dan tebal, tetapi ekor dan mukanya tidak berbulu. Ekor beruk ini berukuran antara 3.2 dan 69 milimeter (0.12 dan 2.7 inci), dan mukanya berwarna merah jambu atau merah yang menjadi coklat atau hampir-hampir hitam apabila beruk ini semakin tua atau didedahkan kepada cahaya matahari. Serupa dengan sesetengah orang lelaki, beruk ini menjadi botak, bermula dari dahi dan menuju ke belakang tengkorak, apabila menjadi tua. Bagaimanapun, berbeza dengan manusia, pola ini dapat dilihatkan dalam kedua-dua beruk jantan dan betina.

Jantan adalah lebih besar berbanding betina, dan berukuran antara 517 dan 650 milimeter (20.4 hingga 25.6 inci) dan beratnya antara 9.9 dan 10.2 kilogram (21.8 dan 22.5 paun). Tinggi beruk betina antara 485 dan 585 milimeter (19.1 dan 23.0 inci) dan berat antara 7.5 dan 9.1 kilogram (16.5 dan 20.1 paun). Dimorfisme seks bukan sahaja terhad kepada saiz badan: jantan beruk ini mempunyai gigi kanin yang panjang untuk mengasaskan penguasaan dalam kumpulan-kumpulan sosial.

Semua beruk, termasuk Beruk Kentoi, mempunyai saku pipi untuk menyimpan makanan bagi masa yang singkat. Beruk berjalan dengan empat kaki dan biasanya terdapat di atas tanah kerana tidak begitu tangkas di atas pokok. Berbanding dengan beruk yang lain, Beruk Kentoi tidak tahu berenang.

Jangka hidup Beruk Kentoi sehingga 30 tahun.

Habitat[sunting | sunting sumber]

Secara amnya, Beruk Kentoi didapati di hutan-hutan daun lebar malar hijau tropika dan subtropika. Di dalam hutan-hutan hujan malar hijau tropika, beruk ini tinggal di kawasan yang tinggi sehingga 1,500 meter (4,921 kaki), sedangkan di hutan-hutan malar hijau subtropika, beruk ini tinggal antara 1,800 dan 2,500 meter (5,905 dan 8,202 kaki), bergantung kepada keadaan hujan di kawasan itu.

Di Malaysia, beruk kentoi hanya boleh dijumpai di negeri Perlis dengan populasi terbanyak di Wang Kelian. Haiwan ini sangat dilindungi oleh jabatan PERHILITAN dan memburu mereka adalah salah disisi undang-undang.

Beruk Kentoi bergantung kepada hutan hujan untuk makanan serta tempat perlindungan, dan tidak didapati di hutan-hutan kering kecuali di kawasan Himalaya, India. Beruk ini tidak menghabiskan banyak masa di hutan-hutan sekunder dan hanya berbuat demikian jika hutan sekunder itu bersempadan dengan hutan tropika primer.

Ekologi[sunting | sunting sumber]

Memulakan hari pada waktu subuh, Beruk Kentoi menghabiskan masa dari pagi awal sehingga tengah hari untuk mencari makanan. Beruk ini bersifat frugivor-omnivor dan sebahagian besar diet beruk ini terdiri daripada buah-buahan. Beruk Kentoi juga makan biji, bunga, daun, akar, ketam air tawar, katak, burung, telur burung, dan serangga. Beruk ini juga menyerang tanaman, terutamanya jagung dan buah-buahan.

Pada waktu tengah hari, kumpulan beruk akan berhenti untuk berehat di tempat teduh dan menghabiskan masa untuk kegiatan sosial seperti membersihkan bulu, semasa anak-anak beruk bermain. Pada waktu petang, pencarian makanan bermula sekali ketika berjalan balik ke tempat tidur yang biasanya merupakan pokok besar atau cenuram. Beruk Kentoi biasa berjalan antara dua dan tiga kilometer (1.24 hingga 1.86 batu), tetapi beruk itu tidak perlu berjalan sebegitu jauh pada musim hujan kerana terdapat banyak makanan. Walaupun beruk ini menghabiskan sebahagian besar masanya setiap hari di atas tanah, biasanya disepanjang tebing sungai, Beruk Kentoi juga mencari buah-buahan dan daun-daun di atas pokok dan melarikan diri ke atas pokok ketika mengalami bahaya.

Pemangsa Beruk Kentoi termasuk harimau dahan, harimau bintang, anjing dan burung pemangsa. Ketika pemangsa mendekati, beruk ini membalas dengan postur yang mengancam, menggoyangkan pokok dan dahan, atau mendedahkan gigi kanin.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Eudey et al (2000). Macaca arctoides. 2006 IUCN Red List of Threatened Species (Senarai Merah IUCN untuk Spesies-spesies Terancam). IUCN 2006.
  • Groves, Colin (16 November 2005). Wilson, D. E., and Reeder, D. M. (eds) Mammal Species of the World (Spesies-spesies Mamalia Dunia), edisi ketiga, 161, Percetakan Universiti Johns Hopkins. ISBN 0-8018-8221-4.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Groves, Colin (16 November 2005). Wilson, D. E., dan Reeder, D. M. (ed.) (penyunting). Mammal Species of the World (ed. ke-3). Percetakan Universiti Johns Hopkins. m/s. 161. ISBN 0-801-88221-4.CS1 maint: multiple names: editors list (link) CS1 maint: extra text: editors list (link)
  2. ^ a b Chetry, D.; Boonratana, R.; Das, J.; Yongcheng, L.; Htun, S.; Timmins, R.J. (2020). "Macaca arctoides". Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. 2020: e.T12548A185202632. doi:10.2305/IUCN.UK.2020-3.RLTS.T12548A185202632.en. Dicapai pada 19 November 2021.