Zanji

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pantai Swahili
Kawasan yang didiami orang Bantu

Zanji, Zanggi atau Janggi (Arab: زَنْج, adj. زنجي, Zanji; daripada Parsi: زنگ, rumi: Zang)[1][2] ialah nama bagi bahagian tertentu Afrika Tenggara (terutamanya Pantai Swahili) dan bagi penduduk Bantu, diberikan oleh ahli geografi Islam pada zaman pertengahan.[3] Perkataan ini juga asal usul nama tempat Zanzibar ("pantai Zanji") dan Laut Zanji.

Nama Latin Zingium merupakan nama kuno untuk kawasan pesisir di Kenya moden dan Tanzania di selatan Afrika Timur. Seni bina penempatan-penempatan ini kini menjadi subjek kajian untuk perancangan bandar.[4][5] Berabad-abad lamanya, penempatan pesisiran ini menjadi sumber gading, emas dan hamba, yang diperoleh dari pedalaman yang ditakluk, ke rantau Lautan Hindi.[6]

Etimologi[sunting | sunting sumber]

Zanji dalam bahasa Arab bermaksud "negara orang kulit hitam". Ia juga dialihhurufkan kepada Zenj, Zinj dan Zang.[7][8] Anthony Christie berpendapat bahawa perkataan zanj atau zang mungkin bukan berasal dari bahasa Arab: bentuk Cinanya (僧祇 sēngqí) telah direkodkan seawal tahun 607 Masihi. Christie berhujah perkataan itu berasal dari Asia Tenggara.[9]:33 Perkataan Jawa jenggi bermaksud orang Afrika, khususnya orang Zanzibar.[10]:740

Orang-orang Austronesia dari kepulauan Melayu diketahui sudah mencapai Madagaskar sekitar 50–500 TM.[11][12] Mengenai laluan mereka, kemungkinan mereka menyeberangi Lautan Hindi dari Jawa ke Madagaskar. Mungkin juga mereka melalui Maldives, di mana bukti reka bentuk kapal lama dan teknologi memancing rantau Asia Tenggara itu masih wujud sehingga kini.[13]:32

Pembahagian pantai Afrika Timur[sunting | sunting sumber]

Ahli geografi dahulu membahagikan pantai timur Afrika kepada beberapa kawasan mengikut penduduk. Sumber Arab dan Cina memanggil kawasan di selatan kawasan Misr (Mesir), al-Habasya (Abyssinia) dan Barbara (Somalia), sebagai Zanji.[8]

Zanji terletak di kawasan Afrika Tenggara dan didiami oleh orang-orang berbahasa Bantu yang dipanggil Zanji .[3][8][14] Kawasan utama di mana orang Zanji tinggal adalah dari dari kawasan selatan Ras Kamboni sekarang di Somalia[15] ke Pulau Pemba di Tanzania. Di selatan Pemba adalah Sofala di Mozambique moden, dengan orang Pangani di sempadan utaranya. Seberang Sofala ialah Waq-Waq, juga di Mozambique.[16][17] Ahli sejarah dan geografi Arab abad ke-10, Abu Hasan Ali al-Mas'udi menggambarkan Sofala sebagai batasan terjauh orang Zanji, dan menyebut gelaran rajanya ialah Mfalme, perkataan Bantu.[3]

Wilayah Zanji[sunting | sunting sumber]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pasar hamba Zanzibar pada tahun 1860, oleh Edwin Stocqueler

Orang Zanji dahulu berdagang dengan Parsi, Arab dan India, tetapi menurut beberapa sumber hanya dalam negeri kerana mereka tiada kapal laut.[3]

Penempatan di Zanzibar menunjukkan mereka sebahagian daripada budaya kosmopolitan Lembangan Lautan Hindi dari segi ekonomi dengan hubungan perdagangan sejauh ke Arab, Parsi, dan sejauh timur ke India dan China.[4][18]

Hamba abdi Zanji berkemungkinan datang dari kawasan di antara mana orang bercakap bahasa Kushitik Timur dan bahasa Bantu. Di kawasan ini, penggembala Somalia sering berperang untuk berkembang ke selatan dan menundukkan koloni-koloni petani Bantu.[19]

Kerana identiti Arab dan Parsi diturunkan mengikut keturunan sebelah bapa, orang Swahili yang elit sering mendakwa mempunyai nenek moyang pembesar dari Parsi, yang disokong oleh kajian DNA.[20] Selain itu, semasa abad ke-19, banyak unsur budaya dari Oman telah dibawa ke dalam masyarakat Zanzibar dan Swahili, yang membawa kepada campuran pengaruh Parsi dan Arab. Swahili baku adalah berasaskan dialek Zanzibar dan mempunyai lebih banyak kata pinjaman Arab daripada dialek-dialek Swahili yang lebih tua.[20]

Penempatan terkenal di pantai Zanji termasuk Kilwa, Kunduchi, Mbuamaji, Tongoni, Kimbiji, Kaole, Malindi, Gedi, dan Mombasa. Pada akhir zaman pertengahan, kawasan itu ada sekurang-kurangnya 37 bandar perdagangan Swahili yang besar, dan kebanyakannya agak kaya.

