Pertempuran Pasir Panjang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pertempuran Pasir Panjang
Sebahagian daripada Pertempuran Singapura, Perang Pasifik

Kubu kecil mesingan, Pasir Panjang
Tarikh13 – 14 Februari 1942
Lokasi
Keputusan Japanese victory
Pihak yang terlibat
Malaysia Briged Infantri Pertama Malaya
India Briged Ke-44 India
Empayar Jepun Divisyen ke-18 Jepun
Komandan dan pemimpin
United Kingdom J.R.G. Andre
United Kingdom H.R. Rix 
Empayar Jepun Renya Mutaguchi
Empayar Jepun Yoshio Nasu
Kekuatan
88,600 (keseluruhan)[1] 62,200 (keseluruhan)[2]
Kerugian dan korban
7500 terbunuh,
10,000 tercedera,
110,000 tawanan perang
Tidak diketahui

Pertempuran Pasir Panjang, yang berlangsung antara 13 dan 14 Februari 1942, sebahagian daripada serangan Empayar Jepun terhadap Singapura sewaktu Perang Dunia Kedua.

Pertempuran Pasir Panjang merupakan pertempuran besar yang terakhir antara pasukan pertahanan British di bawah Leftenan Jeneral Arthur Percival dan pasukan penyerang Jepun (Tentera Darat Ke-25) yang diperintah Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita di pulau Singapura.

Di pihak pertahanan, pertempuran melibatkan ketumbukan Briged Infantri Pertama Malaya yang dipertanggung jawab mempertahankan sektor pertahanan barat daya dan selatan pesisiran pantai, yang paling hampir bandar Singapura sendiri (sektor pertahanan yang digelar Singapore Fortress atau 'Kubu Singapura'). Briged Malaya merupakan lapisan pertahanan terakhir sebelum bandar dan pelabuhan Singapura dari arah barat. Pertempuran ini berjalan selama 48 jam dan menjulang nama Rejimen Askar Melayu menjadikannya satu pasukan tentera yang disegani di kalangan pasukan Tentera Komanwel. Jeneral Percival menyerah kalah sehari selepas Pertempuran Pasir Panjang.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Sebuah kubu kecil ('Pillbox') peninggalan pertahanan Pasir Panjang

Pertempuran ini bermula pada hari Jumaat, 13 Februari 1942 apabila pasukan Rejimen Askar Melayu yang ditugaskan untuk menghalang kemaraan pasukan elit Tentera Imperial Jepun menuju kawasan Pasir Panjang di Singapura bertembung dengan pasukan penyerang. Pasukan Askar Melayu mengadakan pertahanan di satu rabung dipanggil dengan nama Rabung Pasir Panjang (Pasir Panjang Ridge).

Sebelum itu seramai 13,000 orang tentera Jepun melakukan pendaratan amfibi di bahagian barat laut Singapura berdekatan Sarimbun dan mula bergerak ke arah selatan menuju Pasir Panjang. Mereka menawan lapangan terbang kecil RAF Tengah yang terletak di bahagian barat pulau Singapura dalam pergerakan mereka ke selatan menuju bandar Singapura dan pelabuhannya. Tentera seramai 13,000 orang ini merupakan sebahagian penting kekuatan keseluruhan kekuatan tentera Jepun seramai 36,000 orang yang mengambil bahagian dalam serangan ke atas Singapura.

Pada hari Selasa, 10 Februari 1942, askar-askar Jepun dapat melepasi barisan pertahanan di Jurong. Pertempuran kecil-kecilan berlaku di kawasan yang dikawal oleh Kompeni C Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu (Komp C, 1 Melayu). Anggota-anggota Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu (2 Melayu) berundur dari garisan pertahanan di Sungai Jurong. Briged Ke-44 India juga terpaksa berundur, sambil diserang askar Jepun. Pengunduran ini menyebabkan bahagian kanan garisan pertahanan 2 Melayu terdedah. 2 Melayu terpaksa berundur sama untuk mengekalkan keutuhan barisan pertahanan.

Pada hari Rabu, 11 Februari 1942, askar Jepun dengan bantuan kereta kebal mara menggunakan Jalan Jurong, Jalan Ulu Pandan Dan Jalan Reformatory (sekarang ini "Clementi Road"). Periuk api, kawat berduri dan halangan lain digunakan untuk cuba menyekat kemaraan askar Jepun. Kubu-kubu kecil (pillbox) yang dipertahankan oleh askar-askar juga tidak dapat menyekat kemaraan askar Jepun.

