Henry Gordon Bennett

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Henry Gordon Bennett (1887 - 1962)

Henry Gordon Bennett, (1887-1962), adalah seorang pegawai tentera yang menjadi panglima kepada pasukan Tentera Australia yang mempertahankan Semenanjung Tanah Melayu semasa serangan Jepun dalam tahun 1941.

Hayat Awal[sunting | sunting sumber]

Pada 14 Ogos 1908, Bennett ditauliahkan dalam Pasukan Tentera Rakyat (Citizen Military Forces) dan ditugaskan dengan Rejimen ke-5 Infantri. Dalam tahun 1912 Bennett dinaikkan pangkat menjadi Mejar.

Perang Dunia Pertama[sunting | sunting sumber]

Dalam tahun 1914, Bennett bertukar khidmat ke Pasukan Tentera Imperial Australia (Australian Imperial Force) dan dihantar ke Mesir dalam bulan Oktober 1914 sebagai penolong pegawai pemerintah Batalion ke-6. Semasa Pendaratan Gallipoli pada 25 April 1915, Bennett merupakan salah seorang pemimpin yang mara ke Pine Ridge. Semasa mengarahkan tembakan ke arah kedudukan askar Turki, Bennett mengalami kecederaan dan dipindahkan ke hospital. Tetapi Bennett melarikan diri daripada hospital untuk kembali ke barisan hadapan. Bennett mendapat nama sebagai seorang pegawai yang berani dan berkepimpinan tinggi. Pada 8 Mei 1915, Bennett terlibat dalam serangan ke atas kedudukan musuh di Krithia. Keesokan harinya, Bennett dinaikkan pangkat menjadi Lt. Kolonel (Sementara) dan menjadi pegawai pemerintah Batalion ke-6. Tetapi Bennett yang dilangkaui kenaikan pangkat sebelumnya, berasa dendam. Ini merupakan ciri personalitinya yang akan membawa padah dalam kerjaya beliau kelak. Semasa di Gallipoli, Bennett beberapa kali Dipuji Dalam Laporan kerana keberanian yang ditunjukkan.

Dalam tahun 1916, Bennett dihantar ke medan perang di Perancis dan Belgium di mana dia digilirkan menjadi pemangku panglima briged dan pegawai pemerintah batalion. Dalam tahun yang sama, dia mengahwini Bessie Agnes Buchanan di London.

Pada 3 Disember 1916, Bennett dijadikan Brigedier Jeneral (Sementara) dan menjadi Panglima 3 Briged Australia. Ketika itu, beliau berumur 29 tahun. Bennett mengharumkan nama dengan prestasi baik di Bullecourt, Perancis (April - Mei 1917), Jalan Menin, Belgium (September) dan Passchendaele, Belgium (Oktober). Dia juga cemerlang di Garisan Hindenburg (September - November 1918). Bennett diberikan anugerah Montenegrin Order of Danilo (1917) dan Distinguished Service Order (1919). Dia juga dijadikan C.B. dalam tahun 1918 dan dipuji dalam laporan sebanyak 6 kali.

Sebaliknya, paras baran dan kecenderungannya bertindak tanpa menunggu arahan markas Divisyen menyebabkan Mejar Jeneral (Sir) William Glasgow membuat catatan bahawa “Bennett itu perosak ('Bennett is a pest!)”. C. E. W. Bean ingat akan tabiat Bennett yang suka berdendam, iri hati, suka mengkritik pegawai atasan dan pertengkaran sesama pegawai yang lain.

Tahun-Tahun Antara Perang[sunting | sunting sumber]

Selepas kembali ke Australia, tauliahnya dengan Pasukan Tentera Imperial Australia (Australian Imperial Force) ditamatkan pada 31 Ogos 1919. Dia bekerja sebagai pengeluar pakaian dan akauntan awam di Sydney. Dalam tahun 1922, dia dijadikan Pengerusi Lembaga Ganti Rugi Negeri (State Repatriation Board) dan dalam bulan Oktober 1928, menjadi salah seorang daripada 3 orang Pesuruhjaya yang menguruskan bandar raya Sydney.

