Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Logo PPSMI

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ialah nama rasmi bagi satu dasar pendidikan Malaysia yang menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan/ibunda sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan. Dasar PPSMI sering menjadi isu perdebatan yang hangat semenjak dilaksanakan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada tahun 2003.Akhirnya pada 8 Julai 2009 dasar ini akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012 seperti yang diumumkan oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah kajian mendalam dilakukan.[1]

Sejarah perlaksanaan[sunting | sunting sumber]

Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad, peneraju kepada perlaksanaan PPSMI.

PPSMI telah termaktub sebagai keputusan dasar kerajaan Malaysia hasil daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002 di bawah pentadbiran Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr Mahathir bin Mohamad. Mengikut Kementerian Pelajaran Malaysia, ia dilaksanakan secara berperingkat, bermula pada sesi persekolahan tahun 2003 dengan perintisnya ialah semua murid Tahun 1 untuk peringkat Sekolah Rendah dan Tingkatan 1 serta Tingkatan 6 Rendah untuk peringkat Sekolah Menengah. Pelaksanaan penuh PPSMI ialah pada tahun 2007 untuk peringkat Sekolah Menengah sementara peringkat Sekolah Rendah ialah pada tahun 2008.[2]

Objektif[sunting | sunting sumber]

Menurut penerangan mengenai dasar PPSMI di laman web Kementerian Pelajaran Malaysia[3]:

Rasional kepada peralihan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris adalah atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi.

Umum mengetahui bahawa sains dan matematik adalah bidang yang menjadi asas dan berperanan penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Pelbagai inovasi dan penemuan baru dalam bidang ini berlaku dengan pantas dan capaian maklumat mengenai perkembangan dalam bidang ini banyak terdapat dalam bahasa Inggeris.

Selain itu, bahasa Inggeris adalah bahasa hubungan antarabangsa dan penguasaan dalam bahasa ini memudahkan perolehan ilmu dalam bidang ini.

Ketika mencadangkan dasar ini, Tun Dr Mahathir berpendapat bahawa Malaysia makin ketinggalan dalam arus globalisasi, dan diharapkan dasar ini memberi kelebihan kompetitif kepada negara, mencontohi kejayaan Singapura dan India yang semakin melangkah ke depan kerana kebiasaan dengan bahasa Inggeris.[4]

Pelaksanaan[sunting | sunting sumber]

PPSMI dilaksanakan kepada masukan pelajar Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada tahun persekolahan 2003; pelajar-pelajar lain pula tidak terlibat, sebaliknya meneruskan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa perantara lama. Bahan-bahan pembelajaran PPSMI berbentuk pakej yang terdiri daripada komponen-komponen berikut:

  • Buku Teks (Textbook): Buku Teks disediakan untuk murid sebagai sumber asas mendapatkan pengetahuan tentang konsep dan kemahiran dalam pembelajaran sains dan matematik.
  • Buku Latihan dan Aktiviti (Activity Book): Buku Latihan dan Aktiviti (BLA) disediakan untuk murid bagi mengukuhkan kefahaman konsep dan penguasaan kemahiran sains dan matematik yang telah dipelajari daripada buku teks. BLA membekalkan soalan latihan dan aktiviti yang dapat dilaksanakan oleh murid. BLA adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik Tahap Satu sahaja.
  • Buku Panduan Guru (Teacher's Guide): Buku Panduan Guru disediakan untuk guru sebagai sumber rujukan dan panduan supaya memudahkan guru merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara berkesan. Buku panduan ini juga membantu guru mengemaskini dan meningkatkan pengetahuan sains dan matematik serta merangsang kreativiti guru dalam P&P. Buku Panduan Guru adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik untuk Tahap Dua serta Pakej Buku Teks Matematik Tahun Satu.
  • MyCD (Pupil's CD-ROM): MyCD ialah CD-ROM untuk murid yang bertujuan mengukuhkan kefahaman murid berkaitan konsep sains dan matematik yang telah mereka pelajari melalui persembahan multimedia. Kandungan MyCD adalah Latihan dan Aktiviti secara interaktif, permainan, simulasi dan e-ujian.
  • CD-ROM Guru (Teacher's CD-ROM): CD-ROM Guru bertujuan membantu guru dalam merancang dan melaksanakan P&P sains dan matematik. Antara kandungan di dalam CD-ROM Guru ialah strategi P&P, bank soalan, aktiviti tambahan dan senarai URL yang relevan dengan pendidikan sains dan matematik. CD-ROM Guru adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik untuk Tahap Satu sahaja.
  • Buku Amali Sains (Science Practical Book): Buku Amali Sains diterbitkan untuk memastikan mata pelajaran Sains diajar secara amali dan bukan hanya secara teori. Selain itu, daya pemikiran dan kreativiti murid dapat dikembangkan melalui amali serta menimbulkan minat murid terhadap Sains. Buku Amali Sains adalah komponen Pakej Buku Teks Sains untuk Tahap Dua sahaja.
  • Buku Glosari: Buku Glosari Sains dan Matematik adalah bahan rujukan guru dan murid untuk mengenal sesuatu istilah melalui definisi dan penggunaan istilah tersebut dengan lebih tepat.

Bagi perlaksanaan pada sekolah-sekolah jenis kebangsaan (Cina) setelah bantahan dibuat oleh Dong Jiao Zong satu kompromi oleh Majlis Tertinggi Barisan Nasional, satu formula “2-4-3” telah dilaksanakan mulai tahun 2003 untuk Tahap I dengan menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Cina secara serentak dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik, manakala bagi Tahap II, formula “6-2-3-2” telah dilaksanakan mulai tahun 2006 untuk tujuan tersebut.[5]

Hasil dan reaksi[sunting | sunting sumber]

Sejak pelaksanaannya lagi, PPSMI banyak menghadapi pembidasan dan tentangan berkenaan idea dan pelaksanaannya dari pelbagai pihak termasuk ahli politik, akademik, ibu bapa dan pelajar sendiri. Antara isu-isu yang diketengahkan pihak-pihak tersebut termasuklah kesukaran murid-murid mengikuti pelajaran dan guru-guru menyesuaikan diri kepada perubahan bahasa perantara, serta kesannya terhadap penguasaan bahasa ibunda murid-murid, terutama di peringkat sekolah rendah.