Pada jam 8.00 malam, kedudukan Askar Melayu di sebelah barat Jalan Reformatory dibedil dengan artileri Jepun. Unit Askar Melayu yang mengawal kawasan Pasir Panjang juga mula menerima serangan tinjauan oleh unit-unit peninjau askar Jepun.

Pada Khamis, 12 Februari 1942, Panglima Malaya Command, Leftenan Jeneral Percival mengarahkan barisan pertahanan diketatkan dan meliputi Empangan Pierce dan Empangan MacRitchie. Pasukan Jepun memperbaharui serangan-serangan di merata-rata tempat di barisan hadapan dengan serangan kereta kebal dan bedilan artileri. Di sebelah barat, pasukan Askar Melayu bersama-sama Batalion Kedua Rejimen Loyal (2 Loyal) British dan Briged Ke-44 India (sebahagian daripada Divisyen Infantri ke-17 (India British)) menentang dan menghentikan kemaraan askar-askar Jepun.

Pasukan Askar Melayu yang menjadi sebahagian daripada formasi Briged Infantri Pertama Malaya ditugaskan bertahan di Pasir Panjang. Briged ini diperintah Brigadier GGR Williams.[3]:ms.260 Briged Pertama Malaya, bersama-sama Briged Ke-44 India dan Briged Infantri Kedua Malaya, menjadi sebahagian ketumbukan Singapore Fortress yang menjadi lapisan pertahanan terakhir Singapura. Briged Malaya terdiri daripada Batalion Kedua Rejimen Loyal (2 Loyal) di bawah pimpinan Leftenan Kolonel Mordaunt Elrington serta Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu (1 Melayu) di bawah pimpinan Leftenan Kolonel JRG Andre, yang terdiri daripada kurang tiga seksyen Platun Mortar, Platun Penangkis Kapal Terbang dengan Platun Pengangkut Bren Gun di bawah perintah Kapten RRC Carter bertindak sebagai pasukan simpanan. Batalion ketiga briged ini terdiri daripada Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu (2 Melayu) di bawah perintah Leftenan Kolonel FW Young. Batalion Kedua ini baru ditubuhkan dan tidak mempunyai platun-platun bantuan seperti Platun Mortar, Penangkis Kapal terbang dan Pengangkut Bren Gun [4]. Mereka ditugaskan mempertahankan jalan masuk ke permatang Pasir Panjang, yang dikenali sebagai The Gap. Briged India ke-44 ditempatkan di rusuk kanan mereka. Pertahanan Pasir Panjang kebanyakannya dilakukan Batalion Pertama Askar Melayu (1 Melayu) oleh sebab batalion kedua rejimen itu, 2 Melayu, yang terlibat dengan pertempuran awal di Jurong, ditempatkan di bahagian timur sektor pertahanan yakni di Kranji dan kemudiannya di Mount Faber.

Pertempuran[sunting | sunting sumber]

Kereta kebal Jepun dalam Pertempuran Singapura

Pertempuran besar pertama antara Rejimen Askar Melayu dengan tentera Jepun berlaku pada lebih kurang jam 2.00 petang 13 Februari 1942, hari Jumaat. Divisyen Ke-18 Tentera Darat Ke-25 Jepun menyerang pinggir pantai barat daya sepanjang Permatang Pasir Panjang dan di kedua-dua belah Jalan Ayer Rajah. Pasukan Jepun didahului oleh Rejimen Infantri Ke-56 di bawah perintah Kolonel Yoshio Nasu. Rejimen ini menyerang permatang itu di sebelah pagi dengan dibantu pasukan artileri.

Satu daripada unit yang mempertahankan garisan pertahanan ialah Kompeni B, Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu. Kompeni B terpaksa berundur ke Pasir Panjang ekoran tembakan hebat daripada tentera Jepun yang disokong oleh tembakan artileri serta kereta kebal. Namun, sebelum perunduran dapat disempurnakan, pasukan Jepun berjaya menembusi kedudukan pertahanan Kompeni B. Berlaku pertarungan hebat dan anggota Kompeni B bertempur berdepan-depan menggunakan bayonet terhadap tentera Jepun. Sebilangan daripada anggota Kompeni B 1 Melayu dapat menyelamatkan diri sementara ramai yang menjadi tawanan perang. Penerobosan ini memaksa Briged Infantri ke-44 India dan Briged Infantri Pertama Malaya berundur ke garisan pertahanan di Mount Echo (persimpangan Jalan Ayer Raja dan Jalan Depot) di Buena Vista di pinggir pantai selatan pulau Singapura.

