Sekolah vokasional

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Sekolah vokasional atau kolej vokasional merujuk kepada sekolah-sekolah yang menawarkan latihan kemahiran berbanding pendidikan akademik. Di Malaysia, pendidikan jenis ini lebih ditumpukan kepada pelajar berpencapaian rendah. Walau bagaimanapun, dasar baru kerajaan telah mengangkat pendidikan vokasional ke tahap yang lebih tinggi dan tidak lagi dianggap sebagai pendidikan kelas kedua.[1]

Jenis-jenis[sunting | sunting sumber]

Pusat-pusat latihan vokasional di Malaysia ditawarkan untuk dua peringkat; peringkat rendah dan peringkat tinggi.

Peringkat rendah[sunting | sunting sumber]

Pusat pendidikan vokasional peringkat rendah dipanggil sekolah menengah vokasional atau sekolah menengah teknik. Ia merupakan pusat pengajian menengah tinggi yang disertai pelajar bagi merancang perjalanan kerjaya mereka dengan lebih awal. Pelajar-pelajar sekolah menengah tingkatan tiga akan membuat permohonan di atas talian bagi kursus yang mereka minati. Laman permohonan ini kebiasaannya dibuka selepas pelajar-pelajar menerima keputusan peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah. Pusat latihan vokasional peringkat rendah terbahagi kepada dua jenis.

  1. Sekolah menengah teknik

Sekolah teknik kebiasaannya memerlukan pencapaian akademik yang lebih baik. Mata pelajaran yang diajar di sekolah menengah teknik adalah lebih menjurus kepada teori berbanding praktikal. Pelajar-pelajar sekolah menengah jenis ini dibentuk supaya menjadi seorang jurutera atau memegang peranan besar dalam bidang mereka. Walau bagaimanapun, ada graduan sekolah menengah teknik yang menjadi mekanik misalnya, walaupun mereka mengambil jurusan kejuruteraan mekanikal. Antara subjek yang dimuatkan dalam silibus ialah fizik, kimia, biologi dan lukisan kejuruteraan. Subjek-subjek ini boleh berubah mengikut kursus.

  1. Sekolah menengah vokasional

Pada awalnya, sekolah vokasional menyediakan latihan kemahiran selama dua tahun. Kandungan pelajarannya terdiri daripada ilmu dasar (teori) dan amali. Pelajar-pelajar sekolah vokasional akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) pada penghujung penggal akhir berbanding murid-murid sekolah teknik yang akan mengambil SPM seperti murid-murid sekolah menengah lain (kebangsaan, sukan, agama, asrama penuh). Sekolah vokasional juga ada menawarkan satu lagi aliran iaitu kemahiran. Aliran kemahiran disediakan untuk keperluan pelajar-pelajar yang berpencapaian rendah. Berbanding pelajar aliran vokasional yang berpencapaian sederhana dalam PMR, pelajar aliran kemahiran diajar secara amali atau kerja tangan sepenuhnya. Mereka akan turut mempelajari beberapa mata pelajaran tapak seperti bahasa Melayu, matematik asas, bahasa Inggeris komunikasi asas dan pendidikan Islam. Pada penghujung penggal terakhir setelah dua tahun menjalani latihan, pelajar aliran kemahiran akan mengambil peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1.

Dalam dasar baru pendidikan negara, kerajaan Malaysia telah menaik taraf kesemua sekolah menengah vokasional di negara ini. Ini bermakna sekolah menengah vokasional akan ditukar kepada kolej vokasional mulai tahun 2012. Jangka masa latihan telah dipanjangkan dari dua tahun kepada empat tahun dan pelajar akan menduduki peperiksaan bagi mendapatkan Diploma Vokasional Malaysia (DVM). Seperti dahulu, pelajar boleh menyertai kolej ini selepas tamat tingkatan tiga.