Golongan pemerintah dan pedagang semua penempatan Swahili ini terdiri daripada pendatang lelaki Arab, Parsi dan India. Walau bagaimanapun, budaya Islam amat menyukai salasilah keluarga dari Parsi atau Arab; maknanya dakwaan mempunyai darat orang Timur Tengah mungkin tidak boleh dipercayai untuk penyelidikan genealogi moden.[20][21][22]

Pedagang hamba yang paling kaya dan berkuasa dalam catatan sejarah ialah Tippu Tip, lelaki yang dilahirkan di Zanzibar berkacukan Bantu dan Oman.

Tippu Tip, 1889
Bandar Batu di Zanzibar

Orang Zanji telah berabad-abad didagangkan sebagai hamba oleh penjual hamba dan gading ke semua negara yang bersempadan dengan Lautan Hindi.[6] Khalifah Umaiyah dan Abbasiyah merekrut ramai hamba Zanji sebagai tentera dan, seawal tahun 696 Masihi, kita mengetahui tentang pemberontakan hamba Zanji di Iraq (lihat di bawah). Teks-teks Cina kuno juga menyebut duta-duta dari Jawa menghadiahkan kepada maharaja Cina dua hamba Seng Chi (Zanji) sebagai hadiah, dan hamba-hamba Seng Chi yang sampai ke China dari kerajaan Hindu Sriwijaya di Jawa.[6]

Laut di pesisir tenggara Afrika dikenali sebagai Laut Zanji, merangkumi kepulauan Mascaren dan Madagaskar. Semasa perjuangan anti-Apartheid, Afrika Selatan dicadangkan menggunakan nama Azania, untuk mencerminkan negeri Zanji purba.

Setakat 2023, orang Lemba masih memanggil puak-puak jiran mereka sebagai "Zenj."

Analisis DNA purba[sunting | sunting sumber]

Kajian oleh Brielle et al. pada tahun 2023 selesai menganalisis DNA purba daripada beberapa sampel dari runtuhan Zanzibar. Analisis DNA purba (aDNA) dilengkapkan untuk 80 individu dari 6 bandar pesisir zaman pertengahan dan awal moden (1250–1800 TM) dan sebuah bandar pedalaman selepas 1650 TM untuk menentukan berapa banyak DNA mempunyai urutan Afrika, Parsi dan India. Lebih daripada separuh individu dari bandar pesisiran mempunyai DNA daripada nenek moyang wanita terutamanya dari Afrika, dengan sebahagian besar—kadangkala lebih separuh—DNA itu berasal daripada nenek moyang Asia. Keturunan Asia mereka menunjukkan komponen-komponen yang dikaitkan dengan Parsi dan India, dengan 80–90% DNA Asia berasal daripada lelaki Parsi. Orang-orang yang berasal dari Afrika dan Asia (kebanyakannya Parsi) mula bercampur sekitar tahun 1000 Masihi.[23] Sampel diambil daripada dua kotak mayat manusia yang terletak di Institut British di Afrika Timur (BIEA) di Nairobi, yang asalnya digali pada 1950-an dan 1960-an oleh Chittick.[24]

Selepas 1500 TM, sumber-sumber DNA lelaki Asia menjadi semakin Arab, selaras dengan interaksi yang lebih banyak dengan Arab selatan. Dari zaman pertengahan hingga ke zaman moden, interaksi dengan pelbagai orang Asia dan Afrika telah mengubah keturunan orang-orang masa kini yang tinggal di pantai Swahili berbanding individu-individu zaman pertengahan yang DNA-nya dijujukan.