Bennett ketrampilan dalam Liga Australia mulai tahun 1931 dan menjadi ahli Liga Pertahanan Australia. Bennett mempengerusikan Dewan Pengusaha New South Wales (1931-33), Gabungan Dewan Pengusaha Australia (1933-34) dan beberapa badan profesional yang lain. Dalam masa yang sama, Bennett mengekalkan tauliahnya dalam pasukan sukarelawan tentera. Dari tahun 1921 hingga 1926, Bennett menjadi Panglima Briged Ke-9 Infantri. Pada 1 Ogos, 1939, Bennett dilantik menjadi Mejar Jeneral dan menjadi Panglima Divisyen Kedua (1926 hingga 1932). Seperti ramai pegawai-pegawai sukarelawan tentera, Bennett bencikan pengaruh pegawai-pegawai khidmat tetap Tentera Australia. Kebencian Bennett kepada pegawai-pegawai khidmat tetap memuncak dalam dua dekad bila mana Australia mengecapi keamanan. Dalam tahun 1937, Bennett menulis artikel mengenai Dasar Pertahanan Australia yang memberikan kecaman hebat ke atas Kor Pegawai Tetap Tentera Australia, mengakibatkan Bennett dicemuh dan dikenakan tindakan disiplin.

Perang Dunia II[sunting | sunting sumber]

Apabila Perang Dunia II meletus, hanya Sir Brudenell White dan Sir William Glasgow sahaja yang lebih kanan daripada Bennett. Bennett yakin jikalau ada pasukan Australia di hantar untuk perkhidmatan perang di seberang laut, dia mesti dipilih untuk memimpin pasukan itu. Tetapi, Mejar Jeneral Sir Thomas Blamey telah dipilih untuk memimpin Divisyen ke-6 Australia (setelah itu pasukan Australia itu dibesarkan dan ditukarkan menjadi Pasukan Imperial Australia (AIF) dan Blamey dijadikan Panglima Tertinggi AIF. Bennett naik berang dengan perlantikan itu. Tambahan pula Blamey memang bermusuh dan pernah berselisih sebelum itu.

Bennett dan penyokongnya mendakwa perlantikan Blamey adalah sebagai hukuman ke atas Bennett dan sebagai dendam ahli-ahli politik dan tentera kerana kritikan Bennett sebelum itu. Sebaliknya, kepimpinan politik dan ketenteraan Australia melihat perlantikan Bennett kurang sesuai kerana Panglima Tertinggi Pasukan Imperial Australia (AIF) perlu mempunyai ciri-ciri seorang diplomat dan perlu bertolak ansur, ciri-ciri yang jelas tidak dipunyai oleh Bennett. Tambahan pula Panglima itu perlu bekerjasama dan perlu berkhidmat di bawah pemerintahan Panglima British. Bennett pula memang bencikan pegawai-pegawai British.

Keadaan bertambah buruk bagi Bennett. Apabila Divisyen ke-7 Australia, Divisyen ke-8 Australia danDivisyen ke-9 Australia ditubuhkan, Bennett tidak dilantik sebagai Panglima pasukan-pasukan itu. Sebaliknya, pegawai-pegawai yang lebih muda dijadikan panglima. Bennettt merengkuk di Markas Gerakan Wilayah Timur Australia sehingga bulan Ogos 1940 apabila kematian mengejut Jeneral White, Ketua Turus Angkatan Tentera Australia. Sir Vernon Sturdee dilantik menggantikan White, dan mencadangkan Bennett dilantik untuk menggantikannya sebagai Panglima Divisyen ke-8 Australia pada 24 September 1940.

Perasaan malu ketika dalam tahun pertama perang ditambahkan dorongan cita-cita Bennett untuk mencapai pangkat lebih tinggi dan mengatasi pencapaian Blamey menyebabkan Bennett menerima perlantikan itu.

