Pergi ke kandungan

Perjanjian Inggeris-Belanda 1824

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Perjanjian Inggeris-Belanda 1824
JenisPerjanjian Dua Hala
Ditandatangani17 Mac 1824; 202 tahun yang lalu (1824-03-17) di London
Penandatangan
Pihak
Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 di Wikisumber
sunting
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, atau lebih dikenali sebagai Perjanjian London (Belanda: Verdrag van Londen), ialah satu perjanjian antara United Kingdom dan Belanda yang ditandatangani di London pada 17 Mac 1824. Perjanjian ini bertujuan untuk menyelesaikan pertikaian yang timbul daripada pelaksanaan Perjanjian Inggeris-Belanda 1814. Bagi pihak Belanda, perjanjian ini ditandatangani oleh Hendrik Fagel dan Anton Reinhard Falck, manakala bagi pihak British pula, perjanjian ini ditandatangani oleh George Canning dan Charles Williams-Wynn.[1]

Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 dirangka untuk menyelesaikan isu-isu yang timbul akibat daripada pendudukan British ke atas wilayah jajahan Belanda semasa Perang Napoleon, serta hak perdagangan yang telah wujud selama ratusan tahun di Kepulauan Rempah antara kedua-dua negara. Perjanjian ini merangkumi pelbagai isu, namun tidak menjelaskan secara jelas had peluasan kuasa oleh mana-mana pihak di Asia Tenggara Maritim.

Kesultanan Johor Lama sebelum dan selepas Perjanjian Inggeris-Belanda 1824[2]

Di bawah pengaruh British:

Di bawah pengaruh Belanda:
  Kesultanan Riau-Lingga (penerus Kesultanan Johor Lama)

Tindakan Sir Thomas Stamford Raffles yang membina loji (pejabat syarikat perniagaan yang dibuat berkubu) Syarikat Hindia Timur Inggeris di Singapura pada tahun 1819 telah menimbulkan kemarahan Belanda lalu menyebabkan hubungan antara British dengan Belanda bertambah buruk. Belanda mendakwa bahawa Perjanjian 6 Februari 1819 antara Raffles dengan Sultan Hussein Muhammad Shah adalah tidak sah dan Kesultanan Johor Lama berada di bawah pengaruh Belanda. Hak perdagangan Belanda di India British dan bekas tanah jajahan Belanda di wilayah tersebut juga menjadi punca pertikaian antara mereka. Pada tahun 1820, atas desakan para pedagang British yang mempunyai kepentingan di Timur Jauh, rundingan untuk menjelaskan keadaan di Asia Tenggara dimulakan.

Rundingan antara British, yang diwakili oleh Setiausaha Luar Negeri Britain, Robert Stewart, dengan Belanda, yang diwakili oleh Penasihat Negara Belanda dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Raja Belanda kepada Raja Britain, Hendrik Fagel, bermula pada 20 Julai 1820. Belanda bertegas bahawa British perlu meninggalkan Singapura tetapi Stewart sendiri tidak pasti bagaimana British memperoleh Singapura. Pada mulanya, mereka bersetuju dengan isu-isu yang tidak kontroversi seperti hak pelayaran bebas dan penghapusan lanun. Rundingan mengenai perkara utama digantung pada 5 Ogos 1820 dan tidak disambung semula sehingga tahun 1823 apabila British menyedari dan memahami nilai komersial Singapura.

Rundingan mereka disambung pada bulan Disember 1823 dan isu yang dirunding ialah penetapan sempadan pengaruh mereka yang jelas di Alam Melayu. Apabila Belanda menyedari bahawa Singapura semakin berkembang pesat sebagai pusat perdagangan dan pelabuhan dan Belanda tidak dapat menghalang kemajuan Singapura tersebut, Belanda mendesak satu pertukaran di mana mereka akan melepaskan tuntutan mereka ke atas utara Selat Melaka dan tanah jajahan mereka di India sebagai pertukaran untuk pengesahan tuntutan mereka ke atas selatan Selat Melaka termasuk Bengkulu yang merupakan tanah jajahan British. Akhirnya, Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 ditandatangani pada 17 Mac 1824 oleh wakil British iaitu Setiausaha Luar Negeri Britain, George Canning, dan Presiden Lembaga Pesuruhjaya Hal-Ehwal India, Charles Williams-Wynn, dan wakil Belanda iaitu Penasihat Negara Belanda dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Raja Belanda kepada Raja Britain, Hendrik Fagel, dan Menteri Arahan Awam, Industri Negara dan Tanah Jajahan Belanda, Anton Reinhard Falck. Perjanjian tersebut disahkan oleh British pada 30 April 1824 dan oleh Belanda pada 2 Jun 1824. Pertukaran dokumen pengesahan tersebut dilakukan di London pada 8 Jun 1824.

