Pergi ke kandungan

Sultan Riau-Lingga

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sultan Riau-Lingga
سلطان رياو-ليڠڬا (Jawi)
Wilayah/Negeri
Jata rasmi Kesultanan Riau-Lingga
Sultan terakhir memerintah
Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah
13 Oktober 1883 – 10 Februari 1911
Butiran
GelaranDuli Yang Maha Mulia
Penyandang pertamaSultan Abdul Rahman Muazzam Shah
Penyandang terakhirSultan Abdul Rahman II Muazzam Shah
Pembentukan29 Oktober 1830
Pemansuhan10 Februari 1911
Persemayaman1. Daik, Lingga (1830 – 1900)
2. Tanjung Pinang, Riau (1900 – 1911)

Sultan Riau-Lingga (Jawi: سلطان رياو-ليڠڬا), atau Sultan Lingga-Riau atau Sultan Riau dan Lingga atau Sultan Lingga dan Riau atau Sultan Riau atau Sultan Lingga, ialah jawatan warisan dan raja pemerintah Kepulauan Riau dan Kepulauan Lingga serta pulau-pulau di sekitarnya. Gelaran rasminya ialah "Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan Yang Dipertuan Besar Kerajaan Riau-Lingga dengan segala daerah takluknya" (Jawi: دولي يڠ مها موليا ڤدوک سري سلطان دان يڠ دڤرتوان بسر كراجأن رياو-ليڠڬا دڠن سڬالا داءيره تعلوقڽ).

Sultan Riau-Lingga, yang dahulunya merupakan Sultan Johor yang memimpin Kesultanan Johor Lama, kekal sebagai tuan kepada Temenggung Johor selaku pentadbir utama negeri Johor dan Bendahara Johor yang juga Raja Bendahara Pahang lalu mengekalkan ketuanan baginda ke atas negeri Johor dan negeri Pahang di Semenanjung Tanah Melayu. Namun, negeri Johor tidak lagi bertuankan Sultan Riau-Lingga apabila Perjanjian Setia 1855 secara rasmi mengiktiraf kedudukan baru Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai Pemerintah Johor manakala negeri Pahang mengikuti jejak langkah negeri Johor apabila Bendahara Tun Mutahir tidak bertuankan Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah selepas baginda mengakui ketuanan Belanda ke atas Kesultanan Riau-Lingga melalui Perjanjian 1 Disember 1857.

Jawatan ini wujud apabila Kesultanan Johor Lama berakhir lalu Kesultanan Riau-Lingga wujud selepas Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 dikuatkuasakan di Alam Melayu melalui Perjanjian 29 Oktober 1830 antara Yang Dipertuan Muda Riau ke-6, Raja Jaafar dengan Belanda di mana Kepulauan Riau dan Kepulauan Lingga serta pulau-pulau di sekitarnya kekal di bawah pemerintahan Sultan Johor ke-16, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah manakala negeri Johor dan negeri Pahang tidak lagi berada di bawah pemerintahan baginda lalu menjadi negeri bebas. Secara tidak langsung, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah menjadi Sultan Riau-Lingga pertama pada tahun 1830.

Walaupun begitu, para pembesar Melayu di negeri Johor dan negeri Pahang masih lagi bertuankan Sultan Riau-Lingga kerana mereka masih menganggap baginda sebagai Sultan Johor yang sah dan berdaulat. Mereka tidak bertuankan Sultan Hussein Muhammad Shah dan anakandanya, Sultan Ali Iskandar Shah yang bersemayam di Singapura. Ini boleh dibuktikan apabila Sultan Riau-Lingga ke-2, Sultan Muhammad II Muazzam Shah mengadakan satu istiadat yang dihadiri oleh para pembesar dari seluruh wilayah bekas Kesultanan Johor Lama. Dalam istiadat tersebut, Bendahara Johor yang juga Raja Bendahara Pahang ke-4, Bendahara Tun Ali menabalkan anakandanya, Tun Mutahir (kemudian bergelar Bendahara Tun Mutahir) sebagai Bendahara Muda (pewaris Bendahara Johor dan Raja Bendahara Pahang) dan anakanda Sultan Muhammad II Muazzam Shah, Tengku Mahmud (kemudian bergelar Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah) sebagai Tengku Besar (pewaris takhta).

Bukan itu sahaja, semasa zaman pemerintahan Sultan Riau-Lingga ke-3, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah, baginda mengiktiraf pertabalan Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai Temenggung Johor yang dilakukan oleh Bendahara Tun Ali pada tahun 1841. Pada tahun 1852, negeri Johor diserahkan kepada baginda oleh Sultan Ali Iskandar Shah yang masih gagal untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai Sultan Johor daripada British pada ketika itu. Secara tidak langsung, semua wilayah bekas Kesultanan Johor Lama (kecuali Singapura) dapat disatukan semula melalui penyerahan tersebut. Namun, penyatuan tersebut dapat bertahan selama tiga tahun sahaja kerana negeri Johor kemudiannya diserahkan kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim oleh Sultan Ali Iskandar Shah melalui Perjanjian Setia 1855 lalu menjadikan Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai Pemerintah Johor pada tahun 1855.