Peringkat tinggi[sunting | sunting sumber]

Bagi graduan SPM yang tidak menyertai pusat latihan vokasional selepas PMR, mereka boleh memohon ke institusi kemahiran selepas SPM. Untuk peringkat tinggi, ada beberapa institusi yang menawarkan pendidikan kemahiran seperti politeknik, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Pertauliahan dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Institut Kemahiran Mara (IKM) dan lain-lain. Pusat seperti politeknik menawarkan diploma tetapi kebanyakan institusi kemahiran selepas SPM hanya menawarkan peringkat sijil. Selain itu, ada banyak kolej swasta yang menawarkan latihan kemahiran peringkat sijil (Sijil Kemahiran Malaysia ataupun Sijil Modular Kebangsaan). Walau bagaimanapun, kebanyakannya hanya menawarkan sehingga SKM Tahap 2 berbanding institusi kerajaan yang menyediakan sehingga sijil lanjutan (sijil penuh) SKM Tahap 3.

Bidang yang ditawarkan[sunting | sunting sumber]

Terdapat banyak kursus yang menarik disediakan di pusat-pusat vokasional. Bagi sekolah menengah teknik, antara kursus yang ditawarkan ialah kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik, perdagangan, ERT pengurusan makanan, sains pertanian dan sebagainya. Bagi aliran vokasional pula, kursus seperti automotif, elektrik dan elektronik, penyejukan dan penyamanan udara, amalan bengkel mesin, kimpalan, katering dan binaan bangunan ditawarkan di banyak sekolah/kolej vokasional. Di samping itu, fesyen, seni kecantikan, pengurusan ladang, pengurusan perniagaan, pelancongan, perkhidmatan dan perkembangan kanak-kanak, bakeri, pengaturcaraan komputer, pengurusan teknologi pejabat, hortikultur hiasan dan lanskap serta kejenteraan ladang merupakan kursus-kursus lain yang terdapat bagi pelajar aliran vokasional.

Untuk aliran kemahiran pula, mekanik kenderaan motor, jurukerja paip, jurubina bangunan, pembuat perabot, pelukis pelan senibina, pelukis pelan mekanikal, juruteknik elektrik rendah, jurukimpal arka logam berperisai, juruteknik rendah elektronik industri - peralatan, mekanik teknologi elektronik radio dan video, pembantu penyedia makanan, pembuat pakaian wanita, pendandan rambut muda, jurukecantikan, pekerja am pertanian dan pemesin am adalah antara kursus yang paling menarik.

Kursus yang ditawarkan dalam pendidikan vokasional peringkat tinggi adalah lebih luas dengan pelbagai bidang baru diperkenalkan seperti fotografi, percetakan, hospitaliti, perkomputeran, pengaturcaraan perisian, teknologi permainan video, kecantikan, marin, kenderaan seperti lori dan motosikal, penyelenggaraan kapal terbang dan terapi sukan. Elektrik dan elektronik juga turut mempunyai cabang yang sangat luas.

Sambungan pelajaran dan tahap tertinggi pendidikan[sunting | sunting sumber]

Graduan sekolah menengah teknik kebiasaannya akan memohon tempat ke universiti atau matrikulasi selepas SPM. Mereka yang ingin menjadi jurutera atau saintis akan mengambil ijazah. Pelajar kejuruteraan dari sekolah teknik boleh mencapai tahap pendidikan yang sangat tinggi seperti doktor falsafah (Ph.D) dan bekerja dengan gaji yang besar. Bagi pemegang SPMV dan DVM, mereka juga berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti atau institusi pengajian lain seperti ADTEC, JMTI dan MARA. Pemegang SKM boleh mengambil tahap sijil seterusnya atau bagi pemegang sijil penuh, mereka boleh menyambung pelajaran untuk Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) atau sering kali disebut SKM 4 & 5. Pinjaman Tabung Pengajian Kemahiran (PTPK) turut disediakan kerajaan bagi pelajar.

Rujukan[sunting | sunting sumber]