Kanak-kanak lebih cepat belajar dalam bahasa ibunda, oleh itu kanak-kanak yang bahasa ibundanya bukan bahasa Inggeris (luar bandar) akan ketinggalan berbanding kanak-kanak yang bahasa ibundanya merupakan bahasa Inggeris. Sekiranya perkara ini berlaku pada peringkat memahami konsep, ini memberi kesan kepada kanak-kanak tersebut, tidak dapat mengikuti peringkat pembelajaran seterusnya dengan baik, menjadikan mereka sentiasa keciciran berbanding rakan-rakan berbahasa Inggeris mereka. [6]

Sokongan terhadap perlaksanaannya juga bergantung kepada bahasa ibunda/harian yang digunakan. Dengan itu pembaca akhbar Inggeris yang cenderung menggunakan bahasa Inggeris dalam pertuturan harian menyokong perlaksanaannya, sementara pembaca akhbar berbahasa Tempatan (Akhbar Melayu, India dan Cina) yang bahasa ibunda bukan bahasa Inggeris cenderung membantah perlaksanaannya.

Prestasi akademik[sunting | sunting sumber]

Peperiksaan[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2007, kelompok pelajar sekolah menengah pertama yang melalui PPSMI mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Keputusan rasmi memperlihatkan peningkatan, khususnya bagi mata pelajaran berkenaan ilmu sains dan matematik. Menurut pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Johor, Ramlan Sariman, mata pelajaran Biologi menunjukkan peningkatan kelulusan sebanyak 4.87% (91.45%-96.32%), Matematik Tambahan 6.81% (68.61%-74.76%), Fizik 8.76% (94.87%-97.63%), Matematik 1.04% (77.61%-78.65%) dan Sains Tambahan 4.29% (86.25%-90.54%), sekaligus membuktikan bahawa bahasa perantara bukan penghalang dalam kejayaan dalam pelajaran peringkat menengah.[7]

Pada tahun 2008, 518,616 pelajar sekolah rendah perintis PPSMI menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah. Para pelajar diberi pilihan menjawab soalan Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina atau Tamil atau lebih dari satu bahasa tersebut. Pada 13 November, keputusan rasmi dilaporkan mencatatkan hasil yang menggalakkan dari segi penggunaan Bahasa Inggeris dalam matapelajaran sains dan matematik. Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Alimuddin Mohd Dom dilaporkan berkata, 159,234 orang murid (31% dari keseluruhan pelajar) menjawab kertas Sains dalam bahasa Inggeris sementara untuk kerta Matematik, bilangannya adalah 238,153 orang (46%).[8] Walau bagaimanapun, keputusan ini dipertikaikan oleh sesetengah pihak. Menurut Presiden Kesatuan Guru-guru Semenanjung Malaysia, Mohd Sabri Mohd Arshad, "sebanyak 31.1 peratus murid-murid yang menguasai pembelajaran itu khususnya subjek sains ataupun matematik adalah dari kalangan mereka yang tinggal di bandar dan mempunyai latar belakang keluarga berpendidikan. Mereka yang tinggal di luar bandar masih lagi menggunakan bahasa ibunda, maka memberi kesan kepada jurang perbezaan yang jauh," di samping menggesa kerajaan memperkasakan Bahasa Inggeris itu sendiri dengan menambahkan waktu pembelajaran selaras dengan subjek bahasa lain.[9]

Kaji selidik akademik[sunting | sunting sumber]

Kajian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina)[sunting | sunting sumber]

Kajian "Tahap Kompetensi Guru dalam PPSMI serta Implikasinya terhadap Pembangunan Modal Insan Murid" mendapati dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) membantutkan tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang. Kajian ini mendapati PPSMI hanya mampu menunjukkan peningkatan minimum kepada penguasaan bahasa Inggeris sebanyak empat peratus dan pada masa yang sama mengurangkan minat untuk mempelajari subjek Sains dan Matematik.[10]

Kajian oleh Permuafakatan Badan Ilmuah Nasional ini menggunakan kepakaran 53 pakar bahasa dan melibatkan tujuh universiti awam dibuat pada Jun hingga Disember 2008. Antara universiti terlibat termasuklah Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.[11]

Kos kajian adalah sebanyak RM470,000, melibatkan 15,089 orang daripada pelbagai jenis dan aliran sekolah dari pelbagai kawasan perbandaran seluruh negara. Seramai 553 guru termasuk pengetua, guru besar dan penolong kanan sekolah turut dipilih sebagai sampel bagi kajian yang dijalankan selama tujuh bulan.

Antara hasil kajian juga mendapati PPSMI:

  • menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
  • PPSMI telah dan akan membunuh minat, semangat dan keghairahan murid-murid untuk belajar Sains dan Matematik sejak di peringkat sekolah rendah lagi.

Hasil kajian merumuskan PPSMI harus ditamatkan dan mengembalikan sistem pengajaran sebelum dasar itu diperkenalkan pada 2003. Laporan eksekutif kajian ini diedarkan buat pertama kali kepada umum di Kongres Kebudayaan Melayu Kedua anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur pada 18 Mac 2009.

Kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007)[sunting | sunting sumber]

Kajian antarabangsa yang dinamakan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007)[12] dibuat oleh Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat. Kajian penting ini walaupun tidak merujuk secara khusus kepada dasar PPSMI tetapi ia mengenai pencapaian matematik dan sains (pelajar Gred 8 atau Tingkatan 2) yang membabitkan 59 negara termasuk Malaysia pada tahun 2007.[13]

Hasil kajian menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam matematik dan sains merosot dengan ketara. Skor matematik 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508 mata pada 2003 dan 519 bagi 1999, iaitu penurunan sebanyak 34 mata. Skor sains pula merosot kepada 471 mata pada 2007 daripada 510 pada 2003 dan 492 bagi kohort 1999. Ini mencatatkan penurunan 40 mata antara 2007 dan 2003.

Kemerosotan skor purata pencapaian pelajar Malaysia sebanyak 34 mata bagi matematik dan 40 mata bagi sains adalah besar, mengikut laporan itu dan terbesar sekali di kalangan 59 negara itu. Antara hasil kajian, didapati hanya dua peratus pelajar Malaysia tergolong dalam kategori Advanced Benchmark Matematik dalam TIMSS 2007 berbanding enam peratus pada 2003.

Bagi kategori Highbench Mark (skor 550), peratus dalam kategori ini merosot kepada 18 peratus pada 2007 daripada 30 peratus pada 2003. Dalam Intermediate Benchmark (skor 475) pula merosot daripada 71 peratus dalam 2003 kepada 50 peratus bagi 2007. Penurunan Malaysia adalah paling ketara berbanding negara lain.

Berdasarkan perbandingan dengan negara lain, peratus pelajar Malaysia dalam ketiga-tiga kategori matematik juga merosot. Dalam kategori Advanced Benchmark Mathematics TIMSS 2007, hanya dua peratus pelajar Malaysia berada dalam kategori ini berbanding Taiwan (45 peratus), Korea (40 peratus), Singapura (40 peratus), Jepun (26 peratus), Hungary (10 peratus), England dan Russia (lapan peratus), Amerika Syarikat (enam peratus) dan Serbia (lima peratus).