Berikutan Perjanjian Setia 1855, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah menulis surat kepada Bendahara Tun Ali untuk meminta penjelasan beliau mengenai perjanjian tersebut. Dalam surat balasan Bendahara Tun Ali kepada Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah, beliau menjelaskan bahawa beliau tidak dapat menerima tindakan Sultan Ali Iskandar Shah yang melanggar adat-istiadat Melayu dengan menyerahkan negeri Johor kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim kerana tanah jajahan Kesultanan Johor Lama merupakan hak milik Sultan Johor yang sah (merujuk kepada Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah) dan tidak boleh diambil oleh orang lain melainkan dengan cara kurnia. Bendahara Tun Ali juga menjelaskan bahawa beliau langsung tidak mengetahui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang dibuat lebih 30 tahun dahulu. Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah berasa amat murka apabila baginda baru mengetahui perjanjian tersebut pada tahun 1855. Berdasarkan surat balasan Bendahara Tun Ali, terdapat kemungkinan bahawa perjanjian tersebut dirahsiakan daripada Sultan dan para pembesar Melayu untuk suatu tempoh masa yang lama iaitu 31 tahun.

Apabila Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah disingkirkan daripada takhta Kesultanan Riau-Lingga oleh Belanda pada tahun 1857, ayahanda saudaranya, Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah diangkat menjadi Sultan Riau-Lingga ke-4. Pada tahun yang sama, Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah dan Yang Dipertuan Muda Riau ke-9, Raja Haji Abdullah menandatangani Perjanjian 1 Disember 1857 dengan Belanda di mana baginda mengakui ketuanan Belanda ke atas Kesultanan Riau-Lingga. Ini menyebabkan Bendahara Johor dan Raja Bendahara Pahang ke-5, Bendahara Tun Mutahir mengisytiharkan bahawa Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah bukan Sultan Johor yang sah dan berdaulat berdasarkan perjanjian tersebut kerana baginda memilih untuk bertuankan Belanda dan membelakangkan adat-istiadat Melayu yang diamalkan oleh Kesultanan Johor Lama.

Dengan pengisytiharan tersebut, para pembesar Melayu di negeri Johor dan negeri Pahang tidak lagi bertuankan Sultan Riau-Lingga dan tidak lagi menumpahkan taat setia mereka kepada baginda. Bendahara Tun Mutahir terpaksa menerima hakikat bahawa pemerintahan Kesultanan Johor Lama yang berpandukan adat-istiadat Melayu tidak dapat dikembalikan semula. Bendahara Tun Mutahir membuat keputusan untuk menumpukan perhatian beliau terhadap urusan pemerintahan negeri Pahang kerana urusan Kesultanan Riau-Lingga dan urusan negeri Johor bukan lagi tanggungjawab beliau. Secara ringkasnya, Sultan Riau-Lingga yang masih diakui sebagai Sultan Johor yang sah dan berdaulat oleh Bendahara Tun Ali dan anakandanya, Bendahara Tun Mutahir serta para pembesar Melayu yang lain di negeri Johor dan negeri Pahang ialah Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah, Sultan Muhammad II Muazzam Shah dan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah.

Jawatan ini dimansuhkan apabila Kesultanan Riau-Lingga dibubarkan oleh Belanda pada 10 Februari 1911 kerana Sultan Riau-Lingga ke-5 dan terakhir, Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah tidak mahu menurut kemahuan Belanda yang meminta baginda untuk menandatangani perjanjian yang akan mengurangkan kuasanya dan meningkatkan penguasaan Belanda dalam Kesultanan Riau-Lingga. Baginda terpaksa meninggalkan Pulau Penyengat dan berlayar ke Singapura lalu hidup dalam buangan di sana. Dengan pemansuhan jawatan ini, berakhirnya institusi beraja yang diwarisi secara langsung daripada Kesultanan Johor Lama (1528 – 1830) dan pendahulunya, Kesultanan Melaka (1400 – 1511).

Senarai Sultan

[sunting | sunting sumber]

Wangsa Bendahara (1830–1883)

