Kepimpinan Mahathir Mohamad kedua

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pada 9 Mei 2018, Pakatan Harapan (PH) dipilih dengan menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama 60 tahun. PRU14 yang disifatkan sebagai "ibu kepada semua pilihan raya" menyaksikan PH yang terdiri daripada empat parti pembangkang iaitu DAP, PKR, Amanah dan Bersatu, memenangi 113 daripada 222 kerusi parlimen dan mengikut undang-undang berhak untuk membentuk kerajaan baharu dengan mudah majoriti. Gabungan itu kemudian memilih Mahathir Mohamad, 92, untuk menjadi perdana menteri. Mahathir, yang merupakan perdana menteri keempat dari 1981-2003, kemudian mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh pada 10 Mei, 2018 untuk menjadi Perdana Menteri yang paling tua di dunia.

Kerajaannya kemudian mengurangkan cukai barang dan perkhidmatan, untuk menstabilkan harga petrol, memansuhkan GST, mengurangkan kos hidup, mengkaji semula projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing. Selain itu, juga kejayaan mengatasi skandal 1MDB menggunakan saluran undang-undang, pelan penyusunan semula dan pemulihan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan memerangi rasuah pada skala besar dan memperkenalkan iniasiatif baharu sepetrti penubuhan Pusat Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) dan melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

Pilihan raya 2018[sunting | sunting sumber]

PRU ke-14 diadakan ketika presiden Umno ketika itu, Najib Razak, berdepan dengan isu skandal 1MDB dan pada masa sama pembangkang membentuk persefahaman rasmi. Apabila keputusan diumumkan, BN kalah buat pertama kali dalam sejarah dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan baru. Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 10 Mei.[1][2][3]

Dalam sidang akhbar selepas upacara itu, Mahathir berkata:[4]

Kami akan menghapuskan undang-undang yang bersifat menindas dan tidak adil – sebagai contoh, undang-undang antiberita tidak benar dan Majlis Keselamatan Negara [undang-undang], yang digubal untuk menakut-nakutkan orang ramai.

— Mahathir

Kabinet[sunting | sunting sumber]

100 hari pertama[sunting | sunting sumber]

Persepsi rakyat terhadap 100 hari pertama pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan dilihat pelbagai iaitu ada yang negatif, tetapi lebih banyak ke arah positif. Mahathir berkata, ini didedahkan menerusi kajian persepsi yang dilakukan kerajaan terhadap 100 hari pertama pentadbirannya.[5]

Kerajaan PH pimpinan Mahathir telah memutuskan untuk melaksanakan 17 inisiatif yang berkaitan dengan soal tadbir urus, integriti dan antirasuah dalam tempoh 100 hari pertama pemerintahan. Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Abu Kassim Mohamed berkata, banyak kejayaan yang telah ditempa dalam masa yang singkat di bawah kepimpinan Mahathir bagi melahirkan Malaysia yang bebas rasuah dan berintegriti tinggi.[6]

Anti rasuah[sunting | sunting sumber]

Najib Razak dan kes 1MDB[sunting | sunting sumber]

Selepas kemenangan pilihan raya yang tidak dijangka pada 2018, Mahathir membuka semula siasatan ke atas skandal 1MDB dan penglibatan Najib dalam kes berkenaan.

Pada 12 Mei 2018, nama Najib dan isterinya, Rosmah Mansor disenaraihitamkan oleh Jabatan Imigresen ketika laporan pasangan itu akan menaiki penerbangan ke Jakarta.[7] Mahathir mengesahkan memberi arahan itu.[8]

Pihak polis terlibat dalam sebahagian daripada siasatan yang diperbaharui terhadap 1MDB telah melancarkan serbuan berterusan ke kediaman rasmi Najib di Jalan Langgak Duta serta di lima premis lain.[9] Di tiga unit kondominium mewah yang dikaitkan dengan Najib di Kuala Lumpur menemukan 284 beg tangan mewah, 72 beg wang tunai dan barang kemas serta barang-barang berharga lain.[10]

