Kangar
Kangar
Kangaq | |
|---|---|
Bandar dan ibu negeri | |
| Bandar Kangar | |
| Transkripsi lain | |
| • Tulisan Jawi | كاڠر |
| • Cina | 加央 Jiā yāng (Transliterasi) |
| • Tamil | கங்கார் Kaṅkār (Transliterasi) |
| • Thai | กางาร์ Kanga (RTGS) |
Dari atas, kiri ke kanan: Pekan Kangar, Masjid Alwi, Taman Merdeka, bangunan Dewan Undangan Negeri Perlis, Hospital Pakar KPJ Perlis dan Menara PKENPS @ K-PARC | |
![]() | |
| Koordinat: 6°26′U 100°12′T / 6.433°U 100.200°T | |
| Negara | |
| Negeri | |
| Penubuhan | 1653 (sebagai Kota Sena) |
| Penubuhan dewan perbandaran | 1956 |
| Status perbandaran | 1 Januari 1980 |
| Kerajaan | |
| • Type | Pihak berkuasa tempatan |
| • Body | Majlis Perbandaran Kangar |
| • Presiden | Norazlan bin Yahaya |
| Keluasan | |
• Jumlah | 29.84 km2 (11.52 batu persegi) |
| Penduduk (2005)[1] | |
• Jumlah | 48,898 |
| • Kepadatan | 1,600/km2 (4,200/batu persegi) |
| Zon waktu | UTC+8 (MST) |
Kangar (sebutan dalam loghat tempatan: Kangaq; Jawi: كاڠر) merupakan ibu negeri dan bandar terbesar di negeri Perlis, Malaysia.[2] Pada tahun 2005, Kangar mempunyai jumlah penduduk seramai 48,898 orang dengan keluasan meliputi 29.84 kilometer persegi. Kangar adalah bandar utama paling utara di Semenanjung Malaysia, terletak di antara Alor Setar dan Padang Besar berhampiran dengan sempadan negara Thailand. Bandar ini juga dibangunkan di sepanjang Sungai Perlis.
Kangar ditadbir majlis perbandaran yang turut meliputi kawasan bandar dan pekan kecil sekitarnya termasuklah Arau dan Kaki Bukit. Kawasan bandar Kangar juga menjangkau lima mukim, iaitu Kechor, Wang Bintong, Seriab, Utan Aji dan Sena yang menempatkan pusatnya. Kangar merupakan ibu negeri yang terkecil di Malaysia, dengan sebahagian besar penduduknya terdiri daripada para petani dan penjawat awam.[2]
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Kangar dipercayai telah berusia hampir 350 tahun, iaitu mula dibuka pada tahun 1653 apabila Sultan Kedah, Sultan Muhyiddin Mansur Shah telah membangunkan dan menjadikan Kota Sena sebagai pusat pemerintahan baginda. Kota itu kemudiannya menjadi asas kepada pembangunan Kangar pada hari ini.[2] Namun, terdapat juga pendapat lain yang menyatakan bahawa Kangar telah wujud lebih awal dari Kota Sena mula dibina. Kangar dipercayai telah dibuka oleh seorang penghulu bernama Tok Paduka bersama pengikutnya dan menamakan penempatan itu sebagai "Pekan Atap".[3]
Terdapat juga beberapa pendapat mengenai asal-usul nama Kangar. Pendapat pertama menyatakan bahawa nama "Kangar" berasal daripada nama sebatang pokok yang menjadi teduhan kepada para pedagang yang melawat bandar itu pada zaman dahulu sehingga memanggilnya sebagai "Pelabuhan Pohon Kangar".[2] Pendapat lain pula mengaitkan asal nama Kangar dengan sebuah kisah, iaitu ketika Tok Paduka bersama pengikutnya bermesyuarat untuk menamakan pekan yang dibuka mereka itu. Sewaktu bermesyuarat, mereka telah mendengar bunyi "kangok" yang dilaungkan burung bernama lang kangok. Tok Paduka kemudiannya mencadangkan nama "Kangok" kepada pekan itu dan dipersetujui oleh semua penduduk. Nama "Kangok" kemudiannya beransur-ansur berubah kepada "Kangar" terutamanya selepas kedatangan British.[3]
Pembangunan
[sunting | sunting sumber]
Kangar berubah wajah dari setahun ke setahun dengan pembangunan yang pesat dan terbinanya bangunan-bangunan baru menggantikan bangunan-bangunan lama. Di samping pembangunan yang pesat ini, bangunan-bangunan lama dan bersejarah turut dipelihara sebagai mercu tanda Bandar Kangar. Bangunan lama yang menjadi mercu tanda Bandar Kangar ialah Bangunan Jam Besar yang kini menjadi Bangunan Pejabat Menteri Besar. Selain itu, bangunan-bangunan lain seperti Balai Polis Trafik Kangar, Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, Masjid Alwi, Sekolah Menengah Agama Perempuan Kangar deretan kedai di sepanjang Persiaran Jubli Emas dan Hokkien.
Bangunan-bangunan ini berdiri dengan megahnya di tengah-tengah Bandar Kangar yang dikelilingi oleh bangunan-bangunan baru yang dibina seperti Kayangan Square, Medan Kangar, dan Medan Kangar Ria. Sebelum Medan Kangar dibina, tapak tersebut merupakan tapak Sekolah Menengah (Cina) Kangar, berek polis, dan stesen bas. Pejabat Majlis Perbandaran Kangar juga terletak di tengah-tengah Bandar Kangar.
Nama-nama jalan yang terdapat di Kangar juga diberi sempena peristiwa bersejarah seperti Jalan Penjara, Jalan Barrack, Jalan Home-Guard, dan Jalan Kelab Indera Kayangan. Walaupun penjara yang terdapat telah pun dipindahkan, tetapi nama tersebut masih dikekalkan.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "Banci Malaysia 2020:Mukim/Bandar/Pekan" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-253-706-9. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2024-04-19. Dicapai pada 2023-04-10.
- ^ a b c d "Info Kangar". Majlis Perbandaran Kangar (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2020-12-23.
- ^ a b Mat, Shukor. "350 Tahun Wujudnya Bandar Kangar Bersempena Tahun Melawat Perlis 2003-2005". Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis. Dicapai pada 2026-04-11.
