Iklim

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Lihat juga Kumpulan Iklim
Sebahagian siri Alam semula jadi
Cuaca
 
Musim
Iklim sederhana

Musim bungaMusim panas
Musim luruhMusim sejuk

Iklim tropika

Musim kering
Musim lembap

Ribut

Ribut petirPuting beliung
Siklon tropika (hurikan)
Ribut musim sejukRibut salji

Kerpasan

KabutHujan rebasHujan
Hujan beku
Ketulan hujan batuSalji

Topik-topik

Meteorologi
Peramalan cuaca
IklimPencemaran udara

Portal Cuaca ·
Bumi dengan sistem cuaca (gambar dari misi Apollo 17)

Iklim (Bahasa Inggeris: climate) pada umumnya dikira sebagai keadaan cuaca yang diperolehi dalam sesuatu jangkamasa yang panjang, biasanya 30 tahun. Pada tanggapan moden, konsep iklim juga merangkumi statistik mengenai cuaca - umpamanya perbezaan suhu setiap hari ataupun perbezaan suhu tahun demi tahun.

Takrif iklim mengikut Panel Antarabangsa Mengenai Perubahan Iklim (The Intergovernmental Panel on Climate Change) (IPCC) adalah:

Iklim boleh ditakrifkan sebagai "cuaca secara purata", atau lebih tepat lagi, iklim boleh diertikan sebagai keterangan statistikal mengenai purata dan perubahan kuantiti-kuantiti relevan dalam suatu jangkamasa beberapa bulan hinggalah ke ribuan ataupun jutaan tahun. Tempoh klasik adalah 30 tahun, yang ditetapkan oleh Badan Kajicuaca Sedunia (World Meteorological Organization). Kuantiti-kuantiti ini terdiri dari suhu, hujan dan angin. Iklim secara lebih meluas, adalah keterangan statistik mengenai sesuatu sistem cuaca. [1]

Iklim dan cuaca[sunting | sunting sumber]

Secara mudah, cuaca adalah satu pergabungan kejadian di atmosfera dan Iklim pula adalah cuaca yang dialami sepanjang satu jangkamasa di sesuatu lokasi.

Tidak ada suatu batas pemisah tepat antara apa yang dikatakan iklim dan apa yang dikatakan Cuaca. Ia bergantung kepada kegunaan. Umpamanya, fenomena El Nino adalah satu fenomena cuaca untuk segolongan pemerhati, tetapi untuk segolongan yang lain, ia suatu ciri perubahan iklim.

Bila konsep iklim sebagai satu purata sistem cuaca dikemukakan pada akhir kurun ke–19, jangkamasa 30 tahun merupakan satu jangkamasa yang munasabah. Tetapi, dengan adanya perolehan arah aliran cuaca bagi satu jangkauan masa yang panjang meliputi rekod-rekod suhu, hujan dan sebagainya, keupayaan mendapatkan takrifan yang menyeluruh untuk “iklim” menjadi lebih sukar kerana dalam jangkamasa 30 tahun tersebut, purata suhu, taburan hujan dan sebagainya boleh berubah, dan dalam satu jangkamasa singkat, perolehan statistik kurang stabil.

Untuk sesuatu lokasi geografi, iklim tidak berubah semasa hayat seseorang insan. Dalam jangkamasa geologi (jutaan tahun), iklim boleh berubah untuk sesuatu lokasi.

Penentu iklim[sunting | sunting sumber]

Dalam satu jangka masa yang lama, terdapat beberapa pembolehubah statik yang menentukan iklim, seperti latitud dan altitud, nisbah darat berbanding permukaan air, gunung-ganang dan jarak ke kawasan laut berdekatan. Penentu iklim yang lain lebih dinamik: aliran lautan yang mengagihkan tenaga haba antara kawasan-kawasan khatulistiwa dan kutub, dan juga agihan haba antara laut dan bumi di peringkat tempatan, yang dipengaruhi oleh lain-lain aliran laut. Darjah liputan tumbuh-tumbuhan juga menjejaskan darjah penerapan haba suria, pengekalan serapan air, dan juga kadar hujan di peringkat serantau.

Perubahan pada tahap gas-gas atmosfera, khususnya gas rumah hijau mempengaruhi suhu dan jumlah tenaga suria yang ditahan di atmosfera, dan membawa kepada pemanasan sejagat secara perlahan. Pembolehubah yang menentukan iklim terlalu banyak, dan satu perubahan pembolehubah akan mengakibatkan interaksi yang amat kompleks dan menyeluruh. Jika Amerika Syarikat enggan mengurangkan pengeluaran gas "rumah hijau" khususnya sisa daripada kenderaan bermotor, kesannya bukan hanya terhadap iklim di sana sahaja, tetapi mempengaruhi keadan iklim seluruh dunia.

