Kepulauan Ryukyu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Kedudukan Kepulauan Ryukyu

Kepulauan Ryukyu (琉球諸島 Ryūkyū-shotō?), juga dikenali sebagai Kepulauan Nansei (南西諸島 Nansei-shotō?, Kepulauan Barat Daya),[1] ialah gugusan kepulauan di bahagian barat Lautan Pasifik, bahagian timur Laut China Timur hingga ke barat daya pulau Kyūshū di Jepun. Sejak tahun 1829 hingga pertengahan abad ke-20, kepulauan ini dikenali sebagai Luchu, Loochoo atau Lewchew sempena sebutan kepada bahasa Mandarin iaitu Liúqiú. Kepulauan Ryukyu terbentang ke arah barat daya dari pulau Kyūshū ke jarak 120 kilometer (75 bt) dari pulau Taiwan.

Dari segi pentadbiran, kepulauan ini dibahagi kepada Kepulauan Satsunan di utara yang tergolong dalam Wilayah Kagoshima dan Ryūkyū Shotō di selatan yang tergolong dalam Wilayah Okinawa, Jepun. Pulau Yoron ialah pulau paling selatan di kalangan Kepulauan Satsunan manakala Yonaguni adalah yang paling selatan dalam seluruh kepulauan Ryukyu. Pulau Ryukyu yang terbesar ialah Pulau Okinawa.

Kepulauan ini beriklim subtropika dan mengalami musim sejuk yang dingin dan musim panas yang hangat. Kerpasannya amat tinggi dan dipengaruhi oleh musim tengkujuh dan taufan.

Nama Ryukyu[sunting | sunting sumber]

Dalam bahasa Jepun, takrifan Ryūkyū Shotō (琉球諸島?)[2] memaksudkan bahagian Kepulauan Nansei yang terletak dalam Wilayah Okinawa (separuh selatan), berbanding pulau-pulau segugusan yang tergolong dalam Wilayah Kagoshima (separuh selatan). Dewasa ini, penggunaan istilah Ryūkyū (琉球?) dalam bahasa Jepun memberi laluan kepada nama Okinawa (沖縄?) yang dianggap sebagai sinonimnya.[3]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Bendera Uchinaa (?–1875)
Bendera Uchinaa (18751879)

Lama dahulu, kepulauan ini diperintah oleh sebuah negara berdaulat iaitu Kerajaan Ryukyu, yang taklukannya dari Pulau Yonaguni di barat daya hingga Amami Ōshima di utara. Pada tahun 1372, Kerajaan Ryukyu menjadi negeri ufti Dinasti Ming.

Pada tahun 1609, Shimazu Tadatsune, Pemerintah Satsuma, menyerang Kerajaan Ryūkyū dengan armada 13 buah kapal jong dan 2,500 orang samurai, lalu mewujudkan pemerintahan pertuanan terhadap kepulauan itu. Pihak Shimazu tidak banyak menerima tentangan penduduk Ryukyu yang kekurangan keupayaan tentera lalu dititah oleh Raja Shō Nei agar menyerah kalah secara aman daripada menderita akibat kehilangan nyawa yang tersayang.[4] Semenjak itu, raja-raja Ryukyu menunaikan ufti kepada shogun Jepun dan juga maharaja China.

Pada tahun 1879, kerajaan Meiji mengumumkan pengilhakan kepulauan Ryukyu dalam empayar Jepun. Penghantar utusan raja Ryukyu pernah melutut di hadapan Zongli Yamen, pejabat hal-ehwal luar negara China di Beijing, selama tiga hari, untuk merayu agar pulau mereka tidak dipisahkan dari negara China. Negara China yang dilumpuhkan akibat korupsi dalaman dan pendudukan penjajah, terpaksa mengetepikan permohonan untuk perlindungan ketenteraan. Sebaliknya, China melakukan bantahan diplomatik dan meminta bekas Presiden Amerika Syarikat Ulysses S. Grant untuk menimbang tara kedudukan Ryukyu. Keputusan Grant menyebelahi Jepun atas alasan bahawa tuntutan Jepun kepada pulau itu adalah lebih kukuh, tanpa menghiraukan tuntuan penduduk asli Ryukyu kepada pulau ini.