Pada 22 Mei 2018, Najib kali pertama hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International iaitu anak syarikat 1MDB.[11][12] Beliau kemudian turut dipanggil beberapa kali lagi untuk dirakam percakapan oleh SPRM dan JSJK berhubung siasatan kes berkenaan.[13][14]

Pada 3 Julai 2018, Najib ditahan oleh SPRM di kediamannya dekat Langgak Duta.[15][16] Pada 4 Julai, beliau didakwa atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah berkaitan kes SRC International dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu membabitkan RM42 juta.[17] Pada 8 Ogos, Najib sekali lagi didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama daripada dana sama milik SRC International.[18]

Aktif memerangi rasuah[sunting | sunting sumber]

Pada 1 Jun 2018, Mahathir bersetuju untuk menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) bagi menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah di negara ini.[19] GIACC akan bertanggungjawab dalam merancang, menggubal strategi dan menilai dasar dalam memastikan semua urusan kerajaan dilaksana berteraskan tadbir urus baik, integriti dan tiada toleransi kepada perbuatan rasuah. Antara tugas awal GIACC yang dipersetujui perdana menteri adalah memastikan 21 janji berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah yang terdapat dalam manifesto kerajaan diberi tumpuan khusus untuk dilaksanakan dalam fasa-fasa tertentu.[20]

Pada 10 Disember 2018, Mahathir melancarkan Garis Panduan Tatacara Mencukupi bagi membantu organisasi komersial dalam industri menggunakan langkah asas bagi mengurangkan risiko rasuah.[21]

Pada 29 Januari 2019, Mahathir melancarkan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 sebagai salah satu inisiatif kerajaan dalam merealisasikan manifesto kerajaan ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti. Bertemakan ‘Memecah Rantaian Rasuah’, NACP merupakan pelan yang dibangunkan khusus untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun. Pelaksanaan pelan ini dibangunkan oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah, Jabatan Perdana Menteri (GIACC) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain.[22] Mahathir berkata, sebahagian pesalah rasuah lalu telah dan sedang dikejar dan akan dihukum, mengikut peruntukan undang-undang manakala perasuah sekarang dan masa depan akan berdepan tindakan yang lebih tegas.[23]

Pada 19 Mac 2019, Mahathir berkata mahkamah khas rasuah bakal ditubuhkan bagi mengendalikan kes rasuah dengan lebih cepat. Bagaimanapun, beliau berkata, penubuhan mahkamah itu nanti tidak akan menjejaskan mahkamah sedia ada.[24]

Pada bulan Januari 2020, Transparency International (TI) mengumumkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia meningkat kepada 53 mata pada 2019 berbanding 47 mata pada 2018, sekali gus menduduki tangga ke-51 daripada 61 pada 2018.[25]

Majlis Tindakan Ekonomi[sunting | sunting sumber]

Pada 11 Februari 2019, pejabat perdana menteri mengumumkan pelantikan 16 ahli bagi menganggotai Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan Mahathir, berkuat kuasa serta merta. Antara anggota yang dilantik dalam majlis itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ignatius Darell Leiking, Menteri Kerja Raya Baru Bian, Penasihat Ekonomi Perdana Menteri Muhammed Abdul Khalid, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Rafidah Aziz dan Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) Zeti Akhtar Aziz.[26] Mahathir menjelaskan cadangan bagi menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi sudah dirancang tahun 2018 namun, tidak dapat dilaksanakan pada masa itu berikutan kekangan masa.[27]

Dasar asing[sunting | sunting sumber]

Di bawah kepemimpinan Mahathir, Malaysia terus menggalakkan dasar asing, memandang ke hadapan serta pragmatik yang memudahkan perdagangan. Seperti sebelum ini, Asean kekal menjadi asas kepada dasar luar Malaysia dan dalam tempoh, Mahathir telah melawat beberapa negara Asean; Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Filipina, Vietnam dan Kemboja.