Serangan kedua[sunting | sunting sumber]

Pada hari Sabtu 14 Februari, pasukan Jepun sekali lagi membuat serangan hebat ke atas kedudukan Askar Melayu. Kali ini serangan ke atas kedudukan yang dipertahan oleh Askar Melayu dimulakan pada jam 8.30 pagi, dan serangan Jepun sekali lagi dibantu oleh serangan mortar dan bedilan artileri.

Pameran anggota Platun Mortar Rejimen Askar Melayu di Bukit Chandu

Tetapi serangan ini dan beberapa serangan selepasnya berjaya dipatahkan Askar Melayu. Pertarungan jarak dekat termasuk pergelutan menggunakan bayonet berlaku di merata kedudukan yang dipertahankan oleh Askar Melayu.

Satu serangan hebat dengan sokongan kereta kebal dibuat ke atas kedudukan Askar Melayu, dan kali ini pasukan Jepun berjaya menembusi barisan pertahanan di sebelah kiri, memaksakan pengunduran askar-askar yang bertahan di sana. Mereka berundur ke garisan pertahanan lain di persimpangan Jalan Ayer Raja dan Jalan Depoh melalui kilang batu bata dan parit besar ke Bukit Chermin. Disebabkan pasukan-pasukan di sebelah kiri dan kanan kedudukan mereka tidak dapat bertahan, Briged Infantri Pertama Malaya terpaksa bersama-sama berundur menduduki kedudukan pertahanan baru di Bukit Chandu bagi mengekalkan keutuhan barisan pertahanan.

Bukit Chandu[sunting | sunting sumber]

Pihak Jepun menyerang kedudukan Briged Pertama Malaya sepanjang hari pada 14 Februari. Kedudukan mereka bertambah rumit kerana Mejar Jeneral Gordon Bennett, Panglima Divisyen Ke-8 Australia, hanya membenarkan pasukan artilerinya menembak lokasi musuh yang mengancam lokasi tentera Australia. Justeru Briged Malaya tidak mendapat bantuan artileri Australia yang ditempatkan bersebelahan mereka.[3]:ms.260

Pada pagi 14 Februari Divisyen Ke-18 Jepun,dengan didahului bedilan hebat mortar dan artileri selama dua jam, melancarkan serangan, sekali lagi, ke atas barisan pertahanan Briged Pertama Malaya.

Briged Malaya berjaya menangkis serangan ini dan beberapa serangan lain dalam pertempuran depan-depan. Kedua-dua pihak mengalami korban perang dan menanggung kerugian besar. Pada jam 4.00 petang, dengan dibantu kereta kebal, pihak Jepun (Divisyen Ke-18) berjaya menembusi rusuk kiri barisan pertahanan. Para tentera yang bertahan di rusuk ini terpaksa berundur ke garisan pertahanan baharu yang bermula dari persimpangan Jalan Ayer Rajah dan Jalan Depot merentasi Kilang Batu Bata dan sepanjang salur hingga ke Bukit Chermin. Oleh sebab unit di kedua-dua rusuk tidak dapat mempertahankan kedudukan masing-masing, Briged Pertama Malaya telah awal lagi mula berundur pada jam 2.30 petang. Pada ketika inilah Kompeni C Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu diarah bergerak ke barisan pertahanan baharu di Bukit Chandu.

Bukit Chandu mengambil sempena nama kilang pemprosesan candu yang terletak di kaki bukit. Bukit Chandu menjadi lokasi pertahanan penting kerana dua sebab: ia terletak di tanah tinggi di utara pulau; dan penawan kawasan ini oleh pihak Jepun akan membuka jalan kepada mereka untuk mara ke kawasan Alexandria di mana terletaknya depot peluru, Hospital Tentera Alexandra dan kawasan-kawasan penting lain. Bukit Chandu juga merupakan tempat pertahanan terakhir Kompeni C Rejimen Askar Melayu.

Peta Singapura menunjukkan kedudukan Briged Pertama Malaya di Pasir Panjang serta kedudukan tentera di bawah pemerintahan British pada tahun 1942.

Kedudukan Kompeni C dipisahkan daripada lokasi Kompeni D, 1 Melayu oleh sebuah terusan yang menyalur ke arah Depot Minyak Normanton. Semasa pertempuran minyak terbakar di dalam terusan dan kebakaran minyak ini menyekat perunduran Kompeni C, yang diperintah Kapten HH Rix, ke arah selatan, yakni menuju arah lokasi Kompeni D.

