Pergi ke kandungan

Pengepungan Rhodes (1522)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pengepungan Rhodes
Sebahagian daripada Perang Uthmaniyyah di Eropah

Miniatur Süleymannâme yang memaparkan janissari berhadapan dengan Knight of Saint John ketika pengepungan Rhodes.
Tarikh26 Jun – 22 Disember 1522
Lokasi
Keputusan

Kemenangan Uthmaniyyah

  • Empayar Uthmaniyyah menawan Rhodes
  • Knights Hospitaller berlindung ke Sicily sebelum ke Malta, Gozo dan Tripoli
  • Penguasaan Uthmaniyyah terhadap jalur perdagangan di Mediterranean Timur terjamin
Pihak yang terlibat
Empayar Uthmaniyah Empayar Uthmaniyyah Sovereign Military Order of Malta Knights Hospitaller
Republik Venezia Republik Venezia
Komandan dan pemimpin
Sulaiman al-Qanuni
Çoban Mustafa Pasha
Kurtoğlu Muslihiddin Reis
Sovereign Military Order of Malta Philippe Villiers de L'Isle-Adam
Kekuatan
180,000[1]–200,000 tentera[2]
400 buah kapal[2]
72 senjata dan mortar[1]
6,703 tentera
(703 Knights Hospitalers St. John dari Sepanyol, Perancis, Jerman, Itali, England dan Portugal)[1]
Kerugian dan korban
20,000[3]–60,000 terkorban[1]
Dakwaan Kristian:
114,000 terkorban[1]
5,020 terkorban[1]

Pengepungan Rhodes pada tahun 1522 M ialah percubaan kedua yang berjaya dilakukan oleh tentera Empayar Uthmaniyah untuk mengusir Kesateria Rhodes dari pulau kubu mereka. Oleh yang demikian, ia memantapkan penguasaan Uthmaniyah terhadap Mediterranean Timur. Pengepungan yang pertama pada tahun 1480 Masihi tidak berjaya membuahkan hasil.

Latar belakang

[sunting | sunting sumber]

Penguasaan Uthmaniyyah ke atas Mesir telah mengubah keadaan di Mediterranean apabila pedagang Eropah tidak dapat menjalani kegiatan perdagangan untuk mendapatkan rempah ratus. Dalam dunia Islam, peristiwa ini dianggap penting kerana khalifah Abbasiyah terakhir iaitu Al-Mutawakkil III telah ditawan dan dipaksa untuk menyerahkan jawatan khalifah kepada Sultan Selim I. Hal ini membolehkan Sultan Uthmaniyah memegang tampuk kepimpinan tertinggi ke atas seluruh dunia Islam. Berdasarkan sumber-sumber Uthmaniyah, perkara ini membuatkan Shah Ismail I dari Safawiyyah mengajukan perdamaian dengan Selim tetapi perkara tersebut tidak disahkan dalam sumber Iran.

Pada masa ini, Empayar Uthmaniyah bersungguh-sungguh membina angkatan tentera laut yang besar untuk mempertahankan wilayah daripada serangan tentera laut kerajaan Eropah dan juga untuk meluaskan kuasa ke atas wilayah-wilayah baru. Uthmaniyah telah berpeluang untuk memperluaskan wilayah ke Sepanyol dan Afrika Utara apabila amir di Algeria telah menjemput privatir Uthmaniyah iaitu Oruç Reis dan Hayreddin Barbarossa bagi membantunya menentang Sepanyol pada tahun 1516. Pada tahun 1518, Hayreddin telah menjadikan Algeria sebagai wilayah Uthmaniyah. Walaupun Sepanyol bertindak menentang beliau buat selama beberapa tahun, Hayreddin kini mempunyai batu loncatannya untuk menyerang sama ada Sepanyol atau Itali.

Pada tahun 1520, Sultam Selim meninggal dunia dan digantikan oleh anaknya, Sulaiman al-Qanuni. Sultan Uthmaniyah yang baru berhasrat untuk mendapatkan lebih banyak wilayah di Eropah. Semasa Kerajaan Hungary berada dalam krisis pergolakan, Sultan Sulaiman memulakan semula peperangan dengan Hungary pada tahun 1521. Matlamat beliau ialah untuk mendapatkan kubu penting di Danube, Belgrade. Pengepungan kota Belgrade berlangsung pada 26 Jun dan dilihat Uthmaniyah terpaksa berhadapan dengan ratusan ribu tentera garison di kota. Pada penghujung Ogos, kota Belgrade akhirnya jatuh ke tangan Uthmaniyah sekali gus membuka laluan kepada penaklukan Eropah.

