Fantasia (filem)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Fantasia (filem)
Fantasia-poster-1940.jpg
Poster tayangan pawagam asal
Pengarah lihat bawah
Penerbit Walt Disney
Pengarang Joe Grant
Dick Huemer
Pengisah Deems Taylor
Lakonan Leopold Stokowski
The Philadelphia Orchestra
Muzik lihat bawah
Sinematografi James Wong Howe
Studio Walt Disney Productions
Pengedar Walt Disney Productions
RKO Radio Pictures
Mula ditayang November 13, 1940 (1940-11-13)
(AS)
Tempoh ditayang 125 minit
Negara Amerika Syarikat
Bahasa Bahasa Inggeris
Perbelanjaan $2,280,000
Pulangan kasar $76,408,097

Fantasia merupakan sebuah filem animasi Amerika Syarikat yang diterbitkan oleh Walt Disney pada tahun 1940. Filem ketiga terbitan Walt Disney Productions ini terdiri daripada lapan segmen animasi yang diiringi irama muzik klasikal pilihan dan diselangi oleh babak-babak aksi langsung yang memperkenalkan setiap segmen. Segmen-segmen animasi tersebut tiada dialog mahupun kesan bunyi; segala percakapan dalam filem hanya diperdengarkan dalam babak pengenalan aksi langsung oleh hos Deems Taylor, seorang penggubah dan pengulas muzik Amerika, sebelum setiap segmen.

Muziknya dirakam di bawah pimpinan Leopold Stokowski yang ditampilkan dalam babak-babak pengenalan Taylor. Tujuh daripada lapan lagunya dimainkan oleh Orkestra Philadelphia. Karya seni animasi yang menunjukkan berbagai-bagai tahap keniskalaan atau keliteralan digunakan untuk menggambarkan atau mengiringi konsert dengan pelbagai cara. Fantasia terkenal kerana ciri-ciri yang dianggap avant-garde pada zaman itu, dan juga sebagai filem dagangan pertama yang ditayangkan dengan sistem bunyi berbilang saluran dengan menggunakan proses "Fantasound". Filem ini mendapat sanjungan sebagai magnum opus Disney.

Fantasia mula-mula ditayangkan oleh Walt Disney Productions, bukan pengedarnya ketika itu, RKO Radio Pictures, sebagai filem jerayawara dua jam dua puluh minit (termasuk waktu rehat) dengan pemasukan kerusi tempahan. Apabila ditayangkan kepada umum, filem ini menerima ulasan kritis bercampur-campur dan gagal menarik jumlah penonton yang besar sehingga mengakibatkan Disney dalam keadaan kewangan yang teruk.[1][2]

Fantasia akhirnya diedarkan oleh RKO untuk ditayangkan semula pada tahun 1941, kemudian disunting banyak-banyak sehingga hanya tinggal tempoh 81 minit untuk tahun 1942. Lima kali tayangan semula Fantasia dari tahun 1946 hingga 1977 sempat memulihkan sedikit sebanyak babak-babak yang terpotong, khususnya versi paling umum iaitu edisi 1946 yang tempohnya kurang sembilan minit daripada versi jerayawara 124 minit itu. Keluaran semula 1982 menampilkan runut bunyi serba baru digital pimpinan penggubah Irwin Kostal, tetapi ditarik balik pada tahun 1990 setelah tersedianya hasil pemulihan runut bunyi asli pimpinan Stokowski. Versi asal Fantasia tidak lagi ditayangkan selepas tahun 1941. Meskipun ada sedikit unsur-unsur audio asal yang tidak wujud lagi, namun versi keluaran DVD pada tahun 2000 menampakkan percubaan untuk memulihkan seberapa banyak versi asal filem yang boleh.

Biarpun tidak disambut baik pada mulanya, namun Fantasia terus menjadi salah sebuah filem terlaris sepanjang zaman [3] dan kini diterima sebagai filem klasik.