[sunting | sunting sumber]
No. Potret Nama Tempoh pemerintahan Tarikh keputeraan dan kemangkatan Pusat pemerintahan Nota
1 Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah
سلطان عبد الرحمن معظم شاه
(Tengku Abdul Rahman)
29 Oktober 1830 – 9 Ogos 1832
(1 tahun, 9 bulan dan 11 hari)
1780 – 9 Ogos 1832
(sekitar umur 52 tahun)
Lingga (1830 – 1832)
2 Sultan Muhammad II Muazzam Shah
سلطان محمد معظم شاه
(Tengku Muhammad)
9 Ogos 1832 – 1835
(kira-kira 3 tahun)
1803 – 20 Julai 1841
(sekitar umur 38 tahun)
Lingga (1832 – 1835)
  • Anakanda Sultan Riau-Lingga pertama, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah
  • Masih dianggap sebagai Sultan Johor-Pahang oleh para pembesar dan bangsawan Johor dan Pahang
  • Mengadakan istiadat untuk memulihkan adat Kesultanan Johor Lama di mana istiadat tersebut dihadiri oleh semua pembesar dari semua wilayah di bawah kekuasaan Kesultanan Johor Lama dan istiadat itu membuktikan bahawa para pembesar di Johor dan Pahang masih menumpahkan taat setia mereka kepada Sultan yang bersemayam di Lingga dan bukan Sultan yang bersemayam di Singapura
  • Menuruni dan menyerahkan takhta kepada anakandanya, Tengku Mahmud (kemudian Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah) pada tahun 1835 kerana uzur dan kemudian memangku urusan pemerintahan Kesultanan Riau-Lingga
  • Digelar "Marhum Keratun"
3 Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah
سلطان محمود مظفر شاه
(Tengku Mahmud)
1835 – 7 Oktober 1857
(kira-kira 22 tahun)
1823 – 10 Julai 1864
(sekitar umur 41 tahun)
Lingga (1835 – 1857)
  • Anakanda Sultan Riau-Lingga ke-2, Sultan Muhammad II Muazzam Shah
  • Masih dianggap sebagai Sultan Johor-Pahang oleh para pembesar dan bangsawan Johor dan Pahang
  • Bercita-cita untuk menyatukan semula semua wilayah Kesultanan Johor Lama tetapi tidak dipersetujui oleh para pembesar Bugis
  • Diturunkan daripada takhta oleh Belanda pada 7 Oktober 1857 kerana tidak mahu mendengar amaran Belanda yang meminta baginda untuk menyelesaikan perselisihan faham antara baginda dan para pembesar Bugis dengan menyegerakan pelantikan Yang Dipertuan Muda Riau yang baru selepas kemangkatan Yang Dipertuan Muda Riau ke-8, Raja Ali
Kesultanan Riau-Lingga mengakui ketuanan Belanda pada tahun 1857
4 Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah
سلطان سليمان بدر العالم شاه
(Tengku Sulaiman)
7 Oktober 1857 – 17 September 1883
(25 tahun, 11 bulan dan 10 hari)
? – 17 September 1883 Lingga (1857 – 1883)
  • Anakanda Sultan Riau-Lingga pertama, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah
  • Ayahanda saudara Sultan Riau-Lingga ke-3, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah
  • Menandatangani Perjanjian 1 Disember 1857 dengan Belanda di mana Kesultanan Riau-Lingga mengakui ketuanan Belanda, persetujuan Belanda perlu diperoleh terlebih dahulu dalam urusan pelantikan Sultan Riau-Lingga dan Tengku Besar Riau-Lingga, dan Sultan Riau-Lingga perlu menyerahkan urusan pemerintahan Kesultanan Riau-Lingga kepada Yang Dipertuan Muda Riau, baginda tidak boleh bermuafakat dengan pihak lain mengenai urusan tersebut serta baginda tidak boleh membenarkan mereka mencampuri urusan tersebut atau berunding dengan baginda di luar pengetahuan Yang Dipertuan Muda Riau
Raja Abdul Rahman diangkat menjadi Sultan Riau-Lingga lalu berakhirnya era Wangsa Bendahara dan bermulanya era Wangsa Yang Dipertuan Muda

Wangsa Yang Dipertuan Muda (1883–1911)

[sunting | sunting sumber]
No. Potret Nama Tempoh pemerintahan Tarikh keputeraan dan kemangkatan Pusat pemerintahan Nota
5 Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah
سلطان عبد الرحمن معظم شاه
(Raja Abdul Rahman)
13 Oktober 1883 – 10 Februari 1911
(27 tahun, 3 bulan dan 28 hari)
1851 – 28 Disember 1930
(sekitar umur 79 tahun)
  • Anakanda Yang Dipertuan Muda Riau ke-10, Raja Muhammad Yusuf dan Tengku Embung Fatimah binti Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah
  • Tidak mahu menurut kemahuan Belanda yang meminta baginda untuk menandatangani perjanjian yang akan mengurangkan kuasa baginda dan meningkatkan penguasaan Belanda dalam Kesultanan Riau-Lingga
  • Kesultanan Riau-Lingga dibubarkan oleh Belanda pada 10 Februari 1911 semasa baginda berada di Daik, Lingga untuk melakukan Mandi Safar lalu menyebabkan baginda terpaksa berpindah ke Singapura
  • Hidup dalam buangan di Singapura dan mangkat di sana pada tahun 1930 serta dimakamkan di Keramat Bukit Kasita, Kampung Bahru Road, Singapura.[1]
Kesultanan Riau-Lingga dibubarkan oleh Belanda pada tahun 1911

Garis masa

[sunting | sunting sumber]
Yang Dipertuan Muda RiauWangsa BendaharaSultan Abdul Rahman II Muazzam ShahSultan Sulaiman II Badrul Alam ShahSultan Mahmud IV Muzaffar ShahSultan Muhammad II Muazzam ShahSultan Abdul Rahman Muazzam Shah

Lihat pula

[sunting | sunting sumber]