Pawang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Pawang merujuk kepada ahli perubatan tradisional dalam masyarakat Melayu dahulukala. Pawang mengubat berdasarkan penggunaan tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Sekiranya sesuatu penyakit gagal disembuhkan, pawang akan berpaling kepada kepercayaan kepada kekuasaan roh daripada alam sekeliling, yang merupakan satu cara hidup sebelum ajaran Islam berkembang di nusantara bagi mengubat pesakit. Selain pawang, ahli perubatan tradisional dalam masyarakat Melayu turut dikenali sebagai tabib, dukun atau bomoh. Bagaimanapun, pawang dianggap sebagai yang paling berkemampuan di kalangan ahli perubatan tradisional ini.

Pawang merupakan orang yang sangat dipercayai boleh menyembuhkan berbagai-bagai penyakit kerana beliau saja yang dianggap boleh berhubung dengan roh atau kuasa ghaib. Bidang kuasa Pawang dianggap lebih luas daripada bidang bomoh. Seorang pawang selain mampu mengubat pelbagai jenis penyakit, turut mampu mengendalikan upacara umum bagi memastikan hasil tuaian padi yang banyak, atau melindungi masyarakat daripada wabak penyakit.

Di Malaysia, perubatan moden tidak diperkenalkan secara meluas di kawasan kampung luar bandar sehinggalah Malaysia mencapai kemerdekaan selepas Perang Dunia Kedua, apabila kemudahan perubatan awam kebangsaan, dan pelajar lulusan universiti tempatan dalam perubatan moden mula mencapai bilangan yang mencukupi bagi memberikan perkhidmatan kesihatan awam. Selain itu, kempen penerangan umum yang dilancarkan oleh kerajaan bagi menerangkan kelebihan kesihatan moden berbanding perubatan tradisional secara beransur-ansur menjadikan orang semakin berkurangan mendapatkan perkhidmatan pawang, sungguhpun ia masih kekal.

Sungguhpun begitu, perubatan tradisi masih kekal, tetapi lebih terbatas kepada masalah yang dianggap tidak dapat diubati dengan rawatan moden seperti masaalah santau, gangguan makluk halus, dan masalah-masalah yang serupa dengannya. Perubatan tradisional ini tidak terbatas kepada etnik tertentu, malah pengamal perubatan yang berjaya mampu mendapatkan pelanggan merentasi pelbagai negara berdekatan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]