Pertempuran Gorjani

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Pertempuran Gorjani (1537)
Sebahagian daripada Perang Seratus Tahun Croatia–Uthmaniyyah
Tarikh 9 Oktober 1537
Lokasi Gorjani, Kerajaan Hungary
Hasil Kemenangan muktamad Uthmaniyyah
Pihak yang terlibat
Empayar Rom Suci Osmanli-devleti-nisani-yeni.png Empayar Uthmaniyyah
Komandan
Pavle Bakić  Semendireli Mehmed Pasha (Gabenor Belgrade)
Kekuatan
~24,000 8000
Korban
20,000 terkorban sangat sedikit

Pertempuran Gorjani (Bahasa Croatia: Bitka kod Gorjana, Bahasa Jerman; Schlacht bei Gorjani) atau Pertempuran Đakovo (Bahasa Hungary: Diakovári csata) merupakan pertempuran yang terjadi pada 9 Oktober 1537 di Gorjani iaitu sebuah tempat yang terletak di Slavonia (kini terletak di timur Croatia).

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Selepas kegagalan Pengepungan Vienna pada tahun 1529, Sultan Sulaiman al-Qanuni kembali ke ibu kota Uthmaniyyah. Walaupun pemimpin lindungan Uthmaniyyah iaitu John Zapolya berjaya memulihkan kedudukannya di Hungary, keadaan semasa di kawasannya menjadi tidak tentu dan pewaris takhta Habsburg, Ferdinand tidak merancang untuk terus berdiam diri. Menurut sumber Uthmaniyyah, utusan Ferdinand telah melawat Constantinople pada tahun 1530 dan meminta Sultan Sulaiman untuk berhenti menyokong John tetapi permintaan itu ditolak. Sebagai tindak balas, Ferdinand telah menggerakkan bala tenteranya dan menyerang John lalu mencetuskan peperangan yang dikenali sebagai Perang Kecil. Tentera Habsburg berjaya mencatatkan kejayaan semasa meneruskan rentak kemaraan tetapi mereka gagal untuk menguasai ibu kota Hungary, Buda. Utusan baru telah dihantar ke kota Constantinople pada penghujung tahun 1530. Walaupun pada kenyataannya menyebut ia berbunyi lebih mendamaikan pada kali ini, tiada kata sepakat telah dicapai. Seterusnya, Sultan Sulaiman telah bersiap sedia untuk melancarkan kempen baru menentang Habsburg.

Berdasarkan sumber-sumber, sultan telah menggerakkan lebih daripada 100,000 tentera untuk serangan pada kali ini. Pasukan ini mula mara pada bulan April dan menjelang bulan Julai, banyak kubu-kubu Habsburg di Hungary telah jatuh ke tangan Uthmaniyyah manakala tanah-tanah di Slovakia, Slovenia, Austria dan Croatia telah diserang. Jumlah tentera Sulaiman melebihi tentera Ferdinand sekali gus memaksa saki baki tentera Ferdinand yang lain terpaksa berundur ke Vienna. Mereka telah meninggalkan garison yang memiliki kekuatan seramai 800 orang yang dipimpin oleh bangsawan Croatia, Nikola Jurišić untuk mempertahankan kubu penting di Kőszeg. Pada masa yang sama, bagi mengelakkan konflik terbuka dengan pemimpin Protestan di Eropah semasa berjuang menentang Uthmaniyyah, Ferdinand terpaksa untuk memeterai Rundingan Damai Nuremberg.

Sumber-sumber saling bercanggah antara satu sama lain mengenai Pengepungan Kőszeg tetapi pihak Uthmaniyyah melihat pasukan musuh telah meninggalkan garison yang lebih besar untuk mempertahankan laluan ke Vienna. Jadi, Wazir Ibrahim Pasha dan sultan kemudiannya mengepung kota tersebut dengan menggunakan semua artileri dan taktik-taktik pengepungan mereka. Pasukan pertahanan berjaya menangkis serangan Uthmaniyyah dan menolak untuk menyerah kalah. Hujan mula melanda pada awal tahun dan tentera imperial telah dibentuk di Regensburg untuk berarak ke Hungary. Justeru, Sultan Sulaiman memutuskan untuk berundur ke Constantinople.

Maharaja Charles V dan anaknya, Ferdinand sedia maklum bahawa serangan Uthmaniyyah yang baru akan dilancarkan dalam masa terdekat. Jadi, mereka telah mengirim beberapa orang utusan kepada Shah Tahmasp I dari Safawiyah antara tahun 1529 dan 1533. Pengiriman utusan ini sebagai tanda untuk memperbaharui perjanjian yang pernah ditandatangani sebelum ini dengan bapa Tahmasp iaitu Shah Ismail I. Pada tahun 1533, Shah Safawiyah mula membangkitkan pemberontakan menentang Sultan Sulaiman di kawasan sempadan dan ia telah memadai untuk membawa Sultan Uthmaniyyah itu menandantangani Perjanjian Constantinople dengan Habsburg. John Zapolya telah diiktiraf sebagai Raja Hungary manakala Ferdinand pula kekal menguasai bahagian barat kerajaan itu dan bersetuju membayar 30,000 gulden setiap tahun kepada Uthmaniyyah sebagai tanda pembayaran ufti. Berdasarkan klausa aneh dalam perjanjian itu juga, Maharaja Charles berjanji untuk hanya menggunakan gelaran "maharaja" sahaja dalam mana-mana hal dengan Sultan Uthmaniyyah.

