Mukim Tanjong Maya
Mukim Tanjong Maya
مقيم تنجوڠ ماي | |
|---|---|
Mukim Tanjong Maya diwarnai dengan hijau | |
| Negara | |
| Daerah | Tutong |
| Kerajaan | |
| • Penghulu | Awang Mohammad Azaman Shah bin Haji Sahari[1] |
| Keluasan | |
• Jumlah | 68.46 km2 (26.43 batu persegi) |
| Penduduk (2021)[2] | |
• Jumlah | 3,772 |
| • Kepadatan | 55/km2 (140/batu persegi) |
| Zon waktu | UTC+8 (BNT) |
| Poskod | TDxx41[3] |
Mukim Tanjong Maya ialah sebuah mukim di Daerah Tutong, Brunei. Mukim ini mempunyai penduduk seramai 3,772 orang pada tahun 2021.[2] Penghulu semasa ialah Awang Mohammad Azaman Shah bin Haji Sahari.[1]
Etimologi
[sunting | sunting sumber]Kampung ini pada asalnya dikenali sebagai Pengkalan Ipa dan namanya ditukar kepada Tanjong Maya selepas pembinaan sebuah parit di kampung tersebut. Pembinaan parit itu dilakukan atas cadangan Bendahari Talip Ali, yang merupakan ketua kampung pada masa itu, untuk dijadikan jalan pintas di dalam kampung; hal ini kerana sungai sedia ada yang menjadi laluan utama penduduk kampung terlalu panjang dan berliku-liku. Setelah cadangan itu dipersetujui oleh penduduk kampung, mereka bersepakat untuk membina parit tersebut secara gotong-royong. Akhirnya, mereka berjaya membina parit sepanjang kira-kira lima rantai dan selebar kira-kira 6 kaki (1.8 m) yang membentuk sebatang anak sungai.[4]
Dengan adanya parit tersebut, penduduk kampung dapat memendekkan masa perjalanan tanpa perlu menggunakan laluan sungai yang sedia ada. Dalam usaha membina parit itu, penduduk kampung turut mengajak masyarakat Dusun Brunei yang tinggal berdekatan untuk turut serta, namun mereka menolak. Penolakan itu dinyatakan oleh Kaum Dusun dengan ungkapan 'inde ku maya' yang bermaksud 'inda ku ikut' (saya tidak ikut). Daripada ungkapan itulah terhasilnya nama kampung tersebut, yang pada mulanya dinamakan Kampong Inde Ku Maya. Memandangkan nama Kampung 'Inde Ku Maya' kurang sedap didengar, Talip Ali mencadangkan agar nama itu ditukar kepada Kampong Tanjong Maya.[4]
Geografi
[sunting | sunting sumber]Mukim ini dinamakan sempena Kampong Tanjong Maya, salah satu daripada kampung yang terkandung di dalamnya. Mukim ini terletak di bahagian tengah utara Daerah Tutong, bersempadan dengan Mukim Pekan Tutong di utara, Mukim Kiudang di timur, Mukim Lamunin di tenggara, Mukim Ukong di barat daya dan Mukim Telisai di barat.[perlu rujukan] Mukim Tanjong Maya terletak kira-kira 12 kilometer (7.5 bt) dari Pekan Tutong. Kampung ini bersempadan dengan Kampong Lubok Pulau, Kampong Penapar dan Bukit Udal.[4]
Pentadbiran
[sunting | sunting sumber]Mukim Tanjong Maya merangkumi Kampung-kampung berikut:
| Penempatan[2] | Penduduk (2021)[2] | Ketua kampung (2024)[1][5] |
|---|---|---|
| Kampung Tanjong Maya | 530 | Nur Azmil bin Haji Ismail |
| Kampung Lubok Pulau | 484 | |
| Kampung Bukit Sibut | 200 | N/a |
| Kampung Liulon | 150 | |
| Kampung Tanjong Panjang | 253 | |
| Kampung Bangunggos | 376 | |
| Kampung Sebakit | 164 | |
| Kampung Pemadang | 30 | |
| Kampung Padang | 0 | |
| Kampung Penapar | 395 | Haji Masri bin Haji Abdullah |
| Kampung Bukit Udal | 1,190 | |
| Jumlah | 3,772 |
