Kuala Sanglang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Kuala Sanglang ialah sebuah bandar pekan kecil di selatan negeri Perlis, bersempadan dengan negeri Kedah. Sebahagian pekan ini terletak dalam kawasan negeri Kedah. Sekitar awal tahun 50-an, pekan ini masyhur sebagai pelabuhan nelayan utama di negeri Perlis.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Asal usul nama Kuala Sanglang seperti diriwayatkan oleh Tok Pengulu Said bin Jaafar bin Enjang (1860 -1960) berasal daripada perkataan "sarang helang". Sebutan Kuala Sarang Helang lama-kelamaan berubah menjadi Kuala Sanglang. Di zaman dahulu, banyak sarang helang didapati di tepi pantai. Dikatakan pada awalnya, satu keluarga nelayan Cina tingal di tempat itu dan mendapat tangkapan yang baik. Perkara ini menarik lebih ramai orang datang ke situ.[1]

Kuala Sanglang, Kedah, sebagai nukleus, dibuka oleh Penghulu Said yang dikenali juga sebagai Panglima Said. Penghulu Said bersama pengikutnya di sekitar 1900 telah datang membuka Kampung Kuala Sanglang di kawasan yang dikenali sebagai Kampung Masjid yang merupakan tanah milik beliau. Dia mewakafkan satu bahagian untuk masjid dan satu bahagian untuk kubur semasa kubur awal Kuala Sangalang di tepi laut telah terhakis dan juga menjadi laluan sungai korek di sekitar 1957. Orang yang pertama dikuburkan ialah Tok Udoh isteri Tok Man Sekun (school) yang bersama Che Gu Mat Amin rakan-rakan sebaya Penghulu Said yang mempelopori Sekolah Rakyat Kuala Sanglang.[2]

Kampung Kuala Sanglang berkembang menjadi Sungai Baru, Kg Masjid dan Kuala Sanglang Perlis. Apabila Perlis yang asalnya tanah jajahan Kedah diambil oleh Siam dan dihadiahkan kepada keluarga Jamalulai Raja Perlis, Kuala Sanglang menjadi sempadan dan juga pangkalan yang penting. Di masa jajahan British, ditempatkan tangsi polis di kedua-dua belah sempadan lengkap dengan kastam. Selepas pemerintahan Jepun, sempadan ini dimansuhkan. Kepentingan Kuala Sanglang menurun walaupun ia masih jadi lebuh raya laut dari Kuala Sanglang ke Kuala Kedah dengan perkhidmatan bot tambang dari Sungai Baru ke Kuala Kedah.

Setelah terbina jalan raya dari Simpang Empat, Perlis merentasi Kampung Sanglang ke Alor Setar, peranan Kuala Sanglang makin merosot dan kekal sebagai kampung nelayan. Walau bagaimanapun, dengan pertambahan penduduk dan perpindahan dari tempat lain sejak 50 tahun dahulu, kawasan Kuala Sanglang sudah membesar kepada 4 kali ganda asal.

Salasilah Penghulu Said[sunting | sunting sumber]

Dipercayai datuk Penghulu Said berasal dari Perak disebabkan nama Enjang ada berkaitan dengan loghat negeri Perak. Bapanya Tok Jaafar bekerja sebagai anak kapal di Pulau Pinang. Oleh kerana berlaku perselisihan faham dengan seorang Cina, ia menyebabkan satu perkelahian yang menyebabkan orang Cina itu terbunuh. Tok Jaafar lari ke Kampong Sanglang di mana dia berumah tangga dan mendapat beberapa anak lelaki dan perempuan. Said merupakan anak sulung yang mencari makan di laut untuk menyara adik-beradiknya apabila Tok Jaafar meninggal dunia. Apabila dewasa, dia dilantik menjadi Panglima Sanglang dan pernah berkhidmat kepada Sultan Kedah dalam Perang Chek Nyoya di Pulau Pinang. Dia dinaikan pangkat kepada Jawatan Pengulu kemudiannya. Daripada isteri keduanya, Siti Hajar, lahirlah tiga orang anak lelaki iaitu Murad Said, Abdul Ghani Said dan Mohamad Jam. Cucunya sekarang mewarisi tanahnya di Kuala Sanglang tetapi kebanyakannya telah berjaya dengan kerjaya masing-masing dan tidak lagi tinggal di Kampung ini kecuali Cikgu Rosli bin Abdul Ghani. Antara anak saudara Penghulu Said yang juga ternama di Mukim Sanglang suatu ketika dulu ialah Penghulu Saari dan Panglima Chin serta Che Gu Bakar.[perlu rujukan]

