Aliza bt Abdullah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Alliza 'Enot' Abdullah)
Jump to navigation Jump to search
Enot
KelahiranAlliza binti Abdullah
(1978-12-03) 3 Disember 1978 (umur 40)
Pasangan? (2000 - 2007)
Zainul Abidin Mat Nor (2008 - kini)

Nur Enliana atau lebih dikenali sebagai Enot merupakan seorang pelawak wanita tersohor di Malaysia yang mula mencipta nama pada tahun 2000 menerusi siri komedi Mat Despatch arahan bapa saudaranya, Rashid Sibir. Beliau juga pernah menjadi juri tetap rancangan realiti Raja Lawak musim kedua pada tahun 2008.

Kerjaya lakonan[sunting | sunting sumber]

Enot mula dikenali menerusi watak Jojo dalam siri komedi Mat Despatch. Gandingan Enot bersama pelakon komedi lain seperti Raja Azura, Sharifah Shahirah, Amyza Aznan dan Syanie ternyata menimbulkan fenomena tersendiri di kalangan peminat. Ketika itu beliau menggunakan nama komersial Alliza Abdullah namun lebih dikenali dengan nama Jojo, wataknya dalam siri tersebut.

Populariti Enot mula memuncak apabila disunting oleh penerbit Shahrulezad Mohameddin untuk berganding bersama pelawak Sheila Rusly dan Sharifah Shahora dalam drama Enot pada tahun 2002. Drama arahan Azman Yahya (Jinggo) itu mencipta fenomena sebagai antara drama komedi yang sangat popular pada tahun tersebut. Enot melakonkan watak sebagai Enot, seorang gadis kampung persis Cinderella versi gemuk yang sering dibuli oleh dua orang kakak tirinya. Menerusi drama inilah Enot mendapat nama gelaran komersialnya, dan nama Enot kekal hingga kini.

Selepas Enot, drama tersebut disambung ke Enot Rayalah Pulak dan sekuel terakhir dalam bentuk VCD; Enot VCDlah Pulak. Kesemua drama tersebut mendapat sambutan hebat dan akhirnya menghadiahkan Enot anugerah pertamanya dalam bidang seni lakon apabila dinobatkan sebagai Pelakon Harapan di Anugerah Skrin 2003.

Selepas demam Enot berakhir, beliau mula cenderung untuk memegang watak-watak yang lebih kompleks. Antara yang paling diingati ialah kemunculan Enot dalam telenovela Dalam Hati Ada Cinta menyaksikan Enot berganding bersama aktres terkenal Umie Aida. Telenovela yang disiarkan Astro selama 5 musim itu terus menghangatkan populariti Enot. Enot juga mencuba watak sebagai gadis hip hop dalam siri VCD Gosok.

Pada tahun 2006, Enot membuat kemunculan perdana selepas melahirkan anak kedua apabila berganding bahu bersama pelawak Didie Alias dalam drama komedi Labuna Labuni. Drama yang diadaptasikan daripada filem arahan P. Ramlee berjudul Labu Labi itu ternyata mendapat sambutan hangat hingga dicalonkan dalam beberapa anugerah. Enot juga dicalonkan di Anugerah Seri Angkasa untuk kategori Aktres Komedi TV Terbaik.

Selepas watak-watak popular seperti Jojo, Enot dan Labuna, beliau sekali lagi mendapat peranan yang signifikan apabila memegang watak Saodah dalam siri komedi Odah Drebar. Siri komedi yang disiarkan di RTM2 ini menjadi drama komedi yang popular pada tahun 2008. Tahun itu juga menyaksikan Enot melangkah setapak lagi apabila dilantik sebagai juri tetap untuk program realiti pencarian bakat komedi Raja Lawak musim kedua di Astro serta menyertai program realiti amal Sehati Berdansa musim ketiga bersama suaminya Zainul Abidin Mat Nor. Biarpun tidak memenangi pertandingan tersebut, bakat tarian Enot mendapat pujian. Enot mewakili Malaysian Athma Council dan berjaya mengumpul RM7000 untuk didermakan kepada badan amal tersebut.

Enot juga pernah bergandingan bersama aktres komedi berbadan besar seperti Adibah Noor dan Syanie dalam siri komedi 3G. Pada tahun 2010, Enot mengacarakan program TV bersama Didie Alias yang mana program tersebut berbentuk game show bersama rakan-rakan artis yang lain.

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Enot merupakan anak saudara kepada pengarah terkenal, Rashid Sibir yang bertanggungjawab memperkenalkan beliau ke dunia lakonan. Beliau dikenali sebagai artis yang pandai menyimpan rahsia peribadi. Perkahwinan pertamanya bersama lelaki yang tidak dikenali pada tahun 2000 pernah diabadikan dalam salah satu episod siri komedi Mat Despatch. Perkahwinan ini dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan.

Setelah bercerai pada tahun 2007, Enot berkenalan dengan salah seorang krew produksi drama komedi Odah Drebar iaitu Zainul Abidin, dan akhirnya mereka mengikat tali perkahwinan pada 21 November 2008. Zainul merupakan saudara kepada aktres komedi Nik Sayyidah Fatihah aka Mek.

Enot juga menceburi bidang perniagaan apabila melancarkan jenama biskut Enot Cookies pada tahun 2007. Pada bulan ramadhan setiap tahun, Enot dan suami membuka gerai jualan di bazar serta kini secara tetap boleh didapati di Downtown, Cheras Kuala Lumpur.

Beliau mula mengenakan tudung pada akhir 2012.[1]

Filmografi[sunting | sunting sumber]

Filem[sunting | sunting sumber]

  1. Laila Isabella (2003)
  2. Cinta Luar Biasa (2004)
  3. Cinta Yang Satu (2007)
  4. Kayangan (2007)
  5. Baik Giler (2011)

Telefilem[sunting | sunting sumber]

  1. Enot (2002)
  2. Enot Rayalah Pulak (2002)
  3. Enot VCDlah Pulak (2003)
  4. Gosok (2003)
  5. Gosok 2 (2004)
  6. Bisikan Azazil (2005)
  7. Labuna Labuni (2006)
  8. 3G

Siri TV[sunting | sunting sumber]

  1. Mat Despatch (1998-2001)
  2. Dalam Hati Ada Cinta (2003 - 2006)
  3. Odah Drebar (2008)

Pencapaian[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Sorotan 2012 - Penghijrahan: Artis & hijrah". Sinar Harian. 31 Disember 2012. Dicapai 29 November 2013.