Ada Apa Dengan Dosa

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke navigasi Pergi ke carian
Ada Apa Dengan Dosa
PengarahRahila Ali
PenerbitNormashayu Puteh
PenulisRudy Imran Shamsuddin
Dibintangi oleh
Sinematografi
Syarikat
penerbitan
Pencil Pictures & Records
Mula ditayangkan
  • 4 Jun 2020 (Astro First)
  • 10 September 2020 (Malaysia)
Tempoh tayangan
84 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu

Ada Apa Dengan Dosa ialah sebuah filem drama keagamaan Malaysia 2020 arahan Rahila Ali terbitan Pencil Pictures & Records. Dibintangi oleh Wanna Ali, Haris Ismail, Fauziah Nawi, Fasha Sandha, Ashraf Muslim dan Adam Corrie Lee, ia mengisahkan kisah seorang ustaz menghadapi dosa silam apabila pernah berzina hingga melahirkan anak luar nikah. Lebih menakutkan, anak itu membesar sebagai seorang yang berfikiran bebas dan tidak mempercayai kewujudan Tuhan hingga mahu membunuh diri.[1] Filem ini ditayangkan pada 4 Jun 2020 di Astro First[2][3] dan pada 10 September 2020 di pawagam seluruh Malaysia.

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Aurora, gadis berusia 19 tahun yang juga anak luar nikah dan dibesarkan di Eropah oleh sebuah keluarga bukan Islam sejak kecil. Keadaan berubah apabila Aurora mendapat tahu asal-usulnya. Aurora berasa dirinya tertipu dan cuba ingin membunuh diri. Namun kehadiran Khaliq memberi sinar baharu dan mereka pergi ke Malaysia untuk mencari bapa kandungnya.

Sepanjang pengembaraan itu, Aurora ingin mempelajari erti Islam yang sebenar memandangkan dia tidak mempraktikkan ajaran Islam. Ibu kandung Aurora, Siti Zahrah dihantui dengan kesilapan lalu, manakala bapa kandungnya Ustaz Aariz yang cuba lari daripada dosa lampau. Dia tidak mengakui Aurora ialah anak kandungnya kerana bimbang maruah tercemar.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Senarai barisan pelakon diperoleh daripada Sensasi Selebriti.[4]

  • Wanna Ali sebagai Aurora
  • Haris Ismail sebagai Khaliq
  • Fasha Sandha sebagai Siti Zahrah
  • Ashraf Muslim sebagai Ustaz Aariz
  • Adam Corrie Lee sebagai Yusuf Lee
  • Fauziah Nawi sebagai Nenek
  • Rayyan Dinno sebagai Aidit
  • Regina Vereker sebagai ibu Aurora
  • Bobby Robertson sebagai bapa Aurora
  • Naqeeb Zahiedin sebagai Azman
  • Azuana Said sebagai pensyarah
  • Cassidy Anderson sebagai doktor

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Ada Apa Dengan Dosa diarahkan oleh Rahila Ali, filem ini ialah filem kedua arahannya selepas Aku Ada, Kau Ada??? (2012). Dalam temuramah bersama Yahoo! News, Rahila mendedahkan bahawa Ada Apa Dengan Dosa diilhamkan dari satu kisah benar.[5][6]

Skrip filem ini ditulis oleh penulis hiburan Harian Metro, Rudy Imran Shamsuddin.[7] Penggambaran filem ini dijalankan di Scotland pada 2018.[2] Alyah menyumbangkan runut bunyi filem ini yang bertajuk "Hakikat Jiwa", ciptaan Omar K, Ikhwan Fatanna dam Alyah sendiri.[2]

Bekas peserta Pencetus Ummah, Haris Ismail (PU Riz) membuat penampilan sulung layar lebar dalam filem ini, sekaligus menjadi filem sulung lakonannya.[8] Filem ini ialah filem keempat lakonan Wanna Ali dan filem pertamanya sebagai pelakon utama.[9]

Keluaran dan sambutan[sunting | sunting sumber]

Ada Apa Dengan Dosa pada asalnya dijadualkan untuk ditayangkan pada 24 September 2020, namun ditayangkan lebih awal daripada jangkaan, ia ditayangkan di Astro First pada 4 Jun 2020[2] berikutan penutupan pawagam akibat pandemik COVID-19 yang menular seluruh Malaysia.[2] Filem ini ditayangkan di pawagam pada 10 September 2020.

