Kargo

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Kargo sedang dipunggah dari kapal dengan menggunakan jaring kargo at Haikou New Port, Haikou City, Hainan, China

Kargo merupakan barang-barangan atau hasil keluaran yang diangkut terutama sekali untuk keuntungan perdagangan melalui kapal, pesawat, keretapi, van mahupun lori. Pada zaman moden, kontena paling sering digunakan untuk pengangkutan kargo.

Jenis pengangkutan[sunting | sunting sumber]

Laut[sunting | sunting sumber]

Pelabuhan mengendalikan pelbagai barang muatan kapal.

  • Kereta dikendalikan di kebanyakan pelabuhan dan biasanya diangkut dengan kapal ro-ro yang khusus.
  • Kargo pukal cerai biasanya adalah bahan-bahan yang ditimbunkan di atas palet lalu diangkat ke dalam dan ke luar palka kapal oleh kren ke atas dok atau ke atas kapal itu sendiri. Jumlah karga pukal cerai semakin berkurangan di seluruh dunia ekoran perkembangan pengkontenaan. Antara cara untuk menambat angkutan pukal cerai dalam kontena intermodal adalah menggunakan beg kembung.
  • Kargo pukal seperti garam, minyak, lemak binatang, dan besi reja, biasanya ditakrifkan sebagai komoditi yang tidak terletak di atas palet mahupun di dalam kontena. Kargo pukal tidak dikendalikan secara satu demi satu seperti mana kargo angkat berat dan projek. Contoh-contoh lain: aluminum, biji-bijian, gipsum, kayu balak, dan serpihan kayu.
  • Kargo neopukal mencakupi barangan yang dibilang satu demi satu sambil dimuat punggah, dibandingkan dengan kargo pukal yang tidak dibilang, tetapi tidak dikontenakan.[1]
  • Kontena adalah golongan kargo yang paling laris dan pesat membangun di serata dunia. Kargo berkontena mencakupi segalanya baik kelengkapan kereta, jentera dan alat kilang mahupun kasut, mainan, daging dan makanan laut beku.
  • Kargo projek dan kargo angkat berat merangkumi barang-barang seperti kelengkapan perkilangan, penyaman udara, komponen kilang, penjana, turbin angin, kelengkapan tentera dan hampir segala barangan yang terlebih besar atau berat untuk dimuatkan ke dalam kontena.

Udara[sunting | sunting sumber]

Cargolux Boeing 747-400F yang terbuka pintu muatannya

Pesawat mula-mula digunakan untuk mengangkut surat sebagai barang angkutan pada tahun 1911. Lama-kelamaan, para pengilang mula mereka cipta pesawat untuk pelbagai jenis angkutan.

Terdapat banyak pesawat komersil yang sesuai untuk mengangkut kargo seperti Boeing 747 dan An‑124 yang direka khas untuk mudah diubah suai kepada pesawat kargo. Pesawat yang begitu besar menggunakan kontena cepat muat yang dikenali sebagai peranti beban unit (unit load device, ULD), lebih kurang seumpama kapal kargo berkontena. ULD terletak di bahagian hadapan pesawat.

Kebanyakan negara memiliki dan menggunakan sejumlah besar pesawat kargo tentera seperti C‑17 Globemaster III untuk keperluan logistik.

Keretapi[sunting | sunting sumber]

Gerabak kontena kargo intermodal P&O Nedlloyd di Stesen Banbury (2001)

Kereta api mampu mengangkut sejumlah besar kontena yang didatangkan dari pelabuhan kapal, di samping juga digunakan untuk mengangkut keluli, kayu dan arang. Kereta api digunakan kerana mampu menampung jumlah angkutan yang besar serta sering menggunakan laluan terus ke destinasi. Dalam keadaan yang mengizinkan, pengangkutan kargo secara kereta api lebih menjimatkan belanja dan tenaga daripada jalan raya, terutamanya untuk angkutan pukal dan jarak panjang.