Dengan itu, Sultan Sulaiman memulakan kempen menentang Tahmasp. Beliau telah mengirim surat kepada Shaybanid untuk menyerang Safawiyah di Asia Tengah sekali gus memaksa tentera-tentera Tahmasp berundur dari kawasan sempadan. Hal ini memudahkan pasukan Uthmaniyyah menguasai ibu kota musuh, Tabriz dan kota Baghdad dengan mudah. Akan tetapi, serangan Uthmaniyyah selanjutnya telah dihentikan oleh Safawiyah di kawasan Pergunungan Zagros. Tentera Uthmaniyyah telah kehilangan nyawa seramai 10,000 orang saat pertempuran di sana dan Sultan Sulaiman memutuskan untuk menamatkan kempen ekoran faktor keadaan cuaca. Walau bagaimanapun, Uthmaniyyah tetap memegang kawasan di Caucasus Barat, Iran dan Iraq.

Kembali ke Eropah, Ferdinand dan John saling berselisih dan berbalas dendam. Pada tahun 1537, Habsburg menyerang Uthmaniyyah melalui laut dan darat. Tentera Habsburg yang memiliki kekuatan seramai 24,000 orang di bawah pimpinan Johann Katzianer telah berarak untuk menyerang wilayah Uthmaniyyah dengan segera. Mereka telah berjaya merebut kota Osijek yang kini terletak di Croatia dan dianggap oleh Uthmaniyyah sebagai kota penting untuk memastikan garis bekalan Uthmaniyyah di kawasan itu terjamin.

Pertempuran[sunting | sunting sumber]

Walaupun pasukan pertahanan Uthmaniyyah hanya memiliki kekuatan seramai 3,000 orang, kubu pertahanan di kota itu dibina dengan kukuh. Kekurangan artileri, serangan wabak dan keadaan cuaca yang buruk telah melumpuhkan proses pengepungan kota oleh Habsburg. Beberapa percubaan serangan ke atas kubu kota telah gagal dan Johann Katzianer memutuskan untuk menunggu tentera pertahanan Uthmaniyyah keluar dari kota.

Perkara ini membolehkan gabenor Uthmaniyyah di Belgrade, Mehmed Pasha untuk mengumpulkan satu pasukan kavalri yang mempunyai kekuatan seramai 6,000 orang dan berarak membantu kota Osijek. Butiran tidak berapa jelas tetapi berdasarkan sumber, tentera Uthmaniyyah telah menyerang tentera Habsburg dari pelbagai arah di luar kota sekali gus mengheret Habsburg menanggung banyak angka korban. Namun, Habsburg berjaya memulihkan semula susunan pasukannya sebelum memberi tentangan sengit sehingga menyebabkan pasukan kavalri Mehmed Pasha berundur. Serangan awal tentera berkuda Uthmaniyyah membuatkan Katzianer berfikir saki baki tentera Uthmaniyyah akan tiba nanti lalu beliau memutuskan untuk meninggalkan medan pengepungan dan berundur.

Semasa berundur yang berlangsung selama beberapa hari, kavalri ringan Uthmaniyyah dengan tidak putus-putus mengganggu gugat tentera Habsburg sehingga kedua-dua belah pihak ini tiba di sebuah tempat yang dipanggil Gorjani. Tentera Habsburg akhirnya melihat tentera Uthmaniyyah lebih sedikit daripada seperti yang dijangka dan komandernya lalu melancarkan serangan balas. Perkara ini merupakan saat yang dinanti-nantikan oleh Uthmaniyyah. Mereka menggunakan helah berpura-pura berundur bagi mengheret tentera Habsburg yang pantas terjerat ke dalam perangkap sebelum mereka diserang oleh pasukan pertahanan Uthmaniyyah dari kota Osijek dan pasukan kavalri sendiri daripada kedua-dua arah. Sebahagian besar unit Habsburg telah terkorban. Katzianer meninggalkan medan pertempuran manakala saki baki tentera Habsburg pula diserang dan dimusnahkan. Tentera Uthmaniyyah hanya mengalami sedikit kerugian manakala angka korban yang dialami Habsburg ialah lebih daripada 20,000 orang.

Bacaan tambahan[sunting | sunting sumber]

  • Jaques, Tony (2007). Dictionary of Battles and Sieges: A Guide to 8,500 Battles from Antiquity Through the Twenty-First Century. Greenwood Publishing Group. ISBN 0313335397.
  • Budak, Neven (2002). "Habsburzi i Hrvati - Građanski rat" [Habsburgs and the Croats - Civil war]. Kolo (3). Dicapai pada 2014-01-20.
  • Turnbull, Stephen (2003). The Ottoman Empire 1326 - 1699. Osprey, New York. m/s. 52.
  • Ivić, Aleksa (1914). Историја Срба у Угарској: од пада Смедерева до сеобе под Чарнојевићем (1459-1690). Zagreb: Привредникова.