Fariz Musa

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Fariz Musa (Tulisan jawi: فاريز موسى) dilahirkan pada 1 Mac 1970 di Marang, Terengganu. Merupakan anak pertama daripada 5 adik beradik. Bapa beliau Tuan Haji Musa Muda adalah merupakan bekas guru besar dan ibu pula Hajah Khasaulah Sulaiman, seorang suri rumahtangga.

Beliau merupakan Ketua Ko-Ordinator Jingga13[1], Ketua Setiausaha Pengelola dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Parti Keadilan Rakyat. Penglibatan beliau dalam Parti Keadilan Rakyat bermula sejak penubuhan Parti Keadilan Nasional sehinggalah sekarang.

Beliau antara yang lantang dan berani bersuara dalam memperjuangkan isu pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim[2], Bantah GST[3], #KitaLawan[4] dan sebagainya melibatkan isu-isu rakyat serta sering ditangkap oleh pihak polis dan didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman[5].

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Pendidikan awal beliau di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman 2, Kuala Terengganu (Darjah 1-3) dan Sekolah Kebangsaan Chendering, Kuala Terengganu (Darjah 4-6). Kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu (1983-1987). Pada tahun 1990, beliau memasuki Maktab Perguruan Kuala Terengganu Batu Rakit, Kuala Terengganu dan memperolehi Sijil Perguruan. Kemudian melanjutkan pendidikan beliau di Universiti Putra Malaysia dan memperolehi ijazah Bachelor Pendidikan (Bimbingan & Kauseling) pada tahun 2000.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Kerjaya beliau bermula pada tahun 1992 sebagai guru sehingga 2008. Beliau pernah menjadi Pensyarah Sambilan Sekolah Pengajian Umum di Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu (1996-2000), menjadi Penceramah dan Fasilitator Biro Tatanegara di Jabatan Perdana Menteri Cawangan Terengganu (1993-1998) dan Timbalan Pengarah Jabatan Latihan dan Komunikasi Selangor (2011-2013). Beliau juga mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang latihan, motivasi dan konsultan. 

Beliau pernah mendapat Anugerah Kecemerlangan Guru Berpotensi (1997) daerah Marang, Terengganu dan pada tahun 2005, beliau memperolehi Penghargaan Perkhidmatan Cemerlang oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kepimpinan[sunting | sunting sumber]

Pengalaman Kepimpinan beliau bermula daripada sekolah rendah lagi sebagai Ketua Murid, manakala di sekolah menengah beliau dilantik sebagai Pengawas dan Ketua Pengawas. Sewaktu melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Kuala Terengganu, beliau terpilih sebagai Yang DiPertua Majlis Guru Pelatih.

Fariz Musa seorang yang aktif dalam gerakan belia. Beliau aktif dalam Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan pernah terpilih sebagai Ahli Badan Tertinggi GPMS Pusat (1993-1996). Beliau dipilih mewakili Malaysia ke Forum Belia Antarabangsa di Korea Selatan (1992) dan juga aktif di Majlis Belia Negeri dan Daerah.

Karier Politik[sunting | sunting sumber]

Penglibatan beliau dalam politik bermula dalam Pergerakan Pemuda UMNO di Bahagian Marang, Terengganu bermula tahun 1990 sehingga menyertai gerakan Reformasi setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada Timbalan Perdana Menteri dan difitnah pada tahun 1998. Beliau kemudiannya menyertai Parti Keadilan Nasional apabila ianya ditubuhkan pada 4 April 1999. Kepimpinan beliau dalam parti bermula apabila beliau telah dilantik menjawat jawatan Setiausaha Pemuda Keadilan Negeri Terengganu.

Pada tahun 2000, diadakan pemilihan Exco Pemuda Keadilan Pusat dan beliau terpilih sebagai Exco Pemuda Keadilan Pusat sewaktu Persidangan Pergerakan Pemuda Keadilan di Kemaman. Kemudian dilantik oleh Saudara Ezam Mohd Nor selaku Ketua Pemuda Keadilan Pusat ketika itu sebagai Ketua Pemuda Keadilan Negeri Terengganu. Beliau menjawat sebagai Exco AMK sehingga 2007.

Pada tahun 2007, beliau telah terpilih sebagai Timbalan Ketua Pemuda Keadilan Malaysia/ Timbalan Ketua Angkatan Muda (AMK) Malaysia sewaktu Persidangan Pemuda Keadilan di Negeri Sembilan bagi sesi 2007-2010 dan juga sebagai Pengarah Pilihanraya AMK Malaysia dan secara automatik berdasar perlembagaan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Nasional. Setelah bercantum dgn Parti Rakyat Malaysia pada tahun 2008, Parti Keadilan Rakyat telah diwujudkan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12, beliau telah meletakkan jawatan sebagai guru dan bertanding di Parlimen Kemaman mewakili Parti Keadilan Rakyat. Beliau telah mencabar calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ahmad Shabery Cheek. Pada tahun 2010, beliau telah terpilih sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dalam pemilihan parti. Pada Pilihan Raya Umum ke-13 beliau telah mencabar Datuk Seri Najib Razak di Parlimen Pekan

Pemilihan parti pada tahun 2014, beliau sekali lagi terpilih sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Presiden Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail telah melantik dan memberikan kepercayaan kepada beliau sebagai Ketua Setiausaha Pengelola dan juga sebagai Ahli Biro Politik Parti Keadilan Rakyat Pusat.

Rujukan[sunting | sunting sumber]