Sastera Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke pandu arah Pergi ke carian

Kesusasteraan Malaysia ialah koleksi karya sastera yang dihasilkan di Semenanjung Tanah Melayu sehingga tahun 1963 dan di Malaysia selepas itu. Kesusasteraan Malaysia biasanya ditulis dalam mana-mana empat bahasa utama negara ini iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Ia menggambarkan pelbagai aspek kehidupan Malaysia dan merangkumi bahagian penting dalam budaya Malaysia.

Karya terawal kesusasteraan Malaysia dihantar secara lisan tanpa adanya skrip penulisan. Sastera lisan merangkumi pelbagai genre cerita rakyat Melayu, seperti mitos, lagenda, cerita rakyat, percintaan, epik, puisi, peribahasa, cerita asal usul, penglipur lara, hikayat dan sejarah lisan.[1] Tradisi lisan berkembang pesat dalam kalangan orang Melayu, tetapi terus bertahan dalam kalangan orang asli Malaysia, termasuk Orang Asli dan pelbagai kumpulan etnik di Sarawak dan Sabah.

Perkembangan[sunting | sunting sumber]

Antara tahun 1900 sehinga 1920, surat khabar Melayu telah berkembang dengan pesat dengan kemunculan penerbitan akhbar yang baharu. Terdapat dua akhbar yang memberi pengaruh ketika itu iaitu Utusan Malayu (juga dieja sebagai Utusan Melayu) yang dimiliki oleh The Singapore Free Press dan Lembaga Malayu (juga dieja sebagai Lembaga Melayu) yang dimiliki oleh Malaya Tribune.[2] Masing-masing telah ditubuhkan pada tahun 1907 dan 1914 dan telah dibubarkan pada tahun 1921 untuk Utusan Malayu dan 1931 untuk Lembaga Malayu.[3][4] Mohammad Eunos Abdullah (1876–1933) telah memainkan peranan penting dalam perkembangan kewartawanan Melayu pada ketika itu. Pada mulanya, beliau menulis untuk Utusan Malayu pada tahun 1907 sehingga 1914, kemudian berpindah ke Lembaga Malayu pada tahun sama sehingga 1931.[3][4] Beliau juga digelar sebagai "Bapa Wartawan Melayu" pada zaman itu.[2]

Terdapat usaha untuk mengeluarkan dan menerbitkan buku-buku bacaan sekolah oleh pegawai-pegawai Inggeris pada pemerintahan Inggeris pada ketika itu, seperti Richard James Wilkinson. Tujuannya adalah untuk memantapkan pemahaman pegawai-pegawai Inggeris terhadap kehidupan, kebudayan dan adat istiadat orang Melayu. Dengan bantuan Raja Haji Yahya, buku-buku ini diambil daripada cerita-cerita Pawang Ana telah berjaya dibukukan atau direkodkan oleh orang-orang seperti Wilkinson dan Winstedt. Antarnya ialah Hikayat Malim Deman, Hikayat Anggun Che’ Tunggal, Hikayat Awang Sulong Merah Muda, manakala hikayat yang lain seperti Hikayat Raja Donan, Hikayat Raja Budiman, Hikayat Raja Ambong, dan Hikayat Seri Rama dimasukkan ke dalam jurnal Journal of the Royal Asiatic Society Straits Branch.[5][6]

Pada masa ini, perkembangan sastera Melayu telah didedahkan kepada pelajar sekolah menegah melalui buku antologi yang telah terbitkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam subjek Bahasa Melayu berlandaskan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menegah (KBSM). Buku ini tersedia dari tingkatan satu hingga tingkatan lima. Usulan memasukkan komponen sastera (atau dikenali komsas) telah diutarakan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada tahun 24 Februari 1999 dan telah disambut baik oleh Pusat Perkembangan Kurikulum. Komsas kini menjadi perkara wajib diambil dalam mata pelajaran Bahasa Melayu apabila Mesyuarat Jawatakuasa Kurikulum Pusat Bilangan 2/99 telah meluluskan usul ini pada 11 Jun 1999. Secara umumnya, sastera sebenarnya telah mula bertapak secara rasmi dalam subjek Bahasa Melayu sejak tahun 1984 lagi. Walau bagaimanapun, ia tidak diwajibkan di dalam peperiksaan awam negara. Pemilihan teks-teks sastera yang diajarkan di sekolah pada ketika itu tidak diseragamkan lagi. Ia hanya bergantung kepada warga sekolah ataupun guru Bahasa Melayu itu sendiri dalam memilih teks bagi proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.[7]

Setiap antologi yang diterbitkan mestilah mempunyai novel, cerpen, drama, pantun, syair, sajak, dan prosa.[8]

Senarai[sunting | sunting sumber]

Berikut merupakan senarai sastera Melayu lama (sebelum Perang Dunia II).