Indeks iklim[sunting | sunting sumber]

Pengkaji iklim menggunakan indeks iklim dalam percubaan mereka mencirikan dan memahami dengan lebih mendalam mengenai iklim, khususnya mekanisme yang mempengaruhi kebolehan kita membuat ramalan cuaca setiap hari. Seperti indeks bursa saham, indeks iklim digunakan untuk mewakilkan naik turun unsur-unsur penting yang mempengaruhi iklim. Indeks iklim dirumus dengan objektif berkembar: mudah dan sempurna. Mengikut fitrahnya, indeks adalah mudah dan menggabungkan banyak butiran iklim ke dalam satu keterangan umum dan menyeluruh bagi atmosfera ataupun lautan boleh digunakan untuk mencirikan factor-faktor yang mempengaruhi system cuaca secara sejagat.

Oleh kerana iklim indeks umumnya ditentukan dari pengukuran-pengukuran dibuat dalam kawasan setempat, ia boleh memberi kesan di kawasan lain sekitar dunia, melalui proses kadangkala dipanggil hubungan jauh ataupun teleconnection.

Iklim mikro[sunting | sunting sumber]

Iklim mikro merujuk kepada keadaan iklim bagi suatu kawasan kecil atau iklim tempatan. Iklim satu lokasi adalah satu rantaian keapda sistem iklim yang lebih besar, maka perubahan dalam sesuatau iklim akan mengakibatkan perubahan kepada sistem iklim yang lebih besar.

Pembangunan membawa kesan ke atas sistem iklim mikro. Pembangunan mengubah iklim mikro sesuatu kawasan; kesan utama adalah terhadap imbangan sinaran tenaga dan gangguan terhadap kitaran hidrologi. Penebangan pokok mengakibatkan kuantiti sinaran tenaga yang diserap oleh tanah lapang meningkat. Ini menyebabkan peningkatan suhu permukaan tanah dan suhu udara. Pembalikan sinaran tenaga bertambah hingga menyebabkan suhu udara meningkat.

Pembuangan tumbuhan yang berperanan sebagai penyerap air menyebabkan peningkatan larian (run-off) permukaan air. Tanah yang terdedah mudah terhakis dan air larian permukaan ini akan bergerak dengan cepat ke saliran. Penambahan kuantiti air yang bergerak dengan cepat menyebabkan banjir kilat. Kesan dari perindustrian, gas-gas sisa seperti Karbon Monoksida dikeluarkan dan mengakibatkan pemanasan bumi secara keseluruhannya.

Iklim Malaysia[sunting | sunting sumber]

Gambar satelit menunjukkan sistem cuaca sekitar Malaysia, gambar Jabatan Kajicuaca Malaysia
Rencana utama: Iklim Malaysia

Malaysia terletak dalam kawasan doldrum khatulistiwa dan jarang sekali mempunyai keadaan langit tidak berawan langsung. Hakikat ini benar walaupun ketika musim kemarau teruk. Cahaya matahari juga boleh diperolehi setiap hari, tanpa mengira musim. Jarang sekali Malaysia mengharungi tempoh di mana cahaya matahari tidak kelihatan, walaupun semasa musim monsun timur laut. Iklim Malaysia ialah mempunyai suhu yang seragam sepanjang tahun, dengan julat perbezaan suhu yang agak kecil sepanjang tahun. Udaranya mempunyai kadar kelembapan (humidity) yang tinggi, dan mempunyai tiupan angin yang, pada keseluruhannya, agak lemah.

Keadaan angin di Malaysia tidak kencang dan arahnya berubah-­ubah. Terdapat perubahan bertempoh dalam corak tiupan angin. Empat musim boleh dibezakan iaitu monsun barat daya, monsun timur laut dan dua musim peralihan monsun yang lebih pendek. Semasa musim-­musim peralihan monsun, semasa palung khatulistiwa merentangi Malaysia, angin berkelajuan lemah dan arahnya berubah-­ubah.

Monsun barat daya biasanya bermula pada akhir bulan Mei atau awal bulan Jun dan tamat pada akhir bulan September. Angin lazim bertiup dari arah barat daya dengan kelajuan tidak melebihi 15 knot. Monsun timur laut bermula awal November dan berakhir pada bulan Mac. Angin lazim adalah dari arah timur atau timur laut dengan kelajuan antara 10 dan 20 knot. Negeri-­negeri pantai timur Semenanjung Malaysia lebih terjejas di mana kelajuan angin boleh melebihi 30 knot akibat luruan kuat udara sejuk dari utara (luruan sejuk).

Sebagai negara yang dikelilingi laut, Malaysia merasai kesan nyata dari tiupan bayu laut dan bayu darat, terutama pada hari-hari yang tidak berawan. Pada petang yang cerah, bayu laut dengan kelajuan 15 knot akan terjadi dan boleh mencapai beberapa puluh kilometer ke dalam kawasan pendalaman. Pada malam langit terang, proses sebaliknya berlaku dan bayu darat akan terjadi di kawasan pantai.

Rujukan[sunting | sunting sumber]