Man On The Run

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Man On The Run
PengarahCassius Michael Kim
PenulisCassius Michael Kim
Dihasilkan oleh
  • Alyse Shorland
  • Rhana Natour
  • Fabian W. Joseph
SinematografiJoe Simon
Disunting oleh
  • Jon Connor
  • Karl Dawson
Muzik olehJordan Asher Cruz
Syarikat
penerbitan
  • The Smoking Section
  • Evergreen Media
Tarikh tayangan
  • 8 September 2023 (United Kingdom)
  • 22 September 2023 (New York, A.S.)
  • 29 September 2023 (Los Angeles, A.S.)
  • 5 Oktober 2023 (Singapura)
  • 19 Oktober 2023 (Malaysia)
Masa tayangan
98 minit
NegaraAmerika Syarikat
BahasaInggeris

Man On The Run (Lelaki Dalam Buruan) ialah sebuah filem dokumentari Amerika Syarikat 2023 arahan Cassius Michael Kim yang turut berkhidmat sebagai penulis skrip dan penerbit eksekutif. Filem ini berkisarkan tentang skandal 1Malaysia Development Berhad dan penglibatan bekas Perdana Menteri Malaysia keenam, Najib Razak dan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dalam skandal yang menggemparkan Malaysia. Filem ini ditayangkan pada 19 Oktober 2023.[1][2][3]

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Filem ini berkisarkan tentang kisah benar mengejutkan tentang rasuah dan pengkhianatan yang menggegarkan kestabilan kewangan seluruh negara. Ia turut membabitkan Jho Low, seorang ahli perniagaan misteri serta playboy dengan merancang mengeksploitasi dana kekayaan Malaysia menerusi apa yang diketahui umum sebagai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).[4][5]

Dengan kerjasama Perdana Menteri Malaysia keenam ketika itu, Najib Razak, Low dipercayai menyalurkan berbilion-bilion wang ke dalam akaun bank global bagi menampung gaya hidupnya yang mewah, termasuk pesta Hollywood dan bahkan membiayai pembikinan filem The Wolf of Wall Street (2013) lakonan Leonardo DiCaprio.[4][6]

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Menurut pengarahnya, Cassius Michael Kim, beliau tertarik untuk mengarahkan filem Man On The Run kerana liputan yang cukup meluas terhadap skandal yang menimpa 1MDB.[7][8] Beliau berkata:

"Walapun ia mendapat liputan yang meluas, namun masih ramai lagi yang tidak tahu tentang perjalanan sebenar mengenai skandal ini dengan lebih mendalam. Jadi, filem ini akan memberi penerangan terhadap apa yang berlaku, terutama sekali untuk mereka yang mengikuti perkembangan kes ini".[9]

Menurut Cassius, antara yang menarik dalam filem ini apabila beliau dan pasukan penerbitan dapat mengadakan sesi temu bual bersama individu serta pihak yang mempunyai hubung kait dengan skandal 1MDB.[1][10] Menurutnya lagi, terdapat cabaran sepanjang penggambaran apabila terdapat segelintir individu yang tidak mahu ditemu bual dalam Man On The Run atas sebab-sebab tertentu. Cassius berkata, pasukan penerbitannya berjaya menemubual bekas Perdana Menteri, Najib Razak. Beliau mengakui cukup kagum dengan kesudian Najib untuk menjawab setiap soalan yang diajukan sepanjang sesi temu bual tersebut.[1]

Penerbit filem ini, Fabian W. Joseph pula berkata isi kandungan Man On The Run lebih memfokuskan kepada cerita menarik individu yang terbabit secara langsung atau tidak tanpa memburukkan sesiapa selain tidak berniat merungkai sisi buruk atau mencalar nama Malaysia di mata dunia. Menurutnya, ia diterbitkan untuk masyarakat bagi mengetahui perjalanan sebenar mengenai skandal 1MDB dengan lebih terperinci dan mendalam.[11]

Siri wawancara pertama Man On The Run bermula pada musim panas 2021 dan penerbitannya bermula pada musim bunga 2022. Pasca penerbitan selesai pada musim bunga 2023, sebelum akhirnya siap untuk ditayangkan. Selain Najib, turut ditemubual dalam filem ini ialah Clare Rewcastle Brown; Ketua Pegawai Eksekutif The Edge, Ho Kay Tat dan Bradley Hope; pemberi maklumat, Xavier Andre Justo; serta ahli politik seperti Perdana Menteri kesepuluh, Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; bekas Ahli Parlimen, Tony Pua serta bekas peguam negara, Tommy Thomas.[12]

Keluaran dan sambutan[sunting | sunting sumber]

Treler rasmi filem ini, yang berdurasi selama 2 minit, dikeluarkan pada 2 Ogos 2023 dan dipertontonkan secara eksklusif di The Hollywood Reporter.[13] Filem ini memulakan tayangan perdana di United Kingdom pada 8 September 2023[3] dan dua lokasi di Amerika Syarikat, bermula dengan tayangan perdana rasmi di New York pada 22 September, kemudian diikuti dengan tayangan di Los Angeles pada 29 September.[14][15] Tayangan perdana rasmi di Asia pula bermula pada 5 Oktober di Singapura,[3] diikuti dengan tayangan perdana di Malaysia pada 19 Oktober.[16]