Pengulu Said Menangkap Salleh Tui[sunting | sunting sumber]

Di zaman selepas Perang Dunia I fenomena rompak samun daripada orang Samsam (keturunan Melayu-Siam) berleluasa. Ada seorang Penyamun yang mashur di Kedah dikenali dengan nama Salleh Tui sudah terkepung di Kampung Sanglang tetapi tidak dapat ditangkap kerana kebal. Penghulu Said dengan kebijaksanaan dan ilmu kebatinannya berjaya menembak kaki Salleh Tui dan menangkis serangan parang lading dengan tekpinya. Salleh tui yang cedera diusung melalui Kampung Tok Mengkula untuk dibawa ke Alor Star melalui jalan laut. Salleh Tui menjerit sepanjang perjalanan tersebut dalam bahasa Siam. Jertitannya didengari semua penduduk di sekitar Tok Mengkula, Kampung Siti Hajar Hj Ahmad isteri Penghulu Said.[perlu rujukan]

Imam pertama Kuala Sanglang[sunting | sunting sumber]

Semasa Kuala Sanglang dibuka, sebuah masjid telah dibina atas tanah yang diwakafkan oleh Penghulu Said. Ketika itu, masjid dibuat berlantaikan simen dan berbumbung dan dinding zink. Penghulu Said telah mencari seseorang untuk menjadi imam dan mendapati seorang ahli agama di Kampung Bujang Kedah yang berasal dari Sik bernama Hj. Ahmad. Beliau dijemput dengan keluarganya ke Kuala Sanglang. Beliau dan keluarganya berpindah dan tinggal di Kampung Tok Mengukula berdekatan Kuala Sanglang dan menjadi Imam yang pertama. Akhirnya, dia menjadi mentua kepada Penghulu Said apabila Penghulu ini berkahwin dengan anak perempuannya Siti Hajar.[perlu rujukan]

Kampung Tok Mengkula "Kg Satelit" Kuala Sanglang[sunting | sunting sumber]

Kuala Sanglang ialah perkampungan nelayan dan pengkalan perdagangan. Tidak jauh dari Kuala Sanglang, lebih kurang 1.5km, terletak sebuah kampung kecil di mana penduduknya bersawah. Ada juga sebahagian orang Kuala Sanglang bersawah atau mengambil upah dengan kerja-kerja bersawah seperti mengubah, membaja, merumput dan memotong, dan membanting padi. Kampung Tok Mengkula ini dipelopori oleh Tok Saad. Tok ini pada asalnya tinggal di Alor Setar semasa zaman kanak-kanaknya berkawan rapat dengan anak Sultan Abdul Hamid. Apabila meningkat remaja seorang putera Sultan Abdul Hamid telah menyarankan dia memohon tanah di Tok Mengkula. Pada mulanya, dia tidak mahu kerana dia tidak nampak keperluan tanah. Tetapi anak raja kawannya lebih panjang akal memberi tanah di Tok Mengkula, maka dia pun berpindah ke Tok Mengkula. Anak perempuannya Siti Mariam dipinang oleh Tengku Yaakob (kemudian menjadi Pengarah Pertanian Pertama di Ngeri Kedah). Tetapi. Tok Saad menolak dengan baik kerana pada fikirannya berbesan duai dengan Sultan adalah tidak menyenangkan kerana perbezaan ekonomi dan darjat. Tok Saad kahwinkan Siti Mariam, yang pada zaman kanak-kanaknya kawan sebaya sepermainan dengan Tunku Abdul Rahman, dengan pembantunya Ali bin Cha yang dikurniakan seorang anak lelaki, Bahari; (meninggal di Mekah semasa menunaikan haji); Fatimah (menjadi menantu Pengulu Said); Daharah dan Che Yan.[perlu rujukan]

Tanah kurniaan Sultan Kedah itu tidak kekal dalam milikan keturunan Tok Saad kerana dia telah meletak surat geran di rumah satu orang kaya. Apabila dia meninggal, tanah tersebut telah menjadi petikaian yang berpanjangan bilamana Siti Mariam terpaksa naik turun ke mahkamah. Akhirnya, mahkamah telah memutuskan tanah itu milik orang kaya tersebut kerana geran telah dialih kepada namanya sebelum dia meninggal. Keluarga Mariam diputuskan boleh tinggal di tanah tersebut dengan membayar sewa. Satu kejadian berlaku bilamana padinya yang sedang masak dirampas oleh "tuan tanah". Kemelut kesusahan Siti Mariam akhirnya merenggangkan dia daripada suaminya. Akhirnya, Tok Ali bin Cha membawa diri dan tinggal di pondok sawah dengan menjalankan ambil upah menjaga itik China pendatang dari Makau. Dia meninggal di ladang seorang diri pada satu Jumaat dalam tahun 1969. Meriam terus tinggal di Kampung Tanah Pusaka yang telah menjadi milik orang sehingga hujung hayatnya. Tunku Abdul Rahman pernah menawarkan untuk berjumpanya jika ada apa masaalah tetapi dia tidak mengambil kesempatan atas tawaran itu kerana masih boleh bersawah dan mencari makan sendiri.[perlu rujukan]

