Lidah buaya

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Pokok Lidah Buaya)
Pergi ke pandu arah Pergi ke carian

Lidah buaya
Echte Aloe von oben.JPG
Pengelasan saintifik
Alam:
(tanpa pangkat):
(tanpa pangkat):
(tanpa pangkat):
Order:
Keluarga:
Subkeluarga:
Genus:
Spesies:
A. vera
Nama binomial
Aloe vera
Sinonim[1][2]
  • Aloe barbadensis Mill.
  • Aloe barbadensis var. chinensis Haw.
  • Aloe chinensis (Haw.) Baker
  • Aloe elongata Murray
  • Aloe flava Pers.
  • Aloe indica Royle
  • Aloe lanzae Tod.
  • Aloe maculata Forssk. (illegitimate)
  • Aloe perfoliata var. vera L.
  • Aloe rubescens DC.
  • Aloe variegata Forssk. (illegitimate)
  • Aloe vera Mill. (illegitimate)
  • Aloe vera var. chinensis (Haw.) A. Berger
  • Aloe vera var. lanzae Baker
  • Aloe vera var. littoralis J.Koenig ex Baker
  • Aloe vulgaris Lam.

Lidah buaya atau nama botaninya Aloe vera ialah spesies tumbuhan dalam genus Aloe.[3] Tumbuhan malar hijau saka ini asli di Semenanjung Arab, tetapi ia meliar sebagai spesies ceroboh di iklim-iklim tropika, separa tropika dan kering seluruh dunia.[3][4] Ia juga telah membiak dengan baik di lembangan Mediterranean dengan merentasi Algeria, Maghribi, Tunisia di utara Afrika serta kepulauan Canaria dan Madeira.

Lidah buaya telah digunakan sebagai ubatan tradisional untuk melegakan luka, ruam, demam, gatal-gatal, kulit dan banyak lagi.[perlu rujukan] Selain itu, pokok herba ini juga sangat terkenal dalam industri kosmetik dan produk kesihatan. Walau bagaimanapun, ia masih kurang ditanam secara komersial di Malaysia.[5] Spesies ini juga menarik sebagai tanaman hiasan.[6]

Morfologi[sunting | sunting sumber]

Lidah buaya ialah tumbuhan saka, sukulen separa-tropika, dengan akar serabut yang kuat dan daun hijau ke kelabu-hijau yang banyak, berisi tebal, dan berduri pada tepinya. Pangkal daunnya tersusun berbentuk sarung.[7] Bahagian yang digunakan dalam perubatan ialah jus dan gel daun. Pokok lidah buaya boleh menerima cahaya matahari penuh atau separa penuh untuk hidup.

Lebar pokok boleh mencecah 60-120 sm manakala panjang pokok ialah sehingga 80 sm pada peringkat matang. Tingginya boleh mencapai 40-60 sm.[7] Bunga pokok pula ialah kuning 30 mm panjang pada beberapa batang jambak bunga.

Lidah buaya adalah antara tumbuhan yang membebaskan oksigen dan menyerap karbon dioksida walaupun berada dalam keadaan gelap, membuatkan ia sesuai diletakkan dalam bilik tidur.[perlu rujukan]

Bunga lidah buaya berwarna kuning (30 mm)
Daun lidah buaya bergerigi di kelilingnya
Corak pertumbuhan lidah buaya (dari pandangan atas)

Sejarah perubatan[sunting | sunting sumber]

Batu bersurat Sumeria bertarikh 2200 SM, yang dijumpai di kota Nippur menunjukkan bahawa daun lidah buaya telah digunakan sebagai julap. Pada 1550 SM, orang Mesir Ebers Papyrus menunjukkan bahawa daun lidah buaya dikisar, dicampur dengan komponen perubatan lain dan direbus, kemudian digunakan dalam 12 formula perubatan, untuk kegunaan dalaman dan luaran. Sekitar 400 SM, sap lidah buaya telah direbus untuk kegunaan domestik dan dieksport melalui pedagang Arab sepanjang barat Asia. Selaras itu, pokok ini telah dikenali sebagai 'penyembuh senyap' oleh pengadut agama Hindu dan 'ramuan harmonik' oleh pakar perubatan Cina kuno. Ia telah (dan masih) ditanam dan digunakan di India sebagai agen penyembuhan dalaman dan luaran.[8]