Filem ini juga berjaya menduduki kedudukan teratas di carta 5 filem terbaik Astro First sekaligus menewaskan beberapa filem lain yang mengungguli carta itu, termasuk Syif Malam Raya, Manap Karaoke dan Jodoh Syaitan.[10]

Ulasan kritis[sunting | sunting sumber]

Ada Apa Dengan Dosa mendapat ulasan positif daripada pengkritik filem. Juliana Johar dari Kopiplanet berkata "Secara keseluruhannya, filem arahan Rahila Ali ini mampu membuka mata kita mengenai isu dan persoalan yang menghantui anak luar nikah selain memaparkan sisi tiada seorang pun manusia dalam dunia ini cukup sempurna tanpa melakukan sebarang kekhilafan sesuai dengan tagline filem ini 'Jangan menilai seseorang dari permulaannya, nilailah dari pengakhirannya',".[11]

Kontroversi[sunting | sunting sumber]

Tidak lama selepas ditayangkan, Ada Apa Dengan Dosa menjadi mangsa cetak rompak dan disebarkan di platform media sosial dan aplikasi dalam talian secara haram. Penerbit filem itu, Normashayu Puteh meluahkan rasa kecewanya terhadap sikap pihak tidak bertanggungjawab yang memilih untuk menonton filem itu secara percuma melalui platform yang tidak dibenarkan.[12][13] Beliau turut mendakwa filem itu dijual pada harga 80 sen dan RM1.[14][15]

Beliau memfailkan saman terhadap laman beli-belah dalam talian, Shopee kerana menjual filem Ada Apa Dengan Dosa terbitannya tanpa kebenarannya.[16] Saman itu difailkan oleh beliau dan syarikatnya, Pencil Pictures & Records melalui Tetuan Saiful, Roger & Co. dengan menamakan Shopee sebagai defendan tunggal. Laporan polis telah dibuat oleh Ayu bersama pengarah, Rahila Ali di Balai Polis Kota Damansara pada 3 Julai 2020.[17] Ayu turut tidak menolak kemungkinan perbuatan itu didalangi oleh "orang dalam".[18]

Shopee dilaporkan telah memadamkan filem itu daripada senarai jualannya pada awal Ogos 2020, turut dipadamkan dari senarai itu ialah filem Keluarga Iskandar The Movie.[19]

Masa depan[sunting | sunting sumber]

