Sel darah merah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Eritrosit)
Jump to navigation Jump to search
Sel darah merah manusia

Sel darah merah (atau juga dikenali sebagai eritrosit atau hematid) merupakan sel darah paling umum dalam vertebrat. Sel ini berfungsi membawa oksigen dari paru-paru atau insang untuk dihantar ke seluruh badan.[1]

Sitoplasma sel darah merah kaya dengan kandungan hemoglobin, dengan setiap hemoglobin mengandungi jisim zat besi yang mengandungi biomolekul yang boleh bergabung dengan oksigen sekaligus membawa oksigen ke seluruh badan. Keaktifan besi juga dapat menyebabkan sel darah merah berwarna merah pekat. Sel darah merah dihasilkan di limpa atau kura, hati dan sumsum merah pada tulang pipih. Sel darah merah yang sudah mati dihancurkan di dalam hati.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Sel darah merah secara umumnya memiliki hemoglobin, suatu jenis metaloprotein kompleks dengan gugus hem yang mempunyai atom besi yang bergabung dengan molekul oksigen, O2 di peparu atau insang dan dilepaskan di seluruh badan. Sel darah merah juga melarutkan sedikit gas karbon dioksida, CO2 ke peparu, tetapi kebanyakan karbon dioksida dibawa ke peparu dalam bentuk ion bikarbonat, HCO3, yang larut dalam plasma darah.

Seorang manusia dewasa memiliki kira-kira 20 ke 30 trilion sel, merangkumi kira-kira 70 peratus jumlah bilangan sel manusia.[2] Vertebrata yang diketahui tidak memiliki sel darah merah serta hemoglobin ialah ikan daripada keluarga Channichthyidae. Ikan keluarga ini hanya menghantar oksigen melalui pelarutan oksigen dalam plasma darah.[3] Meskipun begitu, genom keluarga ikan itu masih memiliki saki-baki gen hemoglobin.[4]

Struktur[sunting | sunting sumber]

Sel darah merah manusia biasanya memiliki diameter 6.2 - 8.2 µm,[5] dan ketebalan sebanyak 2 - 2.5 µm di hujung sel dan 0.8 - 1 µm di tengah sel. Sel darah merah manusia tidak memiliki sebarang nukleus. Sel darah ini memiliki bentuk dwicekung yang membolehkan kadar resapan oksigen yang lebih tinggi dengan menjadikan jarak resapan ke dalam sel lebih cepat dan meningkatkan nisbah luas per unit isi padu sel.[6]

Struktur membran sel darah merah manusia.

Membran sel darah merah ialah dwilapisan fosfolipid, membran umum bagi sel-sel manusia. Separuh daripada jisim membran sel darah merah ialah protein manakala separuh lagi ialah jisim lipid, yakni kolesterol dan fosfolipid.[7] Membran sel darah merah memiliki rangka protein yang terdiri daripada rangkaian filamen spektrin yang disambung dengan filamen aktin yang kecil.

Kitaran hidup[sunting | sunting sumber]

Penghasilan[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Eritropoiesis

Penghasilan sel darah merah dinamakan sebagai eritropoiesis, di mana sel-sel baharu dihasilkan dalam sumsum tulang utama. Eritropoiesis boleh dirangsang oleh hormon eritropoietin, EPO, terutamanya ketika berlaku hipoksia, kekurangan kepekatan oksigen dalam darah.

Secara ringkas, penghasilan sel darah merah bermula daripada sejenis sel stem, hemositoblas yang menjadi proeritroblas. Proeritroblas pula menjadi eritroblas dan kemudiannya menjadi normoblas. Eritropoiesis berlaku dalam tempoh tujuh hari dan seterusnya, pada saat sel keluar dari sumsum tulang, sel-sel itu dibuang nukleusnya dan menjadi retikulosit dan merangkumi kira-kira 1% jumlah sel darah merah. Dalam satu hingga dua hari, retikulosit menjadi sel darah merah umum yang matang.

Pelupusan[sunting | sunting sumber]

Setelah kira-kira 120 hari, sel darah merah berada pada tahap akhir kitaran hidupnya dan mula dilupuskan. Sel darah merah mengalami fagositosis oleh makrofaj, biasanya di limpa, dalam proses eritposis (kematian sel darah merah terancang).[8] Hemoglobin diuraikan menjadi hem dan glubin. Hem pula diuraikan menjadi zat besi (ion Fe2+) dan biliverdin. Ion Fe2+ menjadi ion Fe3+ dan dihantar ke salur darah dengan bantuan protein transferin manakala biliverdin ditukarkan menjadi bilirudin di hati, sebelum dimasukkan ke dalam cecair hempedu lalu dihantar ke duodenum dan dibuang sebagai bahan kumuh.

