Sungai Klang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sungai Klang
Sungai Gombak (kiri) mengalir ke Sungai Klang (kanan) di Kuala Lumpur.
Lokasi
NegaraMalaysia
NegeriSelangor
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Ciri-ciri fizikal
SumberPermatang Kuartza Genting Klang, Kuala Seleh
 • ketinggian100 m
MuaraSelat Melaka
Panjang120 km
Aliran 
 • purata50 m³/s

Sungai Klang (Jawi: سوڠاي کلڠ) merupakan sebatang sungai yang mengalir melalui Kuala Lumpur dan Selangor di Malaysia ke Selat Melaka. Panjangnya kira-kira 120 km dan menyalirkan lembangan kira-kira 1,288 km persegi. Sungai Klang mempunyai 11 cawang sungai utama. Sungai ini bersambung dengan Sungai Gombak yang menjadi titik permulaan Kuala Lumpur.

Disebabkan sungai ini mengalir melalui Lembah Klang yang padat dengan lebih empat juta penduduk, ia agak tercemar. Pembangunan pesat telah menyempitkan sebahagian sungai sehingga menyerupai parit besar. Ini sering mengakibatkan banjir kilat di Kuala Lumpur, terutamanya apabila hujan lebat.

Aliran[sunting | sunting sumber]

Sungai Klang berasal dari Permatang Kuartza Genting Klang di Gombak, berhampiran dengan sempadan Pahang, 25 kilometer (16 batu) timur laut Kuala Lumpur. Sungai ini disertai oleh 11 anak sungai utama, termasuk Sungai Gombak, Sungai Batu, Sungai Kerayong, Sungai Damansara, Sungai Keruh, Sungai Kuyoh, Sungai Penchala dan Sungai Ampang. Ia mengalir ke arah barat sebelum bercantum dengan Selat Melaka.

Ekosistem[sunting | sunting sumber]

Kawasan Sungai Klang dikenal pasti memiliki ekosistem flora dan fauna yang agak ketara, terutamanya daripada segi bilangan spesies mamalia, reptilia dan burung. Beberapa spesies pokok lazim juga dikenal pasti bertumbuh di sepanjang kawasan sungai, termasuk Nypa fruticans, Athyrium esculentum dan pokok-pokok bakau (Avicennia marina dan Sonneratia caseolaris).[1] Sungai ini menjadi habitat beberapa jenis ikan seperti ikan patin, tilapia hitam dan keli; ikan patin merupakan spesies paling utama dan menjadi sumber utama kegiatan perikatan di sungai ini.[1] Walau bagaimanapun, laporan kajian menunjukkan bahawa ekosistem akuatik sungai ini boleh diancam oleh kemasukan spesies ikan asing, terutamanya melalui pembuangan ikan peliharaan oleh pihak pengusaha terlibat.[2]

Pembangunan[sunting | sunting sumber]

Titik sifar Kuala Lumpur dengan Sungai Gombak dan Kelang di belakang.

Kawasan sekitar Sungai Klang merupakan kawasan metropolitan utama negara, yang meliputi ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur serta bandar-bandar utama lain seperti Ampang, Shah Alam dan Klang. Kawasan ini, Lembah Klang didiami oleh kira-kira 8 juta orang penduduk setakat 2012.[3] Pelabuhan utama negara, Pelabuhan Klang terletak di kawasan hilir sungai.

Empangan[sunting | sunting sumber]

Terdapat dua empangan utama di Sungai Klang iaitu Empangan Batu dan Empangan Klang Gates yang menyalurkan bekalan air kepada penduduk Lembah Kelang dan penebat banjir.