Pada sebelah petang tentera Jepun meneruskan serangan terhadap Bukit Chandu dengan menyamar sebagai tentera Rejimen Punjab (India British). Anggota Kompeni C dapat meneka penyamaran ini kerana tentera British lazimnya bergerak dalam tiga barisan dan bukan empat seperti dilakukan Jepun yang sedang menyamar. Kompeni C melepaskan tembakan apabila penyamar sampai di lokasi mereka dan berjaya membunuh atau mencederakan beberapa orang penyamar.

Sementara itu Kompeni D, 1 Melayu menduduki kawasan di rusuk kanan batalion berdekatan kilang batu bata Alexandra. Pada awal senja sebarisan infantri Jepun juga bergerak di atas jalan menuju Alexandra. Mereka diserang hendap Kompeni D dan juga unit lain dan mengalami kerugian teruk. Lebih kurang 100 mayat dijumpai selepas serang hendap tersebut.[3]:ms.261

Pertempuran terakhir[sunting | sunting sumber]

Tidak lama kemudian tentera Jepun melancarakan serangan hebat dan beramai-ramai terhadap kedudukan 1 Melayu. Serangan hebat ini berjaya mengatasi pertahanan Askar Melayu dan barisan pertahanan di sektor Pasir Panjang berjaya ditembusi pihak Jepun. Rejimen Askar Melayu meneruskan pertempuran mahupun kekurangan peluru dan bekalan. Sekali lagi serangan ini menyaksikan pertempuran berdepan-depan dengan bayonet. Lt Adnan bin Saidi (mengambil alih pemerintahan Kompeni C selepas kematian Kapten Rix) mengalami kecederaan teruk tetapi enggan menyerah kalah dan mengarahkan anggotanya meneruskan perjuangan. Akhirnya Pasir Panjang jatuh ke tangan Jepun. Adnan Saidi ditawan, namun tentera Jepun tidak melayannya sebagai tawanan perang. Beliau dipukul dan diikat kepada sebatang pokok lalu ditikam berkali-kali dengan bayonet. Memetik laporan Dol Ramli[5] dan Leftenan DH Webber,[6] sejarawan Alan Warren melaporkan bahawa mayat Lt Adnan kemudiannya digantung, kepala ke bawah, pada sebuah pokok bagi meraikan kejayaan mereka ke atas barisan pertahanan Bukit Chandu.[3]:ms.260-261

Korban[sunting | sunting sumber]

Rejimen Askar Melayu mengalami korban nyawa seramai 159 anggota, termasuk tujuh orang pegawai Melayu dan enam orang pegawai British sepanjang Kempen Tanah Melayu dan Singapura. Tidak dapat dipastikan berapa orang mengalami kecederaan; kebanyakan kematian dan kecederaan dialami rejimen tersebut antara 12 hingga 14 Februari 1942. Lebih kurang 600 ratus anggota Rejimen yang terselamat dikumpulkan di kawasan Kelab Golf Keppel di mana mereka dipisahkan daripada pegawai British mereka dan menjadi tawanan perang bersama-sama anggota Tentera India British. Tidak dapat dipastikan berapa orang tentera Jepun yang terkorban atau tercedera dalam pertempuran ini.

Kesan[sunting | sunting sumber]

Pertempuran Pasir Panjang tidak berapa signifikan dari segi strategi ketenteraan. Semenjak pendaratan Tentera Darat Ke-25 Jepun pada 8 Februari,unit-unit di bawah pemerintahan markas Kubu Singapura ('Singapore Fortress') yang ditempatkan di sana hanya ditugaskan untuk mempertahankan jalan masuk ke rabung tersebut. Laluan ini penting oleh sebab ia membuka jalan ke kawasan-kawasan penting seperti depot peluru dan hospital tentera, dan juga ke pekan Singapura itu sendiri. Penempatan Briged Malaya ini merupakan sebahagian daripada rancangan pihak Malaya Command untuk memperketatkan lagi pertahanan Pekan Singapura. Akan tetapi sebaliknya mereka berdepan dengan pasukan tempur utama Jepun.[7]

