Maktab Rendah Sains MARA

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Maktab Rendah Sains MARA
مکتب رنده ساءين‌س مارا
Lokasi
Malaysia
Maklumat
JenisPendidikan menengah
MotoBerdisiplin, Berilmu, Beramal
DitubuhkanFebruari 1972
GredTingkatan 1 - 5
Bahasa pengantarBahasa Melayu, Bahasa Inggeris
Kampus55
Warna            
Merah tua, biru, kuning
AlumniANSARA (Anak Sains MARA)
Laman sesawang

Maktab Rendah Sains MARA (singkatan: MRSM, kadang-kala dikenali sebagai MARESMA) merupakan sekumpulan sekolah berasrama penuh yang dikelolakan Majlis Amanah Rakyat (MARA). MRSM merupakan institusi pendidikan di Malaysia yang menyediakan pendidikan menengah kepada pelajar-pelajar warganegara Malaysia bermula tingkatan satu sehingga tingkatan lima. Sehingga tahun 2022, terdapat sebanyak 55 buah MRSM yang sedang beroperasi di seluruh Malaysia, di mana kesemua MRSM ini menawarkan program pendidikan SPMRSM yang menggabungkan kurikulum standard Kementerian Pendidikan Malaysia dan kurikulum khas MARA[1]. Pelajar-pelajar MRSM menduduki peperiksaan utama seperti Ujian PT3 bagi pelajar tingkatan tiga dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi pelajar tingkatan lima.

Maktab Rendah Sains MARA telah ditubuhkan di bawah Akta Majlis Amanah Rakyat Bil. 20 Tahun 1966 sebagai satu usaha untuk mencapai matlamat MARA dalam bidang latihan dan pendidikan. Cadangan penubuhan institusi MRSM ini timbul seawal tahun 1968, bagi melahirkan golongan bumiputera yang pakar dalam bidang sains dan teknologi[2]. Sehingga tahun 2022, seramai 194,000 orang pelajar telah mengikuti sistem pendidikan MRSM sejak ianya mula dilancarkan secara rasmi pada tahun 1972[3][4].

Pada tahun 2002, MARA mengubah polisi kemasukan pelajar dengan menyediakan kuota sebanyak 10% diberikan kepada pelajar bukan Bumiputera[5]. Bermula tahun 2020, nisbah pelajar bumiputera dan bukan bumiputera di MRSM adalah 95% bumiputera dan 5% bukan bumiputera[6].

Pada tahun 2022, MRSM menyambut sambutan Jubli Emas ulangtahun penubuhannya yang ke-50[6].

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Penubuhan MRSM[sunting | sunting sumber]

Cadangan untuk menubuhkan institusi MRSM mula tercetus sejak tahun 1968[7]. Cadangan ini timbul berikutan kekurangan golongan Bumiputera dalam bidang sains dan teknologi.

MARA mula memperkenalkan MRSM menerusi penubuhan MRSM yang pertama pada tahun 1972 yang dikenali sebagai MRSM Seremban. Ianya dirasmikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan pada ketika itu, Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman[8]. Objektif pengenalan MRSM ini adalah untuk menambah bilangan bumiputera profesional yang mampu berdaya saing dalam bidang sains dan teknologi dan dikhususkan kepada golongan kurang berkemampuan dan luar bandar[2]. Seramai 150 orang pelajar yang merupakan kumpulan perintis mendaftar masuk ke MRSM Seremban. Tenaga pengajar pada ketika itu terdiri daripada 5 orang guru bumiputera dan terdapat juga guru dari Amerika Syarikat[2]. Pada tahun 1974 pula, peperiksaan SRP diadakan dan ini merupakan peperiksaan utama pertama kali diadakan di MRSM[9]. Di awal penubuhan MRSM, Lembaga Peperiksaan meletakkan institusi MRSM sebagai sekolah persendirian kerana berpendapat MRSM beroperasi secara berasingan daripada sistem pendidikan Kementerian Pelajaran[9].

MRSM Jasin (kini dikenali sebagai MRSM Tun Ghafar Baba) dibuka pada tahun 1981.

Pada tahun 1973, MARA menubuhkan MRSM kedua, MRSM Kota Bharu yang terletak di negeri Kelantan. Seramai 149 orang pelajar dan 20 orang kakitangan merupakan kumpulan perintis mendaftar masuk[10]. Pelajar-pelajar yang berjaya mendaftar masuk ini disaring berdasarkan Ujian Kecerdasan (IQ), Bahasa Inggeris serta Sains dan Matematik yang diperkenalkan MARA dan merupakan syarat kelayakan untuk ke MRSM[11]. Manakala, MRSM Kuantan merupakan MRSM ketiga yang telah ditubuhkan dan dirasmikan pada bulan Mac 1974 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah[12]. Kumpulan pelajar perintis di MRSM Kuantan ini mula menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Lower Certificate Education (LCE) buat pertama kali pada tahun 1976, dan kumpulan ini berjaya mencatatkan kelulusan penuh 100%[12].


Matapelajaran awal[sunting | sunting sumber]

Sebelum pengenalan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), MARA menggunakan sukatan pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran[13].

Tingkatan 1-3 Tingkatan 4-5
Bahasa Melayu Bahasa Melayu
Bahasa Inggeris Bahasa Inggeris
Ugama Ugama
Ilmu Alam Ilmu Alam
Hisab Moden Hisab Moden
Sains Panduan Sains Panduan
Kreativiti Fizik
Muzik Kimia
Pendidikan Jasmani Kajihayat
Sivik Perdagangan
Pendidikan Jasmani
Sivik

Naiktaraf kepada Kolej MARA[sunting | sunting sumber]

Beberapa buah MRSM dinaiktaraf kepada Kolej MARA dan menawarkan program pra-universiti, selepas pertambahan bilangan MRSM dari masa ke semasa, seperti MRSM Kota Bharu (yang kemudian ditukar nama kepada MRSM Pengkalan Chepa)[14] dibuka pada tahun 1973, MRSM Kuantan pada tahun 1974, MRSM Kuala Terengganu pada tahun 1978 dan MRSM Muar pada tahun 1980.

MRSM Seremban mula menerima pelajar baru bermula pada tahun 1972 sehingga tahun 1985 dan kemudian dinaiktaraf kepada Kolej MARA Seremban pada tahun 1991[8]. MRSM Kulim merupakan MRSM keempat dibina pada tahun 1977 dan mengambil seramai 149 orang pelajar tingkatan 1 sebagai kumpulan perintis. Pada tahun 1994, MRSM Kulim dinaiktaraf dan ditukar nama kepada Kolej MARA Kulim yang kini menjalankan program matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia, Program Persediaan Keusahawanan Sains Universiti Malaysia Kelantan[15] dan program asasi UniKL. Manakala, MRSM Banting pula mula dibuka pada tahun 1992 dan dinaiktaraf kepada Kolej MARA Banting pada tahun 1994 yang kini menawarkan program International Baccalaureate dan General Certificate of Education Advanced Level (GCE A-Level)[16].


Akademik[sunting | sunting sumber]

Institusi MRSM menggunakan sistem pendidikan yang diberi nama Sistem Pendidikan MRSM (singkatan: SPMRSM). Sistem pendidikan ini berteraskan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau dikenali sebagai bidang STEM. Selain itu, pelajar-pelajar juga diterapkan dengan aspek berkaitan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, kemahiran insaniah, serta kemahiran mengaplikasikan teknologi maklumat dan komunikasi[1]. Sistem SPMRSM ini dibahagikan kepada tiga program utama, iaitu program akademik, program pembangunan pelajar dan program pembangunan bakat.