Dalam kategori 'High Benchmark 550' Matematik, hanya 18 peratus pelajar Malaysia tergolong kategori ini, berbanding Taiwan dan Korea (71 peratus), Singapura (70 peratus), Jepun (61 peratus) England (35 peratus), Hungary 36 (peratus), Russia (33 peratus), Amerika Syarikat (31 peratus), Australia dan Serbia (24 peratus) dan Romania (20 peratus). Secara bandingan dengan negara lain, peratus pelajar Malaysia yang tergolong dalam ketiga-tiga kategori pencapaian sains juga merosot secara mendadak.

Laporan TIMSS mengenai faktor yang dikaitkan dengan pencapaian matematik dan sains ialah di kebanyakan negara mendapati pelajar belajar matematik dan sains dalam bahasa keluarga (home language) puratanya lebih tinggi pencapaian ujian TIMSS berbanding pelajar yang belajar kedua-dua mata pelajaran ini dalam bukan bahasa keluarga atau bahasa kedua/asing.

Hasil kajian TIMSS ini menunjukkan wujud hubungan rapat antara proses pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa asing, selain bahasa ibunda dengan kelemahan dalam prestasi subjek berkenaan. Semua negara dalam kajian TIMSS 2007 yang pelajarnya mengguna bahasa keluarga dalam pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah seperti Taiwan, Korea, Jepun, Singapura, England dan Romania mencapai skor yang tinggi.

Kajian Prof Dr Nor Hashimah Jalaludin[sunting | sunting sumber]

Satu kajian telah dilakukan oleh Prof Dr Nor Hashimah pada tahun 2004 menunjukkan 75% pelajar setuju belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris mendatangkan masalah pemahaman dan 77% setuju bahawa bahasa Melayu mampu menyampaikan Sains dan Matematik dengan berkesan. Kajian sama yang dibuat ke atas guru pula mendapati 96% guru setuju pelajar semakin kurang minat dalam Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris dan 98% guru setuju pelajar mempunyai masalah memahami Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Sampel bagi kajian ini adalah seramai 971 orang pelajar bumiputera dan bukan bumiputera dalam aliran kebangsaan dan jenis kebangsaan di bandar dan luar bandar. Sementara bagi guru ia melibatkan 43 orang guru yang berpengalaman mengajar 1 hingga 20 tahun berumur melebihi 25 tahun pada tahun kajian dibuat.[14]

Kajian UPSI[sunting | sunting sumber]

Pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris menerbitkan hasil kajian mengenai kesan dasar PPSMI pada April 2008, berasaskan tiga kali tinjauan soal selidik dan ujian terhadap murid-murid Tahun Lima, iaitu pada bulan-bulan Februari 2007 (sampel bersaiz 1564 orang) dari 27 buah sekolah rendah; Julai 2007 (636 orang) dari 13 buah sekolah; dan Januari 2008 (1703 orang) dari 28 buah sekolah. Menurut abstrak kajian tersebut[15]:

Lebih 80% murid menyatakan yang guru Matematik dan Sains mereka mengguna campuran Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia untuk mengajar kedua-dua mata pelajaran ini. Purata lebih 70% murid menyatakan mereka ‘tidak faham/kurang faham’ pengajaran guru Matematik dan dan 80% Sains dalam Bahasa Inggeris, dan mereka ‘sukar/agak sukar’ mempelajari kedua-dua mata pelajaran ini. Prestasi murid dalam Ujian Matematik dan Sains rendah, terutama item-item yang memerlukan murid membaca arahan dalam Bahasa Inggeris dan ‘menyelesaikan masalah’. Bagi kohort Januari 2008 skor min Matematik 7.89 daripada skor maksimum 20.0; dan skor min Sains hanya 4.08 daripada maksimum 14.00. Skor min Bahasa Inggeris juga rendah iaitu 11.87 daripada skor maksimum 31.0. Kelemahan ini nyata sekali di kalangan murid Melayu dan murid Orang Asli, berbanding murid Cina dan India. … Dapatan dari kajian-kajian ini menunjukkan objektif asal dasar PPSMI tidak tercapai, bahkan negatif: ia menyusah dan melemahkan lagi pembelajaran Matematik dan Sains pelajar, dan terlalu sedikit meningkatkan pembelajaran Bahasa Inggeris pelajar.

Kajian ini turut menerima bidasan oleh sesetengah pihak kerana kajiannya yang tidak kurang kepincangannya. Antara kelemahan utama yang ditekankan adalah: kelemahan guru berbahasa Inggeris dikaitkan dengan kegagalan dasar padahal ini masih boleh dibaiki; kekurangan analisa statistik dalam data yang memerlukan sampel terlibat dibahagi mengikut latar belakang sekolah dan murid; ketiadaan kelompok kawalan sebagai alat perbandingan statistik untuk mengukuhkan hujahnya, memandangkan semua sekolah mengajar dalam bahasa Inggeris[16]; perbandingan hasil soalan berbahasa Inggeris dan soalan berbahasa Malaysia, yang mana hanya 37.3% menjawab soalan berbahasa Malaysia berkenaan dengan betul berbanding 39.6% yang menepati soalan berbahasa Inggeris itu, menjadikan hasil kajian ini seolah-olah tidak menyokong dengan sebaiknya saranan kajian ini agar memansuhkan dasar ini.[17]

Reaksi dari bidang pendidikan[sunting | sunting sumber]

Kesan negatif[sunting | sunting sumber]

Menurut satu memorandum yang dikarang bersama oleh 11 pertubuhan pendidikan sekitar hujung tahun 2007, dinyatakan bahawa kajian-kajian telah dijalankan untuk membuktikan bahawa PPSMI membawa kesan negatif di peringkat sekolah rendah, termasuk amaran dari Kongres Pendidikan Melayu Kedua bahawa 500,000 orang pelajar Melayu akan keciciran dalam mata pelajaran terbabit kerana lemah menguasai bahasa Inggeris; formula-formula "2-4-3" dan "6-2-3-2" bagi SJK(C) bukan sahaja menjejaskan pembelajaran Sains dan Matematik, bahkan juga bahasa Cina di kalangan murid-murid; Persatuan Pendidikan Tamil juga meluahkan kebimbangan murid-murid SJK(T) yang kebanyakannya berasal dari keluarga miskin turut akan menghadapi keciciran kerana ketidakmampuan menguasai bahasa Inggeris, sekaligus memburukkan keadaan sosio-ekonomi masyarakat India kerana anak-anak sukar disalurkan ilmu untuk menaikkan taraf hidup masyarakat mereka.[5]