Ditanya mengenai kemungkinan adanya kesinambungan untuk Ada Apa Dengan Dosa,[20] Ayu Puteh berkata: "Untuk kesinambungan ini, kita masih masih lagi membicarakan soal hukum-hakam yang kita masih lagi kabur mengenainya. Kita akan buat sesi lampias otak untuk membincangkan jalan cerita, skrip dan sebagainya. Insya-Allah penggambaran akan bermula tahun depan,".[21]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Ada Apa Dengan Dosa angkat isu tuntutan anak luar nikah". Utusan Borneo. 1 Jun 2020. Dicapai pada 17 September 2020.
  2. ^ a b c d e Serimah Mohd Sallehuddin (23 Mei 2020). "Tonton filem Ada Apa Dengan Dosa di rumah". Berita Harian. Dicapai pada 17 September 2020.
  3. ^ Amri Hassan (2 Jun 2020). ""Macam best je" - Ramai dah tak sabar nak tengok Ada Apa Dengan Dosa". Astro Gempak. Dicapai pada 17 September 2020.
  4. ^ Budiey (19 Mei 2020). "Filem Ada Apa Dengan Dosa bakal ditayang di Astro First". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 17 September 2020.
  5. ^ Ashraf Nasser (24 Jun 2020). ""Ada Apa Dengan Dosa" is inspired by true story" ["Ada Apa Dengan Dosa" diinspirasikan oleh kisah benar] (dalam bahasa Inggeris). Yahoo! News. Dicapai pada 17 September 2020.
  6. ^ Amri Hassan (16 Jun 2020). ""Saya tak kenal dan tak tahu siapa" - Pengarah Ada Apa Dengan Dosa nafi plagiat idea asal orang lain". Astro Gempak. Dicapai pada 17 September 2020.
  7. ^ Ridzuan Abdul Rahman (16 September 2020). "Jentik keinsafan". Harian Metro. Dicapai pada 17 September 2020.
  8. ^ Sudirman Mohd Tahir (5 Jun 2020). "PU Riz puas dapat berlakon Ada apa Dengan Dosa". Harian Metro. Dicapai pada 17 September 2020.
  9. ^ Ridzuan Abdul Rahman (1 Jun 2020). "Gemuruh ditawar watak utama". Harian Metro. Dicapai pada 17 September 2020.
  10. ^ Amri Hassan (5 Jun 2020). "Baru sehari tayang, Ada Apa Dengan Dosa terus merajai tangga 1 carta filem Top 5 Astro First". Astro Gempak. Dicapai pada 17 September 2020.
  11. ^ Juliana Johar (4 Jun 2020). "Ada Apa Dengan Dosa papar tema Islamik secara santai". Kopiplanet. Dicapai pada 17 September 2020.
  12. ^ Nur Asyikin Mayudin (15 Jun 2020). "Berhabis duit hasilkan filem, penerbit berang Ada Apa Dengan Dosa disebar secara haram - "Saya tidak halalkan...!"". mStar Online. Dicapai pada 17 September 2020.
  13. ^ Mumtaj Begum (15 Jun 2020). "Ada Apa Dengan Dosa being shared illegally via social media" [Ada Apa Dengan Dosa ditonton secara haram di media sosial] (dalam bahasa Inggeris). The Star Online. Dicapai pada 17 September 2020.
  14. ^ Nor Asyikin Mayudin (11 September 2020). "Filem Ada Apa Dengan Dosa dijual 80 sen, penerbit Ayu Puteh saman laman e-dagang". mStar Online. Dicapai pada 17 September 2020.
  15. ^ "Filem Ada Apa Dengan Dosa dijual dengan harga serendah RM1, penerbit nak saman laman e-dagang". Suria. 4 Ogos 2020. Dicapai pada 17 September 2020.
  16. ^ Ahmad Johari Mohd Ali (11 September 2020). "Syarikat produksi saman Shopee". Berita Harian. Dicapai pada 17 September 2020.
  17. ^ "Filem Ada Apa Dengan Dosa dijual dengan harga serendah RM1, penerbit nak saman laman e-dagang". mStar Online. 4 Ogos 2020. Dicapai pada 17 September 2020.
  18. ^ Wawann Mohd (8 September 2020). "Filem dicetak rompak, penerbit AADD tetap teruskan saman". Sinar Harian. Dicapai pada 17 September 2020.
  19. ^ Milad Hassandarvish (4 Ogos 2020). "Shopee Malaysia deletes listings of pirated local films Ada Apa Dengan Dosa and Keluarga Iskandar The Movie" [Shopee Malaysia padamkan senarai filem yang dicetak rompak, Ada Apa Dengan Dosa dan Keluarga Iskandar The Movie] (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 17 September 2020.
  20. ^ Amri Hassan (9 Jun 2020). ""Siti Zaharah sempat jumpa dengan Aurora tak ni?" Penonton resah, minta Ada Apa Dengan Dosa ada sambungan". Astro Gempak. Dicapai pada 17 September 2020.
  21. ^ Amri Hassan (15 September 2020). "Dapat sambutan luar biasa, Ada Apa Dengan Dosa akan ada sekuel". Astro Gempak. Dicapai pada 17 September 2020.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]