Hak cipta

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Lambang hak cipta.
Undang-undang
harta intelek
frames
Hak cipta
Paten
Rahsia perdagangan
Tanda dagangan
Hak sui generis
Lain-lain
sunting


Hak cipta ialah satu set hak eksklusif yang mengawal penggunaan sesuatu pernyataan idea atau maklumat. Dalam kebanyakan kes, hak-hak ini adalah untuk tempoh yang terhad. Simbol untuk hak cipta ialah ©, dan di sesetengah bidang kuasa, simbol itu boleh digantikan dengan (c).

Hak cipta boleh wujud dalam berbagai-bagai karya kreatif, intelektual, atau berseni. Ini termasuk puisi, tesis, drama, buku, filem, karya koreografi (tarian, balet, dll.), gubahan muzik, rakaman audio, lukisan, arca, gambar foto, perisian, serta siaran radio dan televisyen, dan di sesetengah bidang kuasa, juga seni reka perindustrian. Hak cipta ialah sejenis harta intelektual; reka bentuk dan seni reka perindustrian boleh merupakan jenis-jenis harta intelektual yang berasingan atau bertindih dalam sesetengan bidang kuasa.

Undang-undang hak cipta hanya melindungi bentuk atau cara yang mana idea-idea atau maklumat-maklumat ditunjukkan, iaitu "bentuk pernyataan fizikal". Hak cipta tidak direka bentuk untuk tujuan melindungi idea, konsep, fakta, gaya, atau teknik yang wujud atau digambarkan dalam karya hak cipta. Undang-undang hak cipta memberi ruang untuk karangan sindiran dan karangan pentafsiran terhadap karya-karya yang mungkin mempunyai hak cipta pada dirinya. Sila lihat Pembahagian idea-pernyataan.

Misalnya, hak cipta yang wujud dalam kartun Mickey Mouse melarang pihak-pihak yang tidak diberi kuasa untuk mengedarkan salinan-salinan kartun atau mencipta karya-karya terbitan yang meniru tikus antropomorfik Walt Disney, tetapi tidak melarang penciptaan karya-karya kesenian mengenai tikus antropomorfik secara amnya, asalkan karya-karya ini cukup berbeza supaya tidak meniru versi yang asli. Undang-undang yang lain mungkin mengenakan sekatan untuk penghasilan semula atau penggunaannya jika hak cipta tidak berbuat demikian, umpamanya tanda dagangan dan paten.


Sejarah hak cipta[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Sejarah hak cipta

Pengarang, penaung, dan pemilik karya dari zaman ke zaman telah mencuba untuk mengarahkan dan mengawalkan cara bagaimana karya mereka boleh digunakan selepas disebarkan kepada orang-orang lain. Baroness von Waldstätten, penaung Mozart, membenarkan gubahan-gubahan yang dicipta untuknya dipersembahkan secara bebas, sedangkan penaung George Frideric Handel, George I (raja Hanover pertama) menjaga Muzik Air (Water Music) dengan ketat.

Dua perkembangan utama pada abad ke-14 dan ke-15 kelihatan menimbulkan perkembangan hak cipta moden. Pertama, pengembangan perdagangan merkantil di bandaraya-bandaraya Eropah yang utama, dan kemunculan universiti-universiti sekular membantu untuk menghasilkan sebuah kelas borjuis yang berpendidikan dan yang berminat akan maklumat-maklumat terkini. Perkembangan-perkembangan ini membantu mendorong kemunculan sebuah bidang awam yang semakin dilayan oleh penjual-penjual alat tulis yang menghasilkan salinan buku atas permintaan. Kedua, perkembangan taip cerai oleh Johann Gutenberg dan perkembangan dan penyebaran mesin cetak menyebabkan penyalinan karya-karya tercetak secara besar-besaran menjadi lebih cepat dan lebih murah berbanding dahulu. Sebelum rekaan percetakan, proses untuk menyalin karya hampir menelan masa yang sama serta mengenakan kos yang serupa mahal dengan mencipta karya asli dan oleh itu, biasa dibuat oleh katib biarawan.

Kelihatannya, penerbit-penerbit dan bukannya pengarang-pengarang merupakan orang-orang pertama yang mendesak supaya sekatan dikenakan ke atas penyalinan karya tercetak. Berdasarkan fakta bahawa penerbit-penerbit kini biasa memperoleh hak cipta daripada pengarang sebagai syarat untuk menerbitkan karya mereka, salah satu daripada kritikan sistem terkini adalah bahawa undang-undang hak cipta lebih memanfaatkan penerbit berbanding pengarangnya. Menggunakan perbandingan dengan perubahan-perubahan yang ditempa oleh percetakan, ini merupakan satu hujah yang utama untuk menggunakan sistem-sistem fail kongsi setara-ke-setara.