  1. `Aqâ´id al-Nasafî
  2. Asal Bangsa Jin & Dewa-Dewa
  3. Bab Takzir
  4. Batu Bersurat Terengganu
  5. Bustan al-Salatin
  6. Cerita Kutai
  7. Ceretera2 karangan Abdullah
  8. Ceritera Asal Bangsa Jin & Dewa-Dewa
  9. Hikayat Abdullah Munsyi
  10. Hikayat Aceh
  11. Hikayat Amir Hamzah
  12. Hikayat Banjar dan Kota Waringin
  13. Hikayat Bayan Budiman
  14. Bustan al-Salatin
  15. Hikayat Hang Tuah
  16. Hikayat Iblis
  17. Hikayat Ibrahim ibn Adham
  18. Hikayat Inderaputera
  19. Hikayat Iskandar Zulkarnain
  20. Hikayat Maharaja Marakarma
  21. Hikayat Marakarma (Si Miskin)
  22. Hikayat Merong Mahawangsa
  23. Hikayat Muhammad Hanafiah
  24. Hikayat Nabi Yusuf
  25. Hikayat Nakhoda Muda
  26. Hikayat Patani
  27. Hikayat Pelanduk Jenaka
  28. Hikayat Perintah Negeri Benggala
  29. Hikayat Puteri Balqis
  30. Hikayat Raja Damsyik
  31. Hikayat Raja Pasai
  32. Hikayat Seri Rama
  33. Hikayat Siak
  34. Hikayat Tanah Hitu
  35. Hujjat al-Siddîq
  36. Kitab Suci
  37. Misa Melayu
  38. Muhimmat al-Nafa´is
  39. Mukhtasar Tawarikh al-Wustha
  40. Pelayaran Abdullah ke Kelantan
  41. Pelayaran Abdullah ke Mekah
  42. Qasidah al-Burdah
  43. Risalah fi 'l-Tawhid
  44. Risalah Shihabuddin
  45. Salasilah Melayu dan Bugis
  46. Sejarah Melayu
  47. Silsilah Perak
  48. Spraek en Woord-Boek
  49. Surat al-Anbiya
  50. Surat kepada Von de Wall
  51. Surat Keterangan Syeikh Jalaluddin
  52. Syair Awai
  53. Syair Bayan Budiman
  54. Syair Bidasari
  55. Syair Bunga Air Mawar
  56. Syair Bunga-Bungaan
  57. Syair Burung Pungguk
  58. Syair Dagang Berjual-Beli
  59. Syair Engku Puteri
  60. Syair Hamzah Fansuri
  61. Syair Kerajaan Bima
  62. Syair Kiamat
  63. Syair Kumbang dan Melati
  64. Syair Kumbang Mengindera
  65. Syair Kunjungan Tengku Selangor
  66. Syair Nuri dengan Simbangan
  67. Syair Nyamuk dan Lalat
  68. Syair Perang Johor
  69. Syair Perjalanan Sultan Lingga
  70. Syair Potong Gaji
  71. Syair Raja Damsyik
  72. Syair Raja Tedung dengan Raja Katak
  73. Syair Raksi
  74. Syair Sang Kupu-Kupu
  75. Syair Saudagar Bodoh
  76. Syair Sinyor Kosta
  77. Syair Siti Zubaidah Perang Cina
  78. Syair Sultan Maulana
  79. Syair Tengku Perbu
  80. Syair Unggas Soal Jawab
  81. Taj al-Salatin
  82. Tarjumân al-Mustafîd
  83. Tuhfat al-Nafis
  84. Undang-Undang Melaka

Kehilangan kesusasteraan Melayu[sunting | sunting sumber]

Banyak hasil kesusasteraan Melayu yang telah musnah ditelan zaman dan peperangan. Antara punca kemusnahan tulisan kesusasteraan Melayu adalah seperti lenyapnya Kerajaan Seri Wijaya (Srivijaya) serta kedatangan agama Islam ke alam Melayu, yang membawa kepada lenyapnya segala naskhah-naskhah kesusasteraan Melayu yang kebanyakannya berasal dari zaman Hindu dahulu.

Selain itu turut disebabkan kerana istana raja yang menjadi tempat perhimpunan buku-buku, kebanyakannya sudah musnah binasa dijilat api seperti dalam peristiwa kebakaran istana Sultan Mansur Shah seperti yang tersebut kisahnya di dalam buku Sejarah Melayu yang mengatakan bahawa dalam peristiwa itulah bangunan kerajaan Sang Nila Utama telah dibakar.

