Sultan Idris Shah II

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah II
Sultan Perak ke-XXXIII
Pemerintahan 5 Januari 1963 - 31 Januari 1984
Pendahulu Sultan Yussuf Izzuddin Shah
Pengganti Sultan Azlan Muhibbuddin Shah
Raja Muda Raja Azlan Shah
Pasangan Raja Perempuan Muzwin binti Raja Ariff Shah
Anakanda
Raja Nadzatul Shima (Raja Puan Mahkota Perak)
Raja Raja Iskandar Zulkarnain (Raja Kechil Besar Perak)
Raja Zarith Sofia (Sultanah Johor)
Raja Jamil Azriffin
Raja Radziatul Zahar, mangkat ketika bayi
Nama penuh
Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah II ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kaddasullah
Kediaman Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak
Ayahanda Sultan Iskandar Shah ibni Almarhum Sultan Idris Murshidul Adzam Shah Rahmatullah
Bonda Raja Puteh Umi Kalsom binti Almarhum Raja Kulop Muhammad Iskandar
Keputeraan 17 Ogos 1924(1924-08-17)
Kuala Kangsar, Perak, Negeri Melayu Bersekutu, British Malaya
Kemangkatan 31 Januari 1984 (umur 59)
Hospital Daerah Lumut, Perak
Dimakamkan 3 Februari 1984
Makam Diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak
Agama Islam

Sultan Idris Iskandar al-Mutawakkil Alallahi Shah II ibni al-Marhum Sultan Iskandar Shah Kadasallah (17 Ogos 1924 - 31 Januari 1984) ialah Sultan Perak yang memerintah selama 21 tahun antara 5 Januari 1963 hingga 31 Januari 1984.

Riwayat awal[sunting | sunting sumber]

Sultan Idris Shah diputerakan pada 17 Ogos 1924. ialah putera kedua ayahanda kepada Sultan Iskandar Shah dan bonda kepada Raja Puteh Umi Kalsom binti Almarhum Raja Kulop Muhammad Iskandar. Kekanda sulungnya meninggal dunia ketika hanya berusia 40 hari.[1]

Pada 3 Januari 1931, Idris menyertai Sekolah Melayu Bukit Chandan dan kemudiannya pada 1932, bersekolah di Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Kangsar. Beliau dilantik sebagai Raja Di Hilir Perak pada tahun 1934 ketika berumur 10 tahun untuk menggantikan Raja Sir Chulan. Pada 17 Oktober 1938, Raja Idris dilantik sebagai Raja Bendahara Perak. Ketika itu, Sultan Perak ialah Sultan Abdul Aziz.

Raja Idris melanjutkan pendidikannya di Maktab Melayu Kuala Kangsar pada 12 Disember 1938 tetapi pelajarannya terganggu apabila Jepun menyerang Tanah Melayu pada 1941 semasa Perang Dunia II. Beliau menyertai pasukan Giyutai, sebuah pasukan pertahanan yang ditaja oleh tentera Jepun tetapi secara sulit, berhubung dengan pasukan gerila Force 136 yang dipimpin oleh Kolonel Dobree untuk menentangnya.

Pada tahun 1943 semasa pendudukan Jepun, Raja Idris berkahwin dengan Raja Muzwin binti Raja Ariff Shah dan dikurniakan dua orang putera dan tiga orang puteri. Salah seorang daripada puterinya adalah Raja Zarith Sofia, isteri kepada Sultan Johor pada masa ini, iaitu Sultan Ibrahim Iskandar. Raja Idris bertugas di Pejabat Tanah, Kuala Kangsar sebagai Penolong Pemungut Cukai Hasil Tanah antara tahun-tahun 1943 - 1945, dan seterusnya ditempatkan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Apabila Sultan Abdul Aziz mangkat pada tahun 1948, Sultan Yussuff Izuddin Shah ditabal menjadi Sultan Perak. Raja Idris dilantik sebagai Raja Muda Perak yang bersemayam di Teluk Intan. Pada tahun 1949, beliau ke England untuk menyertai kursus Kerajaan Tempatan, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Agraria di Universiti London.

Sekembalinya ke Perak pada tahun 1951, Raja Idris menyertai pasukan Angkatan Sukarela Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan ditauliah pangkat Leftenan. Beliau turut menerima latihan ketenteraan di Port Dickson, bersama-sama pasukan Askar Melayu dan kemudiannya, dinaikkan pangkat menjadi Mejar. Raja Idris turut serta memberi semangat kepada seluruh rakyat di Hulu Perak agar tidak tertipu dengan dakyah komunis.

Naik takhta[sunting | sunting sumber]

Baginda dilantik sebagai pemangku Sultan Perak antara tahun-tahun 1954 - 1956, taat kala Sultan Yussuf Izzuddin Shah berangkat ke England untuk mengunjungi seluruh Eropah. Pada 4 Januari 1963, Sultan Yussuf Izzuddin Shah mangkat di Bukit Chandan ketika berusia 72 tahun, dan Raja Idris, Raja Muda Perak, menjadi Sultan Perak pada 5 Januari 1963 ketika berusia 39 tahun, dengan gelaran Sultan Idris Al-Mutawakkil Alallah Shah ibni al-Marhum Sultan Iskandar Shah Kaddasullah. Raja Muzwin ditabal sebagai Raja Perempuan Perak.

Sultan Idris amat minat akan muzik dan telah menghidupkan RIS Combo. Baginda minat juga akan memelihara pokok bunga, seni foto, sejarah negeri Perak dan sukan lumba kuda.

Pada 4 Ogos 1976, Sultan Idris merasmikan Kampung Ganda Temenggor, berikutan pembinaan Empangan Temenggor yang menenggelamkan kampung yang lama. Stesen Janakuasa Hidroelektrik Temenggor dirasmikan oleh Sultan Idris pada 19 September 1979. Pada tahun 1980, nama Sekolah Menengah Dato Maharaja Lela Kampung Gajah ditukarkan menjadi Sekolah Menengah Dato Seri Maharaja Lela (SMDSML) semasa baginda mengunjungi Kampung Gajah.

Pada 11 Jun 1983, bot Seri Andalan, sebuah bot mewah milik Sultan Idris, dilancarkan di Pelabuhan Lumut, Perak. Dalam kebanyakan lawatannya, baginda mengenakan pakaian tentera berceloreng, dilengkapi dengan pistol di pinggang.

Kemangkatan[sunting | sunting sumber]

Sultan Idris Shah mangkat pada tarikh 31 Januari 1984 di Lumut, Perak dan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Chandan di Kuala Kangsar. dan bergelar Marhum Afifullah.

Didahului oleh
Sultan Yussuf Izzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Karamatullah Nasiruddin Muhtaram Shah Radziallah
Sultan Perak
5 Januari 1963 - 31 Januari 1984
Diikuti oleh:
Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah

Nota kaki[sunting | sunting sumber]

  1. "Sultan Idris Iskandar Shah II". Sultan-Sultan Perak. Pejabat D.Y.M.M. Sultan Perak Darul Ridzuan. 2005. Diperoleh pada 13 Januari 2010. 

Lihat juga[sunting | sunting sumber]