Pencemaran[sunting | sunting sumber]

Pencemaran di Sungai Klang merupakan suatu isu besar dengan kesan terjangkau ke tahap antarabangsa. Masalah pencemaran sungai ini lazimnya berpunca daripada aktiviti-aktiviti bandar dan perindustrian, tapak pembinaan dan sistem kumbahan bermasalah.[4] Kajian-kajian menunjukkan pelbagai jenis bahan pencemar dikesan di Sungai Klang termasuk unsur-unsur logam (termasuk logam berat),[5] sebatian organik (termasuk bisfenol dan steroid seks - testosteron dan progesteron)[6] dan mikroplastik.[7] Masalah pembuangan sampah domestik, terutamanya plastik, merupakan isu ketara, dengan kajian menunjukkan Sungai Klang merupakan antara sungai-sungai yang paling banyak menyalurkan sampah domestik ke lautan di tahap global.[8]

Mulai pertengahan 2010-an, pihak kerajaan Selangor mula melaksanakan langkah dalam mengekang aliran sampah lazim daripada keluar ke Selat Melaka, bernama Selangor Martime Gateway. Bermula 2019, pihak kerajaan Selangor bekerjasama dengan syarikat Belanda, The Ocean Cleanup dalam penggunaan teknologi syarikat itu, The Interceptor, sejenis kapal khas yang mengumpul sampah yang mengalir di Sungai Klang, dan mencatatkan pengumpulan sampah sebanyak 30 tan metrik sebulan.[9][10] Setakat 2021, projek ini berjaya mencatatkan pengurangan aliran sampah terkeluar sebanyak kira-kira 27%.[11]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b "5.0 Flora dan Fauna di Lembangan Sungai Klang" (PDF). Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor. Dicapai pada 2 Julai 2021.
  2. ^ "Species composition and invasion risks of alien ornamental freshwater fishes from pet stores in Klang Valley, Malaysia". Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). 10. 2020.
  3. ^ "World Gazetteer: Malaysia - largest cities (per geographical entity)". world-gazetteer.com. 9 February 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Februari 2013.
  4. ^ Mohd. Sharifa, Sharifah; Mohd. Kusinab, Faradiella; Asha’ari, Zulfa Hanan; Aris, Ahmad Zaharin (2015). "Characterization of Water Quality Conditions in the Klang River Basin, Malaysia Using Self Organizing Map and K-means Algorithm". Procedia Environmental Sciences (dalam bahasa Inggeris). 30: 73–78 – melalui Elsevier Science Direct.
  5. ^ "Distribution of metals and quality of intertidal surface sediment near commercial ports and estuaries of urbanized rivers in Port Klang, Malaysia". Environment Earth Sciences (dalam bahasa Inggeris). 73: 7205–7218. 2015.
  6. ^ Tuan Omar, Tuan Fauzan; Aris, Ahmad Zaharin; Md. Yusoff, Fatimah; Mustafa, Shuhaimi (2018). "Occurrence, distribution, and sources of emerging organic contaminants in tropical coastal sediments of anthropogenically impacted Klang River estuary, Malaysia". Marine Pollution Bulletin (dalam bahasa Inggeris). 131: 284–293 – melalui Elsevier Science Direct.
  7. ^ "Microplastic pollution in tropical estuary gastropods: Abundance, distribution and potential sources of Klang River estuary, Malaysia". Marine Pollution Bulletin (dalam bahasa Inggeris). 162. 2021 – melalui Elsevier Science Direct.
  8. ^ "More than 1000 rivers account for 80% of global riverine plastic emissions into the ocean". Science Advances (dalam bahasa Inggeris). 7. 2021 – melalui ScienceMag.
  9. ^ Simon, Matt (2019-10-26). "Ocean Cleanup's New Plastic-Catcher … Kinda Already Exists?". Wired (dalam bahasa Inggeris). ISSN 1059-1028. Dicapai pada 2019-10-26.
  10. ^ Keertan Ayamany (5 April 2021). "Ocean Cleanup lauds Selangor, NGOs after slammed for lack of consultation in Coldplay-backed Klang River project". Malay Mail (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2 Julai 2021.
  11. ^ Pfortden, Diyana (24 Jun 2021). "INTERACTIVE: Identified as source of plastic waste into the sea, Klang River faces major cleanup" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 23 Jun 2021. Dicapai pada 2 Julai 2021.