Beauty and the Beast (filem 1991)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Beauty and the Beast (filem 1991)
Pengarah Gary Trousdale
Kirk Wise
Penerbit Don Hahn
Lakon layar Linda Woolverton
Cerita oleh Roger Allers
Brenda Chapman
Chris Sanders
Burny Mattinson
Kevin Harkey
Brian Pimental
Bruce Woodside
Joe Ranft
Tom Ellery
Kelly Ashbury
Robert Lence
Konsep asal La Belle et la Bête oleh
Jeanne-Marie Le Prince de Beaumont
Pengisah David Ogden Stiers
Lakonan Paige O'Hara
Robby Benson
Richard White
Jerry Orbach
Angela Lansbury
David Ogden Stiers
Bradley Pierce
Jesse Corti
Rex Everhart
Muzik Alan Menken
Penyuntingan John Carnochan
Studio Walt Disney Animation Studios
Silver Screen Partners IV
Pengedar Walt Disney Pictures
Mula ditayang November 13, 1991 (1991-11-13)
Tempoh ditayang 84 minit
Negara Bendera Amerika Syarikat Amerika Syarikat
Bahasa Bahasa Inggeris
Perbelanjaan $25 juta
Pulangan kasar $377,350,553

Beauty and the Beast (Si Cantik dan Sang Raksasa) ialah sebuah filem fantasi animasi buatan Amerika Syarikat yang diterbitkan oleh Walt Disney Animation Studios pada tahun 1991, dan diedarkan oleh Walt Disney Pictures, selaku filem ke-30 dalam siri Walt Disney Animated Classics dan filem ketiga dalam zaman Disney Renaissance. Filem ini diadaptasikan daripada cerita dongeng Perancis, La Belle et la Bête oleh Jeanne-Marie Le Prince de Beaumont[1] dan memetik banyak idea daripada sebuah filem 1946 yang turut dipetik dari cerita dongeng yang sama.[2] Filem ini mengisahkan seorang putera yang ditukarkan menjadi seekor Si Jelik (Beast) dan seorang pemudi bernama Belle yang dikurung dalam istana Si Jelik. Untuk menjadi seorang manusia lagi, Si Jelik mesti mencintai Belle dan memenangi hatinya, jika tidak dia akan kekal sebagai Si Jelik selamanya.

Lakon layar animasi filem ini dikarang oleh Linda Woolverton dengan penceritaan oleh Roger Allers, Brenda Chapman, Chris Sanders, Burny Mattinson, Kevin Harkey, Brian Pimental, Bruce Woodside, Joe Ranft, Tom Ellery, Kelly Ashbury, dan Robert Lence. Filem ini diarah oleh Gary Trousdale dan Kirk Wise, dan diterbitkan oleh Don Hahn. Muzik filem ini dicipta oleh Alan Menken dan Howard Ashman yang sebelum ini pernah menggubah lagu untuk The Little Mermaid.

Beauty and the Beast keluar pada 13 November 1991, dan mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada para penonton dan pengulas filem sekalian, iaitu mengutip sejumlah $403 juta dari pawagam-pawagam di seluruh dunia. Beauty and the Beast turut dicalonkan untuk beberapa anugerah, dan memenangi satu Anugerah Golden Globe untuk filem muzikal atau komedi terbaik, dan dua lagi anugerah untuk muziknya. Penting sekali, Beauty and the Beast merupakan filem animasi pertama sekali yang dicalonkan untuk Anugerah Akademi untuk Filem Terbaik, dan juga kekal sebagai satu-satunya filem animasi yang memegang kehormatan ini hinggalah tahun 2009, apabila filem animasi Pixar, Up dicalonkan pula. Beauty and the Beast menerima sejumlah enam pencalonan, termasuk Filem Terbaik, Skor Asli Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, dan tiga pencalonan bagi lagu-lagunya. Daripada itu, ia memenangi filem Skor Asli Terbaik dan Lagu Asli Terbaik untuk lagu tema "Beauty and the Beast".