Semenanjung Tanah Melayu[sunting | sunting sumber]

Dalam bulan Februari 1941, Bennett terbang ke Semenanjung Tanah Melayu untuk menubuhkan markas pemerintahnya. Dia hanya diberikan dua daripada 3 briged yang sepatutnya, kerana satu briged lagi ditugaskan di medan lain. Hubungan Bennett dengan pegawai-pegawai kanan di Markas Gerakan Tanah Melayu tidak baik. Bennett tidak mempunyai hubungan baik dengan Lt. Jen. A. E. Percival, Heath (Panglima III Kor India) dan lain-lain pegawai kanan.

Bennett juga tidak mempunyai hubungan baik dengan pegawai atasannya di Australia hinggakan pada satu ketika cuba menyebabkan Bennett disingkirkan daripada pemerintahannya dengan alasan kesihatan yang tidak baik. Kebencian Bennett terhadap pegawai-pegawai khidmat tetap menjadi-jadi dan paling memuncak apabila berurusan dengan Brigedier Taylor yang menjadi Panglima 22 Briged Australia. Taylor adalah bekas pegawai Pasukan Tentera Rakyat yang diserap menyertai perkhidmatan tetap. Bennett menggunakan masa yang ada untuk menjalankan persediaan latihan untuk askar-askar Australia, khususnya untuk membiasakan mereka dengan iklim Semenanjung Tanah Melayu. Bennett dikatakan memaksa latihan keras untuk askar-askar Australia, dan mempercayai latihan yang diadakan menjadikan askar-askar Australia lebih baik daripada askar India mahupun askar-askar British.

Serangan Jepun[sunting | sunting sumber]

kereta kebal jepun yang dimusnahkan oleh Tentera Auistralia di Bakri oleh Rejimen Ke-4 Anti-Kereta Kebal

Apabila Jepun melancarkan serangan ke atas Semenanjung Tanah Melayu pada 8 Disember 1941, Divisyen ke-8 Australia tidak termasuk dalam perancangan awal oleh Percival untuk menyekat kemaraan pasukan Tentera Jepun. Tugas menyekat kemaraan Tentera Jepun diberikan kepada III Kor India yang dipimpin oleh Lt. Jen. Heath. Sebaliknya Divisyen ke-8 Australia ditugaskan dengan kawalan keselamatan negeri Johor.

Pasukan tentera yang dipertanggungjawabkan menahan kemaraan askar Jepun tidak berdaya menyekat kemaraan askar-askar Jepun. Pertempuran Jitra melihat barisan pertahanan Divisyen ke-11 Infantry India bolos dengan mudah. Pertempuran di Kampar pada mulanya menunjukkan bibit kejayaan kepada Tentera British tetapi ketangkasan askar Jepun membolehkan mereka melepasi barisan pertahanan British dan memaksa mereka berundur ke Slim River. Tentera British juga gagal menahan Tentera Jepun semasa Pertempuran di Slim River. Apabila Wavell dilantik menjadi Panglima Tertinggi ABDA, Bennett memberitahu Wavell kelemahan-kelemahan kepimpinan A. E. Percival dan Heath. Wavell pula kagum dengan Bennett dan mengarahkan Percival memberikan pemerintahan medan kepada Bennett.

Apabila Tentera Jepun menghampiri Negri Sembilan, Percival memberikan kepada Bennett pemerintahan pasukan digelarkan Westforce terdiri dari Divisyen ke-11 India dan Divisyen ke-8 Australia. Bennett kini bertanggungjawab untuk pertahanan wilayah Barat Laut Johor. Bennett yakin Westforce akan berupaya menyekat kemaraan Tentera Jepun tetapi jangkaan beliau tidak menjadi. Pada awalnya, pasukan askar Australia mencapai kejayaan baik semasa serang hendap pimpinan ”Black Jack” Galleghan ke atas pasukan Jepun di Gemas. Selepas itu, Westforce tewas dalam setiap pertempuran dengan Tentera Jepun termasuklah pertempuran di Batu Pahat.

Bennett bertengkar dengan Panglima-Panglima British apabila menyalahkan mereka untuk kekalahan di Batu Pahat kerana pasukan British yang ditugaskan untuk pergi memberikan bantuan kepada pasukan Australia di Bakri dan Batu Pahat tidak berbuat demikian. Pada 31 Januari 1942, kesemua pasukan Tentera British dan Australia telah selesai berundur ke Singapura.

Apabila Jepun melancarkan [[Pertempuran Singapura|serangan ke atas Singapura]] pada 8 Februari 1942, masalah Bennett dengan Brig. Taylor, Panglima 22 Briged Australia memuncak dan tidak boleh dibendung lagi. Pada 9 Februari 1942 Taylor mengarahkan 22 Briged Australia berundur dari garisan pertahanan Jurong-Kranji kerana diserang hebat oleh pasukan Jepun. Pada 10 Februari 1942 pula, Taylor tersalah tafsir arahan Percival yang dihantar melalui markas Bennett, menyebabkan pengunduran besar-besaran pasukan British ke barisan pertahanan baru.

Apabila Taylor melepaskan sementara pemerintahan 22 Briged Australia kepada Lt. Kol A. L. Varley kerana kesihatannya terganggu (Taylor terus pengsan selepas melepaskan pemerintahan 22 Briged Australia), Bennett naik radang dan melantik A. L. Varley untuk menggantikan (Taylor sebagai Panglima 22 Briged Australia. Dalam kemelut perang, Bennett berusaha untuk menghantar pulang Taylor ke Australia (untuk memalukan Taylor).

Apabila keadaan menekan dan kemungkinan besar akan kalah, Percival mendapati Bennett tidak lagi ghairah memerintah. Bennett menasihatkan Percival untuk menyerah kalah. Tetapi Bennett sendiri tidak menyerah kalah. Dia menyerahkan pemerintahan Tentera Australia kepada Brigedier Jeneral C. A. Callaghan dan memerintahkan setiap anggota Tentera Australia diberikan pakaian baru dan rangsum untuk dua hari dan menyerah kalah. Bennett sendiri bersama batman nya dan seorang pegawai lain merampas sebuah sampan dan melarikan diri ke Sumatra sebelum mendapatkan pengangkutan ke Australia.

Kepulangan ke Australia[sunting | sunting sumber]

Reaksi pelarian Bennett pulang ke Australia disambut dengan perasaan becampur-campur. Penyokong-penyokong Bennett memuji beliau kerana dapat melepaskan diri dari Singapura untuk membolehkan beliau menggunakan pengalaman perang yang ada untuk membantu Australia menghadapi ancaman penaklukan Jepun. Pegawai-pegawai kanan Tentera Australia pula mengecam tindakan Bennett meninggalkan pemerintahannya tanpa terlebih dahulu mendapatkan kebenaran. Mereka berpendapat Bennett sepatutnya bersama-sama dengan anggota-anggota tenteranya menjadi tawanan perang.

Bennett dinaikkan pangkat menjadi Lt. Jeneral (Sementara) pada 7 April 1942 dan dijadikan Panglima III Kor di Perth, Jeneral Blamey mempastikan Bennett tidak lagi diberikan pemerintahan pasukan di medan. Bennett menggunakan lobi rakan-rakannya dalam bidang politik, tetapi tidak berhasil.

Dengan rasa penuh dendam, Bennett berpindah khidmat ke kumpulan pegawai-pegawai simpanan (Reserve of Officers) pada 9 Mei 1944. Bennett sekali lagi bergaduh dengan kepimpinan tentera apabila mengeluarkan tulisan Why Singapore Fell (Sydney), yang pada keseluruhannya satu hujah bela untuk menjelaskan tindakan-tindakan beliau di Singapura. Blamey cuba menyekat percetakan buku Bennett tetapi tidak berdaya. Buku tersebut mengecam teruk Percival dan pegawai-pegawai British yang lain.

Tuduhan oleh Percival[sunting | sunting sumber]

Percival dan Bennett

Apabila tawanan perang dibebaskan lewat tahun 1945 selepas tamat perang, Percival menghantar surat kepada Blamey menuduh Bennett telah melepaskan pemerintahannya ke atas Divisyen ke-8 Australia di Singapura dengan cara tidak sah. Blamey tidak mengetepikan surat ini, sebaliknya menyuruh siasatan dibuat di atas tuduhan itu.

Blamey menubuhkan satu badan siasatan di bawah Mejar Jeneral V. P. H. Stanke, Adjutant General Tentera Australia yang akhirnya mendapati Bennett tidak patut menyerahkan pemerintahan Tentera Australia kepada Brigedier Jeneral C. A. Callaghan dan tidak sepatutnya meninggalkan Singapura. Keputusan ini ditentang oleh bekas-bekas anggota Divisyen ke-8 Australia kerana melihat siasatan itu sebagai satu siasatan ke atas prestasi Divisyen ke-8 Australia keseluruhannya.

Dalam bulan November 1945, Perdana Menteri Ben Chifley menubuhkan Suruhanjaya Diraja di bawah pimpinan hakim Sir George Ligertwood. Hasil siasatan Suruhanjaya tidak melepaskan Bennett daripada kesalahannya dan merumuskan Bennett mengingkari perintah Percival untuk menyerah kalah.

Sebab yang diberikan Bennett bahawa beliau sudah mempelajari cara untuk mengalahkan Tentera Jepun dan dia terpanggil untuk melarikan diri ke Australia supaya ilmu yang beliau perolehi boleh disampaikan kepada pihak Tentera Australia untuk disebarkan kepada lain-lain panglima. Apabila disoal mengenai prestasi tidak memuaskan pasukan pimpinan beliau di Tanah Melayu, Bennett berkata dia dihampakan oleh prestasi tidak baik unit-unit Tentera British dan Tentera British India. Tetapi kajian menunjukkan kebolehan dan pimpinan Bennett sendiri tidak melebihi mana-mana panglima di Tanah Melayu, termasuklah panglima-panglima yang dikecam Bennett.

Taktik perang yang digunakan Bennett sudah ketinggalan dan tidak sesuai digunakan dalam kancah peperangan moden. Sikap prasangka Bennett kepada pegawai-pegawai khidmat tetap dan cita-cita peribadinya menyebabkan pertimbangan dab budibicaranya tergugat dan tidak dapat dibuat dengan saksama. Dana paila dia gagal mencapai apa yang dihajatkan, Bennett menyalahkan pihak lain sebagai penyebab kegagalan beliau. [1]

Akhir Hayat[sunting | sunting sumber]

Selepas Perang Dunia II, Bennett menjadi seorang pekebun buah-buahan di Glenorie, berhampiran Sydney sehingga tahun 1955. Minatnya kepada bidang ketenteraan berterusan. Bennett menulis banyak artikel ketenteraan meliputi pelbagai bidang, termasuklah kelebihan sebuah pasukan tentera rakyat.

Bennett meninggal dunia pada 1 Ogos 1962 di Dural. Mayatnya dibakar mengikut amalan fahaman Gereja Anglican. Potret Bennett oleh James Quinn kini disimpan di Muzium Perang Australia di Canberra

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Wigmore, The Japanese Thrust (Canb, 1957);
  • F. Legg, The Gordon Bennett Story (Syd, 1965);
  • A. B. Lodge, The Fall of General Gordon Bennett (Syd, 1986);
  • Percival papers (Imperial War Museum, London);
  • Bennett papers (State Library of New South Wales);
  • A. B. Lodge, 'Bennett, Henry Gordon (1887 - 1962)', Australian Dictionary of Biography, Volume 13, Melbourne University Press, 1993, pp 165-167.