Bahasa setempat lebih sesuai[sunting | sunting sumber]

Memorandum 11 pertubuhan tersebut turut menyentuh satu laporan kajian UNESCO yang turut menegaskan bahawa pembelajaran mata pelajaran terpenting di peringkat sekolah rendah lebih sesuai diajar dalam bahasa setempat. Ini sejajar dengan resolusi pendidikan yang diluluskan oleh UNESCO (1951:691) yang berbunyi:

Berkenaan kepentingan pendidikan, kami menggesa supaya bahasa ibunda digunakan selama yang boleh dalam semua peringkat pendidikan. Ini lebih-lebih lagi penting supaya kanak-kanak memulakan pendidikan mereka dalam bahasa ibunda sebagai bahasa penghantar, kerana itulah bahasa yang sangat mereka fahami, dan penggunaan bahasa ibunda akan menghapuskan kelainan antara bahasa di rumah dan bahasa di sekolah.

(On educational grounds we recommend that the use of the mother tongue be extended to as late a stage in education as possible. In particular, pupils should begin their schooling through the medium of the mother tongue, because they understand it best and because to begin their school life in the mother tongue will make the break between home and school as small as possible.) [18], [19]

Selain itu, memorandum juga merujuk laporan bertajuk Education for All: Policy Lessons From High-Achieving Countries[20] ditulis oleh Santosh Mehrotra pada tahun 1998. Mehrotra menegaskan kepentingan mengutamakan bahasa ibunda sebagai bahasa perantara dalam buku yang dikarangnya bersama Enrique Delamonica bertajuk Eliminating Human Poverty: Macroeconomic & Social Policies for Equitable Growth yang mencatatkan pemerhatian terhadap persada pendidikan di benua Asia Selatan dan Afrika sub-Sahara, di mana adalah didapati bahawa jika bahasa perantara bukan bahasa ibunda, lebih-lebih lagi jika ibu bapa pelajar itu buta huruf, maka bertambah buruklah masalah belajar dalam persekitaran yang dikelilingi kemiskinan, diiringi kemungkinan keciciran bertambah.[21]

Dasar memihak kepada keluarga di bandar[sunting | sunting sumber]

Bill Templer, seorang pensyarah kanan yang melawat di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, berhujah dalam satu surat kepada akhbar, bahawa dasar ini berat sebelah kepada anak-anak keluarga bandar yang berpendapatan tinggi, sambil meluaskan lagi jurang antara yang kaya dan miskin, baik di bandar mahupun di luar bandar, malahan boleh juga menjejaskan pemahaman konsep sains dan matematik kepada murid-murid biasa kerana mereka tidak mempelajarinya dalam bahasa ibunda mereka.[22]

Reaksi awam[sunting | sunting sumber]

Bantahan golongan sasterawan, budayawan dan cendekiawan[sunting | sunting sumber]

Kebanyakan cendekiawan antaranya Prof Diraja Ungku Aziz termasuk golongan sasterawan dan budayawan menyatakan penentangan kepada dasar PPSMI. Ini termasuk kesemua Sasterawan Negara yang masih hidup di antaranya A. Samad Said, Prof Muhammad Hj Salleh dan Anwar Ridhwan bersatu menyatakan pendirian menentang dasar PPSMI.[23] Mereka menyatakan penentangan mereka dalam satu kenyataan bersama di sidang media pada 5 Mei 2009.[24]

Enam alasan yang diberikan diringkaskan seperti berikut:

  1. Malaysia seharusnya mencontohi sistem pendidikan negara Scandinavia, Belanda, Belgium dan Switzerland yang rakyatnya boleh berbahasa Inggeris dengan tidak mengabaikan bahasa ibunda.
  2. Pemenang Anugerah Nobel dalam semua bidang bukan sahaja datang daripada negara-negara berbahasa Inggeris, tetapi lebih banyak berasal daripada negara bukan berbahasa Inggeris seperti Perancis, Jerman, Jepun, Spanyol, Switzerland, India dan Bangladesh. Yang mencemerlangkan mereka bukanlah bahasa lnggeris tetapi ilmu yang baru dan eksperimen yang penuh tekun dan berterusan.
  3. Beberapa masalah yang dihadapi Malaysia bukan berpunca daripada penguasaan bahasa Inggeris. Terdapat banyak negeri yang pernah dijajah oleh Inggeris yang menggunakan bahasa itu sebagai bahasa pengantar di sekolah tetapi masih tidak cemerlang dalam pentadbiran, ekonomi dan ilmu. Sebaliknya di Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah membawa kita jauh ke dalam dunia industri, sains dan teknologi.
  4. Kegagalan mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu semua bidang menyebabkan pemimpin hari ini dirakam dalam sejarah sebagai "pemusnah bahasa Melayu yang telah lama menjadi lingua franca".
  5. Penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang terpilih dengan sendirinya menciptakan dua jenis kewarganegaraan: yang pertama warganegara yang menguasai bahasa Inggeris dan bidang sains dan teknologi, dan seterusnya yang kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai bidang-bidang sastera dan sains sosial, iaitu bidang-bidang yang dianggap tidak penting dan lebih rendah darjatnya.
  6. Mereka menyokong dasar yang membuka mata dan ilmu pelajar kepada dunia yang luas, relevan dan kemaskini. Mereka tidak membantah pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, malah ingin mencadangkan bahawa lebih banyak bahasa antarabangsa diajarkan. Namun untuk perkembangan budaya dan jati diri bangsa, MaIaysia perlu mempunyai sebuah bahasa penyatuan yang dipelajari, didalami dan dibanggai oleh seluruh rakyat Malaysia. Sementara itu kerajaan juga harus mengajar bahasa ibunda pelajar-pelajar ini di peringkat sekolah rendah supaya bahasa itu tidak pupus.