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Menurut Penghulu Mukim Tanjong Maya, Awang Haji Abdul Wahab bin Apong, sejarah awal kampung ini bermula kira-kira 300 tahun yang lalu apabila beberapa keluarga daripada kaum Tutong yang menetap di Kampong Lurah Saban, yang terletak di sepanjang Sungai Tutong, berpindah ke kampung ini untuk meneroka atau mencari kawasan baharu bagi penanaman padi. Penghijrahan ini diketuai oleh Bendahari Talip bin Bendahara Tengah, susulan insiden seekor harimau melarikan seorang pengantin perempuan yang merupakan isteri kepada anak lelaki Bendahari Talip sendiri. Peristiwa tersebut mendorong keluarga Bendahari Talip Ali untuk berpindah dari kampung asal mereka ke kawasan lembangan Sungai Tutong. Selain itu, mereka juga berhasrat untuk meneroka kawasan baharu bagi tujuan pertanian, seperti menanam padi, serta memburu haiwan. Perpindahan mereka ke sana telah membuka lembaran baharu dalam kehidupan kaum Tutong, yang sebelum itu lebih tertumpu di kawasan perkampungan sepanjang Sungai Tutong. Keluarga Bendahari Talip Ali dipercayai sebagai generasi terawal kaum Tutong yang meneroka kawasan pedalaman Sungai Tutong dan seterusnya menetap di sana.[4]
Sebelum tiba di Kampong Tanjong Maya, mereka terlebih dahulu menetap di dua lokasi di sepanjang sungai menuju ke kampung tersebut, iaitu di kawasan bernama Ngorbuat (Sungai Panjang) dan kemudian berpindah pula ke tempat yang dipanggil Nyumbung (Tanjong Panjang). Didorong oleh keinginan untuk mencari kawasan kediaman yang lebih sesuai, mereka berpindah ke kawasan bernama Pengkalan Ipa, sebuah lokasi yang strategik untuk memantau pergerakan haiwan serta musuh, sementara sebahagian keluarga lain terus menetap di dua lokasi sebelumnya. Perpindahan keluarga Talip Ali ke Pengkalan Ipa telah berjaya mewujudkan kehidupan yang harmoni bersama kaum Dusun yang tinggal di kawasan berhampiran seperti Bukit Penulud, Bukit Nibong, dan Meranti. Talip Ali sendiri berkahwin dengan seorang wanita daripada kaum Dusun bernama Yuntus (Afsah). Apabila mendapati kawasan tersebut sesuai untuk didiami, mereka terus menetap di situ sehingga tempat itu akhirnya dikenali sebagai Kampong Tanjong Maya. Pada peringkat awal, mereka membina rumah berbentuk rumah panjang dan diperuntukkan ruang kediaman yang berasingan bagi ahli keluarga lelaki dan perempuan. Amalan tinggal bersama di dalam rumah panjang merupakan cara hidup masyarakat Tutong sejak zaman mereka menetap di Lurah Saban. Bentuk rumah sebegini juga dianggap lebih selamat bagi mengelakkan ancaman ayau (pemburuan kepala) yang sering berlaku pada masa itu.[4]
Ekonomi
[sunting | sunting sumber]Produk Minyak kepala merupakan antara produk terkenal di mukim ini.[4]
Infrastruktur
[sunting | sunting sumber]Seperti mukim-mukim lain di negara ini, mukim ini tidak ketinggalan menerima kemudahan yang disediakan oleh kerajaan seperti elektrik, bekalan air, telefon, masjid dan sekolah.[4]
Mukim kembar
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- 1 2 3 BUKU DIREKTORI TELEFON PENGHULU-PENGHULU MUKIM DAN KETUA-KETUA KAMPUNG NEGARA BRUNEI DARUSSALAM (PDF). Jil. 4. Brunei: Bahagian Perancangan Daerah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. April 2024. m/s. 26.
- 1 2 3 4 "Laporan Banci Penduduk dan Perumahan 2021" (PDF). DEPS.MoFE.gov.bn. Jabatan Perangkaan, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi. October 2021. Dicapai pada 23 January 2024.
- ↑ "Buku Panduan Poskod Negara Brunei Darussalam [Edisi Kedua]" (PDF). post.gov.bn. m/s. 37. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2018-10-16. Dicapai pada 23 Oktober 2018.
- 1 2 3 4 5 6 7 KOMPILASI RENCANA KNK 2015 (PDF). Kenali Negera Kitani. 2015. m/s. 193–198.
- ↑ "SENARAI NOMBOR NAMA, TELEMAT KAMPUNG, PEMANGKU PENGHULU DAN KETUA KAMPUNG, DAERAH TUTONG TAHUN 2024" (PDF). Jabatan Daerah Tutong. 2024. Dicapai pada 2024-08-20.