Selain itu dengan kejatuhan kerajaan Melaka, banyak kehilangan naskhah-naskhah kesusasteraan lama Melayu apabila Kerajaan Melayu Melaka kalah kepada Ferringhi (orang asing dari Barat). Banyak buku dan kitab yang musnah terbakar atau tenggelam bersama Flor De La Mar (Flower of the seas). Kapal laksamana Alfonso de Albuquerque dari Portugis yang dipercayai tenggelam di perairan Aceh Tamiang dan Pasai pada Disember 1511 membawa banyak harta rampasan perang Melaka.

Selain itu berlaku juga kebakaran pada sebuah kapal yang bernama the Fame yang dalam pelayaran ke British. Dalam kebakaran itu turut musnah segala muatannya iaitu berbagai khazanah termasuklah perpustakaan lama Melayu yang telah dikumpulkan oleh tuan Raffles.

Menurut keterangan Abdullah Abdul Kadir Munshi dalam hikayatnya, nyatalah amat banyak perpustakaan lama Melayu yang telah musnah dalam kebakaran kapal the Fame itu. Ada pun perpustakaan lama melayu, iaitu kitab-kitab, hikayat-hikayat dan syair-syair yang musnah itu menurut Hikayat Abdullah penuh berisi di dalam tiga buah peti kulit panjang-panjang sedepa, diantaranya ada kira-kira tiga ratus buah buku-buku yang telah dijilid, tiada termasuk naskah-naskah yang belum berjilid, yang bercerai-berai, bergulung dan yang berhelai-helai. Selain dari itu ada lagi duah buah peti penuh berisi dengan surat-surat dan kitab-kitab Jawa, Bali dan Bugis dan tulisan-tulisan di atas daun lontar.

Sesungguhnya adalah terbukti bahawa segala khazanah yang telah musnah didalam kebakaran kapal the Fame itu amat tinggi nilainya kepada tuan Raffles, kerana ada tersebut di dalam buku yang bernama “ Raffles “ of Singapore karangan Reginald Coupland, mengatakan bahawa berbagai-bagai khazanah yang telah dikumpulkan oleh Raffles sebanyak muatan lebih sebuah kapal telah sudah pun dihantarkan ke England beberapa lama terdahulu daripada peristiwa kebakaran kapal the Fame itu, tetapi segala khazanah yang terpilih dan lebih-lebih di hargainya telah dikemudiankan oleh Raffles dengan tujuan ia sendiri hendak memerhatikan keselamatan khazanah-khazanah itu dalam pelayaran. Malangnya semuanya itu telah musnah, termasuklah segala naskhah buku-buku, surat-surat, tulisan di daun-daun lontar dan sebagainya yang telah disimpan ke dalam peti-peti oleh munshi Abdullah di Singapura itu serta beberapa banyak lagi khazanah-khazanah yang telah terkumpul dan dibawa daripada Bencoolen (Bangkahulu, Indonesia)

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Annas Haji Ahmad (1964). Sastera Melayu Lama. Penerbit Buku-Buku Pelajaran Malaysia. Diperolehi pada 11 Jun 2022.
  2. ^ a b Annas Haji Ahmad (1964). Sastera Melayu Baru. Penerbit Buku-Buku Pelajaran Malaysia. m/s. 30. Diperolehi pada 11 Jun 2022.
  3. ^ a b Ainon Haji Kuntom (1973). Akhbar Melayu, 1876-1973: Tinjauan Sejarah Kesusasteraan. Pulau Pinang: Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.
  4. ^ a b "Malaya Tribune". eresources.nlb.gov.sg (dalam bahasa Inggeris). Lembaga Perpustakaan Negara Singapura. Dicapai pada 20 Februari 2022.
  5. ^ Annas Haji Ahmad (1964). Sastera Melayu Baru. Penerbit Buku-Buku Pelajaran Malaysia. m/s. 31. Diperolehi pada 11 Jun 2022.
  6. ^ Tiew, W. S. (1998). History of Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (JMBRAS) 1878–1997: An overview. Malaysian Journal of Library & Information Science, 3(1), 43–60, p. 44.
  7. ^ Azhar Haji Wahid; Fathin Noor Ain binti Ramli (2017). "Sastera Melayu Membina Teras Identiti Bangsa". Jurnal Antarabangsa Persuratan Melayu. 5: 1–25. ISSN 2289-5000.
  8. ^ Azhar Haji Wahid; Fathin Noor Ain binti Ramli (2018). "Pendidikan Sastera Melayu Memperkukuhkan Pembinaan Karakter Pelajar". Jurnal Peradaban Melayu. Universiti Pendidikan Sultan Idris. 13: 1–14. doi:10.37134/peradaban.vol13.1.201. ISSN 1675-4271.