Ahli politik yang menyokong[sunting | sunting sumber]

Perbahasan mengenai dasar PPSMI tidak terlepas pandangan ahli politik, baik pihak pembangkang mahupun pemerintah. Antara ahli politik yang mendukung dasar PPSMI ialah Mukhriz Mahathir, anak kepada pencadang dasar itu sendiri. Beliau pernah menyatakan bahawa tujuan mengajar matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bukanlah untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, sebaliknya memudahkan rakyat mencapai pengetahuan yang bernilai dalam bidang sains dan matematik melalui pengetahuan bahasa Inggeris.[25]

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye turut menyokong PPSMI, beliau dilihat hanya mengesyorkan untuk kerajaan bagi menangani kelemahan daripada dasar PPSMI ini dengan lebih berkesan khususnya yang melibatkan kefasihan guru-guru dalam bahasa Inggeris. Namun beliau tetap berpendirian bahawa tidak perlu dimansuhkan dasar PPSMI itu.[26]

Ahli politik yang menentang[sunting | sunting sumber]

Pada April 2008, pemimpin de facto Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata "Pakatan Rakyat tetap tidak akan bertolak ansur mengenai kedudukan bahasa kebangsaan dan lain-lain hal yang telah diputuskan melalui Perlembagaan Persekutuan sebelum ini, dan "pimpinan mestilah serius dalam usaha meletakkan semula bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik."[27] Anwar mengulangi ikrar beliau untuk mengembalikan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda sewaktu parti campuran Pakatan Rakyat pimpinan beliau menerima memorandum membantah PPSMI dari Gerakan Mansuhkan PPSMI di Kuala Terengganu pada 15 Januari 2009.[28]

YB Khairy Jamaluddin, naib ketua Pemuda UMNO, turut menggesa agar dikembalikan bahasa kebangsaan sebagai perantara mata pelajaran Sains dan Matematik. Katanya, "(Berdasarkan maklum balas akar umbi) bahasa Inggeris jadi tembok penghadang untuk fahami sains dan matematik. Guru pun ada masalah untuk mengajar, bukan sahaja lidah tergeliat, proses pengajaran juga terencat. Saya takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran." Tambahnya lagi, cara terbaik bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris ialah dengan memantapkan teknik pengajaran subjek itu secara menyeluruh, antara lain dengan memperkenalkan pelajaran sastera bahasa Inggeris di sekolah.[29]

Menurut Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merupakan satu-satunya parti politik di Malaysia yang benar-benar memperjuangkan pengembalian bahasa Melayu sebagai bahasa untuk medium pengajaran bagi subjek sains dan matematik, ini kerana menurut beliau, PPSMI yang diperkenalkan oleh Kabinet Malaysia sejak tahun 2002, telah melanggar sekurang-kurangnya 5 peruntukan perundangan dan Perlembagaan Malaysia iaitu, Perkara 8 (1) dan 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan 1996, Peraturan Mahkamah Tinggi 1987, Penyata Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960. Tambahan, kaedah pelaksanaan PPSMI oleh kerajaan Barisan Nasional dilihatnya sebagai suatu konsep prikmatik (percubaan yang dilakukan jika tidak berjaya akan diundurkan).[30]

Penentangan awam: Gerakan Mansuhkan PPSMI[sunting | sunting sumber]

Lihat juga Perarakan Keranda Mac 2009

Sekitar akhir tahun 2008 dan awal tahun 2009, bangkitnya sebuah pergerakan bergelar Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang matlamat utamanya adalah memastikan dasar PPSMI dimansuhkan secepat mungkin. Gerakan yang asalnya dikenali sebagai "Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu" ini dipimpin Datuk Dr Hassan Ahmad, bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.[31] Walaupun kelihatan erat dengan Pakatan Rakyat, GMP menolak tanggapan bahawa mereka menyokong parti campuran tersebut[32], apatah lagi ada juga beberapa ahli politik Barisan Nasional yang menyokong perjuangan mereka, misalnya Datuk Puad Zarkashi dari UMNO.[33]

GMP mengadakan tunjuk perasaan pertama mereka di ibu kota, di perkarangan pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 31 Januari 2009, yang dihadiri oleh tokoh-tokoh berkenaan bahasa seperti Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, penyair Dinsman dan Pyanhabib, ahli jawatankuasa Persatuan Penulis Nasional (Pena) Ibrahim Ghaffar, aktivis teater Khalid Salleh, serta ahli-ahli politik Tian Chua, Shamsul Iskandar Md Akin, dan Kamaruzzaman Mohamad,[34] dan juga pejuang bahasa-bahasa Cina dan India seperti Yayasan Tamil Malaysia dan Dong Jiao Zong.[35] Kemuncak bantahan GMP ke atas PPSMI ditunjukkan melalui perarakan secara besar-besaran pada 7 Mac, di mana mereka menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memohon campur tangan baginda dalam menyelesaikan isu PPSMI.[36]

Perjuangan GMP turut dibantu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) yang cuba mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan kerana melaksanakan dasar PPSMI yang didakwa mereka sebagai mencabuli Perkara 152 Perlembagaan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.[37], di samping dilaporkan merancang untuk mengadakan tunjuk perasaan bergelar "Keranda 152", sempena dakwaan PPSMI tersebut pada bulan Februari.[38]Akan tetapi pada 15 Februari 2009, tunjuk perasaan "Keranda 152" itu tidak menjadi kenyataan, akhirnya mereka membuat laporan polis berhubung pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di Balai Polis Brickfields, Kuala Lumpur yang diiringi kira-kira 20 tokoh bahasa dan diketuai oleh Ketua 1 Gapena, Tan Sri Ismail Hussin dan berkata, laporan tersebut merupakan proses pertama Gapena menggunakan saluran itu.[39]

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut kuat membangkang dasar PPSMI. Pada 18 Februari 2009, PKPIM mengikut jejak Gapena membuat laporan polis yang seumpamanya terhadap kerajaan di Balai Polis Gombak, Selangor.[40]

Perspektif[sunting | sunting sumber]

Perundangan: Percanggahan dengan perlembagaan[sunting | sunting sumber]

Menurut Prof Dr Aziz Bari, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sangat jelas dalam Perkara 152 di mana segala urusan rasmi baik di peringkat persekutuan dan negeri hendaklah dijalankan dalam bahasa itu. Walaupun terdapat pengecualian kepada penggunaan bahasa Melayu oleh Yang Dipertuan Agong, PPSMI tidak boleh dihujah sebagai sesuatu yang dibenarkan tambahan pula dasar ini tidak dilaksanakan melalui parlimen tetapi dibuat oleh pihak eksekutif secara tiba-tiba yang sepatutnya perlu melalui proses rundingan dan perbincangan awam.[41] Polisi ini sudah pun dicabar pada tahun 2002 yang oleh empat orang pelajar Melayu Perak pada tahun 2002 kerana melanggar Perkara 152.[42] Menurut Prof Dr Aziz lagi, mahkamah belum membuat keputusan mengenai PPSMI sedangkan dalam kes Universiti Merdeka pada tahun 1981,[43] isu Perkara 152 Perlembagan Persekutuan telah timbul dan diputuskan oleh mahkamah. Dalam kes Universiti Merdeka ini, mahkamah telah menolak petisyen penubuhan Universiti Merdeka yang akan menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar kerana bertentangan dengan Perkara 152.