Penanaman[sunting | sunting sumber]

Pokok lidah buaya mempunyai sejarah penanaman yang panjang di seluruh kawasan tropika dan subtropika yang lebih kering di dunia, baik sebagai pokok hiasan mahupun sebagai perubatan herba. Kajian penanaman lidah buaya di tanah bekas lombong yang diklasifikasikan sebagai tanah bermasalah telah dilaksanakan di Stesen MARDI Kundang, Selangor. Hasil kajian menunjukkan lidah buaya amat berpotensi ditanam di tanah bekas lombong kerana ia hanya memerlukan lembapan tanah yang amat minimum.[9]

Pokok lidah buaya yang ditanam secara komersial dituai setiap enam hingga lapan minggu dengan mengambil tiga hingga empat helai daun per pokok.

Khasiat[sunting | sunting sumber]

Penyelidik-penyelidik di Universiti Miguel Hernandez di Alicante, Sepanyol, telah mengembangkan sejenis gel berasaskan Aloe vera yang memanjangkan pemuliharaan keluaran-keluaran segar, seperti buah-buahan dan kekacang segar. Gel ini hambar, tidak berwarna dan tidak berbau. Produk semula jadi ini merupakan alternatif yang selamat dan tidak menjejaskan persekitaran, berbanding dengan bahan-bahan awet tiruan seperti sulfur dioksida. Kajian menunjukkan bahawa anggur-anggur pada 1 °C yang disapu dengan gel ini dapat dipeliharakan selama 35 hari, berbanding dengan hanya 7 hari untuk anggur-anggur yang tidak diolah. Menurut penyelidik-penyelidik itu, gel ini bertindak melalui satu gabungan mekanik (Serrano et al., 2006) dan membentuk satu lapisan pelindung terhadap oksigen dan kelembapan udara dan, melalui berbagai-bagai sebatian antibiotik dan antikulat, menghalang tindakan mikroorganisma yang mengakibatkan penyakit-penyakit bawaan makanan.

Perubatan[sunting | sunting sumber]

Lidah Buaya biasa dipergunakan sebagai kegunaan luar untuk merawat berbagai-bagai keadaan kulit, seperti luka, luka terbakar, dan ekzema. Sap daripada Lidah Buaya dikatakan dapat melegakan kesakitan dan mengurangkan keradangan. Bukti-bukti saintifik mengenai kesan-kesan sap Lidah Buaya terhadap penyembuhan luka kelihatan bercanggah (Vogler dan Ernst, 1999). Satu kajian yang dijalankan pada dekad 1990-an menunjukkan bahawa penyembuhan luka terbakar yang sederhana hingga teruk telah dicepatkan sehingga enam hari apabila luka selalu disapu dengan gel Lidah Buaya, berbanding dengan luka yang hanya dibalut oleh pembalut kasa (Farrar, 2005). Sebaliknya, lagi satu kajian menunjukkan bahawa luka-luka yang disapu dengan gel Lidah Buaya mengambil lebih banyak masa untuk sembuh (Schmidt dan Greenspoon, 1991).

Banyak syarikat kosmetik memasukkan sap dan bahan-bahan terbitan Lidah Buaya yang lain ke dalam produk-produk mereka seperti alat solek, pelembap kulit, sabun, pelindung cahaya matahari, syampu, dan losen. Gel Lidah Buaya dikatakan berguna untuk keadaan-keadaan kulit yang kering, khususnya ekzema di sekeliling mata serta kulit muka yang peka. Selain itu, gel Lidah Buaya telah digunakan untuk merawat jangkitan-jangkitan kulat, seperti kurap.

Sebuah makalah yang diterbitkan oleh Jurnal Amalan Umum British menunjukkan bahawa Lidah Buaya adalah amat baik untuk merawat pesakit-pesakit yang telah lama menghidap kurap air. Bagaimanapun, pembubuhan topikal Lidah Buaya tidaklah berkesan terhadap pencegahan kecederaan berkait sinaran. Fungsi Lidah Buaya yang dikatakan dapat menyembuhkan luka juga masih tidak jelas walaupun terdapat sesetengah hasil kajian yang mengeluarkan keputusan yang menggalakkan. Keberkesanan ujian klinikal terhadap penggunaan Lidah Buaya secara topikal atau melalui mulut juga masih tidak jelas pada masa kini.