Dalam program akademik, SPMRSM menggunapakai kurikulum yang digubal oleh Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM)[17]. KSSM merupakan kurikulum baru yang mula digunapakai oleh sekolah-sekolah menengah di seluruh Malaysia bermula pada tahun 2017[18], menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang telah digunakan sejak sekian lama.

Perpustakaan MRSM Johor Bahru. Perpustakaan antara tempat pelajar MRSM melakukan kajian ilmiah.

Kurikulum KSSM mewajibkan pelajar-pelajar MRSM mengambil matapelajaran teras yang terdiri daripada subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik Moden, dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral bagi pelajar bukan Bumiputera[18]. Tambahan kepada matapelajaran teras ialah subjek-subjek di bawah pakej STEM (Sains Tulen dan Matematik Tambahan), iaitu salah satu pakej di bawah kerangka KSSM[19]. Subjek-subjek di bawah pakej STEM (Sains Tulen dan Matematik Tambahan) yang diambil pelajar-pelajar MRSM ialah subjek Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan[19]. Terdapat juga pakej lain di bawah KSSM yang perlu diambil bergantung kepada program pendidikan khusus MRSM yang ditawarkan.

Kunci kepada uniknya SPMRSM ini terletak pada program pembangunan bakat di mana MARA menggunapakai model The Schoolwide Enrichment Model (SEM)[20] yang dibangunkan oleh Joseph Renzulli, bagi mengembangkan potensi pelajar ke tahap maksimum, seterusnya menaikkan prestasi sesebuah MRSM secara keseluruhannya[20]. Pelajar akan diberikan pendedahan kepada tiga peringkat model SEM ini; SEM Type I, SEM Type II, dan SEM Type III[21]. SEM Type I memberi pendedahan kepada pelajar terhadap pelbagai jenis topik yang tidak diajar dalam program akademik. SEM Type II pula lebih kepada pelajar diberikan pelbagai bahan bacaan dan rujukan bagi membantu mereka dalam memproses sesuatu topik atau penyelidikan. Manakala SEM Type III memberi pelajar peluang untuk melakukan penyelidikan mereka sendiri berdasarkan kepada bahan rujukan dan topik yang mereka pilih dalam dua peringkat sebelumnya[21]. Pesta SEM Type III pula merupakan aktiviti yang diadakan di peringkat MRSM di mana pelajar-pelajar akan membentangkan dan mempamerkan hasil kajian atau penyelidikan mereka[22].

Terdapat enam jenis program pendidikan yang ditawarkan oleh MRSM, sebagai nilai tambah kepada sistem pendidikan SPMRSM. Program Premier merupakan program pendidikan yang menerapkan sistem pendidikan SPMRSM sahaja. IGCSE dan IB MYP merupakan program pendidikan yang menerapkan sistem pendidikan SPMRSM dan kurikulum antarabangsa IGCSE dan MYP[23]. Manakala, program pendidikan Ulul Albab dan Teknikal pula menerapkan sistem pendidikan SPMRSM dan elemen khusus[23]. Program Bitara atau PKP[24] pula merupakan program pendidikan yang menerapkan sistem pendidikan SPMRSM dan program pintar cerdas bagi pelajar-pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum[25].

Bermula tahun 2023[23], program pendidikan yang ditawarkan oleh MRSM adalah:

  • Premier
  • IGCSE
  • Ulul Albab
  • IB MYP
  • Teknikal
  • Bitara / PKP[23]

Selain daripada program-program pendidikan yang ditawarkan, MRSM juga menawarkan pilihan subjek bahasa ketiga, iaitu subjek bahasa asing selain bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Subjek bahasa asing diperkenalkan bagi membantu kerajaan Malaysia dalam melahirkan pelajar yang mahir dalam berbilang bahasa, serta mampu berdaya saing di peringkat global[20]. Bahasa Arab merupakan subjek bahasa asing terawal diperkenalkan di beberapa buah MRSM, dan ianya juga ditawarkan kepada pelajar yang mengambil program pendidikan Ulul Albab. Selain itu, MRSM Langkawi menawarkan pilihan subjek bahasa Jepun[26] dan bahasa Perancis ditawarkan di MRSM Tun Abdul Razak, Pahang[26], dan MRSM Alor Gajah, Melaka[26]. Subjek bahasa Mandarin pula ditawarkan di MRSM Pengkalan Chepa, Kelantan dan MRSM Tun Ghafar Baba, Melaka. MARA menjangkakan kesemua MRSM di seluruh Malaysia akan menawarkan subjek bahasa asing ini, namun secara berperingkat[27].

Semasa[sunting | sunting sumber]

Program Premier[sunting | sunting sumber]

Program Premier merupakan program pendidikan MRSM yang hanya menjalankan sistem pendidikan SPMRSM sahaja, dan tiada program khusus yang lain. Kebanyakkan MRSM di Malaysia menawarkan program pendidikan Premier ini. Selain daripada pembelajaran di dalam kelas, MARA juga menerapkan kurikulum khas iaitu pembangunan sahsiah dan kemahiran insaniah[28]. Bagi program akademik, ianya dibahagikan kepada dua peringkat iaitu menengah rendah (tingkatan 1-3) dan menengah atas (tingkatan 4-5). Setiap peringkat ini menawarkan subjek-subjek yang berbeza, namun berasaskan kepada bidang STEM sebagai teras kepada program ini.

Bagi program pembangunan pelajar pula, terdapat pilihan badan beruniform, persatuan atau kelab dan sukan/permainan di bawah ko-kurikulum. Di bawah kurikulum khas MARA, pelajar didedahkan dengan beberapa aktiviti berteraskan pembelajaran dan daya kreativiti seperti Minggu Kerjaya, Tunas Saintis dan Olympiad Matematik[29].

Tingkatan Semester Kurikulum Peperiksaan
Tingkatan 1 Semester 1 KSSM (menengah rendah)
Semester 2
Tingkatan 2 Semester 1
Semester 2
Tingkatan 3 Semester 1
Semester 2
Tingkatan 4 Semester 1 KSSM (menengah atas)
Semester 2
Tingkatan 5 Semester 1 Peperiksaan SPMRSM
Semester 2 Peperiksaan SPM

IGCSE[sunting | sunting sumber]

IGCSE merupakan kurikulum antarabangsa yang digubal oleh yayasan Cambridge Assessment International Education (singkatan: Cambridge). Ianya menawarkan lebih daripada 70 subjek kepada pelajar-pelajar dan terdapat peperiksaan utama yang perlu diambil bagi melayakkan pelajar menerima sijil IGCSE selepas tamat pengajian[30]. Program ini merupakan nilai tambah kepada sistem pendidikan SPMRSM sedia ada[28]. Mula diperkenalkan pada sekitar tahun 2011 dengan MRSM Tun Abdul Razak merupakan MRSM perintis untuk program ini. Menerusi program ini, pelajar ditawarkan dengan dua sijil pendidikan pra-universiti yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu Sijil Pelajaran Malaysia dan Cambridge IGCSE (International General Certificate of Secondary Education). Setakat tahun 2020, terdapat 15 buah MRSM yang menawarkan program ini, di mana MARA mensasarkan 45 buah MRSM di seluruh Malaysia bakal melaksanakan program ini[31].