Analisis dari sekitar 1300-1600 TM (teknik pentarikhan radiokarbon yang lebih tepat tidak dapat disiapkan tepat pada masanya untuk sampel-sampel ini) telah diselesaikan untuk DNA mitokondrion (mtDNA), DNA autosom, DNA kromosom Y dan DNA kromosom X. Analisis mtDNA, yang menunjukkan corak keturunan belah ibu, menunjukkan haplotip L*. Haplotip L* kebanyakannya ditemui dalam populasi Afrika Sub-Sahara masa kini. Analisis kromosom Y, menunjukkan corak keturunan bapa, menunjukkan bahawa individu membawa haplotip J2, corak DNA yang ditemui dalam individu-individu Asia Barat Daya atau Parsi. Kromosom X, yang lebih dipengaruhi belah ibu, telah dibandingkan dengan 22 kromosom autosom, yang mempunyai tahap pengaruh yang sama daripada belah ibu dan bapa. Kromosom X mengandungi lebih banyak indikator keturunan Afrika berbanding DNA autosom, mengukuhkan lagi bukti keturunan Afrika di sebelah ibu dan keturunan Parsi atau Asia Tenggara di sebelah bapa.[23]

Gambaran kontemporari[sunting | sunting sumber]

Daripada tapak purba di Kwale, semasa Zaman Besi penutur Bantu diketahui telah tersebar ke kawasan selatan Habsyah dan Somalia dan mereka ini dipanggil Zanji serta dieksport sebagai hamba ke seluruh Lautan Hindi. Sumber Cina dari abad ke-9 menyebut tentang dua kumpulan, "Penggembala Somali (Barbar) Po-Pa-Li" dan "orang kulit hitam ganas Ma-Lin," mungkin Malindi di Kenya.[6][25] Gambaran tentang orang Zanji terdapat dalam petikan berikut dari Kitab al-Bad'u wal-Tarikh,[26] oleh penulis Arab zaman pertengahan, al-Muqaddasī:

Adapun Zanji, mereka orang yang berkulit hitam, berhidung pesek, berambut keriting, dan kurang pemahaman atau kecerdasan.

Pada tahun 1331, ulama dan penjelajah Barbar bertutur Arab, Ibnu Battutah melawat Kesultanan Kilwa di Zanji.[27] Ibnu Battutah mencatatkan lawatannya ke kota itu sekitar tahun 1331, dan mengulas dengan baik tentang kemurahan hati, kerendahan hati, dan keberagamaan pemerintahnya, Sultan al-Hasan bin Sulaiman. Ibnu Battutah juga menceritakan tentang sultan itu pergi ke pedalaman dan menyerbu orang-orang yang mengambil hamba dan harta-harta lain. Beliau juga amat kagum dengan perancangan bandar itu dan percaya bahawa ialah punca kejayaan Kilwa di pesisir itu.[28] Dari zaman ini, Istana Husuni Kubwa dibina dan Masjid Besar Kilwa, yang diperbuat daripada batu karang serta masjid terbesar seumpamanya, dibesarkan lagi. Kilwa merupakan bandar yang penting dan kaya untuk perdagangan emas dan gading. Kerana perdagangan, sesetengah orang yang tinggal di Kilwa mempunyai taraf hidup yang lebih tinggi, tetapi ramai juga orang miskin. Orang kaya mempunyai paip di dalam rumah batu mereka dan orang miskin tinggal di pondok lumpur dengan beratap jerami.[29] Ibnu Battutah menggambarkan orang Zanji hamba sebagai "berwarna hitam legam, dan dengan parut di muka mereka."[27]

Kilwa merupakan salah sebuah kota yang paling cantik. Semua bangunannya diperbuat daripada kayu sementara atap rumah pula diperbuat daripada sejenis buluh, dan hujan turun dengan lebat di sini. Orangnya terlibat dalam perang suci, kerana negeri mereka terletak di sebelah orang Zanji yang menyembah berhala. Sifat-sifat utama mereka ialah ketakwaan dan kesalihan: mereka mengikut mazhab Syafii. Ketika saya tiba, sultannya Abu al-Muzaffar Hasan yang bergelar Abu al-Mawahib ["Pemberi Anugerah"] ... kerana banyak derma kurnia baginda. Baginda kerap membuat serbuan ke negara Zanji [tanah jiran], menyerang mereka dan membawa rampasan, yang baginda simpan seperlima, menggunakannya mengikut cara yang ditetapkan oleh al-Quran.[30]

Pemberontakan Zanji[sunting | sunting sumber]

Pemberontakan Zanji ialah beberapa pemberontakan yang berlaku antara tahun 869 dan 883 berhampiran bandar Basrah di Iraq sekarang. Ramai orang Zanji telah diambil sebagai askar hamba, tetapi ramai yang merdeka dan memilih untuk tinggal di Iraq sebagai orang merdeka dan menjadikan Iraq rumah mereka di kalangan orang Arab Paya, yakni orang asli selatan Iraq.[31]