Huraian program[sunting | sunting sumber]

Sesetengah karya muzik yang dimainkan dalam filem ini adalah muzik program, iaitu muzik instrumental yang melukiskan atau membayangkan cerita dalam bentuk bunyi. Namun demikian, program Disney pada amnya tidak sama dengan yang asal. Kritikan ini dibincangkan dalam filem ini sendiri. Pengacara dan pencerita filem ini, Deems Taylor, memperkenalkan setiap lagu dalam program serta memerikan niat asal penggubah itu. Tiada niat untuk memperdaya sesiapa untuk menyangka bahawa iringan visual Disney itu adalah "niat asal" penggubah itu.

Sesetengah karya muzik terpilih dipendekkan dari panjang penuhnya untuk memadani tempoh tayangan filem. Empat daripada lapan lagu itu dipersembahkan selengkap-lengkapnya: Toccata and Fugue, The Sorcerer's Apprentice, Dance of the Hours (yang sebenarnya dipanjangkan), dan Ave Maria. Lagu Nutcracker Suite kehilangan bahagian Miniature Overture dan March, lagu Rite of Spring (segmen terpanjang dalam filem) kurang sepuluh minit daripada karya 35 minit yang asal, dan segmen Pastoral Symphony dipersembahkan dalam versi 20 minit dan bukan karya asal Beethoven yang lengkap 40 minit. Juga terdapat ketinggalan dalam kecil dalam segmen Night on Bald Mountain.

Toccata and Fugue in D Minor[sunting | sunting sumber]

Fantasia membuka tirai serta-merta (tanpa apa-apa kredit pembukaan atau logo) untuk menunjukkan tempat duduk muzik. Para pemuzik dilihat menaiki tempat duduk lalu mengambil kerusi masing-masing sambil menalakan alat-alat muzik mereka. Juruacara majlis, Deems Taylor muncul untuk menyampaikan ucapan untuk memperkenalkan filem. Stokowski muncul dan mula memimpin alunan-alunan pertama pengorkestraan Toccata and Fugue in D Minor, karya asal Johann Sebastian Bach (yang asalnya digubah untuk dimainkan dengan organ solo).

Sepertiga pertama segmen Toccata and Fugue berbentuk aksi sebenar yang bercirikan orkestra memainkan lagu, diterangi oleh corak cahaya mujarad yang disegerakkan dengan muzik sambil diiringi oleh pertindihan bayang-bayang yang bergaya. Bahagian-bahagian terawal lagu ini dimainkan di setiap satu daripada tiga saluran audio (mula-mula di kanan, kemudian di kiri, kemudian di tengah, kemudian ketiga-tiganya sekali) untuk mendemonstrasi sistem Fantasound. Lagu ini bersambung ke babak animasi mujarad yang segerak dengan muzik, kali pertama untuk studio Disney. Toccata and Fugue diilhamkan terutamanya oleh juruanimasi abstrak Jerman, Oskar Fischinger yang mengusahakan segmen ini dalam masa yang singkat. Lagu ini bersambung balik ke babak aksi langsung di mana Stokowski menghabiskan laginya untuk membuka laluan kepada lagu-lagu yang lain.

Walaupun Orkestra Philadelphia merakam muzik untuk filem ini (kecuali The Sorcerer's Apprentice), namun tidak satu ahlinya pun yang muncul dalam layar. Sebaliknya, orkestra yang ditayangkan terdiri daripada para pemuzik Los Angeles dan kakitangan studio Disney seperti James Macdonald dan Paul J. Smith yang membuat mimos pada runut-runut yang diprarakam oleh Stokowski dan Orkestra Philadelphia. Pada mulanya, Orkestra Philadelphia dijangka akan membuat penggambaran dalam babak pengenalan dan ruang-antara, tetapi hasrat itu digagalkan oleh faktor kesatuan sekerja dan perbelanjaan.