Dalam program IGCSE, pelajar akan mempelajari dua jenis kurikulum iaitu Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang merupakan kurikulum piawai untuk pendidikan menengah di Malaysia serta kurikulum antarabangsa yang dikenali sebagai Cambridge International General Certificate of Secondary Education. Pelajar akan mengambil empat jenis peperiksaan seperti berikut:

  • Peperiksaan Cambridge checkpoint
  • Peperiksaan PT3*
  • Peperiksaan IGCSE
  • Peperiksaan SPM

Secara umumnya, pelajar yang mengambil program IGCSE akan melalui fasa pendidikan seperti berikut:

Tingkatan Semester Kurikulum Peperiksaan
Tingkatan 1 Semester 1 IGSCE
KSSM
Semester 2
Tingkatan 2 Semester 1
Semester 2 IGCSE Checkpoint
Tingkatan 3 Semester 1
Semester 2 Ujian PT3*
Tingkatan 4 Semester 1 IGCSE
KSSM
Semester 2 Peperiksaan IGCSE
Tingkatan 5 Semester 1 KSSM
Semester 2 Peperiksaan SPM

*PT3 telah dimansuhkan mulai tahun 2022

Bagi pelajar MRSM-IGCSE, mereka mempunyai kelebihan untuk mengambil peperiksaan IGCSE di akhir Tingkatan 4 dan peperiksaan SPM ketika di Tingkatan 5[28]. Sijil IGCSE boleh digunakan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi seperti A level di United Kingdom atas tajaan sendiri.

Pelajar wajib mengambil 6 subjek sahaja yang telah ditetapkan. Subjek yang perlu diambil bagi peperiksaan IGCSE adalah:

  • Additional Mathematics
  • Mathematics
  • English as a Second Language (Speaking Endorsement)
  • Chemistry
  • Physics
  • Biology

Ulul Albab[sunting | sunting sumber]

Program Ulul Albab (atau dikenali sebagai SPMRSM Ulul Albab) merupakan program yang mengintegrasikan kurikulum piawai yang digunapakai Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu Kurikulum Standard Sekolah Menengah, dengan program aliran agama Islam[28]. Idea untuk memperkenalkan sistem pendidikan berteraskan Islam ini datangnya dari Datuk Seri Idris bin Jusoh[32]. Pada tahun 2009, MRSM Kota Putra telah dipilih sebagai SPMRSM Ulul Albab yang pertama, diikuti MRSM Gemencheh pada tahun 2010, MRSM Kepala Batas pada tahun 2011 dan MRSM Sungai Besar pada tahun 2016. Menerusi program Ulul Albab, terdapat tiga ciri utama yang akan dipupuk[32].

Ciri Objektif
Quranik Pelajar mampu menghafal Al-Quran sebanyak 30 juzuk dalam masa tiga tahun serta memahami isi kandungannya.
Ensiklopedik Pelajar mempelajari subjek biasa, sains tulen dan agama[33].
Ijtihadik Pelajar mampu memberikan pandangan dan buah fikiran dalam menjawab persoalan-persoalan ummah serta berfikiran kreatif.

MARA kini sedang dalam perancangan untuk membuka beberapa lagi MRSM Ulul Albab yang baru[34].


Teknikal[sunting | sunting sumber]

Dalam bengkel Rancangan Malaysia ke-11 (MARA), satu daripada inisiatif yang dicadangkan ialah supaya MARA mengambil langkah memperkenalkan subjek teknikal di MRSM. Sehubungan dengan itu, Bahagian Pendidikan Menengah MARA (BPM) menyediakan satu kurikulum teknikal yang selari dengan program pendidikan menengah yang berkualiti kepada pelajar MRSM. Dalam usaha untuk merealisasikan program ini, MRSM Bentong telah dijadikan sebagai satu-satunya MRSM Teknikal di seluruh Malaysia. MRSM Bentong akan dijadikan Pusat Pembelajaran Teknikal dan Robotik MRSM dengan mengaplikasikan modul Sains Kejuruteraan seawal Tingkatan 1 di samping penggunakan peralatan makmal yang canggih.

Peringkat Subjek Penerangan
Menengah rendah Sains Kejuruteraan Penerokaan teknikal dari segi minat, asas kemahiran, kerja tangan dan budaya. Pendedahan awal pada bidang robotik, pengaturcaraan komputer dan teknikal
Menengah atas Lukisan Kejuruteraan Subjek elektif yang wajib diambil untuk peperiksaan SPM
Kejuruteraan Elektrikal & Elektronik
Kejuruteraan Mekanikal
Pelajar hanya perlu memilih satu jurusan sahaja.


IB MYP[sunting | sunting sumber]

Program International Baccalaureate Middle Years Programme (singkatan: IB MYP) merupakan program pendidikan antarabangsa yang digubal oleh yayasan International Baccalaureate (IB). MYP menawarkan persekitaran pembelajaran yang menggalakkan pelajar-pelajar berusia 11-16 tahun mengetengahkan lebih idea, cadangan dan mengulas isu semasa[35]. Hasilnya, pelajar-pelajar ini berfikiran lebih kreatif, kritikal dan reflektif[35]. MRSM yang menawarkan program ini juga melaksanakan program SPMRSM, di mana pelajar-pelajar mengikuti sukatan pelajaran yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia[36].

Di bawah pelaksanaan MYP, pelajar-pelajar akan menyiapkan projek secara individu bermula tingkatan empat dan lima, mengikuti kriteria yang telah ditetapkan[36]. Manakala, pelajar-pelajar juga akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia sebagai sebahagian daripada kriteria di bawah sukatan pelajaran kebangsaan[36]. Setakat tahun 2022, terdapat 3 buah MRSM yang menawarkan program ini; MRSM Balik Pulau, MRSM Tun Dr Ismail dan MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens. Yayasan International Baccalaureate telah mentauliahkan 3 buah MRSM ini untuk menjalankan program MYP sejak Jun 2018 bagi MRSM Tun Dr Ismail[37], MRSM Balik Pulau sejak Jun 2018[38] dan MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens sejak April 2018[39].


Program Bitara[sunting | sunting sumber]

MRSM Langkawi, salah satu daripada MRSM PKP

Program Bitara atau PKP[40] merupakan program yang ditawarkan kepada pelajar yang mendapat kelulusan cemerlang dalam peperiksaan PT3[28], di samping mendapat keputusan yang cemerlang dalam Ujian Kecenderungan Kemasukan Ke MRSM (UKKM) dan aktif dalam bidang kokurikulum. Program ini diperkenalkan bagi membolehkan para pelajar yang berkebolehan tinggi mendapatkan program pendidikan khusus sebagai nilai tambah kepada sistem pendidikan sedia ada. Program ini juga berdasarkan kepada program pintar cerdas atau GATE (gifted and talented education), di mana para pelajar diberi peluang dalam membangunkan bakat mereka serta menekankan kemahiran berfikir aras tinggi[25].

MRSM Kulim merupakan MRSM pertama yang menjalankan program berasaskan pintar cerdas, dan dikenali sebagai Program Khas Penuntut (PKP)[15]. Ia melibatkan pengambilan pelajar tingkatan 4 sesi pengajian 1988/1989, dan ditamatkan pada tahun 1991[15]. Program ini kemudian dipindahkan ke MRSM Taiping pada tahun yang sama. Program PKP ini ditambah ke beberapa buah MRSM; MRSM Pengkalan Chepa pada tahun 1995, MRSM Tun Ghafar Baba pada tahun 1996, MRSM Tun Dr. Ismail (2010), MRSM Langkawi (2010) dan MRSM Kuantan (2010).

