Pengepungan Eger (1552)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pengepungan Eger
Sebahagian daripada Perang Uthmaniyyah di Eropah dan Perang Uthmaniyyah-Hungary

Pengepungan Eger (1552).
Lokasi
Eger, Hungary Utara
Keputusan Kemenangan Hungary
Pihak yang terlibat
Empayar Uthmaniyyah Pejuang Hungary
Komandan dan pemimpin
Ahmed Pasha
Hadım Ali Pasha dari Buda [tr]
Sokollu Mehmed Pasha
István Dobó
Kekuatan
Anggaran moden 35-40,000 tentera[1][2] (Data Gárdonyi: 150,000 dan 200,000[3] itu agak ada unsur tokok tambah) Kira-kira 2,100-2,300[2]
Kerugian dan korban
Tidak diketahui 300-400 terkorban

Pengepungan Eger berlaku pada abad ke-16 semasa kempen peperangan Uthmaniyyah di Eropah. Pada tahun 1552, tentera Uthmaniyyah yang dipimpin oleh Kara Ahmed Pasha mengetuai pengepungan ke atas Istana Eger yang terletak di bahagian utara Kerajaan Hungary. Namun, pasukan pertahanan yang diketuai oleh István Dobó berjaya menangkis serangan dan mempertahankan istana tersebut. Peristiwa ini telah menjadi simbol perjuangan kebangsaan dan wira patriotik di Hungary.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Selepas berjaya menawan kota Buda pada tahun 1541, Empayar Uthmaniyyah telah mengurangkan wilayah kekuasaan Hungary dan mengecilkan lingkaran pengaruh pemimpin mereka. Baik Ratu Isabella mahupun George Martinuzzi berasa gembira akan perkara ini. Pada Disember 1541, mereka telah menandatangani satu perjanjian rahsia dengan Ferdinand di Gyalu. Mereka telah berjanji untuk menyerahkan takhta Raja Hungary kepada Ferdinand sekiranya beliau dapat menguasai semula kota Buda. Putera Habsburg itu menghantar 50,000 tentera yang dipimpin oleh Joachim II dari Brandeburg untuk melancarkan serangan pada Ogos 1542. Walau bagaimanapun, kemaraan pasukan Habsburg yang perlahan membolehkan pasha Uthmaniyah mengukuhkan tenteranya di Buda dan Pest. Seterusnya, Joachim mengepung Pest yang dipertahankan sepenuhnya dan pengepungan beliau berakhir dengan noktah kegagalan.

Sultan Sulaiman memulakan persiapannya pada bulan Disember tahun yang sama. Matlamat kempen beliau pada kali ini adalah untuk mengambil alih kota strategik Esztergom yang bermula pada April 1543. Hal ini demikian kerana kubu Esztergom menyediakan laluan penting kepada Habsburg untuk mengakses ke Buda. Antara bulan Jun dan Ogos, sultan berjaya menawan banyak kubu penting yang terletak di utara Buda dan beliau telah menamatkan kempennya dengan penawanan Esztergom. Habsburg sangat terkesan akibat peperangan ini sementara Uthmaniyah pula bergelut dengan pergolakan menentang Safawiyyah sekali lagi. Sultan Sulaiman menginginkan gencatan senjata sambil berunding dengan Raja Perancis, Francis I yang dicapai pada tahun 1545. Pada tahun 1547, Sultan Sulaiman telah menandatangani Perjanjian Edirne dengan Maharaja Charles V dan Ferdinand. Penguasaan Uthmaniyah ke atas Hungary hasil kempen sultan telah diiktiraf manakala Sultan Sulaiman bersetuju akan pemerintahan Habsburg di sesetengah kawasan Hungary sebagai pertukaran kepada pembayaran 30,000 florin emas setiap tahun.

Pada tahun 1549, Martinuzzi memulakan rundingan dengan Ferdinand untuk menyatukan Hungary sekali lagi. Berdasarkan rundingan itu, Isabella dan John Sigismund akan diturunkan daripada takhta dan sebagai pertukaran, mereka dapat memperoleh tanah di Silesia. Hal ini sama sekali telah meretakkan kerjasama antara pihak uskup dan ratu. Isabella kemudiannya telah menulis surat kepada sultan untuk mengadu akan tindakan Martinuzzi tetapi Sultan Sulaiman tidak melakukan apa-apa tindak balas dengan segera. Selepas satu kempen ketenteraan, Ratu Isabella kecundang dan terpaksa untuk mengambil tanah di Silesia. Martinuzzi pula masih cuba untuk berunding dengan kedua-dua belah pihak sama ada dengan Habsburg mahupun Uthmaniyah. Pada tahun 1551, Ferdinand mendapat tahu akan khabar ini dan mengarahkan hukuman mati ke atas Martinuzzi. Sultan Sulaiman sedar bahawa pengkhianatan akan terjadi dari negeri naungannya di utara. Tindakan beliau berikutnya pantas dan muktamad. Pada tahun berikutnya, tentera Uthmaniyah melancarkan serangan penuh ke atas wilayah Hungary sekali lagi untuk merobek kawasan pegangan Ferdinand dengan serta merta. Pada penghujungnya, impian untuk menyaksikan Hungary bersatu di bawah pemerintahan Habsburg berkecai.

Dua pasukan Uthmaniyah telah dibentuk pada Mac 1552. Pasukan pertama merupakan pasukan garison Buda yang dipimpin oleh Khadim Ali Pasha manakala pasukan kedua pula dihantar oleh sultan sendiri yang dipimpin oleh Kara Ahmed Pasha. Sumber-sumber pada masa itu menyatakan jumlah kedua-dua pasukan Uthmaniyah mencecah 150,000 orang tetapi sejarawan moden menyatakan jumlahnya yang tepat menghampiri 40,000 hingga 50,000 orang. Seperti yang dijangka, pos kawalan dan kubu jatuh satu demi satu seperti domino ekoran keunggulan tentera Uthmaniyah. Pasukan Khadim menawan kubu Szeged, Veszprém, Buják, Drégely dan Szécsény manakala Kara Ahmed pula menewaskan tentera Sepanyol Habsburg di luar kubu Temesvár. Kedua-dua pasukan ini bertemu di luar Szolnok pada 4 September dan mereka bekerjasama menguasai kubu ini dengan mudah. Melihat daripada sudut pandang geopolitik, objektif Uthmaniyah yang berikutnya sungguh jelas. Gabungan tentera Uthmaniyah ini kemudiannya mara menuju ke kubu kecil Eger.

Pengepungan[sunting | sunting sumber]

Pasukan pertahanan Eger.

Kubu Eger telah dipertahankan oleh sekitar 2,000 orang tentera yang diketuai oleh komander berusia 50 tahun, István Dobó. Orang-orang yang berlindung di dalam kubu merupakan etnik Hungary. Walaupun mereka telah bersumpah setia kepada Raja Ferdinand, mereka berjuang bukan untuk tujuan penjarahan dan kebanggaan tetapi untuk melindungi tanah mereka yang telah diwarisi selama beberapa generasi.

Tentera Uthmaniyyah tiba di Kubu Eger pada 11 September 1552 dan mendirikan khemah mereka sebagai persiapan untuk mengepung kubu tersebut. Lima hari kemudian, kubu Eger dibedil oleh Uthmaniyah sebagai permulaan serangan mereka. Ali Pasha mengetuai serangan artileri yang merosakkan benteng kubu Eger walaupun hanya terdapat empat buah artileri yang digunakan. Meriam Hungary pula agak kecil dan tidak mempunyai jarak dan daya ledakan untuk menghasilkan serangan yang berkesan. Walau bagaimanapun, pasukan pertahanan tidak berasa goyah. Dobó memberi isyarat kepada kavalri ringannya untuk melakukan serangan mengejut dan mengganggu pengebom Uthmaniyah. Mereka berjaya memberikan tentangan sengit namun taktik serang dan cabut ini ternyata tidak berkesan apabila ledakan musuh masih berterusan. Malangnya, benteng kubu telah runtuh dan membentuk satu jurang. Infantri Uthmaniyah di bawah Kara Ahmad telah merebut peluang ini untuk melancarkan serangan habis-habisan melalui jurang ini. Namun, jumlah pasukan pertahanan yang ramai memberikan tentangan sengit kerana keberanian dan karisma yang dimiliki oleh komander veteran mereka. Tentera jurutera Hungary memainkan peranan penting menangkis serangan bertali arus Uthmaniyah hari demi hari. Orang kanan Dobo iaitu Gergely Bornemissza mengukir legasinya dengan mencipta bahan letupan bom tangan yang menghasilkan api dan merebak kepada musuh. Akan tetapi, salah satu ciptaan ikonik yang dihasilkan oleh Bornemissza ialah kenderaan maut. Sebuah kereta yang terdiri daripada dua buah roda yang telah diletakkan bahan letupan yang menyala-nyala sebelum dilepaskan dan dihala ke arah tentera Uthmaniyah ketika sibuk melakukan serangan di jurang tersebut. Roda berapi ini mencetuskan panik dan mengorbankan ramai pihak musuh serta berperanan memastikan tentera Uthmaniyah berundur daripada menghampiri kubu Eger.

Memasuki bulan baru, panglima Uthmaniyah letih melihat infantrinya yang tidak memberikan serangan berkesan dan beliau mula fokus akan usaha rancangan bawah tanah. Oleh kerana rancangan ini banyak menyumbang dalam kejayaan kempen Uthmaniyah sebelum ini, penggali Uthmaniyah mula menggali jaringan terowong menuju ke arah kubu dan mereka telah menanam bahan letupan untuk melemahkan asas benteng kubu Eger. Setelah itu, banyak jurang telah berjaya dihasilkan daripada runtuhan benteng Eger dan ia memaksa pasukan pertahanan Hungary mempertahankan kubu mereka daripada segenap arah. Namun, Dobo yang membuktikan keunggulannya dalam menghadapi serangan musuh telah melontarkan bahan ledakan ke laluan terowong tersebut untuk mengorbankan ramai penggali Uthmaniyah yang cuba menghampiri benteng. Sementara itu, semangat juang dan tempur tentera Uthmaniyah semakin merudum. Catuan makanan semakin berkurangan dan musim luruh mula gugur sekali gus tentera Uthmaniyah mengalami perubahan yang mendadak di kawasan yang berlumpur. Untuk menanggung semua kerumitan ini, Khadim Ali dan Kara Ahmed mula bertelagah sesama mereka dan khabar angin pengkhianatan yang dilakukan oleh panglima Uthmaniyah itu telah tersebar dengan pantas.

Pada 11 Oktober, tentera Uthmaniyah telah melancarkan serangan yang terakhir ke atas benteng Eger dan namun sekali lagi, pasukan pertahanan berjaya menangkis serangan tersebut. Seperti dalam legenda tempatan, golongan wanita telah menyertai pertempuran ini bersama-sama dengan suami dan anaknya lalu mereka telah melemparkan tempayan yang berisi minyak panas ke atas musuh. Dua hari kemudian, tentera Uthmaniyah berundur selepas tidak memperoleh apa-apa hasil daripada musuh mereka yang tidak berganjak. Pada 17 Oktober, panglima Uthmaniyah mengarahkan pengunduran semua tentera daripada kubu tersebut. Tentera Uthmaniyah yang letih, kecundang dan hilang semangat tempur meninggalkan medan pengepungan.

Kesan[sunting | sunting sumber]

Anggaran moden menyatakan hanya 300 orang terkorban di pihak pasukan pertahanan Hungary manakala Uthmaniyah pula telah kehilangan 8,000 nyawa. Hasil sumbangan István Dobó bersama dengan pasukan 'kerdilnya', Habsburg terus mengekalkan kedudukannya di utara Hungary. Sultan Sulaiman sekali lagi telah gagal dalam mengusir musuhnya dari kawasan itu demi kepentingannya. Sebaliknya, secara keseluruhannya kempen Uthmaniyah pada tahun 1552 dikira membanggakan apabila mereka dapat menawan 24 kubu Habsburg yang lain.

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ László Markó: A Magyar Állam főméltóságai, 1999. ISBN 963-548-961-7
  2. ^ a b Magyarország hadtörténete, Zrínyi katonai kiadó, Budapest 1985. szerk.: Liptai Ervin ISBN 963-326-337-9
  3. ^ Gárdonyi, Géza. Egri Csillagok (vol. 2). Európa Könyvkiadó, Budapest. 2000. pages 17, 49.