Filem ini disusuli dengan dua midquel iaitu Beauty and the Beast: The Enchanted Christmas yang keluar dalam bentuk video pada tahun 1997, dan Belle's Magical World pada tahun 1998. Ia juga diadaptasikan dalam bentuk pementasan dan disusuli dengan siri spin-off televisyen, Sing Me a Story with Belle. Edisi khas filem asal ditayangkan dalam pawagam IMAX pada tahun 2002, yang menyertakan babak muzikal lima minit yang baru. Selepas kejayaan keluaran semula The Lion King dalam bentuk 3D pada tahun 2011, Beauty and the Beast akan kembali dalam bentuk 3-D pada 13 Januari 2012.[3]

Jalan Cerita[sunting | sunting sumber]

Seorang ahli sihir yang menyamar sebagai pengemis tua menawarkan sekuntum bunga mawar kepada seorang putera muda sebagai dagangan untuk mendapatkan perteduhan di istana. Apabila ditolak oleh putera itu, ahli sihir itu menghukumnya dengan menukar bentuknya menjadi seekor makhluk jelik yang hodoh dan para hambanya menjadi perabot dan bermacam-macam kelengkapan rumah. Ahli sihir itu memberi sang putera sebidang cermin ajaib yang membolehkannya untuk melihat peristiwa yang berlaku di jauhari, dan juga bunga mawar itu yang akan mekar hingga hari keputeraannya yang kedua puluh satu. Putera itu mesti mencintai dan dibalas dengan cinta sebelum bunga itu layu, jika tidak dia akan kekal sebagai Si Jelik buat selama-lamanya. Bertahun-tahun kemudian, adanya seorang jelitawan muda yang bernama Belle yang tinggal di sebuah desa yang berdekatan dengan istana itu bersama bapanya Maurice, seorang pencipta. Belle gemar membaca dan mengidamkan kehidupan di luar desa. Dia dikejar oleh perwira kampung yang angkuh, iaitu Gaston, tetapi tidak meminatinya langsung walaupun Gaston ini merupakan jejaka yang paling kacak di bandar, apatah lagi dikejar oleh semua pemudi-pemudi bujang dan didewa-dewakan oleh penduduk-penduduk lelaki di pekan.

Ketika Maurice menunggang kereta kudanya melalui hutan untuk menunjukkan ciptaan terbarunya, iaitu sebuah mesin pemotong kayu, di sebuah pesta, dia menjadi sesat di tengah perjalanan lalu dikejar-kejar oleh sekawan serigala, kemudian bertembung dengan istana Si Jelik, di mana dia bertemu hamba-hamba istana yang bertukar bentuk, iaitu Lumiere (kaki dian), Cogsworth (jam), serta Pn. Potts (teko) dan anaknya Chip (cawan). Akhirnya Maurice ditangkap dan dikurung oleh Si Jeliki. Tidak lama selepas menolak lamaran Gaston, Belle dibawa ke istana oleh kuda Maurice lalu menawarkan diri untuk mengambil tempat bapanya. Setelah Si Jelik merestui permintaan Belle ini dan menghantar Maurice balik, Maurice cepat-cepat menceritakan pengalamannya kepada Gaston dan para penduduk kampung, tetapi mereka semua menyangka dia sudah hilang akal.

Di istana, Si Jelik memerintah Belle untuk bermakan malam dengannya, tetapi dia menolak, sementara Lumiere mengingkari arahan baginda untuk tidak membenarkan Belle makan. Setelah dibawa-bawa untuk melihat sekitar istana oleh Cogsworth, Belle menemui bunga mawar sakti itu di sayap barat yang terlarang tetapi dihalau oleh Si Jelik dengan marahnya. Dengan rasa takut sekali, Belle cuba melarikan diri dari istana itu, tetapi dia dan kudanya diserang oleh serigala. Setelah diselamatkan oleh Si Jelik, Belle merawat luka-luka Si Jelik, maka Si Jelik mulai berkasih sayang kepada Belle. Oleh itu, Si Jelik membalas budi Belle dengan menunjukkan perpustakaan atas cadangan Lumiere, sehingga Belle menjadi kagum dan bermesra dengan Si Jelik. Lama-kelamaan mereka berdua semakin rapat dan para hamba istana mengambil langkah dengan sendiri untuk mengemaskan istana dan mengadakan petang yang romantis buat mereka.