Pada tahun 2011, MARA menjenamakan program PKP ini kepada program Bitara[24], dan terdapat tiga buah MRSM yang menawarkan program ini setakat tahun 2023:


Tidak digunakan[sunting | sunting sumber]

Sains Keusahawanan[sunting | sunting sumber]

SPMRSM Sains Keusahawanan menerapkan elemen keusahawanan melalui subjek prinsip perakaunan dan ekonomi.Sehubungan dengan itu,MRSM Imtiaz YT KETENGAH telah dipilih sebagai MRSM Keusahawanan yang pertama.MRSM ini juga adalah kerjasama di antara  Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia di bawah agensi MARA, kerajaan negeri Terengganu di bawah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) serta Yayasan Terengganu (YT). MRSM ini juga adalah satu-satunya MRSM yang mempuyai tiga sijil yang akan diberi kepada pelajar selepas tamat pengajian tingkatan 5. Sijilnya adalah:

  • Sijil Pelajaran Malaysia
  • Sijil Penilaian Maktab Rendah Sains Mara
  • Sijil Keusahawanan

Terdapat beberapa tambahan subjek yang perlu diambil para pelajar untuk peperiksaan SPM, iaitu subjek Ekonomi dan Prinsip Perakaunan. Selain itu, terdapat juga modul keusahawanan yang akan dipelajari secara teori dan praktikal[41]. Program ini tidak lagi ditawarkan kerana penutupan operasi MRSM Imtiaz YT KETENGAH pada tahun 2020[42].

Kemasukan pelajar[sunting | sunting sumber]

Polisi[sunting | sunting sumber]

Di awal penubuhan MRSM, pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang serta datang dari keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan ditawarkan penempatan. Kesemua MRSM di seluruh Malaysia hanya menerima pelajar Bumiputera sahaja[43]. Ini sejajar dengan matlamat penubuhan MRSM pada ketika itu yang ingin melahirkan ramai golongan Bumiputera profesional dalam bidang sains, teknologi dan keusahawanan[2][43]. Pelajar-pelajar yang memohon ini disaring berdasarkan kepada keputusan peperiksaan utama serta keputusan Ujian Kecerdasan (IQ), Bahasa Inggeris serta Sains dan Matematik yang perlu diambil sebagai syarat kelayakan utama[11].

Kumpulan pelajar pertama yang mendaftar masuk ke MRSM PDRM Kulim pada 5 Januari 1992

Bermula sesi ambilan pelajar tahun 2002, polisi kemasukan pelajar ke MRSM berubah apabila MARA memperuntukan kuota sebanyak 10% daripada jumlah pengambilan pelajar baru di MRSM diberikan kepada pelajar bukan Bumiputera[44]. Walaupun begitu, syarat minima masih lagi tidak berubah iaitu pelajar tersebut datang dari keluarga berpendapatan rendah serta keutamaan diberikan kepada golongan luar bandar. Setakat tahun 2018, hanya 1% daripada keseluruhan kuota 10% dilaporkan diisi oleh pelajar-pelajar terbabit[5]. Tidak ramai keluarga bukan Bumiputera yang mengetahui polisi kemasukan terbaru ini antara faktor yang menyebabkan peratusan sedikit jumlah pelajar bukan Bumiputera di kesemua MRSM[5]. Bekas Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein, juga pernah mencadangkan mengenai kuota diberikan kepada pelajar bukan Bumiputera ketika di awal penubuhan MRSM, oleh kerana beliau mahu melihat pelajar Melayu berdaya saing dengan pelajar kaum lain[44].

Pada tahun 2016, MARA telah melonggarkan syarat kemasukan ke MRSM bagi pengambilan pelajar baru tingkatan satu untuk sesi tahun 2017[45]. Pelajar-pelajar dari keluarga miskin yang menetap di kawasan bandar dan luar bandar, pribumi Sabah dan Sarawak serta pelajar Orang Asli yang mendapat keputusan minima 3A 3B bagi pelajar di Semenanjung Malaysia[46] dan 3A 2B 1C bagi pelajar di Malaysia Timur[46] layak memohon kemasukan ke MRSM[45][47]. Ini berikutan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 yang agak kurang memuaskan, di mana kurangnya peratusan A[47]. Sebelum ini, pelajar perlu mendapat keputusan minima 5A bagi pelajar di Semenanjung Malaysia dan 4A bagi pelajar di Malaysia Timur bagi membolehkan mereka memohon ke MRSM.

Pada tahun 2021, MARA mencadangkan dasar baru pengambilan pelajar ke tingkatan satu dan empat di mana hanya pelajar daripada sekolah kebangsaan sahaja dibenarkan memohon[48]. Cadangan ini kemudian mendapat bantahan dari ramai pihak yang merasakan syarat baru ini tidak adil; antaranya kerana terdapat pelajar berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak mengikuti persekolahan aliran perdana[48]. Selain itu, cadangan baru ini didakwa bercanggah dengan semangat kepelbagaian kaum di Malaysia[49]. Menteri Pembangunan Luar Bandar pada ketika itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid, mengumumkan bahawa cadangan baru ini ditarik balik serta MARA akan menggunakan syarat lama iaitu pelajar dari mana-mana aliran persekolahan berhak memohon ke MRSM untuk sesi 2022[50]. Manakala, kuota pengambilan pelajar turut kekal iaitu 60 peratus daripada keseluruhan jumlah pelajar baru tingkatan satu dan empat dikhususkan kepada keluarga pelajar berpendapatan rendah (B40)[50], 20 peratus daripadanya kepada keluarga pelajar berpendapatan sederhana (M40), 15 peratus daripadanya kepada keluarga pelajar berpendapatan tinggi (T20) dan lima peratus dikhususkan kepada pelajar bukan Bumiputera. Pelajar yang memohon perlu menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) yang meliputi subjek-subjek dalam bidang STEM dan darjah kecerdasan (IQ)[50].


Syarat kemasukan[sunting | sunting sumber]

Tingkatan 1[sunting | sunting sumber]

  • Pelajar mestilah Warganegara Malaysia;
  • Pelajar Bumiputera atau Bukan Bumiputera yang menuntut di Sekolah Kebangsaan atau Sekolah Rendah Kebangsaan;
  • Mendapat 3A 3B atau lebih dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun semasa bagi pelajar Semenanjung; atau
  • Mendapat minima 3A 2B dan 1C (A dalam Matematik dan Sains) dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun semasa bagi pelajar Sabah dan Sarawak;
  • Bergiat aktif dalam bidang kepimpinan, kokurikulum, dan sukan; dan
  • Keutamaan diberi kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dari sekolah pedalaman, luar bandar dan kawasan bandar yang meliputi kawasan setinggan dan kawasan daif.

Tingkatan 4[sunting | sunting sumber]

  • Pelajar mestilah Warganegara Malaysia;
  • Pelajar Bumiputera tingkatan tiga yang sedang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan atau Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan; atau
  • Pelajar Bukan Bumiputera tingkatan tiga yang sedang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan atau Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan;
  • Pelajar mestilah sekurang-kurangnya lulus bagi mata pelajaran Matematik dan Sains dalam peperiksaan pertengahan tahun tingkatan tiga;
  • Pelajar memperoleh keputusan sekurang-kurang 6A 4B (tidak termasuk mata pelajaran Bahasa Tambahan dan Pendidikan Kesenian) dan gred A dalam Matematik dan Sains serta tiada gred C, D, atau E dalam subjek teras dalam Penilaian Tingkatan Tiga (PT3) tahun semasa;
  • Pelajar mendapat markah yang tinggi dalam Ujian Kecenderungan Kemasukan ke MRSM (UKKM) tahun semasa;
  • Pelajar perlu mengisi borang permohonan secara online dan menduduki Ujian Kecenderungan Ke MRSM (UKKM) sebagai prasyarat kemasukan ke Tingkatan 4 MRSM;
  • Pelajar yang sedang menuntut di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI), dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) tidak layak memohon.