Nutcracker Suite[sunting | sunting sumber]

  • Skor muzik: Pyotr Ilyich TchaikovskyNutcracker Suite Op. 71a
  • Arahan: Samuel Armstrong
  • Perkembangan cerita: Sylvia Moberly-Holland, Norman Wright, Albert Heath, Bianca Majolie, dan Graham Heid
  • Rekabentuk watak: John Walbridge, Elmer Plummer, dan Ethel Kulsar
  • Arahan seni: Robert Cormack, Al Zinnen, Curtiss D. Perkins, Arthur Byram, dan Bruce Bushman
  • Lukisan latar: John Hench, Ethel Kulsar, dan Nino Carbe
  • Animasi: Art Babbitt, Les Clark, Don Lusk, Cy Young, dan Robert Stokes
  • Koreografi: Jules Engel

The Nutcracker Suite, lagu-lagu terpilih dari balet klasik Tchaikovsky yang bertajuk Sang Kacip Kekeras, merupakan gambaran personifikasi perubahan musim; mulai dengan dari musim panas ke musim luruh, kemudian dari musim luruh kepada musim sejuk. Berbeza dengan balet asal Tchaikovsky, versi ini tiada plot. Ia menampilkan beraneka tarian seperti dalam karya asal, tetapi ditarikan oleh pari-pari, ikan, bunga, cendawan dan daun; tiada satu kacip kekeras pun yang kelihatan dalam versi ini. Banyak elemen yang dibuat dengan teliti dan cermat dengan menggunakan teknik-teknik seperti berus kering dan berus angin. Segmen-segmen muzikalnya adalah seperti berikut:

  • Semasa fajar menyingsing di atas padang rumput ketika "Dance of the Sugar Plum Fairy" berkumandang, sekawan pari-pari halus merenjiskan titisan embun pada setiap bunga.
  • Segugus cendawan kecil yang memakai jubah panjang dan topi kuli seakan-akan orang Cina menarikan "Chinese Dance" (bersama sebatang lagi cendawan kecil yang sering hilang rentak).
  • Bunga-bungaan berwarna-warni berbentuk penari balet menarikan "Dance of the Flutes".
  • Sekawan ikan mas dalam air menarikan "Arab Dance" dengan lemah lembut.
  • Tisel berpakaian seperti Kossak menendang udara tinggi-tinggi, dan bunga anggerik yang berpakaian seperti gadis petani Rusia yang comel, bersama-sama menarikan "Russian Dance" dengan ghairahnya.
  • Dalam segmen muzik terakhir, "Waltz of the Flowers", pari-pari musim luruh mewarnai segala yang disentuhnya dengan serba perang emas dengan tongkat sakti. Kemudian, pari-pari musim sejuk tiba dan segalanya menjadi sebahagian corak seakan-akan permata berais di kalangan kehujanan emping salji.

Salah satu perkara luar biasa dalam versi jerayawara Fantasia yang cukup panjangnya adalah ketika mengulas segmen Nutcracker Suite, Deems Taylor menyatakan bahawa balet The Nutcracker yang selengkapnya "tidak dipersembahkan lagi." Penduduk Amerika Syarikat tidak menyaksikan pementasan Nutcracker yang selengkapnya sehingga tahun 1944, empat tahun selepas keluarnya Fantasia, dan pementasan George Balanchine bersama New York City Ballet pada tahun 1954 telah memantapkan tradisi moden mempersembahkan balet ini pada musim Krismas.[4]

The Sorcerer's Apprentice[sunting | sunting sumber]