Percubaan awal yang menarik terhadap hak cipta pada zaman moden ialah sebuah pemberitahuan dalam ha- Shirim asher li-Shelomo , satu pengesetan Psalm oleh penggubah Salomone Rossi, yang merupakan muzik pertama yang dicetak dengan teks muka taip Ibrani pada tahun 1623. Pemberitahuan itu mengandungi kata-kata makian rabai untuk sesiapa yang menyalin kandungannya.

Akta Hak Cipta 1710[sunting | sunting sumber]

Manakala kerajaan-kerajaan dahulu memberikan hak tunggal untuk penerbit-penerbit menjual karya tercetak, konsep moden untuk tempoh terhad berasal pada tahun 1710 dengan Statut Anne, sebuah undang-undang British. Statut pertama ini memberikan hak tunggal kepada pengarang (iaitu penciptanya dan bukannya kepada penerbit), serta perlindungan untuk pengguna karya tercetak bagi memastikan bahawa penerbit-penerbit tidak boleh mengawal kegunaannya selepas jualan. Statut itu juga mengehadkan tempoh hak tunggal selama 28 tahun dan selepas itu, semua karya akan diserahkan kepada domain awam.

Bagaimanapun, Akta 1710 mempunyai jalan keluar dari segi kawasan yang disebabkan akta itu tidak merangkumi semua wilayah British, tetapi hanya meliputi England, Scotland, dan Wales. Oleh itu, banyak cetakan semula untuk karya-karya hak cipta British telah dikeluarkan di Ireland serta tanah-tanah jajahan Amerika Utara tanpa sebarang lesen diperlukan daripada pemilik hak cipta. Tanpa membayar sebarang royalti, buku-buku itu dapat dijual pada harga yang lebih murah berbanding edisi-edisi London dan adalah amat popular dengan pembeli-pembeli buku. Jualan buku-buku ini telah dianggap oleh pemilik-pemilik hak ciptanya sebagai satu "cetak rompak" walaupun ini tidak melanggar sebarang undang-undang di wilayah-wilayah tersebut. Bagaimanapun, terdapat juga sebilangan penerbit yang mengadakan hubungan rasmi dengan pemilik-pemilik hak cipta British dan membayar royalti.

Cetakan semula di Ireland merupakan satu sumber kebimbangan yang besar untuk penerbit-penerbit London kerana buku-buku itu bukan sahaja menjejaskan jualan mereka di sana, tetapi juga melintasi sempadan masuk ke England, khususnya di provinsi-provinsi England yang menjadi semakin penting untuk penerbit-penerbit London. Perdagangan cetakan semula yang haram juga dilakukan oleh sebilangan penerbit dan penjual buku di wilayah British, dan mereka kekadang didakwa.

Perdebatan terhadap tempoh hak cipta[sunting | sunting sumber]

Antara tahun 1710 dan 1774, terdapat banyak perdebatan undang-undang tentang tempoh hak cipta yang dimaksudkan oleh Akta 1710.

Penerbit-penerbit Scotland pada dekad 1730-an memulakan pencetakan judul-judul karya British yang telah tamat tempoh hak ciptanya dan tidak lagi dilindungi oleh hak cipta. Mereka menjual buku-buku mereka di Scotland dan provinsi-provinsi Inggeris. Penerbit-penerbit Inggeris membantah perbuatan ini, berdasarkan konsep hak common law dalam sistem undang-undang Inggeris yang wujud sebelum Akta Hak Cipta. Di bawah hak common law itu, tempoh hak cipta untuk karya-karya terbitan adalah untuk selama-lamanya.

Kes Donaldson lawan Beckett pada 1774 menamatkan percanggahan pendapat tentang tempoh hak cipta. Mahkamah dalam kes ini memutuskan bahawa Parlimen mempunyai kuasa untuk mengehadkan tempoh hak cipta dan telah pun berbuat demikian. Keputusan ini membayangkan peralihan dalam idea-idea Inggeris terhadap hak cipta. Ahli-ahli Parlimen Inggeris yang membuat keputusan ini pada tahun 1774 telah memutuskan bahawa kawalan buku selama-lamanya oleh penerbit-penerbit London adalah tidak baik untuk kepentingan orang awam, khususnya kerana penerbit Inggeris biasanya mengenakan harga buku yang tinggi. Terdapat sesetengah tanggapan bahawa ini merupakan satu persoalan budaya atau kelas masyarakat. Karya-karya dengan tempoh hak cipta selama-lamanya diperlihatkan sebagai satu sekatan terhadap sesetengah warganegara untuk memperoleh maklumat terhadap sejarah kebudayaan tanah sendiri.