Syarat-syarat perjanjian

[sunting | sunting sumber]
  • Rakyat kedua-dua negara dibenarkan untuk berdagang di wilayah India British, Sailan British, serta kawasan yang kini dikenali sebagai Indonesia, Singapura dan Malaysia, berdasarkan prinsip “negara paling diutamakan” (most favoured nation), namun tertakluk kepada peraturan tempatan.
  • Bayaran atau caj yang dikenakan ke atas rakyat dan kapal milik negara lain dihadkan.
  • Perjanjian baharu dengan negara-negara Timur yang mengecualikan perdagangan dengan negara lain tidak akan dibuat.
  • Pasukan awam dan tentera tidak boleh digunakan untuk menghalang perdagangan.
  • Kegiatan lanun hendaklah ditentang, tempat persembunyian atau perlindungan tidak akan diberikan kepada lanun, dan penjualan barangan rompak tidak dibenarkan.
  • Para pegawai tidak dibenarkan untuk membuka pejabat baharu di pulau-pulau Hindia Timur tanpa kebenaran daripada kerajaan mereka di Eropah.
  • Rakyat British akan diberikan hak perdagangan dengan Kepulauan Maluku, terutamanya Ambon, Banda dan Ternate.
  • Belanda menyerahkan semua petempatan di benua kecil India (India Belanda sejak 1609) serta segala hak yang berkaitan dengannya.
  • United Kingdom menyerahkan pejabatnya di Fort Marlborough di Bencoolen (Bengkulu) serta semua pemilikan British di Pulau Sumatera kepada Belanda, dan bersetuju untuk tidak menubuhkan pejabat baharu atau membuat apa-apa perjanjian dengan pemerintah di pulau tersebut.
  • Belanda menyerahkan bandar dan kubu Melaka serta bersetuju untuk tidak membuka pejabat baharu di Semenanjung Tanah Melayu atau membuat apa-apa perjanjian dengan pemerintah di wilayah tersebut.
  • British menarik balik bantahannya terhadap pendudukan Belanda di Pulau Belitung.
  • Belanda menarik balik bantahannya terhadap pendudukan British di Pulau Singapura.[3]
  • British bersetuju untuk tidak menubuhkan pejabat di Kepulauan Karimun atau di Pulau Batam, Bintan, Lingga, atau pulau-pulau lain di selatan Selat Singapura, serta tidak membuat apa-apa perjanjian dengan pemerintah di pulau-pulau tersebut.
  • Semua pemindahan harta dan petempatan hendaklah dilaksanakan pada 1 Mac 1825, termasuk pemulangan Jawa kepada Belanda seperti yang telah diselesaikan menurut Konvensyen Jawa bertarikh 24 Jun 1817, selain daripada bayaran sebanyak 100,000 paun sterling yang perlu dibayar oleh Belanda di London sebelum akhir tahun 1825.

Kesan-kesan perjanjian

[sunting | sunting sumber]

Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 secara rasmi membahagikan dua wilayah pengaruh:

Negara pengganti Tanah Melayu ialah Malaysia dan Singapura, manakala negara pengganti Hindia Timur Belanda ialah Indonesia. Garisan yang memisahkan lingkungan pengaruh British dan Belanda akhirnya menjadi sempadan antara Indonesia dan Malaysia (dengan sebahagian kecil menjadi sempadan antara Indonesia dan Singapura).[4] Pengaruh penjajahan seterusnya turut memberi kesan kepada bahasa Melayu yang sebelum ini digunakan secara meluas sebagai bahasa serantau antara kepulauan tersebut, sehingga berkembang menjadi variasi Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia.

Perjanjian 29 Oktober 1830

[sunting | sunting sumber]

Selain itu, Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 memberi kesan yang besar kepada Kesultanan Johor Lama yang merangkumi Johor, Pahang, Riau dan Lingga pada ketika itu. Pengaruh Belanda dan British mula wujud apabila Belanda secara rasmi menduduki Riau melalui Perjanjian 26 November 1818 manakala British secara rasmi menduduki Singapura melalui Perjanjian 6 Februari 1819. Kesan langsung daripada pemeteraian Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 ialah Perjanjian 29 Oktober 1830 yang secara rasmi memisahkan Johor dan Pahang daripada Kesultanan Johor Lama. Dalam perjanjian tersebut, Belanda dan Kesultanan Johor Lama yang diwakili oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar bersetuju bahawa Johor dan Pahang tidak lagi berada di bawah kekuasaan Kesultanan Johor Lama yang berpusat di Lingga lalu menandakan berakhirnya Kesultanan Johor Lama.

Dengan berakhirnya Kesultanan Johor Lama, Riau dan Lingga kekal di bawah kekuasaan Kesultanan Riau-Lingga yang merupakan kesinambungan langsung Kesultanan Johor Lama. Para pembesar Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, iaitu Bendahara Johor selaku Raja Bendahara Pahang dan Temenggung Johor selaku pentadbir utama Johor, tidak lagi dinaungi oleh Sultan Johor. Secara tidak langsung, Sultan Johor pada ketika itu, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah menjadi Sultan Riau-Lingga pertama. Walaupun begitu, baginda masih kekal dipertuankan oleh Bendahara dan Temenggung lalu baginda dapat mengekalkan pertuanan baginda terhadap Johor dan Pahang.

Namun, Johor tidak lagi bertuankan Sultan Riau-Lingga apabila Perjanjian Setia 1855 secara rasmi mengiktiraf kedudukan baru Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai Pemerintah Johor manakala Pahang mengikuti jejak langkah Johor apabila Bendahara Tun Mutahir tidak bertuankan Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah selepas baginda mengakui pertuanan Belanda ke atas Kesultanan Riau-Lingga melalui Perjanjian 1 Disember 1857.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. H.R.C. Wright, "The Anglo-Dutch Dispute in the East, 1814–1824." Economic History Review 3.2 (1950): 229–239 online.
  2. Peter Turner; Hugh Finlay (1996). Malaysia, Singapore and Brunei. Lonely Planet Publications. ISBN 9780864423931.
  3. Perjanjian dan dokumen lama Malaysia, disunting oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia.
  4. James Robert Rush (2018). Southeast Asia: A Very Short Introduction. Oxford University Press. m/s. 58. ISBN 9780190248765.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]