Pada masa yang sama, Sultan Sulaiman meneruskan persiapan tentera lautnya. Beliau ingin menakluk Pulau Rhodes demi mengukuhkan kedudukan di Mediterranean. Pemilik pulau tersebut ialah Knight of St. John atau juga dikenali sebagai Hospital. Mereka telah menjadi duri ancaman kepada pihak Uthmaniyah selama lebih satu kurun dan serangan Uthmaniyah yang sebelum ini telah gagal dilakukan terhadap mereka pada tahun 1480.

Knights Hospital bermula pada era Perang Salib Pertama dan beroperasi sebagai rumah sakit untuk penziarah Kristian di Tanah Suci. Kemudian, mereka beralih menjadi satu perintah tentera. Pada zaman Perang Salib Ketiga, ia telah menjadi salah satu pasukan ketenteraan yang paling menggerunkan di Mashriq. Namun pada tahun 1291, Knights Hospital telah diusir daripada benteng terakhirnya di Tanah Suci setelah kota Acre jatuh ke tangan Mamluk. Pada tahun 1310, mereka telah menakluk Pulau Rhodes daripada kemerosotan Empayar Byzantine dan pulau tersebut telah digunakan sebagai pusat operasi mereka yang baru.

Pada tahun 1521, ahli Knights of St. John telah menjadi pelaut mahir dan juga sebagai lanun yang menjadi momok kapal pedagang Uthmaniyah di Mediterranean. Mereka telah menjadi satu masalah kepada pedagang Uthmaniyah selain menjadi benteng penghalang Uthmaniyah untuk menguasai Mediterranean. Tidak hairanlah bahawa setelah kota Belgrade telah ditawan, Sulaiman ingin Knights of St. John berambus dari Rhodes demi kebaikan.

Persiapan

[sunting | sunting sumber]
Menara Itali yang telah dibina oleh Fabrizio del Carretto sekitar tahun 1515–17.

Kubu-kubu yang terdapat di kota Rhodes merupakan benteng pertahanan terkuat dalam dunia Kristian. Kubu ini telah diubah suai oleh jurutera Itali terbaik. Kubu ini juga dapat dipertahankan dengan mudah dari semua sisi dan diperkukuhkan oleh tiga lingkaran dinding batu yang tebal. Katelum yang terjulur membolehkan perajurit pertahanan dapat melakukan serangan ke atas musuh dari banyak sudut. Tiap-tiap benteng kubu telah dibahagikan kepada pecahan mengikut bangsa iaitu Perancis, Jerman, Inggeris, Auvergne, Provence, Sepanyol dan Portugis dari Knights of St. John.

Bagi menguasai benteng pertahanan Rhodes yang mantap, kos yang tinggi diperlukan baik dari segi material mahupun nyawa. Namun begitu, Sultan Sulaiman al-Qanuni tetap tidak mahu berganjak. Grandmaster Knight, Villiers de L'Isle-Adam tahu bahawa bentengnya akan dikepung dan diserbu dengan segera. Beliau telah mengirim utusannya kepada pemimpin-pemimpin Eropah untuk memohon bantuan mempertahankan Rhodes tetapi tidak berjaya. Sebahagian garison Venezia di Cyprus telah bergabung dengan Knight Hospital di Rhodes tetapi itulah hanya bantuan luar yang dapat diterima untuk mempertahankan Rhodes.

Pada Jun 1522, kira-kira 400 buah kapal dari Tentera Laut Uthmaniyyah telah bersedia untuk berlayar. Angkatan tentera laut yang lebih besar dipimpin oleh abang ipar sultan, Mustafa Pasha berlepas dari pangkalannya di Gallipoli menuju ke pulau Rhodes. Segenap penjuru pulau telah dikepung dan dikurung daripada dunia luar.

Pengepungan

[sunting | sunting sumber]

Pada 28 Julai 1522, tentera Uthmaniyyah telah mendarat di Rhodes dan dipimpin sendiri oleh Sultan Sulaiman. Pasukannya memiliki kekuatan 100,000 tentera yang terdiri daripada buruh, jurutera, infantri dan tentera elit janissari. Sebaliknya, pasukan pelindung Rhodes yang dipimpin oleh Philippe Villiers de L'Isle-Adam hanya memiliki kekuatan berjumlah 6703 orang. Hanya 703 orang daripadanya merupakan Knight of St. John manakala saki bakinya ialah orang Venezia dan penduduk asli Pulau Rhodes berbangsa Latin dan Yunani.

