Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (filem)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Bagi Sultan Johor, lihat Sultan Mahmud Shah II

Sultan Mahmud Mangkat Dijulang
PengarahK.M. Basker
PenerbitHo Ah Loke & Lok Wan Tho
PenulisLakon layar: Salleh Ghani
Dibintangi olehM. Amin, Noordin Ahmad, Maria Menado, Shariff Medan, Ghazali Sumantri, Siput Sarawak, Mahmood June, Dollah Sarawak, Wahid Satay, Mustapha Maarof, Mariani, Haji Arshad, Yem, Aminah Yem
Muzik olehZubir Said
SinematografiK. M. Thomas
Disunting olehNg Cheng Liat
George Peterson
PengedarCathay-Keris Film Productions
Mula ditayangkan
1961
Tempoh tayangan
119 minit
NegaraMalaya
(Singapura & Malaysia)
BahasaBahasa Melayu

Filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang merupakan sebuah filem Melayu yang diterbitkan di Singapura yang merupakan sebahagian dari Malaya pada tahun 1961. Filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang diterbitkan dalam bentuk filem hitam putih tanpa warna.

Pengarah[sunting | sunting sumber]

Filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang diarah oleh pengarah K.M. Basker pada 1961 dan dibantu oleh M. Amin & A. B. Ibrahim.

Ringkasan[sunting | sunting sumber]

Mengisahkan mengenai Megat Seri Rama atau Laksamana Bentan (Nordin Ahmad) yang berjaya menumpaskan sekumpulan lanun yang menyerang Kuala Sedili, Johor Lama dan menyelamatkan Wan Anum (Maria Menado) yang telah dijadikan tebusan. Baginda Sultan Mahmud Shah II (M. Amin) amat gembira di atas kejayaan Megat Seri Rama dan dinaikkan pangkat kepada Datuk Laksamana Megat Seri Rama. Tun Bija Ali (Mahmud June), seorang pembesar yang lebih lama berkhidmat tidak berpuas hati dengan perlantikan itu lebih-lebih lagi apabila Datuk Laksamana Megat mengahwini Wan Anum.

Akibat hasad dengkinya terhadap Datuk Laksamana, Tun Bija Ali membuat komplot bersama ketua lanun yang bermaharajalela di perairan Johor. Lanun-lanun tersebut dipimpin oleh Megat Alang Merewah (Ahmad Sabri). Usaha ini digagalkan oleh Tun Aman (Mustapha Maarof) dan pengikutnya. Hal ini disaksikan sendiri oleh Datuk Bendahara (Shariff Medan) dan Datuk Temenggong (Yem) selepas mendapat perkhabaran tersebut. Namun begitu, keesokkan harinya Datuk Bendahara tidak menyabitkan Tun Bija Ali dengan kesalahan jenayahnya kepada Baginda Sultan. Atas nasihat yang bernas dari Datuk Bendahara, Tun Bija Ali tidak dibenarkan menjaga keamanan di perairan Johor tetapi tugas tersebut digalas oleh Datuk Laksamana bagi mengelakkan kejadian pembunuhan, rompakan dan gejala rasuah berleluasa di negeri Johor.

Datuk Laksamana dititahkan untuk belayar bagi menjalankan tugas hakikinya bagi menghapuskan kegiatan lanun di perairan Johor. Beliau berhasrat untuk menghantar pulang Wan Anum ke Kuala Sedili kerana bimbang akan keadaannya yang kini sedang berbadan dua. Di samping itu, sepanjang pemergiannya, Wan Anum tiada saudara mara yang tinggal di Kota Tinggi untuk menjaganya. Namun hasrat tersebut tidak dipersetujui oleh Baginda Sultan. Baginda dan para pembesar istana akan menjaga keadaan Wan Anum sehingga kepulangan Datuk Laksamana kelak. Dalam masa yang sama, Tun Aman juga mempunyai hasrat untuk membunuh Tun Bija Ali di atas pembunuhan kekandanya Tun Khalid beberapa tahun yang lalu. Tun Aman merancang untuk mempergunakan kakaknya, Tun Tijah (Siput Sarawak) untuk memikat hati Tun Bija Ali sebelum membunuhnya kelak.