Kelemehan utama angkutan kereta api adalah tiadanya kefleksibelan. Oleh sebab itu, kereta api kurang berdaya saing dengan pengangkutan jalan raya, malah tertakluk kepada kos pemindahan kerana angkutannya perlu dipindahkan dari satu kaedah ke kaedah pengangkutan yang lain. Amalan seperti pengkontenaan bertujuan mengurangkan kos-kos tersebut.

Kebanyakan kerajaan sedang cuba menggalakkan pengusaha kargo untuk melebihkan penggunaan kereta api atas alasan mesra alam.[2]

Jalan raya[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Lori

Kebanyakan firma seperti Parcelforce, FedEx dan R+L Carriers mengangkut segala jenis kargo dengan kenderaan jalan raya. Baik surat mahupun rumah dan kontena kargo, syarikat-syarikat sedemikian menawarkan penghantaran yang secepat dalam masa sehari.

Contoh terutamanya sekali adalah makanan, kerana pasar raya memerlukan penghantaran hari-hari untuk memastikan rak-raknya sentiasa berisi barang-barangan. Segala jenis peruncit mengharapkan lori penghantaran, baik lori semitreler saiz penuh atau van penghantaran kecil-kecil.

Pengkategorian[sunting | sunting sumber]

Lazimnya, barang angkutan disusun-bahagikan kepada pelbagai golongan sebelum dihantar. Kategori sesebuah barangan ditentukan mengikut:

  • jenis hantaran. Cth. cerek sesuai digolongkan dalam 'barangan isi rumah'.
  • berapa besar hantaran dari segi saiz dan bilangan.
  • berapa lama penghantaran hantaran.

Barang hantaran lazimnya dikategorikan sebagai barangan isi rumah, ekspres, parsel, dan tambang:

  • Barangan isi rumah termasuklah perabot, karya seni dan barang-barangan seumpamanya.
  • Barang-barangan yang kecil sekali, baik untuk kegunaan perniagaan mahupun peribadi, misalnya sampul surat, dikira sebagai ekspres. Hantaran sebegini jarang-jarang sekali melebihi beberapa kilogram dan sentiasa disimpan di dalam bungkusan pihak pengangkutan sendiri. Penghantaran ekspres sering diangkut melalui udara. Sepucuk sampul surat boleh disampaikan dari benua ke benua dalam masa sehari atau beberapa hari mengikut pilihan pengangkutan oleh penghantar.
  • Barang-barangan yang lebih besar seperti kotak kecil dikira sebagai parsel. Hantaran ini jarang-jarang melebihi 50 kg (110 lb), malah tidak seunit pun melebihi 70 kg (154 lb) beratnya. Parsel sentiasa disimpan di dalam bungkusan, baik oleh pihak penghantar mahupun pengangkut. Tahap perkhidmatannya pun berbeza-beza tetapi kebanyakan penghantarannya bergerak sepanjang 800–1,100 kilometer (497–684 bt) sehari. Penghantaran parsel jarang sekali melalui udara berbanding jalan raya dan kereta api. Parsel mewakili majoriti penghantaran perniagaan ke pengguna (B2C).
  • Yang selain barangan isi rumah, ekspres dan parsel pula dipanggil penghantaran tambang.

Penstabilan[sunting | sunting sumber]

Terdapat pelbagai cara dan bahan yang disediakan untuk menstabilkan dan menambat kargo dalam pelbagai jenis pengangkutan. Kaedah-kaedah dan bahan-bahan penambatan muatan yang lazim seperti tali pengikat keluli dan pendakap kayu atau plastik masih laris digunakan sejak puluhan tahun dahulu. Kaedah-kaedah tambat muatan yang sedia ada menawarkan beberapa pilihan lain seperti tali pengikat poliester, webing sintetik dan beg kembung.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. CambridgeSystematics 1998, pp. 79.
  2. http://www.mjc2.com/e-freight-logistics.htm EU-sponsored promotion of rail and barge

Buku rujukan[sunting | sunting sumber]

  • * Cambridge Systematics (1998). Multimodal corridor and capacity analysis manual (399). Transportation Research Board. ISBN 978-0-309-06072-1. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]