Statistik permohonan[sunting | sunting sumber]

Berikut merupakan statistik jumlah pelajar yang membuat permohonan ke MRSM melalui Bahagian Pendidikan Menengah MARA, serta bilangan kekosongan yang ditawarkan di kesemua MRSM. Jumlah yang dipaparkan merangkumi pelajar tingkatan satu dan empat. Statistik ini juga tidak termasuk jumlah pelajar yang membuat rayuan dan berjaya mendapat tempat ke MRSM.

Tahun kemasukan Bilangan memohon Jumlah diperuntukan
2017 64,484[51] 9,500[51]
2018 10,062[52]
2019 70,000*[53] 10,005[54]
2020 106,479[55] 9,440[55]
2021 102,329[56] 10,209[56]
2022 74,472[57] 9,879[57]

(*)Anggaran

Aktiviti Tahunan[sunting | sunting sumber]

Beberapa aktiviti utama dianjurkan secara tahunan di mana satu MRSM dipilih sebagai tuan rumah, dan mengumpulkan wakil-wakil dari MRSM lain. Kebiasaannya, aktiviti ini berlangsung selama 3 hari, dan wakil-wakil dari MRSM lain mendiami asrama di MRSM tuan rumah tersebut.

Konvensyen PUM[sunting | sunting sumber]

PUM atau Persatuan Usahawan Muda merupakan salah satu cabang kokurikulum yang ditawarkan di kesemua MRSM[58]. Pelajar-pelajar yang menyertai PUM kemudiannya akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan mencipta syarikat mereka sendiri, berdaftar di bawah Bahagian Pendidikan Menengah MARA[59]. Syarikat-syarikat yang dicipta ini kemudian perlu bergerak aktif dalam melakukan perniagaan mereka sepanjang sesi persekolahan[58]. Sebelum Konvensyen PUM, satu syarikat dipilih sebagai wakil MRSM tersebut, dan kebiasaanya syarikat dipilih berdasarkan prestasi dan penglibatan aktif perniagaan yang telah mereka jalankan.

Konvensyen PUM pula merupakan acara tahunan yang mengumpulkan kesemua syarikat yang telah dipilih ini dan 1 MRSM dipilih sebagai tuan rumah[59]. Terdapat beberapa aktiviti yang dijalankan sepanjang penganjuran Konvensyen PUM:

  • Gerai-gerai pameran dari kesemua syarikat wakil MRSM yang hadir[59].
  • Program bicara bersama usahawan[59].
  • Penyampaian anugerah Konvensyen PUM.

STERF[sunting | sunting sumber]

STERF (Science, Technology, Engineering and Rocket Fair) merupakan aktiviti sains tahunan luar kelas, berdasarkan kepada STEM. Aktiviti ini merupakan gabungan di antara program Tunas Saintis dan Kejohanan Roket MRSM Se-Malaysia. Program ini mengetengahkan projek-projek sains yang terpilih oleh wakil di kesemua MRSM dan terdapat juri di kalangan guru-guru serta profesional[60] yang akan memilih projek yang bakal mewakili MRSM ke peringkat nasional[61].


Lokasi MRSM[sunting | sunting sumber]

Sehingga tahun 2022, terdapat 55 buah MRSM yang beroperasi di seluruh Malaysia. 48 buah di Semenanjung Malaysia manakala baki 7 buah MRSM di Malaysia Timur. Kesemua negeri di Malaysia memiliki sekurang-kurangnya 2 buah MRSM. Tiada MRSM dibina setakat ini di kawasan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), walaupun ada perancangan untuk membina sebuah MRSM di Labuan sejak tahun 2015 lagi[62]. Negeri Perak memiliki MRSM terbanyak dengan 9 buah MRSM ditubuhkan dan yang terbaru; MRSM Bagan Datuk dibuka secara rasmi pada tahun 2021. MRSM Bagan Datuk menawarkan program Ulul Albab kepada pelajar tingkatan satu sehingga lima.

MRSM Langkawi terletak di pulau Langkawi, Kedah

Kebanyakkan MRSM menggunakan nama tempat sebagai nama MRSM tersebut, seperti MRSM Kuantan, MRSM Kuala Terengganu atau MRSM Muar. Beberapa buah MRSM pula menggunakan nama perseorangan seperti MRSM Tun Mustapha di Sabah yang mengabadikan nama Tun Mustapha[63] (Yang di-Pertua Negeri Sabah pertama); MRSM Tun Abdul Razak, Pahang (Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang kedua); MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens, Sabah (Tun Mohammad Fuad Stephens, Yang di-Pertua Negeri Sabah ketiga); MRSM Sultan Azlan Shah, Perak (Sultan Azlan Shah, Sultan Perak ke-34); MRSM Tun Ghazali Shafie, Pahang (Tun Ghazali Shafie, ahli politik); MRSM Tun Dr Ismail, Johor (Tun Dr Ismail[63], bekas Timbalan Perdana Menteri); dan MRSM Tun Ghafar Baba, Melaka (Tun Ghafar Baba[63], bekas Timbalan Perdana Menteri).

MRSM Terendak dan MRSM PDRM Kulim merupakan MRSM yang ditubuhkan khusus untuk menerima pelajar-pelajar dari keluarga anggota tentera dan polis[64]. Walaubagaimanapun, pelajar dari keluarga biasa turut diterima masuk ke dua-dua buah MRSM ini oleh kerana kurangnya peratusan tempat yang diisi oleh golongan tersebut[65]. MRSM Terendak terletak di dalam Kem Terendak di Melaka yang merupakan kem tentera Angkatan Tentera Malaysia, manakala MRSM PDRM Kulim pula terletak di dalam kawasan Batalion 2 Pasukan Gerakan Am di Kulim, Kedah, salah satu cawangan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pada tahun 2020, MRSM ATM Bera siap dibina dan ianya merupakan MRSM kedua yang dikhususkan kepada pelajar-pelajar dari keluarga anggota tentera. Terletak di mukim Triang dalam negeri Pahang, nama MRSM ATM ini diambil bersempena dengan lokasinya yang terletak bersebelahan dengan kem tentera Rejimen Ke-34 Artileri.[66].

Terdapat juga beberapa buah MRSM yang dibina hasil kerjasama antara MARA dengan agensi kerajaan dan swasta. MRSM FELDA (Trolak) yang ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2008 dibina dalam kawasan tanah rancangan FELDA, Feldajaya Trolak Utara di Sungkai, Perak[67]. MRSM ini diiktiraf sebagai MRSM yang termoden dan tercanggih, menelan kos sebanyak RM123 juta, dan sebahagiannya dibiayai FELDA seperti kemudahan fizikal dan pengurusan[67]. MRSM Bintulu di Sarawak merupakan MRSM keempat yang dibina di negeri itu di mana kos pembinaan ditaja sepenuhnya oleh PETRONAS, syarikat minyak dan gas multinasional Malaysia[68]. MRSM Bintulu dijangka akan dibuka secara rasmi pada tahun 2023.

