Khatulistiwa

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Peta dunia yang menunjukkan khatulistiwa dalam garis merah
Di kawasan-kawasan pelancongan, khatulistiwa sering kala ditandai pada kedua-dua belah jalan raya.

Khatulistiwa ialah satu bulatan khayalan yang dilukis pada separuh jarak antara kedua-dua khutub planet atau objek astronomi yang lain. Garis bulatan ini membahagikan planet menjadi dua bahagian, iaitu Hemisfera Utara dan Hemisfera Selatan. Menurut takrif, garisan lintang khatulistiwa ialah 0°. Panjangnya khatulistiwa Bumi ialah kira-kira 40,075.0 kilometer, atau 24,901.5 batu.

Khatulistiwa merupakan salah satu daripada lima bulatan latitud yang utama, berdasarkan hubungan antara putaran Bumi dengan satah orbit yang menyelilingi matahari. Selain itu, khatulistiwa ialah garisan latitud tunggal yang juga merupakan bulatan besar.

Dalam pergerakan bermusim melintasi langit, matahari lalu secara langsung di atas khatulisiwa sebanyak dua kali setahun pada ekuinoks Mac dan September. Di kawasan khalistiwa, sinar matahari adalah serenjang dengan permukaan bumi pada kedua-dua tarikh tersebut.

Tempat-tempat yang berhampiran dengan khalistiwa mengalami kadar matahari terbit dan matahari terbenam yang paling cepat di dunia, dengan masa hanya beberapa minit. Tempat-tempat tersebut mempunyai jangka siang/malam yang lebih kurang sama setiap hari pada sepanjang tahun, berbanding dengan tempat-tempat yang terletak lebih di utara atau selatan.

Berhubungan dengan pelancaran satelit, kedekatan pusat pelancaran dengan khatulistiwa memerlukan tujah yang kurang, berbanding dengan pusat pelancaran yang lebih jauh daripada khatulistiwa.


Iklim khatulistiwa[sunting | sunting sumber]

Di banyak kawasan tropika, orang-orang mengenal pasti dua musim, iaitu musim lembap dan musim kering, tetapi kebanyakan tempat yang amat dekat dengan khatulistiwa adalah lembap pada sepanjang tahun. Bagaimanapun, musim-musim boleh berbeza-beza bergantung kepada berbagai-bagai faktor, termasuk aras tinggi dan kedekatan dengan lautan.

Permukaan Bumi di khatulistiwa terdiri terutamanya daripada lautan. Titik tertinggi di Khatulistiwa ialah 4,690 meter di 77°59′31" B pada lereng selatan Volcán Cayambe (kemuncak: 5,790 m) yang terletak di Ecuador. Ketinggian ini adalah lebih tinggi sedikit berbanding garis salji, dan merupakan titik tunggal di khatulistiwa di mana salji terdapat di atas tanah (data dan gambar foto Bumi Google).

Negara-negara khatulistiwa[sunting | sunting sumber]

Pada jumlahnya, khatulistiwa merentasi tanah dan/atau perairan untuk 13 buah negara seperti berikut:

Khatulistiwa nyaris-nyaris tidak terkena wilayah Amerika Syarikat di kawasan Pulau Baker dan Pulau Jarvis di Pulau-pulau Kecil serta Terpencil Amerika Syarikat. Hujung selatan Pulau Baker terletak hanya 13 minit pada garisan lintang di utara khatulistiwa dan oleh itu, khatulistiwa terletak di luar had 12 batu untuk perairan wilayah. Bagaimanapun, khatulistiwa merentasi perairan wilayah dan Zon Ekonomi Eksklusif Amerika Syarikat.

Berbeza dengan namanya, tiada mana-mana satu bahagian Guinea Khatulistiwa yang terletak di khatulistiwa.

"Menyeberangi Garisan"[sunting | sunting sumber]

Tradisi pelaut memerlukan semua kelasi yang menyeberangi khatulistiwa semasa pelayaran untuk menjalani upacara amal yang rumit. Upacara-upacara amal ini bertarikh dari Zaman Pertengahan, walaupun upacara-upacara terkini mungkin berasal daripada tradisi-tradisi Viking. Kelasi-kelasi yang tidak pernah "menyeberangi garisan" dipersendakan dan dirujuk sebagai "pollywog" atau "slimy wog" dalam bahasa Inggeris. Wog ialah slanga kesat yang digunakan oleh orang British untuk merujuk kepada orang-orang kulit berwarna dari Asia dan Afrika.

Ketika masuk ke alam Duli Yang Maha Mulia Neptunus Rex, semua kelasi yang tidak pernah menyeberangi khalistiwa perlu menjalani upacara pengesahan yang dilaksanakan oleh kelasi-kelasi yang pernah membuat perjalanan itu. Selepas upacara ini, kelasi-kelasi itu dikenali sebagai "trusty Shellback" (Cangkerang Setia). Jika penyeberangan khatulistiwa dibuat pada meridian ke-180, gelaran "Golden Shellback" (Cangkerang Emas) akan dianugerahkan untuk mengakui kemasukan serentak ke dalam alam Naga Emas (Golden Dragon). Selain itu, jika penyeberangan dibuat pada Greenwich atau Meridan Perdana, kelasi itu akan digelarkan "Emerald Shellback" (Cangkerang Zamrud).

Lihat juga[sunting | sunting sumber]