Mahmud Jun

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
"Mahmood June" dilencongkan di sini.
Datuk
Mahmud June
Mahmud june.jpg
Kelahiran Mahmood Junit bin Derani
(1921-01-20)20 Januari 1921
Alor Ganu, Mukim Titi Gajah, Alor Setar, Kedah, Malaya British (kini Malaysia)
Kematian 14 April 2002(2002-04-14) (umur 81)
Kampung Laksmana, Selayang, Selangor, Malaysia
Sebab kematian penyakit asma dan masalah paru-paru
Dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Sungai Tua, Selayang, Selangor
Warganegara Malaysia
Nama lain Mahmud Jun, Mahmud June
Pekerjaan Pelakon
Tahun aktif 1956 - 1997
Majikan Cathay-Keris Film Productions
Merdeka Film Productions
Kampung asal Alor Setar, Kedah
Pasangan Maharom Abdul Ghani
Anak enam anak, 16 cucu dan tiga cicit.

Datuk Mahmud Jun atau Mahmood June adalah seorang seniman serba boleh dan sering melakonkan watak-watak "bengis" dalam filem Melayu. Nama sebenar beliau ialah Mahmood Junit Bin Derani. Beliau dilahirkan pada 20 Januari 1921 di Alor Ganu, Mukim Titi Gajah, Alor Setar, Kedah. Filem-filem terkenal lakonan beliau adalah seperti Jalak Lenteng, Sri Mersing dan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.

Kerjaya teater dan filem

Sebelum memasuki bidang perfileman, beliau berlakon di pentas bangsawan dengan menyertai kumpulan Grand Nooran Opera, Seri Nooran Opera, Rubis Opera, Royal Star Opera, United Opera, Oriental Opera, Grand Jubilee Opera dan M. June Opera. Watak pertamanya di bawah bangsawan Pak Yem ialah melalui pementasan Porter 13 dan beliau telah berjaya membawa wataknya berdasarkan pengalamannya bekerja sebagai tukang angkat beg di stesen kereta api Ipoh.

Setelah melibatkan diri di dalam pentas bangsawan, beliau menyertai Cathay Keris Film Productions di Singapura dan filem pertamanya di Cathay Keris ialah Orang Lichin arahan L. Krishnan pada tahun 1958. Watak-watak zalim dan bengis yang dilakonkan oleh beliau sangat berkesan sehingga penonton-penonton filem Melayu pada ketika itu membencinya. Selain itu beliau turut diberi peluang berlakon dalam beberapa buah filem antaranya seperti filem Siti Zubaidah, Siti Payung, Selendang Merah, Jalak Lenteng, Orang Minyak dan Dang Anom.

Lima tahun kemudian, beliau menyertai Merdeka Film Studio (Studio Merdeka) di Hulu Klang. Sewaktu beliau berada di Studio Merdeka, beliau berpeluang berlakon bersama Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee antaranya seperti Si-Tora Harimau Jadian, Masam-Masam Manis, Do Re Mi dan Nasib Do Re Mi. Namun, watak yang dipegangnya berubah sewaktu bersama Studio Merdeka dan sekitar tahun 70-an dan 80-an. Beliau memegang watak-watak lucu, berlakon sebagai bapa, datuk dan orang kaya di zaman moden. Antara lakonan beliau pada tahun 70-an dan 80-an ialah seperti Si Badul, Guru Badul dan Bujang Lapok Kembali Daa.... Filem terakhir lakonan beliau ialah Layar Lara pada tahun 1997 arahan Shuhaimi Baba.

Ketika menjayakan salah satu watak dalam sesebuah filem

Selain bergiat aktif dalam filem, beliau juga turut berlakon drama. Antara drama-drama lakonan beliau seperti Luk Tujuh bersama Eman Manan, Harimau Harimau dan Orang Kaya Paduka.

Selain filem, beliau pernah berlakon dalam iklan televisyen untuk satu jenama teh terkenal. Gelagatnya dalam iklan tersebut menarik minat ramai penonton.

Perkahwinan

Dalam kehidupan peribadinya, beliau pernah berkahwin sebanyak 16 kali dan dengan Maharom Abdul Ghani, jodohnya kekal hingga ke akhir hayat. Sepanjang tempoh perkahwinannya, beliau dikurniakan enam anak, 16 cucu dan tiga cicit.

Kematian

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada hari Khamis, 14 Februari 2002 pada pukul 5.50 petang ketika berusia 81 tahun dirumahnya di Kampung Laksamana, Selayang. Sebelum itu ,beliau dirawat di Unit Rawatan Jantung, Hospital Selayang kerana menghidap penyakit asma dan masalah paru-paru. Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tua, Selayang.[1]

Filemografi

Filem

Drama

  • Luk Tujuh
  • Harimau Harimau
  • Orang Kaya Paduka
  • Mount Estate
  • Tinggi-Tinggi Terbang Bangau

Anugerah dan Pencapaian

  • Anugerah Seniman dan Pelakon Terbaik pada tahun 1974.
  • Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia yang pertama (1980) menerusi filem Sumber Ilhamku.
  • Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-3 (1983) menerusi filem Langit Petang.
  • Anugerah Khas Juri di Festival Filem Malaysia ke-6 (1986).
  • Anugerah Seniman Veteran di Anugerah Bintang Popular 1995.
  • Ahli Mangku Negara pada tahun 1986.
  • Ahli Mahkota Kedah pada tahun 1987.
  • Pingat Datuk Setia Diraja Kedah yang menbawa gelaran Datuk oleh DYMM Sultan Kedah pada bulan Januari 2001.

Rujukan

Pautan luar