Menurut bekas pengerusi MAS, Tan Sri Dato' Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata bahawa penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Matematik dan Sains tidak sah di sisi undang-undang kerana bertentangan dengan seksyen 17(1) Akta 550 Akta Pendidikan 1996 dan dengan sendirinya bercanggah dengan kehendak dan tujuan Artikel 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Malaysia.[44] Kenyataan ini disokong oleh ramai penulis muda Malaysia seperti Faisal Tehrani[45] dan lain-lain.

Nasib PPSMI[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Pemansuhan PPSMI

Sepanjang separuh kedua tahun 2008, Kementerian Pelajaran telah mengadakan lima sesi persidangan meja bulat di kalangan ahli-ahli akademik, persatuan ibu bapa dan guru, kesatuan perguruan dan pertubuhan bukan kerajaan, untuk mengkaji semula dasar PPSMI dan dijangka mengambil keputusan terhadap PPSMI pada hujung tahun, berdasarkan keputusan UPSR dan faktor-faktor lain.[46] Di sidang terakhir pada bulan Disember, usul-usul yang dikemukakan para hadirin persidangan dikumpul menjadi tujuh pilihan berkenaan nasib dasar ini, iaitu:[47]

  • Meneruskan PPSMI seperti sedia ada;
  • Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah;
  • Memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah;
  • Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah;
  • Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah;
  • Penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah; dan
  • Memansuhkan mata pelajaran Sains di Tahun Satu hingga Tiga, tetapi mengajar ilmu Sains dalam mata pelajaran lain.

Pada 8 Januari 2009, Datuk Hishamuddin berkata keputusan muktamad mengenai nasib PPSMI hanya akan dicapai pada "tahun hadapan", walaupun hampir selesai mengkaji segala maklum balas yang dikumpul.[48]

Setelah Dato' Seri Najib Tun Razak mengambil alih tampuk pentadiran negara selaku Perdana Menteri pada bulan April, timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik menjadi Menteri Pelajaran baru. Pada bulan Mei, Tan Sri Muhyiddin berkata beliau masih belum puas hati dengan yang hasil kajian yang pernah dilakukan dan dibentangkan di sesi perbincangan meja bulat, oleh itu tidak dapat mencapai kata putus mengenai nasib dasar PPSMI[49], sebaliknya masih membuka pintu kepada kajian dan memorandum baru oleh semua pihak mengenai isu ini.[50]

Akhirnya pada 8 Julai 2009, Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan dasar PPSMI diberhentikan mulai tahun 2012 setelah melakukan kajian mendalam.[1]. Dalam pada itu Tun Mahathir Mohamad memberi reaksi tidak puas hati, lalu mengadakan undian isu tersebut di blognya bagi menguji sikap terhadap dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).[51] Hasilnya dari 100,024 undi, 86% penjawab mengundi tidak kepada soalan sama ada matapelajaran sains dan matematik harus kembali ke bahasa kebangsaan sebagai pengantar.[52]

Bagaimanapun, pada 9 Ogos, Tan Sri Muhyiddin mengumumkan para pelajar yang memulakan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris boleh meneruskannya hingga tamat sekolah menengah[53] sekaligus menundakan pemansuhan sepenuhnya PPSMI ke tahun 2014. Sehubungan dengan itu, beliau memperkenalkan dasar MBMMBI (Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris) sebagai ganti PPSMI yang memberi tumpuan kepada peningkatan pembelajaran matapelajaran bahasa-bahasa, sambil mengaku bahawa kerajaan tidak akan kembali ke dasar PPSMI.[54] Pada masa yang sama, kerajaan berdepan dengan gesaan agar sekolah berbahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dikembalikan dalam sistem pendidikan negara demi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan anak-anak Malaysia.[55]

Pada 7 Mei 2010, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan yang difailkan pada 21 Januari 2006 oleh empat orang pelajar, termasuk Mohammad Syawwaal Mohammad Nizar (anak lelaki Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin), agar mengisytiharkan PPSMI sebagai batal dan tidak sah, setelah hakim memutuskan bahawa "dua surat pekeliling ikhtisas berhubung pelaksanaan PPSMI di sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan (Cina dan Tamil) adalah tidak bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan."[56]

Sekitar masa kontoversi PPSMI memuncak, wujudnya sebuah pertubuhan penyokong PPSMI, bernama Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) yang memperjuangkan PPSMI supaya dijadikan pilihan untuk sekolah-sekolah yang ingin menyambung pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Atas tujuan tersebut, mereka menghantar memorandum kepada kerajaan pada 19 Januari 2011.[57] Tegas Pengerusi PAGE Datin Noor Azimah Abdul Rahim, "pencapaian cemerlang" pelajar dalam peperiksaan awam yang diambil oleh pelajar yang menjalani PPSMI pada tahun 2010 membuktikan keberkesanan dasar tersebut, malah penguasaan Bahasa Kebangsaan di kalangan pelajar tidak terjejas pula oleh pelaksanaan dasar tersebut.[57] Tambahnya pula, PPSMI tidak pernah mendukung gagasan pembelajaran bahasa Inggeris menerusi Sains dan Matematik, sebaliknya bertujuan membantu pemerolehan ilmu dalam bahasa Inggeris selaku lingua franca ilmu sains dan matematik.[58] Bagaimanapun kajian tempatan itu tidak mengambil kira dapatan kajian antarabangsa dalam "Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007)".[59] Kajian tersebut dibuat oleh Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat. Hasil kajian menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam matematik dan sains merosot dengan ketara. Skor matematik 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508 mata pada 2003 dan 519 bagi 1999, iaitu penurunan sebanyak 34 mata. Skor sains pula merosot kepada 471 mata pada 2007 daripada 510 pada 2003 dan 492 bagi kohort 1999. Ini mencatatkan penurunan 40 mata antara 2007 dan 2003.

Pada April 2011, Kementerian Pendidikan mengumumkan hasrat untuk membenarkan semula pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris untuk sekolah-sekolah terpilih.[58]

Pada 4 November 2011, Kabinet Malaysia telah memutuskan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah "kekal" dan kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti dituntut sesetengah pihak. Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga merangkap sebagai Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata PPSMI di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam Bahasa Melayu sepenuhnya pada 2016, manakala di sekolah menengah bagi kedua-dua mata pelajaran itu akan dilaksanakan sepenuhya pada 2021.

Kabinet juga memutuskan untuk membenarkan murid kohort PPSMI untuk meneruskan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris sehingga Tingkatan Lima.