The Sorcerer's Apprentice mungkin merupakan filem pendek Mickey Mouse yang paling dikenali sejak penampilan sulungnya dalam Steamboat Willie (1928), dan diadaptasi dari puisi Goethe yang bertajuk "Der Zauberlehrling". Kisahnya adalah mengenai seorang perantis ahli sihir yang bercita-cita tinggi tetapi pemalas, yang cuba meniru kehebatan sihir mahagurunya tanpa pernah belajar mengawalnya dengan betul. Mickey memainkan peranan perantis itu. Sang ahli sihir meninggalkan topi saktinya sebelum keluar. Mickey mengambil topi itu lalu membaca beberapa muka surat dalam buku jampi mahagurunya. Kemudian, dia menghidupkan sebatang penyapu dengan kuasa sakti untuk melakukan kerja hariannya (mengumpul air dari perigi lalu mencurahkannya ke dalam singki batu dalam makmal ahli sihir). Mickey terus mengarah-arahkan penyapu itu untuk melakukan kerjanya tetapi terlelap lalu bermimpikan dirinya sebagai ahli sihir perkasa yang mengawal samudera yang bergolak dan bintang-bintang dalam angkasa; sehinggalah dia bangun untuk menyedari bahawa singki itu sudah melimpah padahal penyapu itu masih terus mengisinya. Setelah berkali-kali cuba menghentikan penyapu itu, Mickey menjadi cemas lalu cepat mengambil kapak untuk membelah penyapu itu sampai bercebis-cebis, tetapi setiap cebisan itu pula yang menjadi hidup lalu menjadi ratusan penyapu baru yang terus mengisi singki itu berulang kali sehingga mengakibatkan banjir besar. Mickey bergegas ke arah buku jampi ahli sihir itu untuk mencari jampi balas, tetapi tidak dapat. Selepas hampir lemas dalam pusaran raksasa, Mickey diselamatkan oleh ahli sihir yang baru balik dan meredakan banjir dan melenyapkan semua penyapu itu dengan kuasa saktinya. Dengan rasa kemarahan, ahli sihir itu memantau kemusnahan yang dilakukan oleh perantisnya (dengan cemuhan yang bergelar "The Dirty Disney Look" oleh para juruanimasi, iaitu renungan dengan sebelah kening terangkat yang acapkali diberikan oleh majikan mereka sebagai tanda rasa tidak puas hati). Perantis yang berasa malu itu tersipu-sipu mengikut arahan mahagurunya lalu kembali menyambung kerjanya. Ahli sihir itu tersenyum sedikit, kerana dia curi-curi menikmati kelucuan keadaan tadi, lalu menghentak punggung anak didiknya dengan penyapu yang sudah mati itu sampai dia bergegas lari dari bilik itu. (Kemarahan ahli sihir terhadap perantisnya dalam Fantasia tiada dalam puisi asal Goethe, yang mana ahli sihir cuma berasa geli hati dan sekadar menegur perantisnya.)

Selepas muzik berakhir, Mickey dan Stokowski yang kelihatan dalam bentuk bayang, saling mengucapkan tahniah dengan babak jabat tangan istimewa antara watak aksi langsung dan animasi. Dalam versi jerayawara asal, selepas Mickey beredar, Deems Taylor dan para pemuzik kelihatan memberikan tepukan kepada Mickey dan Stokowski.

The Rite of Spring[sunting | sunting sumber]

  • Skor muzik: Igor StravinskyThe Rite of Spring
  • Arahan: Bill Roberts dan Paul Satterfield
  • Perkembangan cerita/penyelidikan: William Martin, Leo Thiele, Robert Sterner, dan John Fraser McLeish
  • Arahan seni: McLaren Stewart, Dick Kelsey, dan John Hubley
  • Lukisan latar: Ed Starr, Brice Mack, dan Edward Levitt
  • Penyeliaan animasi: Wolfgang Reitherman dan Joshua Meador
  • Animasi: Philip Duncan, John McManus, Paul Busch, Art Palmer, Don Tobin, Edwin Aardal, dan Paul B. Kossoff
  • Kesan kamera khas: Gail Papineau dan Leonard Pickley