Menulis untuk portal Murai.my, Phic Arman mengulas: "Jika anda tidak tahu apa-apa mengenainya (skandal 1MDB), filem ini menawarkan fakta terperinci mengenai skandal 1MDB iaitu sebuah dana kekayaan negara yang ditubuhkan oleh bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak".[17] Leslie Felperin dari The Guardian pula berpendapat bahawa "karikatur pelbagai penggiling sangat mengganggu dan agak merendahkan nada filem itu".[18] Ellen E. Jones dari akhbar sama turut sependapat dengan ulasan Felperin mengenai filem ini.[19] Di Rotten Tomatoes, filem ini menerima penarafan kelulusan sebanyak 86% berdasarkan daripada 7 ulasan.[20]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c Nurezzatul Aqmar Mustaza (6 Oktober 2023). "Man On The Run dedah skandal 1MDB". Sinar Harian. Dicapai pada 3 November 2023.
  2. ^ Fatin Nurain (9 Oktober 2023). "Dokumentari 'Man On The Run' Dedah Kisah Skandal 1MDB, Bakal Ditayangkan 19 Oktober Ini!". XTRA. Dicapai pada 3 November 2023.
  3. ^ a b c Dhesegaan Bala Krishnan (13 Oktober 2023). "1MDB documentary film 'Man On The Run' to be released in Malaysia on October 19 (VIDEO)" [Filem dokumentari 1MDB 'Man On The Run' akan ditayangkan di Malaysia pada 19 Oktober (VIDEO)] (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 3 November 2023.
  4. ^ a b "#Showbiz: 1MDB documentary 'Man On The Run' to screen in cinemas on Oct 19" [#Hiburan: Dokumentari 1MDB 'Man On The Run' akan ditayangkan di pawagam pada 19 Okt]. NST Entertainment (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 9 Oktober 2023. Dicapai pada 3 November 2023.
  5. ^ "Man On The Run: Filem Dokumentari Angkat Kisah Pendedahan Skandal 1MDB". Kopiplanet. 29 Oktober 2023. Dicapai pada 3 November 2023.
  6. ^ John Lui (1 November 2023). "'A dream for film-makers': New documentary traces the reach of 1MDB fugitive Jho Low" [‘Impian untuk pembikin filem’: Dokumentari baharu menjejaki capaian pelarian 1MDB Jho Low] (dalam bahasa Inggeris). The Straits Times. Dicapai pada 3 November 2023.
  7. ^ "'Man On The Run', dedah kisah sebenar skandal 1MDB". Berita RTM. 20 Oktober 2023. Dicapai pada 3 November 2023.
  8. ^ Minda Ranggong (19 Oktober 2023). "Dedah kisah pengkhianatan". Harian Metro. Dicapai pada 3 November 2023.
  9. ^ Budiey (18 Oktober 2023). "Filem Dokumentari MAN ON THE RUN Angkat Kisah Pendedahan Skandal 1MDB". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 3 November 2023.
  10. ^ Dian Pasquinal Kaur; Emily Yap (18 Oktober 2023). "Where is Jho Low? Director Cassius Michael Kim uncovers key narratives of 1MDB case in 'Man on the Run' film" [Di manakah Jho Low? Pengarah Cassius Michael Kim mendedahkan naratif utama kes 1MDB dalam filem 'Man on the Run'] (dalam bahasa Inggeris). Options The Edge. Dicapai pada 3 November 2023.
  11. ^ Georgie Joseph (22 Oktober 2023). "Tak ada niat burukkan Malaysia - Penerbit". Harian Metro. Dicapai pada 3 November 2023.
  12. ^ "Man On The Run, dokumentari skandal 1MDB akan ditayangkan". MyKMU. 15 Oktober 2023. Dicapai pada 3 November 2023.
  13. ^ Alex Ritman (2 Ogos 2023). "Where Is Jho Low? Jailed Malaysian Leader Najib Razak Questioned in 1MDB Scandal Doc Trailer (Exclusive)" [Dimanakah Jho Low? Pemimpin Malaysia yang dipenjarakan Najib Razak disoal siasat dalam Treler Dokumentari Skandal 1MDB (Eksklusif)] (dalam bahasa Inggeris). The Hollywood Reporter. Dicapai pada 3 November 2023.
  14. ^ Fatin Farhana Ariffin (3 Ogos 2023). "Dokumentari kisah Jho Low ditayang di Amerika Syarikat". Berita Harian. Dicapai pada 3 November 2023.
  15. ^ "'Man on the Run' on Jho Low and 1MDB to hit US cinemas in September" ['Man on the Run' tentang Jho Low dan 1MDB bakal ditayang di pawagam AS pada September] (dalam bahasa Inggeris). The Sun Daily. 3 Ogos 2023. Dicapai pada 3 November 2023.
  16. ^ Dhia Kz (23 Oktober 2023). "Filem Dokumentari 'MAN ON THE RUN' Dedah Kisah Sebenar 1MDB". F8buzz. Dicapai pada 3 November 2023.
  17. ^ Phic Arman (18 Oktober 2023). "[REVIEW] 'Man On The Run': Dari Kisah Jho Low, Najib Hingga Ke Rosmah, Semuanya Terungkap". Murai.my. Dicapai pada 3 November 2023.
  18. ^ Leslie Felperin (5 September 2023). "Man on the Run review – the Malaysian scandal that rocked Wall Street and Hollywood" [Ulasan Man on the Run – skandal Malaysia yang menggegarkan Wall Street dan Hollywood] (dalam bahasa Inggeris). The Guardian. Dicapai pada 3 November 2023.
  19. ^ Ellen E. Jones (10 September 2023). "Man on the Run review – fine documentary about a starstruck Malaysian financial scandal" [Ulasan Man on the Run – dokumentari bermutu tentang skandal kewangan Malaysia yang memukau] (dalam bahasa Inggeris). The Guardian. Dicapai pada 3 November 2023.
  20. ^ "Man on the Run (2023)". Rotten Tomatoes (dalam bahasa Inggeris). Fandango Media. Dicapai pada 3 November 2023.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]