Ini bermakna murid kohort PPSMI boleh memilih sama ada untuk meneruskan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun depan.[60]

Dalam perkembangan lain, Dalam satu wawancara televisyen di TV3 dalam program Soal Jawab yang disiarkan kepada umum pada jam 11.00 malam 9 November 2011, Tan Sri Muhyiddin telah mengakui PPSMI yang dijalankan di Malaysia, telah menemui kegagalan dan tidak mencapai hasrat dan dasar kerajaan dalam menggunakan kaedah pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya beliau dilihat lebih berpendirian dalam menegakkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Walaubagaimanapun dalam wawancara tersebut, Tan Sri Muhyiddin tidak menjelaskan secara terperinci tentang kesan dan nasib pelajar lepasan persekolahan yang akan melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi khususnya di Malaysia, yang kini rata-rata IPT (baik IPTA dan IPTS) menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium perantara pengajaran dan mengenepikan bahasa Melayu. Di Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dilihat hanya merupakan satu-satunya IPT di Malaysia yang telus dalam menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dan pembelajaran dalam kebanyakan kursus pengajian yang ditawarkan dalam pelbagai bidang.

Persepsi pelajar[sunting | sunting sumber]

Berdasarkan rekod Kementerian Pelajaran Malaysia, berkenaan dengan peratusan pelajar yang memilih untuk meneruskan pembelajaran bagi subjek sains dan matematik dalam bahasa Melayu, sebanyak 89 peratus pelajar Tingkatan Satu yang akan memulakan persekolahan 3 Januari 2011 memilih menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dan dwibahasa bagi mempelajari mata pelajaran Sains dan Matematik. Manakala hanya 11 peratus pelajar memilih belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sepenuhnya.

Berdasarkan peratusan tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini menunjukkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah tepat.

Beliau turut mendakwa, bahawa anggaran tersebut telah lama diramalkan, kerana itu kerajaan menetapkan untuk meminda PPSMI kepada MBMMBI.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyifatkan dasar yang diputuskan itu sesuai dengan tahap keupayaan pelajar yang akan mengikuti proses Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) bagi Sains dan Matematik.

Jawatankuasa Khas MBMMBI merumuskan 164,324 pelajar bersetuju menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya untuk mempelajari Sains dan 161,123 dalam Matematik, berbanding 56,025 orang pelajar berhasrat menggunakan bahasa Inggeris untuk belajar Sains dan Matematik pula seramai 56,248 pelajar.

Selebihnya seramai 258,622 orang pelajar berhasrat untuk mempelajari Sains dan 261,600 orang lagi ingin pelajari Matematik dalam dwibahasa.

Tambahan itu, Muhyiddin akan menubuhkan Majlis Bahasa Inggeris pada tahun 2012 bagi menentukan penanda aras dan tahap pencapaian BI pelajar dalam sistem persekolahan negara.

Katanya, majlis tersebut bakal berkelayakan sebagai tempat rujukan dan menentukan tanda aras bahasa itu akan menggunakan pakar dalam dan luar negara serta mengadakan kerjasama dengan Universiti Cambridge.