Dengan daya imaginasinya, Disney mentafsikan semula muzik The Rite of Spring dalam bentuk ringkasan sejarah Bumi mulai pembentukan planet ini, diikuti makhluk-makhluk hidup terawal hingga zaman kegemilangan dan kepupusan dinosaur. Bahagian ini menunjukkan makhluk-makhluk prasejarah yang dianimasi dengan realistik seperti Tyrannosaurus, Dimetrodon, Parasaurolophus, Apatosaurus, Triceratops, Ornithomimus, dan Stegosaurus, serta menggunakan kesan khas yang rumit dan terperinci untuk melukiskan gunung berapi, lahar mendidih, dan gempa bumi. Dinosaur maging gergasi yang menyerang Stegosaurus ialah seekor Tyrannosaurus menurut kata-kata pengenalan segmen ini oleh Deems Taylor, dan juga lakaran konsep oleh para pelukis. Disney juga mengubah susunan gerakan-gerakan dalam lagu ini. Selepas bermula dengan gerakan pertama, kedua dan ketiga, segmen ini menggugurkan gerakan keempat dan menyusun semula semua yang lain. Danse de la terre dialihkan ke akhir kartun dari tengah-tengah karya asal. Di penghujungnya, orkestra memainkan semula permulaan lagu Rite secara lembut-lembut, juga tiada dalam karya lagu asal. (Versi asal berakhir dengan Sacrificial Dance yang ganas - juga digugurkan dari versi Disney - diikuti derangan orkestra yang kuat.)

Versi jerayawara filem ini menampilkan detik lucu yang digugurkan dari versi tayangan umum. Apabila Deems Taylor mengumumkan judul karya ini, tiba-tiba kedengaran derangan yang kuat dari bahagian alat genderang, dan boleh disaksikan pemain chimes terjatuh ke atas alat muzik. Dengan tersipu-sipu dia bangun sambil ditertawakan oleh Taylor dan para pemuzik yang lain.

Waktu rehat/Meet the Soundtrack[sunting | sunting sumber]

  • Arahan: Ben Sharpsteen dan David D. Hand
  • Animasi utama: Joshua Meador

Selepas berakhirnya The Rite of Spring, Deems Taylor mengumumkan waktu rehat 15 minit. Para pemuzik dilihat turun dari tempat duduk orkestra, kemudian pintu tutup untuk menunjukkan kad tajuk. Sepatutnya dalam jerayawara Fantasia, tirai panggung harus dilaburkan serentak dengan penutupan pintu dalam layar, sementara kad tajuk terus ditayangkan selama 15 minit apabila para penonton bersurai buat seketika. Selepas waktu rehat, barulah filem bersambung. Dalam layar, pintu pentas dibuka lagi, kemudian Taylor dan para pemuzik orkestra mengambil tempat masing-masing lagi.

Selepas waktu rehat, berkumandangnya muzik jazz rancak yang dipimpin oleh pemain klarinet dalam orkestra, diikuti serta-merta oleh babak Meet the Soundtrack yang menayangkan contoh pembentukan bunyi sebagai bentuk gelombang untuk merakam muzik untuk Fantasia. Babak ini diceritakan oleh Taylor dan menampilkan hasil animasi oleh pasukan juruanimasi efek pimpinan Joshua Meador yang memberikan personaliti yang tersendiri kepada runut bunyinya (bermula sebagai garis bengkang-bengkok yang berubah menjadi pelbagai bentuk mengikut bunyi-bunyi berasingan yang dimainkan dalam runut bunyi).

Alat muzik yang digunakan ialah hap, biola, flut, trompet, basun, dan alat-alat genderang termasuk dram bes, dram getar, simbal, dan kerincing.

The Pastoral Symphony[sunting | sunting sumber]

The Pastoral Symphony menggunakan penggayaan warna yang halus untuk melukiskan dunia mitos Yunani purba yang diduduki oleh sentora, kuda terbang, dewa-dewi Gunung Olympus, satir, dewa asmara, dan bermacam-macam makhluk dan tokoh mitos dan lagenda. Ceritanya mengenai perhimpunan para makhluk mitos untuk menyambut perayaan sempena Bacchus, dewa arak yang menunggang keldai bertanduknya, Jacchus, tetapi dicelah oleh Zeus yang hendak berseronok dengan melontarkan panahan kilat ke arah para hadirin.