Nutrisi[sunting | sunting sumber]

Daripada kira-kira tiga ke empat gram kandungan zat besi dalam badan, dua per tiga daripadanya ialah zat besi dalam hemoglobin eritrosit. Zat besi lazimnya diperoleh semula selepas pelupusan eritrosit, dengan kehilangan zat besi biasanya tidak melebihi beberapa miligram per hari.[9] Namun begitu, kehilangan zat besi yang banyak akibat pendarahan boleh menyebabkan bekalan zat besi tidak mencukupi bagi proses eritropoiesis lalu membawa kepada bentuk sel darah merah yang kecil dan mengalami hipopigmentasi (kehilangan warna), menyebabkan berlaku anemia kekurangan ferum.[10]

Kekurangan vitamin B12 menyebabkan berlaku gangguan dalam penghasilan DNA dalam sel darah merah. Akibatnya, sel-sel besar yang cacat dan tidak matang, iaitu megaloblas pula terbentuk dan membawa kepada anemia megaloblas. Asid folik bertindak bersama dengan vitamin B12 dalam pematangan sel darah merah, dan kekurangan asid folik akan menyebabkan masalah yang sama.[11]

Kepentingan klinikal[sunting | sunting sumber]

Penyakit[sunting | sunting sumber]

Penyakit-penyakit umum yang berpuncakan sel darah merah ialah:

  • Anemia - Masalah sel darah merah kurang berupaya mengangkut oksigen ke seluruh badan.
  • Hemolisis - Masalah sel darah merah pecah dan terurai.
  • Talasemia - Masalah pewarisan yang menyebabkan jumlah hemoglobin yang abnormal dalam sel darah merah.
  • Polisitemia - Masalah sel darah merah yang berlebihan dalam badan.

Transfusi darah[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Transfusi darah

Transfusi darah ialah proses pemindahan darah dari badan seseorang ke badan yang lain. Darah yang dipindahkan akan disaring dahulu untuk memastikan tiada penyakit bawaan darah seperti HIV dan Hepatitis B yang wujid dalam darah. Kemudian, kumpulan darah yang diterima pula ditentukan sebelum pemindahan diteruskan.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Laura Dean. Blood Groups and Red Cell Antigens
  2. ^ Bianconi, Eva; Piovesan, Allison; Facchin, Federica; Beraudi, Alina; Casadei, Raffaella; Frabetti, Flavia; Vitale, Lorenza; Pelleri, Maria Chiara; Tassani, Simone (2013-11-01). "An estimation of the number of cells in the human body". Annals of Human Biology. 40 (6): 463–471. doi:10.3109/03014460.2013.807878. ISSN 0301-4460. PMID 23829164. 
  3. ^ Ruud JT (May 1954). "Vertebrates without erythrocytes and blood pigment". Nature. 173 (4410): 848–50. Bibcode:1954Natur.173..848R. doi:10.1038/173848a0. PMID 13165664. 
  4. ^ Carroll, Sean (2006). The Making of the Fittest. W.W. Norton. ISBN 978-0-393-06163-5. 
  5. ^ Mary Louise Turgeon (2004). Clinical Hematology: Theory and Procedures. Lippincott Williams & Wilkins. m/s. 100. ISBN 9780781750073. 
  6. ^ Rein, Hermann; Schneider, Max (1964). Einführung in die Physiologie des Menschen (dalam bahasa Jerman) (edisi ke-15). Berlin: Springer. m/s. 22. 
  7. ^ Yazdanbakhsh K, Lomas-Francis C, Reid ME (October 2000). "Blood groups and diseases associated with inherited abnormalities of the red blood cell membrane". Transfusion Medicine Reviews. 14 (4): 364–74. doi:10.1053/tmrv.2000.16232. PMID 11055079. 
  8. ^ Lang F, Lang E, Föller M (2012). "Physiology and pathophysiology of eryptosis". Transfusion Medicine and Hemotherapy. 39 (5): 308–314. doi:10.1159/000342534. PMC 3678267Boleh dicapai secara percuma. PMID 23801921. 
  9. ^ Naikaigaku. Asakura. m/s. 1563. 
  10. ^ Shiozaki, Hiroko; Motoji, Toshiko (2010). "The Laboratory Findings and the Diagnosis of Iron Deficiency Anemia". Nihon Naika Gakkai Zasshi. 99: 1213 – 1219. doi:10.2169/naika.99.1213. 
  11. ^ Shigetaka, Asano (2006). Miwa Ketsuekibyogaku (dalam bahasa Jepun) (edisi ketiga). Bunkodo. ISBN 978-4-8306-1419-4.