Makanan[sunting | sunting sumber]

Senarai Pokok

Hebahan cerita tentang banyaknya manfaat daripada penggunaan Lidah Buaya yang semakin popular telah menjadikan para pengeluar makanan tertarik untuk mengolahnya sebagai bahan makanan baharu. Hal ini terbukti dengan beragamnya produk makanan daripada ekstrak Lidah Buaya yang dijual dalam pasaran. Ada antaranya yang dijual segar atau dibuat manisan, jus, serbuk sehinggalah kepada gel aloe vera.

Selain sebagai bahan utama dalam kecantikan, Lidah Buaya juga dikatakan bermanfaat untuk kesihatan seperti mampu melambatkan serangan virus HIV kepada sel sihat, memperbaiki sistem pencernaan, bersifat antiseptik dan antibiotik semula jadi.

Negara-negara Dunia Ketiga dilihat agak ketinggalan, berbanding negara-negara membangun di sekitar lautan Pasifik seperti Hong Kong, Taiwan dan China, di mana mereka sentiasa menggunakan Lidah Buaya sebagai suatu makanan budaya. Mereka menggunakannya dalam bentuk jus, manisan bahkan dicampur dengan teh.[perlu rujukan]

Dalam bidang masakan, isi Lidah Buaya sebenarnya amat lazat untuk diadukkan dalam beraneka masakan. Teksturnya yang kenyal dengan rasanya menyegarkan sangat sesuai untuk dicampur dengan salad, tumisan, jus mahupun manisan.

Bagi pengguna yang ingin mengolah Lidah Buaya, berikut merupakan petua bagi mengurangkan bau langu, rasa pahit dan lendirnya:

  • Sentiasa memilih Lidah Buaya berisi tebal. Kupas kulit sedikit tebal sehingga tersisa isi buah yang berwarna putih lut sinar. Potong menjadi bentuk yang lebih kecil. Rendam di dalam air matang yang telah ditambah dengan 0.025% garam dan 0.025% asam sitrat. Biarkan selama 2 jam, cuci bersih dan tiriskan.
  • Cara lain: Setelah dikupas, cuci dan ramas-ramas potongan isi Lidah Buaya di dalam air garam. Setelah lendirnya hilang, rendam dalam air kapur sirih atau tawas agar untuk memperoleh tekstur gel yang lebih kukuh dan kenyal. Cuci bersih dan gel siap digunakan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Aloe vera (L.) Burm. f. Tropicos.org
  2. ^ "Aloe vera (L.)". The Plant List. 26 Mac 2012. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  3. ^ a b "Aloe vera (true aloe)". CABI. 13 February 2019. Dicapai pada 15 Oktober 2019.
  4. ^ "Aloe". Drugs.com. 30 Disember 2020. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  5. ^ "Lidah Buaya". Taman Herba Malaysia.
  6. ^ Perkins, Cyndi. "Is Aloe a tropical plant?". SFGate. Dicapai pada 13 Februari 2016.
  7. ^ a b "Herba > Lidah Buaya". Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. 2016. Dicapai pada 2 April 2022.
  8. ^ Aloe Vera: Health Benefits and Medical Uses
  9. ^ Lim, A.H. dan A.R. Mohd Zafrul. Aloe Vera di tanah bekas lombong. Agromedia bil. 30 (3/2009). Penerbitan MARDI.
  • Serrano M, Valverde JM, Guillen F, Castillo S, Martinez-Romero D, Valero D. (2006). Use of Aloe vera gel coating preserves the functional properties of table grapes. J Agric Food Chem 54 (11): 3882-3886. Sila lihat di sini.

Bacaan tambahan[sunting | sunting sumber]

  • Farmer-Knowles, H. 2010. The Healing Plants Bible: The definitive guide to herbs, trees and flowers. Octupus Publisihing Group. ISBN 978-1-84181-390-5.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]