Tambah pula, pada malam 14 Februari, keadaan sudah menjadi amat genting bagi pihak yang bertahan. Dari segi pertahanan, mereka tidak mempunyai kekuatan udara bagi menangkis serangan pengebom Jepun, tentera laut sudah tiada dengan kehilangan Pangkalan Tentera Laut di utara pulau, dan semangat sebilangan tentera Australia, India dan British sudah menjunam. Memetik laporan George Wort, seorang pegawai Batalion Pertama Askar Melayu dan Leftenan Kolonel Elrington, pegawai memerintah Batalion Kedua Rejimen Loyal, yang sama sama mempertahankan Pasir Panjang, penulis Peter Elphick memperikan bagaimana segelintir tentera Komanwel meninggalkan tugas apabila berdepan dengan musuh.[8] Tentera Darat di bawah pemerintahan Percival tidak berdaya melakukan serangan balas.[9] Penduduk awam pula diancam kematian dan kecederaan akibat pertempuran dan pengeboman. Tambah pula kehilangan empangan besar menjejaskan bekalan air dengan teruk. Pada malam 14/15 Februari Percival dan panglima-panglimanya membuat perhitungan sama ada mahu terus melawan atau menyerah diri.

Namun, anggota Askar Melayu tidak menyedari semua itu dan terus berjuang. Leftenan Adnan bin Saidi diperikan oleh ramai orang Malaysia dan Singapura sebagai wira kerana tindakan beliau di Bukit Chandu — beliau mengarahkan anggotanya berjuang terus dan tidak menyerah kalah. Ketaatan Askar Melayu ini bukan sahaja diakui pegawai British mereka, tetapi juga panglima tertinggi mereka di Singapura:

Rejimen Askar Melayu menunjukkan apa yang boleh tercapai dengan esprit de corps ('semangat setia kawan') dan disiplin. Mereka tidak berganjak dari pos mereka dan ramai yang terkorban ... Askar muda dan yang belum diuji ini menunjukkan kebolehan mereka setanding tentera yang terbaik di Malaya, khususnya ketegaran mereka semasa mempertahankan Rabung Pasir Panjang semasa kemuncak Pertempuran Singapura, mereka menjadi contoh kesetiaan dan ketabahan yang akan menjadi tradisi ulung Rejimen mereka dan menjadi inspirasi kepada generasi-generasi selepas mereka

— Lieutenant General Arthur Percival, Panglima Malaya Command
petikan daripada laman web rasmi Rejimen Askar Melayu Diraja

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Allen, Louis Bab:Singapore dalam Noble Frankland dan Christopher Dowling, Decisive Battles of the Twentieth Century Land-Sea-Air, ms 156, Sidgwick and Jackson:London, ISBN 0283981644. Ketua Marsyal Udara Sir Robert Brooke-Popham memerintah Pemeritahan Udara Timur Tengah (Marsyal Madya Udara Pulford) dengan 158 pesawat dan Malaya Command (Lt Jeneral Percival) dengan Kor India Ke-III (Lt Jen Heath) terdiri daripada Divisyen Infantri India Ke-9 dan Divisyen Infantri India Ke-11 dan Divisyen Australia Ke-8 bersama-sama anggota pertahanan Kubu dan briged simpanan.
  2. ^ Allen, Louis, ms 156. Ketumbukan terdiri daripada Divisyen Ke-5 (Lt Jen Matsui), Divisyen Ke-18 (Lt Jen Mutaguchi) dan Divisyen Pengawal Imperial (Lt Jen Nishimura). Tidak termasuk kekuatan Divisyen Udara Ke-3.
  3. ^ a b c d Warren, Alan (2002). Singapore 1942. Britain's Greatest Defeat. Talisman. ISBN 9810453205.
  4. ^ [1] Malayan Campaign Laman web Rejimen Askar Melayu Diraja. Diakses 19 Ogos 2012
  5. ^ Dol Ramli, Malay Regiment ms 93—100
  6. ^ Lieutenant DH Webber, 1st Malay dalam laporan Imperial War Museum IWM 88/33/1, ms 32—33
  7. ^ Laporan Lt Jen Percival selepas Perang
  8. ^ Elphick, Peter Singapore The Pregnable Fortress, Hodder and Stoughton, 1995 ms 317 ISBN 0-340-61316-5
  9. ^ Laporan Lt Jen Percival berkaitan Keadaan pada 15 Februari

Sumber[sunting | sunting sumber]

Buku[sunting | sunting sumber]

  • Warren, Alan (2002). Singapore 1942. Britain's Greatest Defeat. Singapore: Talisman. ISBN 9810453205. Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan)
  • Allen, Louis (1976). "Singapore". Dalam Noble Frankland dan Christopher Dowling (penyunting). Decisive Battles of the Twentieth Century Land-Sea-Air. Sidgwick and Jackson. m/s. 155–169. ISBN 0283981644.
  • Elphick, Peter (1995). Singapore The Pregnable Fortress. Hodder and Stoughton. ISBN 0-340-61316-5.

Web[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]