Sementara di desa, selepas mendengar cerita Maurice tentang Belle yang dikurung oleh Si Jelik, Gaston membayar warden rumah sakit jiwa pekan untuk mengurung Maurice melainkan Belle menerima lamaran Gaston. Setelah mendapati rumah Belle kosong, Gaston mengarahkan subahatnya LeFou untuk menunggu di tepi pintu sehingga mereka balik. Di istana pula, Belle dan Si Jelik berpakaian kemas-kemas, bermakan malam dengan penuh adab dan menari di dewan majlis dengan penuh asmara. Si Jelik mendapati bahawa Belle kelihatan murung, lalu memberinya melihat cermin sakti. Belle melihat ayahnya yang nyawa-nyawa ikan di tengah hutan pada musim sejuk kerana hendak menyelamatkan Belle dari istana. Dengan hanya tinggal dua tiga jam sebelum bunga mawar sakti layu, Si Jelik membenarkan Belle keluar untuk menyelamatkan bapanya dan memberinya cermin sebagai kenangan. Para hamba istana terperanjat oleh tindakan tuan mereka kerana takut mereka tidak boleh berubah balik menjadi manusia lagi, memandangkan Si Jelik tidak memberitahu mereka akan sebab baginda terpaksa melepaskannya. Sambil menyaksikan pemergian Belle, Si Jelik mengakui cintanya kepada Belle kepada Cogsworth.

Belle sempat menjumpai bapanya dan membawanya pulang dengan selamat, tetapi mereka diganggu oleh Gaston dengan segerombolan penduduk kampung. Pengurus rumah sakit jiwa akan membawa ayahnya pergi selagi Belle tidak menerima lamaran Gaston. Akhirnya, Belle membuktikan kesiumanan Maurice dengan menunjukkan Si Jelik dalam cermin sakti kepada mereka semua, tetapi apabila meluahkan bahawa Si Jelik itu sahabatnya serta mencaci Gaston sebagai "binatang", Gaston menjadi cemburu. Gaston menggerakkan kemarahan gerombolannya ke arah Si Jelik dan memimpin mereka semua ke dalam istana untuk membunuh maklumat itu. Gaston mengurung Belle dan Maurice dalam bilik bawah tanah, tetapi mujurlah Chip yang menyorok dalam bagasi Belle, sempat membelah pintu bilik bawah tanah dengan jentera ciptaan Maurice itu.

Sementara para hamba istana dan orang-orang Gaston bertempur di istana, Gaston menemui dan menyerang Si Jelik. Si Jelik pada mulanya terlalu murung untuk melawan balik, tetapi akhirnya pulih semangat setelah melihat Belle kembali ke istana bersama Maurice. Setelah menang dalam pergaduhan yang sengit, Si Jelik tidak membunuh Gaston tetapi mensyaratkan bahawa Gaston meninggalkan istananya. Selepas itu, Si Jelik memanjat ke arah beranda di mana Belle sedang menunggu. Dengan enggan menyerah kalah, Gaston mengekori dan menikam belakang Si Jelik, tetapi akhirnya hilang imbangan dan jatuh dari beranda sampai mati.

Sementara Si Jelik menghembuskan nafas-nafas terakhirnya akibat kecederaannya yang parah, Belle membisikkan rasa cinta kepadanya, sekaligus memecahkan sumpahan sebelum bunga mawar sakti menggugurkan kelopaknya yang terakhir. Maka Si Jelik kembali hidup dan bertukar menjadi manusia semula. Apabila putera itu dan Belle bercium, istana dan halamannya mendapat kembali keindahan yang lalu sementara para hamba pun bertukar balik menjadi manusia. Belle menari bersama putera itu sambil diraikan oleh ayah Belle dan hamba-hambanya dengan penuh gilang-gemilang.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. LePrince de Beaumont, Jeanne-Marie (1783). "Containing Dialogues between a Governess and Several Young Ladies of Quality Her Scholars". The Young Misses Magazine (edisi ke-4) (London) 1: 45–67. 
  2. Ginell, Carl (2 Ogos 2007). "Beauty and the Beast stellar". Toacorn.com. Diperoleh pada 15 Julai 2010. 
  3. Smith, Grady (October 4, 2011). "'Beauty and the Beast,' 'The Little Mermaid,' 'Finding Nemo,' 'Monsters, Inc.' get 3-D re-releases". Entertainment Weekly. Diperoleh pada October 27, 2011. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Wikiquote-logo.svg
Wikiquote mempunyai koleksi petikan mengenai: