Grisek

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Grisek (kadangkala juga disilap eja sebagai "Gersik") ialah sebuah pekan dan mukim di Daerah Tangkak, Johor, Malaysia yang terletak di tebing Sungai Muar di seberang sungai bertentangan dengan Panchor, Pagoh. Di dalam mukim ini, terdapat juga sebuah pekan kecil yang dikenali sebagai Pekan Gersik yang terletak 5 km selepas Bukit Gambir sebelum Kundang Ulu. Pekan kecil ini mempunyai populasi sekitar 3,000 orang yang 60%nya adalah berbangsa Melayu dan selainnya adalah berbangsa Cina dan India)

Ladang sawit di Gersik

Sebelum siapnya jambatan pada tahun 1997 merentangi Sungai Muar, pekan ini hanya boleh dihubungi dengan perkhidmatan sampan (orang tempatan memanggilnya kotak) ke pekan Panchor, Pagoh, Bukit Pasir, dan seterusnya ke Muar.

Menurut buku kesusasteraan Sejarah Melayu, Sultan Melaka yang terakhir Sultan Mahmud Shah telah melarikan diri dan berundur ke Kampung Raja Pagoh setelah kejatuhan dan kekalahan Melaka akibat serangan Portugis. Pada suatu hari semasa baginda keluar memancing di Sungai Muar dengan pengikutnya, ketika baginda menghampiri tebing, baginda terdengar bunyi dua batang pokok bergeseran... “grisek! grisek!…”. Lalu baginda sultan menamakan tempat itu sebagai "Grisek".

Grisek telah wujud semenjak 150 tahun lampau. Di sini terdapat sebuah tokong Cina yang lama dan tua, di dalamnya terdapat sehelai kain rentang berusia lebih 120 tahun yang menjadi bukti rekod awal pekan ini. Bagaimanapun, tokong lama bersejarah itu telah 'dipulihkan' dengan satu bangunan konkrit yang baru.

Terdapat juga sebuah sekolah Cina di Grisek yang diasaskan pada 1917 oleh pendatang Cina. Satu zon kawasan perindustrian seluas 300 ekar telah dibuka pada 1996 bagi industri perabut berasaskan kayu pokok getah.

Terdapat satu pepatah Melayu yang terkenal di kalangan penduduk tempatan yang berbunyi "Cantik Molek, Kahwin Grisek" yang bermaksud sekiranya seorang gadis yang cantik dan ayu, maka dia patut berkahwin dengan lelaki Grisek.[perlu rujukan]

Ramai pelancong tempatan gemar mengunjungi Grisek untuk sukan aktiviti memancing kerana sungai di sini mempunyai banyak udang galah. Sementara sungai itu menjadi syurga pemancing udang galah, kawasan Grisek juga terkenal dalam penanaman cendawan yang banyak untuk eksport sehingga ke Jepun. Di samping aktiviti memancing, lawatan eco-pelancongan untuk melihat kunang-kunang di ulu sungai yang menarik boleh diaturkan oleh pengusaha-pengusaha bot.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]