Muhyiddin juga menetapkan mulai tahun depan beberapa sekolah dipilih menyertai projek rintis apabila ibu bapa boleh mengikuti perkembangan pelajaran anak mereka menerusi konsep maya.[61]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. 1.0 1.1 "PPSMI dimansuhkan mulai 2012", Malaysiakini, 8 Julai 2009. Dicapai pada 8 Julai 2009. 
  2. "Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik (PPSMI)", Kementerian Pelajaran Malaysia, 2008-08-07. Dicapai pada 2009-02-16. 
  3. Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik (PPSMI) Kementerian Pelajaran Malaysia
  4. MacKinnon, Ian. "Immersion is a difficult lesson", The Guardian, 2008-01-18. Dicapai pada 2008-07-20. 
  5. 5.0 5.1 KEMBALIKAN BAHASA IBUNDA: Mengembalikan Penggunaan Bahasa Ibunda Sebagai Bahasa Pengantar Dan Bahasa Peperiksaan Bagi Mata Pelajaran Sains Dan Matematik Di Sekolah Rendah; Memorandum kepada Y.A.B. Dato’Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi Perdana Menteri Malaysia Daripada Pertubuhan-Pertubuhan Pendidikan Pelbagai Kaum, 27 November 2007]
  6. Mother Tongue–Best for Learning
  7. Farik Zolkepli. "Official: Use of English not a hindrance", the Star, 2008-03-14. Dicapai pada 2008-07-20. 
  8. Chapman, Karen; MacIntyre, Ian. "Many more opt for English", 2008-11-14. Dicapai pada 2008-11-16. 
  9. Salmiyah Harun. "Penggunaan BI dalam UPSR 2008 belum membanggakan - Kesatuan Guru", Harakah, 2008-11-16. Dicapai pada 2008-11-16. 
  10. Kajian: Hanya 4% kuasai BI melalui PPSMI
  11. Klik untuk Laporan Eksklusif Pembina
  12. Sila klik untuk muat turun laporan
  13. , Dr Isahak Haron. "Bahasa Melayu untuk Sains, Matematik tetap realistik", Berita Harian, 2009-03-04. Dicapai pada 2009-03-05. 
  14. "Penerimaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris". Bahasa dan Budaya (blog). 2009-02-04. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-02-06. http://web.archive.org/20090206031944/profabdullah1.wordpress.com/2009/02/04/penerimaan-pengajaran-sains-dan-matematik-dalam-bahasa-inggeris/. Capaian 2009-03-18. 
  15. Prof. Emeritus Dato’ Isahak Haron et. al. (April 2008). KESAN DASAR PENGAJARAN MATEMATIK DAN SAINS DALAM BAHASA INGGERIS DI SEKOLAH RENDAH. http://www.nst.com.my/Current_News/NST/PDF/Math-Science%20Report. Capaian 2008-09-07. 
  16. "Continue Teaching Science and Maths in English", 2008-09-15. Dicapai pada 2008-09-16. 
  17. Noraini Yaacob. "Teaching SCIENCE & MATH IN ENGLISH: Survey conclusions may be flawed, not policy", New Straits Times, 2008-09-12. Dicapai pada 2008-09-13. 
  18. Bilingualism By Suzanne Romaine.
  19. The Use of Vernacular Languages.
  20. "Sains, Matematik dalam BI: Kajian Unesco tidak dipeduli", Harakah, 2006-11-24. Dicapai pada 2008-07-20. “Unesco quotes from 'Education for All: Policy Lessons From High-Achieving Countries (Staff Working Papers, New York, Unicef': "In a situation where the parents are illiterate...if the medium of instruction in school is a language that is not spoken at home the problems of learning in the environment characterized by poverty are compounded, and the chances of drop-out increase correspondingly.” 
  21. Mehrotra, Santosh; Delamonica, Enrique (2007). "6.2" (dalam bahasa Inggeris). Eliminating Human Poverty: Macroeconomic & Social Policies for Equitable Growth. CROP: International Studies in Poverty Research (edisi 1). International Social Science Council. m/s. 181. ISBN 978-1-84277-773-2. http://books.google.com/books?id=meOqHuXwupkC&pg=PA181&dq=mehrotra+mother+tongue&sig=ACfU3U0GJC6UXCUnhGh8lnUsNZRyzrZQKw. Capaian 2008-07-25. 
  22. Templer, Bill. "TEACHING SCIENCE AND MATHEMATICS IN ENGLISH: Students' attitudes", New Straits Times, 2008-09-11. Dicapai pada 2008-09-13. 
  23. Lima sasterawan negara tolak PPSMI
  24. Pernyataan Akhbar oleh Sasterawan Negara
  25. Ng U-En. "Mukhriz enlightens the critics", The Malay Mail. Dicapai pada 2008-12-21. (Bahasa Inggeris) 
  26. Dasar PPSMI tidak perlu dimansuh-Utusan Online
  27. H Fansuri. "Agenda Pakatan Rakyat selepas merdeka daripada penjajahan BN", Harakah, 2008-04-16. Dicapai pada 2008-07-25. 
  28. Lanjusoh, Khairul Azlam Mohamad, Intan Abdullah. "Pakatan Rakyat mahu rombak semula PPSMI", 2009-01-15. Dicapai pada 2009-01-19. 
  29. "Pemuda: Kembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam BM", Bernama (mSTAR Online), 2007-11-08. Dicapai pada 2008-07-26. 
  30. Wawancara Berita TVPas, sedutan dari laman Youtube-Mansuh PPSMI bukan tiket BN untuk digelar pejuang bangsa Nizar
  31. Jimadie Shah Othman. "Sah, Dr Hassan ketuai bantahan PPSMI", Malaysiakini, 2009-01-08. Dicapai pada 2009-01-19. 
  32. Jimadie Shah Othman. "GMP tolak tanggapan sokong pembangkang di KT", Malaysiakini, 2009-01-19. Dicapai pada 2009-01-19. 
  33. Jimadie Shah Othman. "http://www.malaysiakini.com/news/96772", Malaysiakini, 2009-01-19. Dicapai pada 2009-01-19. 
  34. Jimadie Shah Othman. "Gerakan anti-PPSMI julung kali ke jalan", Malaysiakini, 2009-01-31. Dicapai pada 2009-02-01. 
  35. Jimadie Shah Othman. "Aktivis Tamil, Cina sertai bantah PPSMI", Malaysiakini, 2009-01-31. Dicapai pada 2009-02-01. 
  36. Jimadie Shah Othman. "Perhimpunan bantah PPSMI pada 7 Mac", Malaysiakini, 2009-01-21. Dicapai pada 2009-02-01. 
  37. Jimadie Shah Othman. "Saman K'jaan: Gapena jumpa peguam hari ini", Malaysiakini, 2009-01-12. Dicapai pada 2009-02-01. 
  38. Jimadie Shah othman. "PPSMI: Gapena rancang adakan 'perarakan keranda'", Malaysiakini, 2009-01-06. Dicapai pada 2009-01-19. 
  39. "PPSMI: Gapena buat laporan polis", Malaysiakini, 2009-02-15. Dicapai pada 2009-02-15. 
  40. Jimadie Shah Othman. "PPSMI: Satu lagi laporan polis terhadap kementerian", 2009-02-18. Dicapai pada 2009-02-18. 
  41. Abd Aziz Bari, "PPSMI dalam konteks perlembagaan", di Seminar Halatuju Dasar PPSMI dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan, Kolej Universiti Islam Selangor, 14 Mac 2009.
  42. Isu Matematik dan Sains - UMNO sedar langgar undang-undang?
  43. Merdeka University Berhad v Government of Malaysia ( 1981 ) 2 MLJ 356
  44. [http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1216&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm&arc=hive "Melihat PPSMI dari sudut undang-undang", Utusan Online. 16 Disember 2008.
  45. "Apartheid — Kenyataan Faisal Tehrani Berhubung PPSMI". 2009-01-08. http://tehranifaisal.blogspot.com/2009/01/apartheid.html. Capaian 2009-02-18. 
  46. "Keputusan Bukan Semata-mata Berdasarkan Keputusan UPSR, Kata Hishammuddin", Bernama, 2008-07-15. Dicapai pada 2008-07-23. 
  47. Haika Khazi. "7 pilihan ajar Sains, Matematik", Berita Harian, 2008-12-17. Dicapai pada 2008-12-21. 
  48. Chapman, Karen. "'No rush to decide on medium of instruction'", The Star, 2009-01-08. Dicapai pada 2009-01-08. 
  49. "Saya masih belum puas hati hasil kajian PPSMI - Muhyiddin", mStar Online, 2009-05-05. Dicapai pada 2009-05-07. 
  50. Chapman, Karen. "Muhyiddin wants more info on Maths & Science issue before final decision", The Star, 2009-05-04. Dicapai pada 2009-05-07. 
  51. "PPSMI: Dr Mahathir minta undian pembaca blog", Malaysiakini.com, 9 Julai 2009. 
  52. PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI), Dr. Mahathir Mohamad, 13 Mac 2009. Dicapai pada 20 April 2010.
  53. Chapman, Karen. "DPM: Those who started Maths, Science in English can continue", The Star, 9 Ogos 2009. Dicapai pada 19 Ogos 2009. 
  54. "Kerajaan Tidak Akan Kembali Kepada PPSMI, Kata Muhyiddin", Bernama, 20 Oktober 2009. Dicapai pada 20 April 2010. 
  55. "Time to bring back English medium schools", The Star, 12 April 2010. Dicapai pada 20 April 2010. 
  56. "Mahkamah Tolak Permohonan Isytihar PPSMI Sebagai Tidak Sah", 7 Mei 2010. Dicapai pada 11 Mei 2010. 
  57. 57.0 57.1 Memorandum Kepada Najib Minta PPSMI Dijadikan Opsyen, Bernama (mStar Online), 19 Januari 2011. Dicapai pada 11 April 2011.
  58. 58.0 58.1 New twist in PPSMI saga, The Star, 10 April 2011. Dicapai pada 11 April 2011.
  59. Sila klik untuk muat turun laporan
  60. Pemansuhan PPSMI sekolah rendah 2016, sekolah menengah 2021
  61. Berita Harian Online-Keputusan guna bahasa Melayu tepat