Antara keputusan penting dibuat kerajaan PH ialah mengundurkan tentera Malaysia dari Arab Saudi Pada tahun 2018. Tentera ditempatkan di sana sejak 2015 bertujuan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Yaman berikutan tercetusnya perang saudara.[28]

Kunjungan ke negara jiran Thailand, Kuala Lumpur yang menjadi pemudah cara dalam perundingan damai antara kerajaan Thailand dan Majlis Syura Patani (MARA Patani),[29] berjanji akan memberikan apa jua bantuan untuk membantu menamatkan keganasan di selatan wilayah negara itu.[30][31]

Dikenali sebagai pemimpin yang lantang mengkritik terhadap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Mahathir sekali lagi menarik perhatian dunia dengan mengatakan perlunya perubahan dalam Majlis Keselamatan PBB pada Perhimpunan Agung PBB ke-73 (UNGA) - selepas 15 tahun tidak menyertai perhimpunan badan dunia itu.[32]

Dalam tempoh setahun, Mahathir telah melawat China sebanyak dua kali,[33][34] antaranya bagi menghadiri Sidang Kemuncak dan Forum Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI).[35] Korea Selatan dan Malaysia pula bersetuju membawa Dasar Pandang Ke Timur dan Dasar Selatan Baru dengan cara lebih harmoni.[36]

Di Senegal, untuk Persidangan Antarabangsa mengenai Kemunculan Afrika (ICEA-III) ketiga pada Januari 2019, Mahathir adalah satu-satunya ketua kerajaan dari luar Afrika.[37][38]

Pada 5 April 2019, Mahathir mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rom ICC berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat, sambil menegaskan bahawa keputusan itu dibuat bukan disebabkan Statut itu membahayakan negara.[39]

Pengiktirafan kepimpinan[sunting | sunting sumber]

Pada bulan Disember 2018, Mahathir diiktiraf sebagai Lelaki Muslim Paling Berpengaruh Dunia bagi 2019 oleh penerbitan The Muslim 500, sekali gus mengetuai senarai 500 lelaki Islam paling berpengaruh di dunia.[40]

Pada bulan April 2019, beliau disenaraikan antara 100 individu paling berpengaruh di dunia pada 2019 oleh majalah berita antarabangsa, Time.[41][42]

Pada bulan Mei 2019, Mahathir dinamakan sebagai 50 Tokoh Dunia Paling Berpengaruh 2019 oleh portal antarabangsa, Fortune.com.[43][44]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Dr Mahathir angkat sumpah PM ke-7". Berita Harian. 2018-05-10.
  2. ^ "Sejarah tercipta! Tun Mahathir angkat sumpah sebagai PM kali kedua". www.astroawani.com. 2018-05-10.
  3. ^ Ahsan, Ainul Asniera (2018-05-10). "Tun Mahathir angkat sumpah Perdana Menteri". MalaysiaGazette.
  4. ^ "Mahathir Angkat Sumpah Sebagai PM Baharu Malaysia, Selepas Dua Kali Ditangguh". Benar News. 2018-05-10.
  5. ^ "100 hari pertama: Persepsi rakyat lebih banyak positif berbanding negatif". www.astroawani.com. 2018-09-07.
  6. ^ "100 hari Kerajaan Pakatan Harapan: 17 inisiatif integriti, antirasuah dilaksana". www.astroawani.com. 2018-08-17.
  7. ^ "Najib, Rosmah dilarang ke luar negara". Malaysiakini. 2018-05-12.
  8. ^ "'Saya arahkan larangan ke luar negara buat Najib, Rosmah' - PM Tun Mahathir". www.astroawani.com. 2018-05-12.
  9. ^ "18 jam serbuan di rumah Najib Razak, apa kesudahannya?". www.astroawani.com. 2018-05-17.
  10. ^ "72 beg berisi wang tunai, barang kemas dirampas". Berita Harian. 2018-05-18.
  11. ^ NSTP, Wartawan (2018-05-22). "Najib ceria tiba di ibu pejabat SPRM [METROTV]". Harian Metro.
  12. ^ Lin, Koh Jun (2018-05-22). "Najib tiba di ibu pejabat SPRM". Malaysiakini.
  13. ^ "Najib hadir di SPRM beri keterangan kali kedua". www.astroawani.com. 2018-05-24.
  14. ^ Ying, Mohd Fauzi Abdullah dan Teoh Pei (2018-12-27). "Skandal dan dakwaan 2018". Harian Metro.
  15. ^ Bahaudin, Nurul Hidayah (2018-07-03). "Najib Razak ditahan". Harian Metro.
  16. ^ "Najib sah ditangkap di rumah". Malaysiakini. 2018-07-03.
  17. ^ "3 tuduhan pecah amanah, 1 tuduhan salah guna kuasa". Berita Harian. 2018-07-04.
  18. ^ Malaysiakini, Wartawan (2018-08-08). "LANGSUNG: Najib mengaku tak bersalah tuduhan terima RM42j wang haram". Malaysiakini.
  19. ^ BERNAMA (2018-06-01). "GIACC pantau tadbir urus, integriti dan antirasuah". Harian Metro.
  20. ^ "Mekanisme deklarasi harta diputuskan kabinet sebelum persidangan Parlimen". www.astroawani.com. 2018-06-10.
  21. ^ "Dr Mahathir lancar garis panduan kurangkan risiko rasuah". Berita Harian. 2018-12-10.
  22. ^ "Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dilancarkan". Berita Harian. 2019-01-29.
  23. ^ WAHI, SITI AZIELAH (2019-01-29). "'Bukan balas dendam, NACP amaran tegas kerajaan kepada perasuah'". Sinar Harian.
  24. ^ Noor, Mohd Husni Mohd (2019-03-19). "Mahkamah khas rasuah bakal ditubuhkan [METROTV]". Harian Metro.
  25. ^ "Indeks Persepsi Rasuah bukti inisiatif berhasil". Berita Harian. 2020-02-10.
  26. ^ Noor, Mohd Husni Mohd (2019-02-11). "Kerajaan tubuh Majlis Tindakan Ekonomi". Harian Metro.
  27. ^ "Majlis Tindakan Ekonomi fokus isu ekonomi negara - PM". Berita Harian. 2019-02-12.
  28. ^ "Tentera Malaysia di Arab Saudi akan dibawa pulang". Berita Harian. 2018-06-28.
  29. ^ "Thailand hargai peranan Malaysia dalam proses rundingan damai di Wilayah Selatan". Berita Harian. 2019-02-14.
  30. ^ "Rundingan damai: Malaysia ikrar bantu Thailand". www.astroawani.com. 2018-10-24.
  31. ^ "Pemimpin Thailand, Malaysia Ikrar Bawa Keamanan Di Selatan Thailand". Benar News. 2018-10-24.
  32. ^ "Teks ucapan penuh Dr Mahathir di UNGA ke-73". Berita Harian. 2018-09-28.
  33. ^ "PM tiba di Hangzhou memulakan lawatan 5 hari ke China". Berita Harian. 2018-08-17.
  34. ^ "Lawatan Dr Mahathir kukuhkan lagi hubungan perdagangan Malaysia-China". Berita Harian. 2019-04-24.
  35. ^ "Malaysia sokong inisiatif Jalur dan Laluan - PM". Berita Harian. 2019-04-26.
  36. ^ "Korea Selatan, Malaysia setuju Dasar Selatan Baharu". Sinar Harian. 2019-03-14.
  37. ^ "Tun Mahathir pemimpin negara luar Afrika tunggal ke ICEA 2019". www.astroawani.com. 2019-01-15.
  38. ^ "Presiden Senegal sambut ketibaan Dr Mahathir". Berita Harian. 2019-01-17.
  39. ^ Hoong, Lu Wei (2019-04-05). "Malaysia tarik diri dari Statut Rome, kata Dr M". Malaysiakini.
  40. ^ "Tun Mahathir dinobat sebagai Lelaki Muslim Paling Berpengaruh Dunia". Berita Harian. 2018-12-30.
  41. ^ "Majalah Time senarai Tun M antara 100 individu paling berpengaruh di dunia". Berita Harian. 2019-04-18.
  42. ^ "Time: Dr M antara 100 individu paling berpengaruh di dunia". Malaysiakini. 2019-04-18.
  43. ^ "Dr Mahathir tokoh berpengaruh dunia - Fortune". Berita Harian. 2019-05-05.
  44. ^ "Dr Mahathir disenarai antara 50 tokoh paling berpengaruh dunia". www.astroawani.com. 2019-05-06.