Bakteria

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Bakteria
frames
Escherichia coli
Pengelasan sains
Domain Bakteria
Subsusunan

Actinobacteria
Aquificae
Bacteroidetes/Chlorobi
Chlamydiae/Verrucomicrobia
Chloroflexi
Chrysiogenetes
Cyanobacteria
Deferribacteres
Deinococcus-Thermus
Dictyoglomi
Fibrobacteres/Acidobacteria
Firmicutes
Fusobacteria
Gemmatimonadetes
Nitrospirae
Planctomycetes
Proteobacteria
Spirochaetes
Thermodesulfobacteria
Thermomicrobia
Thermotogae

Struktur sel prokariot

Bakteria ialah satu kumpulan utama organisma unisel. Istilah "bakteria" telah digunakan dengan berbagai-bagai maksud untuk semua prokariot serta untuk sekumpulan utamanya yang digelarkan eubakteria, tergantung kepada gagasan-gagasan mengenai hubungan antaranya. Bakteria digunakan dalam rencana ini khusus untuk merujuk kepada eubakteria. Lagi satu kumpulan bakteria (digunakan secara umum dari segi bukan taksonomi) ialah Arkea. Kajian bakteria digelarkan bakteriologi, satu subbidang mikrobiologi.

Bakteria adalah organisma yang paling banyak terdapat di dunia, dan sentiasa boleh didapati di dalam tanah serta di dalam air, dan sebagai simbion bagi organisma yang lain. Banyak patogen adalah bakteria. Kebanyakannya amat kecil, biasanya hanya 0.5-5.0 μm pada ukuran yang paling panjang, walaupun bakteria gergasi seperti Thiomargarita namibiensis dan Epulopiscium fishelsoni boleh bertumbuh melebihi saiz 0.5 milimeter. Secara amnya, bakteria mempunyai dinding sel yang serupa dengan sel tumbuhan dan kulat, tetap dinding sel bakteria biasanya diperbuat daripada peptidoglikan dan bukannya daripada selulosa (seperti untuk tumbuhan) atau kitin (seperti untuk kulat), dan tidak berhomolog dengan dinding sel eukariot. Banyak bakteria bergerak dengan menggunakan flagelum yang mempunyai struktur yang berbeza dengan flagelum kumpulan lain.

Biasanya terdapat 40 juta sel bakteria di dalam satu gram tanah dan sejuta sel bakteria di dalam satu mililiter air tawar; keseluruhannya, terdapat kira-kira lima nonilion (5×1030) bakteria di Bumi,[1] membentuk biojisim di Bumi, yang melebihi kesemua tumbuhan dan binatang.[2] Bakteria adalah penting dalam kitar semula nutrien, dengan banyak langkah dalam kitar nutrien bergantung pada organisma ini, seperti pembaikian nitrogen dari atmosfera dan kereputan. Walau bagaimanapun, kebanyakan bakteria tidak dicirikan, dan hanya kira-kira separuh filum bakteria mempunyai spesies yang dapat dikulturkan di dalam makmal.[3]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Bakteria pertama dicerapkan oleh Anton van Leeuwenhoek pada tahun 1674 melalui penggunaan mikroskop kanta tunggal yang direka bentuk sendiri. Nama bakteria diperkenalkan lebih lewat oleh Ehrenberg pada tahun 1828 daripada perkataan Greek βακτηριον yang bermaksud "kayu kecil". Disebabkan kesusahan untuk memerihalkan bakteria secara berasingan, serta kepentingan penemuan bakteria untuk bidang-bidang seperti perubatan, biokimia, dan geokimia, sejarah bakteria telah diperihalkan secara amnya sebagai sejarah mikrobiologi.

Struktur sel[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Struktur sel bakteria

Sebagai prokariot, semua bakteria mempunyai struktur sel yang agak sederhana, dan yang tidak mempunyai nukleus sel atau organel seperti mitokondrion dan kloroplas. Kebanyakan bakteria adalah agak kecil dan mempunyai morfologi (bentuk) sel dan koloni tersendiri seperti yang diperihalkan di bawah. Ciri struktur bakteria yang terpenting ialah dinding sel. Bakteria boleh dibahagikan kepada dua kumpulan (positif Gram dan negatif Gram) berdasarkan perbezaan antara struktur dinding selnya sebagaimana yang didedahkan oleh pewarna Gram. Bakteria yang positif Gram mempunyai dinding sel yang terdiri daripada lapisan peptidoglikan yang tebal (digelarkan "Murein" dalam sumber yang lebih lama) serta asid teikoik, sedangkan bakteria negatif Gram mempunyai selaput luar yang mengandungi lipopolisakarida serta selapis peptidoglikan yang nipis yang terletak di dalam periplasma (kawasan antara selaput luar dan selaput sitoplasma).

Banyak bakteria mengandungi struktur luar sel seperti flagelum dan fimbria yang digunakan masing-masing untuk pergerakan, pelekatan, dan pengkonjugatan. Sesetengah bakteria juga mengandungi kapsul atau lapisan lendir yang memudahkan pembentukan biofilem dan pelekatan bakteria kepada permukaan. Bakteria mengandungi agak sedikit struktur intrasel berbanding eukariot, tetapi mengandungi kromosom yang digelungkan dengan ketat, ribosom, dan banyak struktur yang khusus pada spesies seperti selaput intrasel, struktur storan nutrien, vesikel gas, dan magnetosom.

Sesetengah bakteria berupaya untuk membentukkan endospora yang membenarkan bakteria untuk hidup dalam tekanan persekitaran dan kimia yang keterlaluan. Bagaimanapun, sifat ini hanya dihadkan kepada organisma positif Gram seperti Basilus dan Klostridium.

Kelajuan Sel[sunting | sunting sumber]

Purata kelajuan sel bakteria menjankau kelajuan dari 50 µm/s - 200 µm/s atau 80 km/sejam mengikut kelajuan manusia.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Whitman WB, Coleman DC, Wiebe WJ (1998). "Prokaryotes: the unseen majority". Proceedings of the National Academy of Sciences of the United States of America 95 (12): 6578–83. doi:10.1073/pnas.95.12.6578. PMC 33863. PMID 9618454. 
  2. C.Michael Hogan. 2010. Bacteria. Encyclopedia of Earth. eds. Sidney Draggan and C.J.Cleveland, National Council for Science and the Environment, Washington DC
  3. Rappé MS, Giovannoni SJ (2003). "The uncultured microbial majority". Annual Review of Microbiology 57: 369–94. doi:10.1146/annurev.micro.57.030502.090759. PMID 14527284. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]