Zon[sunting | sunting sumber]

Kesemua MRSM di seluruh Malaysia dibahagikan kepada empat zon; Utara, Timur, Barat dan Selatan. Kebiasaannya, aktiviti tahunan MRSM akan bermula dari peringkat zon, dan kemudian ke peringkat MRSM se-Malaysia.

Maktab Rendah Sains MARA is located in Malaysia
Beseri
Arau
PDRM Kulim
Langkawi
Pendang
Kubang Pasu
Merbok
Baling
Balik Pulau
Transkrian
Taiping
Gerik
Lenggong
Pasir Salak
FELDA Trolak
Pengkalan Hulu
Parit
Sultan Azlan Shah
Bagan Datuk
Kuala Kubu Bharu
Sungai Besar
Kuala Klawang
Serting
Gemencheh
Tun Ghafar Baba
Terendak
Alor Gajah
Muar
Mersing
Tun Dr Ismail
Batu Pahat
Johor Bahru
Kuantan
Muadzam Shah
Tun Ghazali Shafie
Bentong
Tun Abdul Razak
ATM Bera
Kuala Terengganu
Kuala Berang
Kota Putra
Besut
Pengkalan Chepa
Pasir Tumboh
Jeli
Kuala Krai
Tumpat
Kuching
Betong
Mukah
Kota Kinabalu
Tun Mustapha
Tun Mohammad Fuad Stephens
Semporna
Kepala Batas
Bintulu
Taburan lokasi MRSM yang beroperasi di seluruh Malaysia

Lagu rasmi[sunting | sunting sumber]

Lagu rasmi MRSM digubah dan lirik ditulis oleh Encik Ariffin bin Pawanchik, yang pada ketika itu merupakan seorang pelatih pasukan pengakap MRSM Pengkalan Chepa sekitar tahun 1974[69]. Rakaman awal lagu ini membabitkan 15 orang pelajar perintis MRSM Pengkalan Chepa yang terlibat dalam pasukan koir, bersama dengan Kombo RTM Kota Bharu, diadakan di Hotel Surian, Kota Bharu, Kelantan[69]. Idea kepada penciptaan lagu rasmi MRSM ini datangnya dari pengetua MRSM Pengkalan Chepa itu sendiri iaitu Cikgu Tajuddin Shamsudin[69]. Kini, lagu ini digunakan oleh kesemua MRSM dalam acara dan majlis rasmi.

Wahai putera puteri bangsaku
Ayuh segera menuju
Mengikut gerak langkah maju
Bersatu mencari ilmu

Di zaman sains dan teknologi
Negara perlukan jasamu
Janganlah rasa malas lagi
Bersama memegang teraju

Di Maktab Rendah Sains MARA
Tuntut ilmu jangan jemu
Ikrar taat setia pada guru
Berdisiplin selalu

Hari ini hari mulanya
Hari esok berjaya
Lengkapkan segala yang ada
Ke kuliah kita segera


Bekas pelajar MRSM[sunting | sunting sumber]

Nama Jawatan MRSM
Datuk Seri Mukhriz bin Mahathir Ahli politik MRSM Kota Bharu[70]
Tuan Hj Ir. Amiruddin bin Hj Hamzah Ahli politik MRSM Seremban[71]
Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid Ahli politik MRSM Seremban[72]
Datuk Seri Abdul Wahid bin Omar Pengerusi kumpulan Permodalan Nasional Berhad MRSM Seremban[73]
Datuk Kamarudin bin Meranun Pengerusi AirAsia MRSM Kuantan[74]
Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustaphar Angkasawan pertama Malaysia MRSM Muar[75]
Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly Ketua Pegawai Eksekutif TM MRSM Kuantan[76]
Datuk Mokhzani Mahathir Pengasas SapuraKencana Petroleum Berhad MRSM Kota Bharu[77]
Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin Juruterbang Malaysia Airlines MH17 MRSM PDRM Kulim[78]
Mohd Anuar Taib Pengerusi Shell Malaysia MRSM Muar[79]
Datuk Mohd Izzaddin Idris Pengarah Urusan Kumpulan UEM MRSM Seremban[79]
Datuk Dr. Mohd Azhari Yakub Ketua Pakar Bedah Kardiothorasik, IJN MRSM Kota Bharu[80]
Dr Mohd Lutfi Fadil bin Lokman Pengasas Hospitals Beyond Boundaries (HBB), sebuah NGO MRSM Jasin[81]
Neelofa Pengacara MRSM Langkawi[82]
Janna Nick Pelakon MRSM Pendang[82]
Altimet Penyanyi MRSM Muar[83]
Malique Ibrahim Penyanyi MRSM Taiping[84]
Hafiz Hamidun Penyanyi MRSM PDRM Kulim[85]
Amirizwan Taj Tajuddin Pemain bola sepak MRSM Kuala Terengganu[86]
Sharifah Noor Faslina Syed Md Kamal Usahawan MRSM Beseri[87]
Adli Abdul Wahab Pemain Ragbi MRSM Alor Gajah

Sekolah Terbaik SPM[sunting | sunting sumber]

Tahun Sekolah KPM GPS MRSM GPS Sekolah Swasta GPS
2001 Sekolah Sultan Alam Shah 2.09 MRSM Tun Ghafar Baba 1.80 Kolej Yayasan Saad 2.04
2002 Sekolah Sultan Alam Shah MRSM Langkawi
2003 Kolej Tunku Kurshiah MRSM Langkawi Kolej Yayasan Saad
2004 Kolej Islam Sultan Alam Shah MRSM Beseri 1.705
2005 Kolej Islam Sultan Alam Shah 1.74 MRSM Tun Ghafar Baba
2006 SMS Tuanku Munawir 1.67 MRSM Tun Ghafar Baba 1.4328
2007 SMS Tuanku Munawir 1.562 MRSM Langkawi 1.4457
2008 SMS Tuanku Munawir 1.612 MRSM Langkawi 1.4041 Kolej Yayasan Saad 1.33
2009 SMS Tuanku Munawir 0.97 MRSM Taiping 1.1052 Kolej Yayasan Saad 0.58
2010 SMS Tuanku Munawir 0.89 MRSM Pengkalan Chepa 0.83 Kolej Yayasan Saad 0.66
2011 Kolej Tunku Kurshiah 0.9230 MRSM Tun Ghafar Baba 1.00
2012 Sekolah Seri Puteri 1.0422 MRSM Tun Ghafar Baba 1.039
2013 Sekolah Tun Fatimah 0.8410 MRSM Tun Ghafar Baba 1.1329
2014 SMS Tuanku Munawir 1.1568 MRSM Taiping 1.0681 Kolej Yayasan Saad 0.94
2015 SMS Tuanku Munawir MRSM Taiping Kolej Yayasan Saad
2016 Kolej Tunku Kurshiah 1.31 MRSM Tun Ghafar Baba (Corvs 34) 1.22 Kolej Yayasan Saad 1.60
2017 Sekolah Tun Fatimah 1.109 MRSM Tun Ghafar Baba (Vieas 35) 1.27 Kolej Yayasan Saad 1.21

Lihat juga[sunting | sunting sumber]


Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b "MAKTAB RENDAH SAINS MARA". MARA. Dicapai pada 24 November 2022.
  2. ^ a b c d "Kami pandang ke hadapan, untuk bangunkan negara - Alumni MRSM". Astro Awani. 16 September 2019. Dicapai pada 14 November 2022.
  3. ^ "Sistem pendidikan MRSM perlu dipertahankan untuk satu tempoh lebih panjang – Mahdzir". Malaysia Post. 20 April 2022. Dicapai pada 14 November 2022.
  4. ^ Mohamed, Ludfi (20 April 2022). "Sistem pendidikan MRSM perlu dipertahankan untuk satu tempoh lebih panjang – Mahdzir". Suara Merdeka. Dicapai pada 14 November 2022.
  5. ^ a b c Sukaimi, Siti A’isyah (11 November 2018). "Hanya satu peratus isi kuota bukan Bumiputera MRSM". Berita Harian. Dicapai pada 18 November 2022.
  6. ^ a b "Mara terima hampir 75,000 permohonan kemasukan ke MRSM tahun ini - Mahdzir". Astro Awani. 20 April 2022. Dicapai pada 24 November 2022.
  7. ^ Prospektus Maktab Rendah Sains MARA 1994/1995. Majlis Amanah Rakyat. m/s. 7.
  8. ^ a b "MRSM SEREMBAN (1972)". Perpustakaan Negara Malaysia. Dicapai pada 21 Jun 2017.
  9. ^ a b "Menyambut pencapaian 40 tahun MRSM Seremban". Utusan Malaysia. 10 November 2012. Dicapai pada 21 Jun 2017.[pautan mati kekal]
  10. ^ "PENGENALAN PENUBUHAN MAKTAB RENDAH SAINS MARA PENGKALAN CHEPA". MRSM Pengkalan Chepa. Dicapai pada 21 Jun 2017.[pautan mati kekal]
  11. ^ a b "Kenangan MRSM PC 1973". eWarta MARA. 10 April 2018. Dicapai pada 14 November 2022.
  12. ^ a b "Sejarah MRSM Kuantan". MRSM Kuantan. Dicapai pada 24 November 2022.
  13. ^ Prospektus Maktab Rendah Sains MARA 1977/78. Majlis Amanah Rakyat. m/s. 25.
  14. ^ "Mukhriz kongsi gambar kenangan berbuka puasa di MRSM". Astro Awani. 17 April 2021. Dicapai pada 21 November 2022.
  15. ^ a b c "SEJARAH KOLEJ MARA KULIM". Kolej MARA Kulim. Dicapai pada 13 November 2022.
  16. ^ "HISTORY". Kolej MARA Banting. Dicapai pada 21 Jun 2017.
  17. ^ "5,827 calon SPM 2021 MRSM catat gred kepujian tertinggi semua subjek". Astro Awani. 16 Jun 2022. Dicapai pada 25 November 2022.
  18. ^ a b Mohd Dom, Tan Sri Alimuddin (9 Disember 2019). "KSSM perkasakan pelajar secara holistik". Berita Harian. Dicapai pada 25 November 2022.
  19. ^ a b "Pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (Menengah Atas) dan Pelaksanaan Pakej Mata Pelajaran Mulai Tahun 2020". Kementerian Pendidikan Malaysia. Dicapai pada 25 November 2022.
  20. ^ a b c "MRSM Punya Kelas Tersendiri". eWarta MARA. 10 November 2020. Dicapai pada 25 November 2022.
  21. ^ a b "Effectiveness of School Wide Enrichment Model (MPSS) in Mara Junior Science College". International Conference on Learner Diversity 2010. Elsevier Ltd.. Disember 2010. https://www.researchgate.net/publication/257713805_Effectiveness_of_School_Wide_Enrichment_Model_MPSS_in_Mara_Junior_Science_College.
  22. ^ Osman, Hamzah (22 Jun 2019). "Anak Malaysia 'power'!". Harian Metro. Dicapai pada 25 November 2022.
  23. ^ a b c d "Sistem Pendidikan MRSM Tahun 2023". MARA. Dicapai pada 24 November 2022.
  24. ^ a b "Budaya cemerlang jadikan MRSM Pengkalan Chepa terbaik". Utusan Malaysia. 24 Mac 2011.
  25. ^ a b Muhamat Laila, Nor Azma. "Permohonan kemasukan ke MRSM bagi tahun 2022 kini dibuka". Sinar Harian. Dicapai pada 14 November 2022.
  26. ^ a b c Osman, Hamzah (20 April 2019). "MRSM tawar bahasa ketiga lahirkan pelajar berdaya saing". Berita Harian. Dicapai pada 7 Disember 2022.
  27. ^ Osman, Hamzah (20 April 2019). "MRSM tawar subjek bahasa asing". Harian Metro. Dicapai pada 7 Disember 2022.
  28. ^ a b c d e Prospektus IPMA 2020. Majlis Amanah Rakyat. m/s. 7.
  29. ^ Ramly, M. Suhaimi. MRSM Mathematical Olympiad Vol 1. Kangaroo Math. ISBN 978-983-44678-4-5. Dicapai pada 6 Jun 2017.
  30. ^ "Cambridge IGCSE". Cambridge Assessment International Education. Dicapai pada 24 November 2022.
  31. ^ "Sistem dwi-sijil SPM, IGCSE di MRSM 2016". Sinar Harian. 30 Julai 2013. Dicapai pada 5 Jun 2017.
  32. ^ a b "MRSM PROGRAM SPMRSM ULUL ALBAB" (PDF). MARA. Dicapai pada 14 November 2022.
  33. ^ "Program Ulul Albab jadi pilihan Ibubapa dan pelajar". Utusan Borneo. 11 Januari 2020. Dicapai pada 14 November 2022.
  34. ^ "2 lagi MRSM Ulul Albab akan diwujudkan". Berita Harian. 31 Mac 2019. Dicapai pada 14 November 2022.
  35. ^ a b "The International Baccalaureate® (IB) Middle Years Programme (MYP) is for students aged 11-16.". International Baccalaureate Organization. Dicapai pada 24 November 2022.
  36. ^ a b c "MRSM PROGRAM IB-MIDDLE YEAR PROGRAMME (MYP)". MARA. Dicapai pada 24 November 2022.
  37. ^ "MRSM Tun Dr Ismail, Pontian". International Baccalaureate Organization. Dicapai pada 24 November 2022.
  38. ^ "MRSM Balik Pulau". International Baccalaureate Organization. Dicapai pada 24 November 2022.
  39. ^ "MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens Sandakan". International Baccalaureate Organization. Dicapai pada 24 November 2022.
  40. ^ "FREQUENTLY ASKED QUESTIONS MRSM INTAKE FOR 2020". MARA. Dicapai pada 14 November 2022.
  41. ^ "MRSM PROGRAM SPMRSM SAINS KEUSAHAWANAN" (PDF). MARA. Dicapai pada 14 November 2022.
  42. ^ Yatim, Norhaspida (23 Oktober 2019). "MRSM Imtiaz YT Ketengah ditutup". Sinar Harian. Dicapai pada 15 November 2022.
  43. ^ a b Amly, Wan Syamsul (15 November 2017). "MRSM komited objektif penubuhan buat Bumiputera berpendapatan rendah - Ansara". Astro Awani. Dicapai pada 18 November 2022.
  44. ^ a b Hamid, Nadia (20 Julai 2018). "[UPDATE] Sivarasa nafi tohmahan". Harian Metro. Dicapai pada 18 November 2022.
  45. ^ a b "Syarat Kemasukan MRSM Pelajar Miskin, Sabah Dan Sarawak Dilonggarkan". MStar. 29 November 2016. Dicapai pada 22 November 2022.