Ketika Ryukyu diilhakkan, tentera Jepun membunuh para pentadbir dan orang awam Ryukyu yang menentang pengambilalihan Jepun. Wilayah Kerajaan Ryukyu kemudian diserap ke dalam Wilayah Satsuma di utara. Kemudian, dari kepulauan Ryukyu dan Satsuma, terbentuknya wilayah baru iaitu Okinawa Prefecture, setelah pembahagian pentadbiran Jepun dirombak semula. Pendidikan Jepun diwajibkan kepada anak-anak Ryukyu yang menetapkan agar mereka diajar berbahasa Jepun, mengamalkan budaya dan identiti Jepun, serta dilarang bertutur dalam bahasa asli mereka.

Kegiatan ketenteraan di pulau ini sebelum dan semasa Perang Dunia Kedua, khususnya Pertempuran Okinawa, meninggalkan natijah yang dahsyat kepada warga Okinawa. Kehilangan nyawa ramai orang awam menyebabkan mereka berasa tertindas oleh tentera Jepun dan Amerika. Okinawa kekal sebagai wilayah termiskin di Jepun sehingga kini.

Pihak Amerika Syarikat diberikan kuasa pentadbiran Kepulauan Ryukyu dari selatan garis lintang 29°N bersama kepulauan Pasifik yang lain, mengikut Perjanjian Damai San Francisco antara Pihak Berikat dan Jepun. Penguasaan tentera AS di Okinawa bermula dengan penubuhan Majlis Penasihat Okinawa pada tahun 1945. Pertubuhan tersebut lambat-laun menjadi kerajaan Kepulauan Ryukyu yang wujud dari tahun 1952 hingga 1972, apabila kedaulatannya diserahkan kepada Jepun.

Kini, timbulnya beberapa isu mengenai sejarah Ryukyu. Sesetengah orang Ryukyu dan orang Jepun berpendapat bahawa warga Ryukyu adalah berbeza dari golongan majoriti Yamato. Sesetengah penduduk asli Ryukyu mendakwa bahawa kerajaan pusat mendiskriminasi mereka dengan membenarkan begitu ramai askar Amerika berpangkalan di Okinawa padahal kehadiran tentera asing itu jarang sekali di tanah besar. Lebih-lebih lagi, ada yang bercadang agar Ryukyu berpisah dari Jepun.

Walau apapun, kepulauan Ryukyu terkenal sebagai tempat kelahiran sebilangan seniman terkenal, seperti kugiran Begin dan Orange Range, penyanyi Namie Amuro dan Gackt, dan juga kumpulan Da Pump.

Ekologi[sunting | sunting sumber]

Hutan malar hijau subtropika Nansei[sunting | sunting sumber]

Kepulauan Ryukyu diiktiraf oleh para ahli ekologi sebagai sebuah ekokawasan hutan daun lebar lembap tropika tersendiri. Sebagai sebahagian ekozon Indomalaya, flora dan fauna di kepulauan ini banyak persamaannya dengan Taiwan, Filipina, dan Asia Tenggara.

Terumbu karang[sunting | sunting sumber]

Terumbu karang di pesisir Ryukyu ditentukan sebagai salah sebuah ekokawasan Global 200 oleh Tabung Alam Sedunia. Terumbu tersebut diancam oleh pengendapan dan pengeutrofikatan yang kebanyakannya berpunca dari kegiatan pertanian, tidak lupa juga kerosakan dari kegiatan perikanan.

Pulau utama[sunting | sunting sumber]

Peta pulau-pulau utama Ryūkyū

Senarai ini berasaskan nama geografi Jepun masa kini:

Matahari terbenam terakhir sehari di Jepun dipandang dari Pulau Yonaguni.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Tsuneyoshi, Ukita (1993). Nihon-dai-chizuchō (Grand Atlas Japan). Heibonsha. ISBN 4-582-43402-9. 
  2. "Ryūkyū Shotō (りゅうきゅう‐しょとう【琉球諸島】)". Daijisen dictionary / Yahoo Japan. Diarkibkan daripada asal pada 2012-07-09. Diperoleh pada 2007-05-04. 
  3. "Ryūkyū (りゅうきゅう〔リウキウ〕【琉球】)". Daijisen dictionary / Yahoo Japan. Diarkibkan daripada asal pada 2012-07-22. Diperoleh pada 2007-05-06. 
  4. Kerr, George H. (2000). Okinawa: the History of an Island People. (revised ed.) Boston: Tuttle Publishing.

Sumber tambahan[sunting | sunting sumber]

  • This article incorporates text from the 1878 edition of the Globe Encyclopaedia of Universal Information, a work in the public domain

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Koordinat: 26°19′58″N 127°44′56″E / 26.33278°U 127.74889°T / 26.33278; 127.74889