Alih suara

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Dalam bidang perfileman, alih suara (dubbing atau looping) ialah proses merakam atau menggantikan suara bagi sesuatu hasil gambar wayang. Istilah ini paling kerap digunakan untuk merujuk kepada suara-suara yang dirakam yang bukan milik pelakon asal dan bertutur dalam bahasa yang berlainan dengan pelakon asal itu. "Alih suara" juga boleh merujuk kepada proses merakam semula patah-patah dialog oleh pelakon asal yang menyebutnya. Proses ini secara teknikal dikenali sebagai penggantian dialog berautomasi (automated dialogue replacement, ADR).

Secara amnya, alih suara dilakukan terhadap filem atau rancangan televisyen yang diimport dari negara luar, dan sering dikaitkan dengan anime dari Jepun. Bahan-bahan bahasa asing sering dialih suara ke bahasa tempatan yang ditutur pasaran sasaran bagi meningkatkan kelarisan dengan penonton tempatan dengan memudahkan kefahaman bahan tersebut.

Penggantian dialog berautomasi[sunting | sunting sumber]

Penggantian dialog berautomasi (automated dialogue replacement, ADR), juga dipanggil pasca-penyegerakkan (post-sync) atau looping ialah proses merakam semula dialog asal selepas penggambaran dengan tujuan menghasilkan runut bunyi yang lebih jelas.[1]

Dalam kerja penerbitan filem biasa, seorang pengadun bunyi penerbitan merakam dialog ketika penggambaran. Melainkan penggambaran diadakan di pentas bunyi, rakaman bunyi amat mudah terjejas oleh kebisingan dari set, lalu lintas, angin, dan seluruh suasana persekitaran, maka terjadinya hasil rakaman bunyi yang tidak boleh dipakai. Oleh itu, ketika proses pascapenerbitan, seorang penyelia suntingan bunyi atau penyelia ADR menyemak segala dialog dalam filem lalu memutuskan rangkap-rangkap dialog mana yang perlu diganti.

ADR juga digunakan untuk menukarkan rangkap-rangkap yang dirakam terdahulu untuk memperjelaskan konteks, atau menambah baik gaya sebutan dan ketepatan masa perbualan pelakon.

Bagi karya animasi seperti imejan janaan komputer (CGI) atau kartun animasi, dialognya dirakam ke dalam rancangan sebelum disunting. Biarpun semua suara watak-watak dirakam dalam studio, namun ADR diperlukan seandainya bukan semua pengalih suaranya boleh hadir sekaligus pada satu masa.

ADR dirakam dalam sesi ADR yang berlangsung dalam studio bunyi khusus. Pelakon, iaitu biasanya pelakon asal dari set penggambaran, ditunjukkan babak yang perlu dirakam semula bunyinya, lalu cuba melakonkan semula dialognya setepat-tepatnya. Pelakon itu harus mengulangi rangkap-rangkap terbabit berkali-kali sambil memerhati babaknya (maka namanya proses looping), sehingga ambilan mana yang paling sesuai akan diadunkan dalam hasil akhir babak itu.

Kadang-kala, diambilnya pelakon yang berlainan dari pelakon asal dari set. Contohnya, watak siri filem Star Wars Darth Vader yang dilakonkan oleh David Prowse (trilogi asal), diikuti Hayden Christensen (Revenge of the Sith), tetapi disuarakan oleh James Earl Jones dalam proses pascapenerbitan.

ADR juga digunakan untuk melakabkan semula nyanyian. Teknik ini digunakan oleh, antara lainnya, Billy Boyd dan Viggo Mortensen dalam filem Lord of the Rings.[petikan diperlukan]

ADR juga mengalami perubahan dalam prosesnya. Tidak semstinya ADR dilakukan dalam studio pascapenerbitan, bahkan juga boleh dirakam di lokasi penggambaran dengan kelengkapan mobil. ADR juga boleh dirakam tanpa perlunya pelakon menonton babak yang perlu dirakam semula, sebaliknya hanya mendengar dialognya.

Pembubuhan atau penggantian bunyi bukan suara seperti kesan bunyi, ditugaskan kepada artis folei.

Alih suara di Malaysia[sunting | sunting sumber]

Alih suara tidak terkenal sangat di Malaysia kerana penonton lebih memilih versi asalnya, terutamanya jika diimport dari negara berbahasa Inggeris. Walau bagaimana, banyak bahan yang mempunyai audio bahasa lain daripada bahasa Inggeris dialih suara seperti kartun dari Jepun atau telenova dari Amerika Selatan.

Kini, sari kata lebih diminati oleh para penonton termasuk dalam telenova Amerika Selatan dan rancangan berbahasa Inggeris. Beberapa drama Korea atau Jepun juga mempunyai alihan suara dalam bahasa Mandarin dan sari kata bahasa Malaysia di saluran televisyen terestrial. Rancangan-rancangan yang mempunyai audio Kantonis, Mandarin, Tamil dan Hindi pula tidak dialih suara dan sebaliknya disari kata, kadang kala dalam beberapa bahasa. Kartun-kartun yang diimport dari Jepun lebih ditonton dengan audio alihan suara bahasa Malaysia. Pada awalnya, kartun bahasa Inggeris tidak dialih suara langsung, malah tidak ada sari kata. Walau bagaimana, pengalihan suara lebih kerap berlaku di televisyen seperti saluran Disney Channel, Cartoon Network dan Nickelodeon. Alih suara rancangan bukan kartun berbahasa Inggeris ke dalam bahasa Malaysia juga berlaku di saluran televisyen seperti FOX, FOX Movies Premium, HBO, AXN, Discovery Channel, dan Nat Geo Wild sebagai alternatif bagi mereka yang tidak boleh membaca sari kata (kecuali FOX dan Nat Geo Wild, alih suara digunakan sepenuhnya tanpa pilihan sari kata).

Rancangan berita di Malaysia pula disiarkan dalam beberapa bahasa seperti Bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin, Tamil, Iban, Kadazandusun, Thai dan Min Nan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]