  46. ^ a b "MARA Longgar Syarat Kemasukan Ke Tingkatan Satu MRSM 2017". eWarta MARA. 23 November 2016. Dicapai pada 22 November 2022.
  47. ^ a b "MARA longgarkan syarat kemasukan tingkatan satu ke MRSM". Astro Awani. 23 November 2016. Dicapai pada 22 November 2022.
  48. ^ a b Rozlan, Nur Iftitah (5 September 2021). "Perhalusi semula syarat kelayakan masuk ke MRSM". Sinar Harian. Dicapai pada 22 November 2022.
  49. ^ "Pembangkang bantah syarat baru MRSM hanya terima pelajar sekolah kebangsaan". Malaysiakini. 4 September 2021. Dicapai pada 22 November 2022.
  50. ^ a b c Abdul Rahman, Noorazura (5 September 2021). "Masuk MRSM ikut syarat lama". Berita Harian. Dicapai pada 22 November 2022.
  51. ^ a b Nizam, Mohammad Arif (13 Januari 2017). "500 tempat MRSM untuk anak OKU, yatim piatu, miskin tegar". Malaysia Gazette. Dicapai pada 24 November 2022.
  52. ^ Mohd Noor, Nor Waheeda Ramzan (21 Januari 2018). "KEMASUKAN MRSM 2018: GOLONGAN BERPENDAPATAN RENDAH DIUTAMAKAN". eWarta MARA. Dicapai pada 24 November 2022.
  53. ^ "70,000 mohon masuk MRSM, kuota hanya 7,760 - Rina Harun". Astro Awani. 15 Disember 2018. Dicapai pada 22 November 2022.
  54. ^ "Lebih 60% pelajar keluarga B40 sah terima tawaran MRSM". Selangorkini. 4 Januari 2019. Dicapai pada 24 November 2022.
  55. ^ a b "Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan 1 bermula hari ini". MStar. 15 Disember 2019. Dicapai pada 22 November 2022.
  56. ^ a b Musa, Nur Huda (9 Mac 2021). "Boleh semak tawaran MRSM esok". Kosmo!. Dicapai pada 22 November 2022.
  57. ^ a b "Permohonan ke MRSM cecah 75,000, kuota dibuka hanya 9,900 pelajar". Sinar Harian. Dicapai pada 22 November 2022.
  58. ^ a b Yatim, Norhaspida (30 Julai 2017). "Pelajar MRSM Muar dibentuk jadi usahawan". Berita Harian. Dicapai pada 15 November 2022.
  59. ^ a b c d "KONVENSYEN KEBANGSAAN KEUSAHAWANAN ISLAM" (PDF). Bank Muamalat. Dicapai pada 15 November 2022.
  60. ^ "PELANTIKAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF AGENSI KELAYAKAN MALAYSIA (MALAYSIAN QUALIFICATIONS AGENCY, MQA) YANG BAHARU" (PDF). Agensi Kelayakan Malaysia. Dicapai pada 15 November 2022.
  61. ^ "Pelajar MRSM Kuantan Hasilkan Bata Dari Tandan Sawit". MStar. 17 Februari 2010. Dicapai pada 15 November 2022.
  62. ^ "MRSM Akan Dibina Di Labuan". MStar. 6 September 2015. Dicapai pada 18 November 2022.
  63. ^ a b c "MRSM Pontian guna nama baharu". Kosmo. 24 Februari 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Mac 2014. Dicapai pada 5 Jun 2017.
  64. ^ Amly, Wan Syamsul (2 Mei 2016). "'MRSM PDRM kedua akan dibina di Perak' - Ahmad Zahid". Astro Awani. Dicapai pada 18 November 2022.
  65. ^ "Over RM16 million allocated to upgrade MRSM PDRM". Astro Awani. 25 Julai 2020. Dicapai pada 18 November 2022.
  66. ^ Raja Abdul Aziz, Raja Norain Hidayah (30 April 2018). "Kuota 30 peratus untuk anak anggota, veteran tentera". Harian Metro. Dicapai pada 18 November 2022.
  67. ^ a b "Najib Rasmi MRSM Felda Termoden Di Malaysia". MStar. 7 Julai 2010. Dicapai pada 18 November 2022.
  68. ^ "MRSM Bintulu set to open doors for students in 2023". MStar. 22 Mac 2022. Dicapai pada 18 November 2022.
  69. ^ a b c "Jendela Sejarah MARA - Sejarah Lagu MRSM". MARA. Dicapai pada 14 November 2022.
  70. ^ "Daulat seorang ayah, nukilan rasa Mukhriz mengenai ayahnya". Astro Awani. 21 Jun 2015. Dicapai pada 9 Jun 2017.
  71. ^ "YB Tuan Hj Ir. Amiruddin bin Hj Hamzah". Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-03-17. Dicapai pada 9 Jun 2017.
  72. ^ "Ada cerita di sebalik nama Ahli Parlimen Kota Tinggi ini..." Agenda Daily. 5 Ogos 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-01-19. Dicapai pada 9 Jun 2017.
  73. ^ "Wahid kongsi kisah kejayaan". Sinar Harian. 26 Jun 2011. Dicapai pada 9 Jun 2017.[pautan mati kekal]
  74. ^ Zaidan, Fairuz (9 April 2011). "DARAH SENI KAMARUDDIN". MARA eWarta. Dicapai pada 9 Jun 2017.
  75. ^ "Mara Beli Pakaian Angkasawan Dr Sheikh Muszaphar". BERNAMA. 14 Mac 2009. Dicapai pada 9 Jun 2017.
  76. ^ Mohamad, Roslina (21 Mac 2008). "MRSM Tun Ghafar Baba beats 36 teams to title". The Star. Dicapai pada 9 Jun 2017.
  77. ^ Mohd Ali, Tun Dr. Siti Hasmah (5 November 2014). "Suhailah dedicated herself to Bakti". New Straits Times. Dicapai pada 9 Jun 2017.
  78. ^ "Kapten Wan Amran sempat berbuka puasa di kampung". Utusan Malaysia. 19 Julai 2014. Dicapai pada 9 Jun 2017.[pautan mati kekal]
  79. ^ a b "MRSM melahirkan pelajar pintar cerdas dan berbakat" (PDF). MARA. 1 Mei 2011. Dicapai pada 9 Jun 2017.
  80. ^ "MRSM disaran bergerak selari Wawasan 2020". Utusan Malaysia. 31 Ogos 1998. Dicapai pada 9 Jun 2017.[pautan mati kekal]
  81. ^ "Kerana Tertekan Akibat Kecederaan, Doktor Nazar Bantu Orang Dan Berjaya Lakukan Ini". The Vocket. 1 Januari 2016. Dicapai pada 9 Jun 2017.
  82. ^ a b "Selebriti popular yang pernah mendapat keputusan cemerlang SPM". Astro Awani. 16 Mac 2017. Dicapai pada 9 Jun 2017.
  83. ^ "Altimet rapper sejati". Utusan Malaysia. 21 Ogos 2016. Dicapai pada 9 Jun 2017.
  84. ^ "MALIQUE". Qarma Musiq. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-08-03. Dicapai pada 9 Jun 2017.
  85. ^ Syafaat, Amirah Amaly (20 Disember 2015). "Hafiz... Juara perancang masa depan". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-12-25. Dicapai pada 9 Jun 2017.
  86. ^ "Joseph Kalang tandatangan kontrak dengan Penyu". Utusan Malaysia. 3 Disember 2015. Dicapai pada 9 Jun 2017.
  87. ^ "Wanita berhati waja". Sinar Online. 10 Julai 2016. Dicapai pada 9 Jun 2017.


Pautan luar[sunting | sunting sumber]