Pada suatu hari, Tok Penghulu (A. B. Ibrahim) yang baru pulang dari kebun diraja telah lalu dihadapan rumah Datuk Laksamana dan bertembung dengan Wan Anum. Kerana mengidamkan memakan nangka, beliau meminta seulas sahaja nangka dan Tok Penghulu pada mulanya Tok Penghulu melarangnya akan tetapi kerana beliau kasihankan Wan Anum dan kandungannya, beliau tetap memberikannya dengan perasaan yang serba salah. Memandangkan Wan Anum telah menyuruh Awang (Wahid Satay) untuk mencari sebiji buah nangka di seluruh kampung namun gagal juga diperolehi. Kehilangan seulas nangka itu akhirnya telah diketahui oleh Baginda Sultan sendiri. Ini kerana pokok nangka tersebut di tanam oleh Baginda Sultan sendiri dan buah tersebut merupakan buah sulung yang tumbuh di luar musimnya.

Kemurkaan baginda bertambah apabila Tun Bija Ali mengapi-apikan baginda agar Wan Anum dihukum bunuh akibat menderhaka kepada Baginda Sultan. Dia mencadangkan agar perut Wan Anum dibelah bagi membuktikan bahawa anak di dalam kandungannya itu betul-betul mengidamkan seulas nangka tersebut, sekaligus menyebabkan kedua beranak itu meninggal dunia. Dengan kuasa dari Allah, ternyata anaknya masih memegang seulas nangka tersebut menyebabkan Baginda Sultan mula berasa serba salah di atas arahannya yang terburu-buru. Baginda memberi amaran agar perkara ini mesti dirahsiakan dan jika sesiapa yang melanggarnya akan dihukum bunuh. Beberapa hari kemudian, Datuk Laksamana dan para pengikutnya selamat kembali ke Kota Tinggi dengan membawa perkhabaran yang baik. Akibat kerinduannya terhadap Wan Anum, Datuk Laksamana puas mencari isterinya di seluruh kampung namun sia-sia sahaja.

Kematian Wan Anum itu tetap jua diketahui oleh Datuk Laksamana selepas terdengar dari mulut orang kampung. Alangkah sedih hatinya apabila isteri kesayangannya itu dibunuh oleh Baginda Sultan hanya kerana seulas nangka. Beliau bersama Tun Aman berkomplot untuk menghapuskan siapa yang menjadi tali barut pembunuhan isterinya tempoh hari. Dalam masa yang sama, Tun Bija Ali berjaya diperdaya oleh Tun Tijah dan Tun Aman. Akhirnya, Tun Bija Ali berjaya dibunuh oleh Tun Aman. Kematian Tun Bija Ali di atas tangan Tun Aman telah diketahui oleh Datuk Bentara Luar (Haji Arshad) dan Baginda Sultan yang bimbang Datuk Laksamana akan membalas dendam terhadap pembunuhan Wan Anum. Namun pada hari Jumaat, ketika Baginda Sultan di atas tandu di dalam perkarangan masjid untuk menunaikan solat jumaat. Datuk Laksamana terus menegur Baginda Sultan dengan begitu biadap sebelum menikam tubuh Baginda Sultan dengan kerisnya. Sebelum Baginda Sultan menghembuskan nafasnya yang terakhir, baginda sempat mencampakkan sebilah kerisnya terus mengenai ibu jari kaki kiri Datuk Laksamana dan menitahnkan daulatnya anak Bentan jika menjejakkan kakinya di Kota Tinggi, kelak muntah darah jadinya. Beberapa detik kemudian, Datuk Laksamana menerima tulah lalu muntah darah dan meninggal dunia selepas itu. Riwayat Tun Aman juga berjaya dihapuskan oleh Datuk Bendahara. Kemangkatan Sultan Mahmud Shah II di atas julang amat menyedihkan dan kerana baginda tidak mempunyai zuriat, Dengan itu, negeri Johor diperintah oleh nasab keturunan Bendahara Tun Abdul Jalil Shah dan memakai gelaran Sultan Abdul Jalil IV. Tamatlah era Kesultanan Melayu Melaka di negeri Johor pada tahun 1699.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Lagu[sunting | sunting sumber]

  • Bunga Teratai

Pautan luar[sunting | sunting sumber]