Mula-mula, Disney hendak menggunakan lagu Cydalise oleh Gabriel Pierné sebagai muzik untuk bahagian program ini, tetapi oleh sebab kesukaran menyesuaikan muzik dengan cerita, terpaksalah Cydalise diketepikan untuk mencari muzik lain.[5]

Bahagian filem ini dikritik kerana menunjukkan sentora betina yang teranjang terang-terangan walaupun untuk seketika sahaja. Selain itu, filem ini bertuduh bersifat perkauman kerana ada seekor sentora hamba betina bernama Sunflower, yang separa manusia Afrika, separa keldai, dan dua pembantu Dionysus yang berupa separa Amazon Afrika, separa kuda belang. Hamba tersebut telah digugurkan dari semua cetakan baru mulai tahun 1969 (dengan memendarkan dan mengezum gambar agar babak tidak tertumpu pada watak berkenaan).[6][7][8] Sentora belang betina itu masih kekal dalam filem.[9]

Dance of the Hours[sunting | sunting sumber]

  • Skor muzik: Amilcare PonchielliLa Gioconda: Dance of the Hours.
  • Arahan: T. Hee dan Norm Ferguson
  • Rekabentuk watak: Martin Provensen, James Bodrero, Duke Russell, Earl Hurd
  • Arahan seni: Kendall O'Connor, Harold Doughty, dan Ernest Nordli
  • Lukisan latar: Albert Dempster dan Charles Conner
  • Penyeliaan animasi: Norm Ferguson
  • Animasi: John Lounsbery, Howard Swift, Preston Blair, Hugh Fraser, Harvey Toombs, Norman Tate, Hicks Lokey, Art Elliott, Grant Simmons, Ray Patterson, dan Franklin Grundeen.

Penari-penari waktu pagi dilambangkan oleh Madame Upanova dan burung-burung untanya. Penari-penari waktu siang dilambangkan olehHyacinth Hippo dan para pembantunya. (Untuk bahagian ini, lagu dipanjangkan oleh ulangan muzik "pagi" yang diubah suai.) Penari-penari waktu tengahari dilambangkan oleh Elephanchine dan kawanan gajah yang meniup buih. Penari-penari waktu malam pula dilambangkan oleh Ben Ali Gator dan rombongan aligatornya. Penamatnya menyaksikan haru-biru yang terjadi di kalangan semua watak yang muncul dalam segmen ini, sehingga mereka beransur damai dan menari bersama-sama, sebelum tempat mereka menari (sebuah istana) runtuh.

Night on Bald Mountain/Ave Maria[sunting | sunting sumber]

  • Skor muzik:
  • Arahan: Wilfred Jackson
  • Perkembangan cerita: Campbell Grant, Arthur Heinemann, dan Phil Dike
  • Arahan seni: Kay Nielsen, Terrell Stapp, Charles Payzant dan Thor Putnam
  • Lukisan latar: Merle Cox, Ray Lockrem, Robert Storms, dan W. Richard Anthony
  • Lirik Inggeris khas untuk Ave Maria oleh Rachel Field
  • Pengarah koir: Charles Henderson
  • Solo opera: Julietta Novis
  • Penyeliaan animasi: Vladimir Tytla
  • Animasi: John McManus, William N. Shull, Robert W. Carlson, Jr., Lester Novros, dan Don Patterson
  • Kesan animasi khas: Joshua Meador, Miles E. Pike, John F. Reed, dan Daniel MacManus
  • Kesan kamera khas: Gail Papineau dan Leonard Pickley