Knight of St. John telah bersiap sedia untuk menghadapi pengepungan sejak kedatangan armada tentera Uthmaniyah. Semua gandum di pulau itu telah dipungut dan disimpan supaya orang Turki tidak dapat mampu mendapatkan bekalan daripada hasil tanah mereka. Rantai besi gergasi telah dipasang di muara pelabuhan untuk menyekat perhubungan luar ke dalam kota melalui jalan laut. Sultan mempersiapkan dirinya di khemah keramaian yang berada di luar jangkauan jarak tembakan musuh sekali gus memulakan pengepungan.

Pada awal bulan Ogos, artileri Turki mula membedil ke arah dinding benteng pertahanan kota. Pada masa itu, tentera Uthmaniyah sedang berada di kemuncak kecanggihan teknologi dengan menggunakan meriam gergasi untuk meruntuhkan dinding benteng melalui tembakan meriam yang dahsyat. Peluru meriam api juga disasarkan ke dalam kota untuk menimbulkan suasana huru-hara dan kematian penghuninya. Walau bagaimanapun, dinding benteng masih lagi kukuh dan mampu bertahan. Sepanjang pengeboman, tentera Uthmaniyah telah menggali parit dan mendirikan pagar berkayu di sekeliling benteng kota. Untuk menghancurkan benteng kota, jeneral Uthmaniyah mengarahkan penggalinya menggali parit jalan di bawah benteng kota untuk meletakkan peledak letupan. Penggali ini merupakan orang Kristian yang direkrut dari Balkan dan menggalas tugas yang berbahaya. Mereka telah menggali satu terowong dan mara melaluinya menuju ke benteng sambil melindungi diri dengan papan kayu dan kulit binatang. Namun, ramai penggali tersebut telah terkorban kerana diserang perajurit pertahanan kota. Ramai juga yang terkorban akibat ledakan hasil perangkap yang dipasang oleh kesateria. Para kesateria telah mengikat satu lapisan membran binatang di antara dua tiang kayu dengan ketat serta ia telah dipasangkan loceng. Jadi, jika ada getaran telah dihasilkan di bawah tanah, loceng akan berdering. Perajurit pertahanan akan peka dan bertindak meletupkan terowong tersebut dengan segera. Kesannya, mereka telah berjaya meletupkan 50 terowong Uthmaniyah. Mereka telah berusaha melakukan penentangan untuk memastikan kerosakan struktur benteng pertahanan kota dapat dikurangkan.

Pada 4 Disember, walaupun perajurit pertahanan telah berusaha sehingga ke tahap maksimum, dua peledak Uthmaniyah telah meledak dinding benteng pertahanan Inggeris di kota itu. Sepanjang sebelas meter bahagian dinding telah diruntuhkan sekali gus membolehkan tentera Uthmaniyah terus menggali terowong di bawahnya untuk membuka laluan menuju ke dalam kota. Setelah runtuhnya tembok, infantri Uthmaniyah melancarkan serangan melalui tembok tersebut dan berjaya menangkis tentangan tentera pertahanan Rhodes. Seterusnya, mereka meraikan kejayaan dengan memasang panji-panji pada dinding benteng. Namun, tentera Uthmaniyah ini berjaya diusir dengan pantas oleh kesateria Inggeris yang dipimpin oleh Grandmaster Villiers de L'Isle-Adam sendiri. Tentera Uthmaniyah melakukan serangan balas dengan bertubi-tubi untuk mara ke dalam kota tetapi dihalang oleh kesateria Inggeris yang dibantu oleh pasukan Jerman. Kedua-dua belah pihak menanggung kerugian yang besar dalam pertempuran tersebut. Dikatakan bahawa penembak ulung sultan telah kehilangan kakinya akibat ledakan oleh meriam Rhodes manakala tiga orang komander kesateria telah terkorban.