M. A. Shaban menjelaskan bahawa Pemberontakan Zanji bukanlah pemberontakan hamba tetapi pemberontakan Arab yang disokong oleh pendatang Afrika Timur di Iraq:

Ia bukan pemberontakan hamba. Ia pemerontakan "zanji", orang Negro. Menyamakan Negro dengan hamba adalah cerminan teori tentang kaum-kaum dari abad ke-19; itu hanya boleh digunakan untuk Amerika Selatan sebelum Perang Saudara... Malah sebenarnya, sesetengah orang yang bekerja di paya garam adalah antara yang pertama menentang pemberontakan itu. Memang betul ada beberapa hamba yang melarikan diri yang menyertai pemberontak, tetapi ini masih tidak menjadikannya pemberontakan hamba. Kebanyakan pemberontak adalah orang Arab Teluk Parsi yang disokong oleh orang Afrika Timur yang merdeka yang telah menetap di wilayah itu.[32]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ El-Azhari, Taef (2016). Zengi and the Muslim Response to the Crusades: The Politics of Jihad. Routledge. m/s. 20. ISBN 978-1317589396. Dicapai pada 3 Januari 2017.
  2. ^ Ḵẖān, M. S. (1981). "Al-Masʿūdī and the Geography of India". Zeitschrift der Deutschen Morgenländischen Gesellschaft. 131 (1): 119–136 [m/s 130]. JSTOR 43376756.
  3. ^ a b c d Bagley, F. R. C.; et al. (1997). The Last Great Muslim Empires. Brill. m/s 174. ISBN 1-55876-112-8.
  4. ^ a b Pollard, E.; Fleisher, J.; Wynne-Jones, S. (2012). "Beyond the Stone Town: Maritime Architecture at Fourteenth–Fifteenth Century Songo Mnara, Tanzania". Journal of Maritime Archaeology. 7 (1): 43–62. Bibcode:2012JMarA...7...43P. doi:10.1007/s11457-012-9094-9.
  5. ^ Pollard, E.; Fleisher, J.; Wynne-Jones, S. (2012). "Beyond the Stone Town: Maritime Architecture at Fourteenth–Fifteenth Century Songo Mnara, Tanzania". Journal of Maritime Archaeology. 7 (1): 43–62. Bibcode:2012JMarA...7...43P. doi:10.1007/s11457-012-9094-9. S2CID 162935843.
  6. ^ a b c d Oliver, Roland (1975). Africa in the Iron Age: c.500 BC–1400 AD. Cambridge University Press. m/s 192. ISBN 0-521-20598-0.
  7. ^ Bagley, F. R. C.; et al. (1997). The Last Great Muslim Empires. Brill. m/s 174. ISBN 1-55876-112-8.
  8. ^ a b c Raunig, Walter (2005). Afrikas Horn: Akten der Ersten Internationalen Littmann-Konferenz 2. bis 5. Mai 2002 in München. Otto Harrassowitz Verlag. m/s 130. ISBN 3-447-05175-2. "geografi Arab kuno mempunyai cara tertentu menyenaraikan negara-negara dari Laut Merah ke Lautan Hindi: Iaitu al-Misr (Mesir)—al-Muqurra (atau nama-nama lain untuk kerajaan-kerajaan Nubia)—Zanj (Azania, atau negara orang kulit hitam). Sejajar dengan itu, hampir semua perkataan ini (malah saya percaya, kesemuanya!) turut muncul dalam geografi Cina purba dan zaman pertengahan".
  9. ^ Dick-Read, Robert (Julai 2006). "Indonesia and Africa: questioning the origins of some of Africa's most famous icons". The Journal for Transdisciplinary Research in Southern Africa. 2: 23–45. doi:10.4102/td.v2i1.307.
  10. ^ Zoetmulder, P. J. (1982). Old Javanese-English dictionary. The Hague: Martinus Nijhoff. ISBN 9024761786.
  11. ^ Dewar, Robert E.; Wright, Henry T. (1993). "The culture history of Madagascar". Journal of World Prehistory. 7 (4): 417–466. doi:10.1007/BF00997802. |hdl-access= requires |hdl= (bantuan)
  12. ^ "A chronology for late prehistoric Madagascar". Journal of Human Evolution. 47 (1–2): 25–63. August 2004. doi:10.1016/j.jhevol.2004.05.005. PMID 15288523.
  13. ^ P. Y. Manguin. Pre-modern Southeast Asian Shipping in the Indian Ocean: The Maldive Connection. 'New Directions in Maritime History Conference' Fremantle. Disember 1993.
  14. ^ Ogot, Bethwell A. (1974). Zamani: A Survey of East African History. East African Publishing House. m/s. 104.
  15. ^ Insoll, Timothy (2003). The Archaeology of Islam in Sub-Saharan Africa. Cambridge University Press. m/s. 61. ISBN 0-521-65171-9.
  16. ^ Chittick, Neville (1968). "The Coast Before the Arrival of the Portuguese". Dalam Ogot, B. A.; Kieran, J. A. (penyunting). Zamani: A Survey of East African History. m/s. 100–118.
  17. ^ Goodwin, Stefan (2006). Africa's Legacies of Urbanization: Unfolding Saga of a Continent. Lexington Books. m/s. 301. ISBN 0-7391-0731-3.
  18. ^ Prashad, Vijay (2002). Everybody Was Kung Fu Fighting: Afro-Asian Connections and the Myth of Cultural Purity. Beacon Press. m/s. 8. ISBN 0-8070-5011-3.
  19. ^ Roland Anthony Oliver, Brian M. Fagan (1975). Africa in the Iron Age: C.500 BC-1400 AD. Cambridge University Press. m/s. 92. ISBN 9780521099004.
  20. ^ a b c Horton; Middleton (2000). The Swahili: The Social Landscape of a Mercantile Society. Oxford University Press. ISBN 0-631-18919-X.
  21. ^ Meier, Prita (2016). Swahili Port Cities: The Architecture of Elsewhere. Indiana University Press. ISBN 978-0-253-01909-7.
  22. ^ Pearson, Michael (2000). Port Cities and Intruders: The Swahili Coast, India, and Portugal in the Early Modern Era. Johns Hopkins University Press. ISBN 0-8018-5692-2.
  23. ^ a b Brielle, E. S. et al (Mac 2023). "Entwined African and Asian genetic roots of medieval peoples of the Swahili coast". Nature. 615 (7954): 866–873. Bibcode:2023Natur.615..866B. doi:10.1038/s41586-023-05754-w. ISSN 1476-4687. PMC 10060156. PMID 36991187.
  24. ^ Chittick, Neville (1974). Kilwa : an Islamic trading city on the East African coast. British Institute in Eastern Africa. OCLC 278134885.
  25. ^ Davis, David Brion (2006). Challenging the Boundaries of Slavery. Harvard University Press. m/s. 12. ISBN 0-674-01985-7.
  26. ^ daripada Jil. 4
  27. ^ a b Pouwels, Randall Lee (2005). African and Middle Eastern world, 600–1500. Oxford University Press. m/s 156. ISBN 9780195176735.
  28. ^ Dunn, Ross E. (2005). The adventures of Ibn Battuta, a Muslim traveler of the fourteenth century (Edisi semakan dengan edusu pramuka baharu). Berkeley: University of California Press. ISBN 0520243854.
  29. ^ Pengembaraan Ibnu Battutah
  30. ^ Adler, Philip J.; Pouwels, Randall L. (2007). World Civilizations: To 1700. Cengage Learning. m/s. 176. ISBN 9780495502616.
  31. ^ Islam, From Arab To Islamic Empire: The Early Abbasid Era.
  32. ^ Shaban, M. A. (30 November 1978). Islamic History: Volume 2, AD 750-1055 (AH 132-448): A New Interpretation. Cambridge University Press. ISBN 9780521294539 – melalui Google Books.

Ralat petik: Tag <ref> yang ditentukan dalam <references> dengan nama ":0" tiada kandungan.
Ralat petik: Tag <ref> yang ditentukan dalam <references> dengan nama "Entwined African" tiada kandungan.
Ralat petik: Tag <ref> yang ditentukan dalam <references> dengan nama "Pouwels" tiada kandungan.
Ralat petik: Tag <ref> yang ditentukan dalam <references> dengan nama "Bagley" tiada kandungan.
Ralat petik: Tag <ref> yang ditentukan dalam <references> dengan nama "Bagley2" tiada kandungan.
Ralat petik: Tag <ref> yang ditentukan dalam <references> dengan nama "Dunn" tiada kandungan.
Ralat petik: Tag <ref> yang ditentukan dalam <references> dengan nama "Horton and Middleton" tiada kandungan.
Ralat petik: Tag <ref> yang ditentukan dalam <references> dengan nama "Nezar AlSayyad" tiada kandungan.
Ralat petik: Tag <ref> yang ditentukan dalam <references> dengan nama "Oliver" tiada kandungan.
Ralat petik: Tag <ref> yang ditentukan dalam <references> dengan nama "Raunig" tiada kandungan.
Ralat petik: Tag <ref> yang ditentukan dalam <references> dengan nama "Raunig2" tiada kandungan.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]