Inilah satu-satunya segmen animasi yang mengadun dua gubahan muzik yang berlainan sekali dari dua orang penggubah berlainan. Segmen Night on Bald Mountain merupakan wadah untuk juruanimasi Bill Tytla yang memberi syaitan Chernabog kuasa dan kehebatan yang jarang disaksikan dalam filem Disney. Chernabog yang berjaga malam itu menyeru roh-roh berkuasa yang tidak bersemadi aman dari kubur-kuburnya, sehingga diusir oleh genta gereja. Pelakon terkenal, Béla Lugosi dijadikan contoh lakonan bagi Chernabog, oleh itu beliau menghabiskan beberapa hari di studio Disney untuk merakamkan lagak-lagak seakan syaitan untuk Tytla dan unitnya untuk digunakan sebagai rujukan. Tytla kemudian merasakan bahawa bahan rujukan yang dibuat oleh Lugosi itu tidak sesuai lalu memanggil rakan sekerjanya di studio, Wilfred Jackson beraksi di depan kamera untuk dijadikan filem rujukan.

Keseraman syaitan, hantu, rangka, tukang sihir, harpy, dan makhluk-makhluk jahat yang lain dalam Night on Bald Mountain tiba-tiba terhenti kerana bunyi genta Angelus mengusir Chernabog dan para pengikutnya, sementara kamera berbilang satah beralih dari Bald Mountain ke arah sekumpulan rahib berjubah yang membawa obor. Dengan perlahan-lahan, kamera mengikuti mereka berjalan melalui hutan dan bekas gereja dengan iringan lagu Ave Maria. Animasi pemuja itu adalah antara kerja animasi terkecil yang pernah dibuat, kerana kamera perlu amat dekat dengan sebahagian kerja itu, setinggi kira-kira seinci. Sedikit sahaja sisihan pada lebar garis lukisan akhir pun boleh memberikan gangguan hebat kepada penonton layar besar. Seluruh babak terpaksa dirakam dua kali, kali pertamanya kerana lensa jarak fokus yang salah digunakan, dan sekali lagi kerana gegaran bumi kecil menggegarkan satah-satah animasi sampai senget.[10] Kamera berbilang satah akhirnya merunut melalui pokok-pokok untuk menunjukkan matahari terbit sementara gambar filem terpendam pada penamatnya.

Mula-mulanya dirancangkan bahawa perarakan rahib memasuki gereja yang sebenar, apalagi terdapat berbilang lukisan seni bina Gothik, tingkap kaca berwarna, dan patung-patung Madonna boleh dilihat dalam cakera bonus Fantasia Anthology. Akhirnya, penamat ini didapati terlalu berciri keagamaan oleh Walt, jadi beliau meminta latar yang lebih alamiah pula. Namun begitu, reka bentuk hutan dan segmen ini masih mengajuk bentuk gereja besar yang terang-terangan bermotif gothik.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Fantasia at Allmovie; dicapai pada 7 Disember 2007.
  2. Dirks, Tim. Fantasia at Film Site; dicapai pada 7 Disember 2007.
  3. Box Office Mojo menyenaraikan Fantasia sebagai filem ke-21 paling berjaya kerana pendapatan kasarnya dilaras kerana inflasi."All Time Box Office". Box Office Mojo.com. Diperolehi pada 11 Mei 2010. 
  4. http://www.nycballet.com/nutcracker/nutcracker.html
  5. Culhane, John (1983). "The Pastoral Symphony". Dalam Darlene Geis. Walt Disney's Fantasia (edisi ke-1987). New York, New York: Harry N. Abrams Inc. p. 134. ISBN 0-8109-8078-9. 
  6. http://www.cracked.com/article_15833_the-9-most-racist-disney-characters.html
  7. http://contexts.org/socimages/2008/03/07/racism-in-disneys-fantasia/
  8. <http://theanimationempire.blogspot.com/2007/12/racism-in-animation-1-fantasia-bans.html>
  9. [1]
  10. Thomas, Frank dan Johnston, Ollie (1983). Disney Animations: The Illusion of Life (1981, semakan 1995). Disney Editions.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]