Pada akhir bulan September, semangat tentera Uthmaniyah mula merosot. Pada 19 September, pengintip Uthmaniyah memaklumkan kepada sultan bahawa dinding pertahanan kota yang dikawal oleh Sepanyol dan Provence tidak sepenuhnya dikawal rapi seperti apa yang mereka fikirkan. Dengan membawa semangat baru, Sultan Sulaiman memerintahkan untuk memperbaharui serangan ke arah dinding benteng. Çoban Mustafa Pasha memimpin serangan pada kali ini. Ledakan demi ledakan yang menggegarkan dinding pertahanan telah memeranjatkan kesateria. Pada masa yang sama, tentera Uthmaniyah pula berusaha untuk memanjat dan memasuki dinding pertahanan Sepanyol. Pertembungan jarak yang dekat tercetus antara janissari dan kesateria. Benteng Sepanyol telah bertukar tangan sebanyak dua kali. Akhirnya, tentera Uthmaniyah diasak sehingga mereka mundur dari benteng tersebut. Ekoran kegagalan tersebut, Sultan Sulaiman mengarahkan untuk menghukum mati Mustafa Pasha. Namun, penasihat tertinggi meminta sultan untuk memberikan Mustafa Pasha peluang melakukan perkara lain. Mustafa Pasha dihantar ke Mesir dan beliau telah digantikan oleh seorang tentera berpengalaman, Ahmed Pasha.

Pada bulan Oktober, pertempuran terus berlanjutan berulang kali. Hampir seluruh benteng pertahanan Inggeris runtuh. Para kesateria dan orang Rhodes berusaha untuk bertahan bagi membiarkan janissari di teluk. Jumlah pasukan pertahanan yang jauh lebih sedikit tidak mampu mengelakkan kekalahan. Pada bulan Disember, baik semangat Uthmaniyah mahupun Rhodes menjadi lemah. Uthmaniyah menghadapi jumlah angka korban yang cukup besar serta wabak yang melanda telah menggandakan korban nyawa. Sementara itu, pasukan pertahanan Rhodes terus sedikit tanpa menerima sebarang bantuan luar. Mereka tahu bahawa mereka tidak mampu untuk bertahan lama. Pada 11 Disember, rundingan damai antara kedua-dua belah pihak bermula. Sultan Sulaiman menawarkan bantuan makanan dan jaminan perlindungan kepada penduduk Rhodes sekiranya mereka menerima tawaran menyerah kalah. Namun, sekiranya tawaran itu ditolak, beliau akan menguasai kota dengan cara kekerasan sehingga mengorbankan dan menghambakan penghuni kota. Rundingan tersebut gagal apabila orang Yunani dan Latin menolak tawaran sultan sekeras-kerasnya. Sultan Sulaiman memerintahkan pasukannya untuk melanjutkan pembedilan kota Rhodes sekali lagi.

Pada 17 Disember, tentera Uthmaniyah kembali menyerang benteng Sepanyol dan membunuh pengawalnya. Benteng tersebut telah berjaya dikuasai oleh Uthmaniyah. Saki baki perajurit kota yang sedikit bertindak mempertahankan kota setelah benteng pertahanan menjadi runtuh setelah dibom oleh Uthmaniyah selama berbulan-bulan. Rundingan damai telah dilakukan pada 20 Disember dan syarat-syaratnya telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak dengan penuh adil. Para kesateria yang tersisa telah dijamin keselamatannya dan diberi kapal oleh sultan untuk berlayar ke Crete. Penduduk Rhodes pula telah dijanjikan keselamatan daripada pembantaian, kemusnahan gereja dan bebas daripada cukai jizyah Uthmaniyah selama lima tahun. Kesateria-kesateria meninggalkan Rhodes dengan penuh hormat sambil memakai alat-alat kebesaran serta pukulan gendang mengiringi pemergian mereka. Mereka seterusnya berlepas pergi dengan menaiki kapal yang disediakan setelah bertahan dengan bersungguh-sungguh.

Pada titik ini, sumber Uthmaniyah mempunyai versi yang berbeza dengan sumber Eropah yang mendakwa bahawa terjadinya pembunuhan beramai-ramai diikuti oleh perubahan Gereja St. John menjadi masjid dengan segera. Sumber-sumber tersebut bercanggah tentang jumlah korban yang ditanggung oleh Uthmaniyah yang bermula dari seribu hingga 20,000 orang.

Setelah berjaya menguasai Rhodes, Empayar Uthmaniyyah telah menjamin penguasaannya di Mediterranean timur tetapi Uthmaniyah masih bertembung dengan Knights Hospitaller lagi. Sultan Sulaiman al-Qanuni mula mengalihkan perhatiannya ke dataran Eropah.

  1. ^ a b c d e f Clodfelter 2017, m/s. 23.
  2. ^ a b L. Kinross, The Ottoman Centuries: The Rise and Fall of the Turkish Empire, 176
  3. ^ L. Kinross, The Ottoman Centuries: The Rise and Fall of the Turkish Empire, 178