Kuala Sanglang Semasa Penjajahan Jepun[sunting | sunting sumber]

Dalam Perang Dunia Kedua, Jepun yang bekerjasama dengan Siam telah menakluki Tanah Melayu. Kuala Sanglang tidak menjadi zon pentempuran. Oleh itu, infrastruktur seperti balai Polis, tangki bekalan air dan kedai-kedai serta rumah awam tidak terjejas. Hanya beberapa orang Jepun menduduki balai polis Kuala Sanglang. Mereka tidak melakukan honar apa-apa kecuali bermandi bogel di tangki takungan air. Perbuatan ini amat mengejutkan kepada masyarakat kampung.[perlu rujukan]

Kesusahan zaman Jepun di Kuala Sanglang ialah kekurangan kain hinggakan semua langsir di rumah penghulu Said habis digunakan untuk membuat pakaian. Untuk kafan mayat orang yang meninggal dunia, tikar mengkuang digunakan. Untuk menyalakan api, gobek api digunakan. Dari segi makanan, tidaklah begitu kritikal kerana nelayan masih lagi pergi menangkap ikan dan lembu kerbau masih diternak. Tanaman padi menurun dan kawasan tanah rang/terbiar meningkat. Majlis kenduri kahwin masih dijalankan cuma nasi diganti dengan ubi kayu.[perlu rujukan]

Di akhir Perang Dunia Kedua, penjajah Jepun diganti dengan Siam. Semasa ini, banyaklah rambung Siam membuat pertunjukan. Ada suatu ketika seorang anak dara Melayu sudah main gilakan pemuda rambung dan dibawa lari. Seluruh kampung bersepadu mengejar rombongan rambung dan merebut kembali anak dara tersebut.[perlu rujukan]

Selepas Jepun dan Merdeka[sunting | sunting sumber]

Dengan berakhirnya Perang Dunia II, Siam dan Jepun pun mengangkat kaki meninggal Kuala Sanglang. Semasa itu, orang kampung berasa takut kerana gerombolan "China Komunis" khabarnya menambil alih.[perlu rujukan] Itu pun tidak lama kerana Malaya merdeka pada tahun 1957.

Semasa itu, ekonomi berkembang semula. Panggung wayang dan bangsawan menjadi hiburan penduduk kampung. Penyayi seperti Kamariah Noor dan pelawak seperti Mohd Zain (Labi) turut berlakon dalam cerita bangsawan yang dipersembahkan di Kuala Sanglang.[perlu rujukan]

"Hero" kampung yang berani bergaduh dan mahu mencari gaduh mula muncul. Nama seperti Mat Jepun, Mat Ahia, dan Salleh Jin menjadi buah mulut masyarakat. Sementara penyeludupan candu juga berlaku diketuai seorang pemuda Cina yang bernama Sing Kok. Dia akhirnya tertangkap kerana polis mempunyai seorang pemberi maklumat yang juga bekas anak polis pencen di Kuala Sanglang. Orang suruhannya Brahim dapat menyelamatkan diri.[perlu rujukan]

Usahawan bumiputera selepas Jepun[sunting | sunting sumber]

Kebanyakan penduduk Kuala Sanglang di zaman sebelum merdeka kembali mengusahakan pertanian menanam padi dan menangkap ikan di laut dengan menggunakan perahu layar kecil. Ada juga mencari siput seperti kerang, lala dan mentarang di tepi pantai. Semasa sebelum Jepun, peniaga seperti Ali bin Cha terlibat dalam perniagaan kedai runcit dan pembelian padi tetapi kehabisan modal disebabkan kegawatan ekonomi semasa penjajahan Jepun dan umurnya yang sudah makin tua menyebabkan perniagaan tidak dapat dibangun semula. Tetapi, generasi baharu semasa seperti Ebu dan Mahmud Debok memulakan perniagaan ikan sebagai perais[Penjelasan diperlukan]. Beliau berdua membawa ikan menggunakan dua biji bakul yang dikandar ke kampung-kampung di daerah pedalaman jauh dari pantai untuk dijual. Om atau Baharum Gedot dan isterinya mengusahakan industri belacan daripada udang sirin sementara Kasa dan Idrus katik ialah tukang batu dan tukang membuat rumah kayu.[perlu rujukan]