Konsep-konsep terhadap peranan pengarang dan penerbit, undang-undang hak cipta, dan tanggapan-tanggapan penyedaran am saling bertindak pada masa ini. Pengarang-pengarang sebelum ini diperlihatkan sebagai diwahyu dan sebahagian disebabkan oleh tanggapan ini, naungan merupakan cara yang sah untuk menyokong pengarang. Pengarang-pengarang yang dibayar berbanding dinaungi dianggap sebagai penulis upahan dan di pandang rendah. Bagaimanapun, tanggapan mengenai genius tersendiri semakin menjadi popular semasa dekad 1770-an (generasi selepas Donaldson lawan Beckett), dan penulis upahan lebih dapat diterima.

Perkembangan di Amerika Utara[sunting | sunting sumber]

Di tanah-tanah jajahan Amerika Utara yang dimiliki oleh Great Britain, pencetakan semula karya-karya hak cipta British sekali sekala tanpa kebenaran telah lama terjadi, tetapi hanya menjadi satu ciri utama dalam kehidupan penjajahan selepas 1760, khususnya di 13 buah tanah jajahan Amerika Utara. Dorongan untuk peralihan ini datang daripada para pencetak dan penjual buku Ireland dan Scotland yang telah berpindah ke tanah jajahan Amerika Utara pada pertengahan 1700-an. Mereka telah biasa dengan pencetakan semula dan penjualan karya-karya hak cipta British, dan meneruskan kegiatan mereka di Amerika Utara yang kemudian merupakan sebahagian besar perdagangan pencetakan dan penjualan di wilayah ini. Antara contohnya ialah Robert Bell, seorang Scotland yang menghabiskan hampir satu dekad di Dublin sebelum berpindah ke Amerika Utara British pada tahun 1768. Serupa dengan banyak pencetak dan penjual buku jajahan, operasinya memastikan kegiatan pencetakan semula telah bertapak menjelang Pengisytiharan Kemerdekaan Amerika pada tahun 1776. Pelemahan pertalian Amerika dengan Britain berbetulan dengan pertambahan kegiatan pencetakan semula di luar kawalan hak cipta British.

Orang-orang Ireland juga mengembangkan perniagaan mereka ke Amerika Syarikat melalui penghantaran cetakan semula pada abad ke-18. Kesahan Ireland untuk mencetak semula dengan bebas tamat pada tahun 1801 ketika Parlimen Ireland bergabung dengan Great Britain dan membawa orang-orang Ireland di bawah taklukan undang-undang hak cipta British.

Perkembangan di Eropah[sunting | sunting sumber]

Pencetakan karya Inggeris tanpa hak cipta untuk pasaran bahasa Inggeris juga berlaku di negara-negara Eropah. Kerajaan British bergerak balas terhadap masalah ini dengan dua cara:

  • meminda statut-statut hak cipta sendiri pada tahun 1842 untuk melarang pengimportan sebarang cetakan semula karya hak cipta British masuk ke United Kingdom atau tanah-tanah jajahannya; dan
  • memulakan proses perjanjian bersaling dengan negara-negara lain.

Perjanjian pertama dibuat dengan Prusia pada tahun 1846. Amerika Syarikat mengekalkan diri di luar langkah ini selama beberapa dekad. Ini telah dibantah oleh pengarang-pengarang seperti Charles Dickens dan Mark Twain.

Konvensyen Berne[sunting | sunting sumber]

Konvensyen Berne pada tahun 1886 mengasaskan buat pertama kali pengakuan hak cipta di kalangan negara berdaulat, berbanding hanya secara dwipihak. Di bawah Konvensyen Berne, hak cipta untuk karya kreatif tidak perlu diisytiharkan kerana hak cipta wujud secara automatik pada penciptaan karyanya: seorang pengarang tidak perlu "mendaftar" atau "memohon" hak cipta dalam negara-negara yang memeterai perjanjian Konvensyen Berne. Sebaik sahaja sebuah karya "ditetapkan", iaitu ditulis atau dirakamkan pada sesuatu media fizikal, pengarangnya berhak secara automatik untuk semua hak cipta karyanya, termasuk sebarang karya terbitannya, kecuali dan sehingga pengarang itu menafikannya secara eksplisit, atau sehingga tempoh hak ciptanya luput. Konvensyen Berne juga menyebabkan semua pengarang asing diberikan hak yang sama dengan pengarang tempatan di mana-mana satu negara yang memeterai perjanjian Konvensyen itu.

United Kingdom memeterai Konvensyen Berne pada tahun 1887 tetapi tidak menguatkuasakan sebahagian besarnya sehingga 100 tahun kemudian ketika meluluskan Akta Hak Cipta, Seni Reka dan Paten 1988. Amerika Syarikat tidak memeterai Konvensyen Berne sehingga 1989.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Wikiquote-logo.svg
Wikiquote mempunyai koleksi petikan mengenai: