Ishak Haji Muhammad

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Pak Sako

Ishak Haji Muhammad (14 November 1909 - 7 November 1991) atau lebih dikenali sebagai Pak Sako merupakan seorang penulis yang giat menulis sekitar tahun 1930-an sehingga 1950-an. Ishak Haji Muhammad ialah seorang nasionalis negara. Kelibatnya bermula pada era sebelum kemerdekaan dan pascamerdeka. Gagasan yang ingin diperjuangkan oleh Pak Sako ialah penyatuan Melayu Raya yang mana Indonesia, Malaysia dan Brunei disatukan dalam satu serumpun.

Pak Sako sebenarnya ialah julukan kepada nama Isako-san yang dipanggil orang-orang Jepun. Pak Sako juga dikenali juga dengan nama samaran seperti Anwar, Hantu Raya, Isako San dan Pandir Moden.[perlu rujukan]

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Pak Sako lahir pada tahun 1909 di Kampung Bukit Seguntang (antara Kampung Tengah dengan Kampung Buntut Pulau), Temerloh, Pahang dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Laki-Laki Temerloh (kini Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah), Temerloh pada tahun 1919 dan melanjutkan pelajaran ke Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Lipis pada tahun 1924 hingga 1928. Pak Sako lulus sijil persekolahan dari Sekolah Inggeris Raub pada tahun 1929. Pada tahun 1930, beliau melanjutkan pelajaran ke MCKK (Maktab Melayu Kuala Kangsar) untuk berlatih sebagai Pegawai dalam Perkhidmatan Pentadbiran Tanah Melayu (Malayan Civil Service). Beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Penolong Pegawai Daerah, Majistret Kelas III dan guru bahasa sebelum menyertai dunia penulisan.

Penulisan dan politik[sunting | sunting sumber]

Pak Sako bekerja sebagai Majistret Kelas lll. Setelah sekian lama bekerja, Pak Sako mendapati pihak British seperti ingin membuat sesuatu perkara yang negatif terhadap orang Melayu. Pada tahun 1934, Pak Sako meletakkan jawatan beliau sebagai Majistret Kelas lll kerana tidak mahu bekerjasama dengan pihak British lalu menjelajah Semenanjung Tanah Melayu. Pak Sako kemudiannya menumpukan usaha kepada penulisan dan politik nasionalis. Pak Sako dipenjarakan sebanyak dua kali (1948 – 1953)[1] dan (1965 – 1966).

Utusan Melayu[sunting | sunting sumber]

Pak Sako merupakan orang yang pertama bercita-cita menerbitkan akhbar Utusan Melayu dan seterusnya menjadi pengasas kepada penerbitan akhbar tersebut. Beliau meninggalkan Warta Malaya lalu menjelajah ke negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu untuk berkempen bagi penubuhan Syarikat Utusan Melayu. Pak Sako bertugas di Utusan Melayu di bawah ketua pengarang Abdul Rahim Kajai. Semasa pemerintahan Jepun, Pak Sako menjadi pengarang Berita Malai.

Pak Sako terus tinggal di Hulu Langat walaupun bekerja di Kuala Lumpur. Untuk ke pejabat, Pak Sako menggunakan pengangkutan awam. Buat seketika, Pak Sako mempunyai sebuah kereta Fiat semasa dia bekerja di Rembau tetapi Pak Sako tidak memandu, dan terpaksa menggunakan pemandu.[2]

Kesusasteraan[sunting | sunting sumber]

Pak Sako banyak menghasilkan novel, cerpen, esei dan memoir serta turut menulis rencana untuk akhbar Kumpulan Utusan Melayu. Perpustakaan Negara Malaysia memperolehi lebih daripada 1,000 naskhah koleksi kesusasteraan hasilan beliau. Di samping itu, beliau juga telah menghasilkan 2 buah karya yang terkenal iaitu Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila yang mencerminkan pandangan dan cita-cita beliau sebagai patriot dan sasterawan. Beliau juga bergiat cergas untuk menulis cerpen. Nukilan tersohor Pak Sako, Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila merupakan novel satira yang ditujukan kepada orang-orang British dan juga sebagai kritikan kepada orang-orang British. Pak Sako memberatkan kebudayaan Melayu dalam penulisannya, dan mengagungkan budaya Melayu dengan membandingkannya dengan budaya Inggeris yang kurang kualiti dan terlalu agresif.

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Sebagai menghargai jasa dan sumbangan beliau, Universiti Malaya telah menganugerahkan kepadanya Ijazah Kehormat Doktor Persuratan pada 29 Jun 1973. Pada 29 Mei 1976, Pak Sako telah menerima anugerah "Pejuang Sastera" daripada Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein bin Dato' Seri Onn.

Penulisan[sunting | sunting sumber]

Hasil penulisannya termasuk:[perlu rujukan]

  1. Putera gunung tahan, Utusan Publications & Distributors, 2000.
  2. Memoir Pak Sako : putera gunung Tahan, UKM, 1997.
  3. Budak beca / Pak Sako, Marwilis Publisher, 1992.
  4. Biografi Pak Sako : hidup meniti ranjau (oleh Wahba), Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991
  5. Pepatah petitih , Creative Enterprise, 1989.
  6. Renungan Pak Sako
  7. Budak beca. Marang: Mohamad bin A. Rahman, 1957.
  8. Judi karam. Singapura: Geliga, 1958.
  9. Pengantin baru. Singapura: Geliga.
  10. Putera Gunung Tahan. Singapura: Geliga, 1937.

Meninggal dunia[sunting | sunting sumber]

Beliau meninggal dunia pada 7 November 1991 di Kampung Jawa, Hulu Langat, Selangor.[perlu rujukan]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "'Pak Sako tidak pernah sertai PKM'". Utusan Malaysia. 4 September 2006. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 November 2017. Dicapai pada 26 November 2017 – melalui Utusan Online. ...sedangkan Pak Sako berada dalam tahanan pada tahun 1948 hingga 1953 
  2. ^ "Utusan Melayu". bahasa-malaysia-simple-fun.com (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada original pada 8 Jun 2007. Dicapai pada 15 Mac 2007. 

Buku[sunting | sunting sumber]

  • Harry Aveling, trans., Ishak Haji Muhammad: The Prince of Mount Tahan, Singapore: Heinemann Educational Books, (Asia), 1980.
  • Harry Aveling, trans., Ishak Haji Muhammad: The Son of Mat Mat Lela, Singapore: Federal Books, 1983.
  • Ishak Haji Muhammad, "Ilham Mencipta Putera Gunung Tahan", Dewan Sastera, April, 23, 1976.