Orang perempuan seperti Fatimah Ali dan emak mentuanya, Siti Hajar pula mengusahakan nasi lemak, kuih lompang dan laksa untuk dijual di sekolah dan juga di kedai-kedai makan di pekan dan di pinggir Sungai Kuala Sanglang. Siti Fatimah binti Ali juga seorang tukang jahit yang handal di Kuala Sangalang. Dia boleh membuat baju fesyen baharu dengan sekali tengok sahaja pemakai dalam filem atau di atas bas.[perlu rujukan]

Mah Ebu pula mempunyai lesung kaki yang mana penduduk boleh menumpang menumbuk tepung untuk membuat kuih dan sebagainya. Semasa itu, batu kisar dan pengiling batu juga peralatan untuk mengisar tepung atau menggiling rempah. Ada wanita mengambil upah menggiling rempah atau mengisar tepung dengan upahan. Begitulah daya kreatif dan kegiatan ekonomi di tahun lima puluhan dan awal enam puluhan.[perlu rujukan]

Dua orang Melayu yang mula berniaga kedai makan semasa itu ialah Idris Kontong dan Pak Tuan Syed. Mereka masing-masing mempunyai sebuah kedai. Hiburan utama di kedai makan ketika itu ialah permainan dam. Itulah hobi pengujung bermesra dan berkawan sambil makan minum di kedai.[perlu rujukan]

Sementara kedai runcit Melayu di Kampung Tok mengkula diusahakan oleh Man Gasi.[perlu rujukan]

Masyarakat Bukan Bumiputra[sunting | sunting sumber]

Bagi masyarakat Cina selain mengusahakan kedai kopi dan kedai runcit, mereka turut juga menjadi pemborong ikan, pengilang padi, membuat ikan kering dan terlibat dalam industri hiburan seperti panggung wayang atau bangsawan sehinggalah kemasukan televisyen yang menjejas industri hiburan. Kedai gunting rambut diusahakan oleh seorang India bernama Ramu dan seorang China bernama A Sang.[perlu rujukan]

Perkembangan industri Kuala Sanglang[sunting | sunting sumber]

Sejak 1900, aktiviti utama penduduk Kuala Sanglang ialah menangkap ikan untuk dijual dan juga dibuat kering. Dengan pembangunan jalan raya di sekitar 1960-an, jualan ikan segar lebih pesat dan aktiviti membuat ikan kering dan belacan agak merosot. Pada tahun 80-an aktiviti baru ialah memelihara udang dalam kolam di tepi laut. Aktiviti ini berkembang pesat sehingga kawasan kolam udang, siakap dan keli meliputi kawasan yang lebih luas daripada kawasan pendudukan Kuala Sanglang. Industri ikan keli dan ikan tilapia dipelopori oleh cucu Penghulu Said, Che Gu Zulkifli Murad. Beliau dengan kerjasama En. Abd Halim Abd Ghani pemilik Syarikat Saujana Agriculture dan Soil Consultancy kini meyediakan kursus untuk bakal penternak ikan. Aktiviti industri asas tani yang terbaharu ialah membuat kopi pracampur. Jenama keluaran Kuala Sanglang yang terkenal ialah D'JERLUN.[perlu rujukan]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Kuala Sanglang". Sejarah Malaysia (dalam bahasa (Inggeris)). Perpustakaann Negara Malaysia.  Parameter |accessdaymonth= tidak diketahui diabaikan (bantuan); Parameter |accessyear= tidak diketahui diabaikan (|access-date= dicadangkan) (bantuan)
  2. ^ Diriwayatkan oleh Fatimah binti Ali isteri Abdul Ghani kepada En Abdul Halim Abd Ghani bin Said. (Fatimah binti Ali ialah anak kepada Ali bin Cha dan Meriam Saad. Saad pada masa kanak-kanaknya menjadi bantai kaki (rakan) anak raja Kedah sementara Mariam adalah sebaya dan rakan kanak-kanak dengan Tunku Abdul Rahman di Alor Star. Saad telah dikurniakan tanah di Mukim Tok Mengkula Sanglang. Fatimah telah berkahwin dengan anak Penghulu Said, Abdul Ghani (1924-1992) semasa masing masing berusia 20 dan 13 tahun. Banyak kisah sejarah diriwayatkan kepada Fatimah yang kemudiannya meriwayatkannya pula kepada Abdul Halim Abdu Ghani pesara Pen. Pengarah Bahagian Hortikultur Putrajaya.)