Pilihan raya kecil Batu Sapi 2010

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pilihan raya kecil Batu Sapi 2010 merupakan pilihan raya kecil ke-13 yang diadakan di Malaysia selepas pilihan raya umum ke-12 berikutan kematian Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Edmund Chong Ket Wah yang terbunuh apabila motosikal berkuasa besar yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Tanjung Aru - Sembulan, Sabah. Tarikh pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, di Sabah ditetapkan pada 4 November 2010, manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 26 Oktober 2010.

Pilihan raya kecil ini diadakan serentak dengan pilihan raya kecil Galas.


Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Profil Parlimen Batu Sapi[sunting | sunting sumber]

Batu Sapi merupakan sebuah kawasan dalam daerah Sandakan, Sabah.

Pengundi[sunting | sunting sumber]

Kerusi parlimen Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi yang terdiri daripada 24,047 biasa dan 1,535 pengundi pos - dengan 15,099 atau 59.02 peratus pengundi Bumiputera Islam, 689 Bumiputera Bukan Islam (2.69 peratus), 9,737 Cina (38.06 peratus), dan 57 lain-lain kaum (0.22 peratus).

Pilihan raya kecil ini akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama dan Suku Tahun Kedua 2010 yang telah dikemaskini sehingga 9 Oktober 2010.

Sejarah Pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Tahun Ahli Parlimen Parti Lawan Parti Lawan Majoriti
2004 Edmund Chong Ket Wah Barisan Nasional BN - PBS Menang Tanpa Bertanding
2008 Edmund Chong Ket Wah Barisan Nasional BN - PBS Chong Kwong Wing BEBAS 3708

Calon bertanding[sunting | sunting sumber]

Nama calon Parti
Linda Tsen Thau Lin BN-PBS
Ansari Abdullah PKR
Yong Teck Lee SAPP SAPP

Calon Barisan Nasional[sunting | sunting sumber]

BN akan meletakkan Datin Linda Tsen Thau Lin, sebagai calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi. Beliau merupakan balu kepada Edmund Chong Ket Wah.

Calon Pakatan Rakyat[sunting | sunting sumber]

Pakatan Rakyat telah bersepakat meletakkan calon Bumiputera Islam mereka dari Parti Keadilan Rakyat. Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Ansari Abdullah dipilih sebagai calon parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi. Pengumuman pemilihan Ansari sebagai calon pilihan raya kecil itu dibuat oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Hakka, Sandakan.

Calon lain[sunting | sunting sumber]

Pada 23 Oktober 2010, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee menyatakan minatnya mahu bertanding di pilihanraya kecil ini dan tidak akan memberi laluan kepada PKR untuk menyaksikan parti pembangkang bertarung Barisan Nasional secara satu lawan satu.

Suasana pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Pra pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Pakatan Rakyat berunding dengan Parti Maju Sabah untuk agar memberi laluan kepada meletakkan calon dari PKR sahaja namun rundingan tersebut gagal. SAPP berkeras mahu meletakkan calonnya.

Pada 19 Oktober 2010, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi.

Hari penamaan calon[sunting | sunting sumber]

Calon PKR, Ansari mendahului calon-calon lain apabila tiba di Dewan Komuniti Sandakan pada pukul 9.02 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan, diikuti oleh Yong Teck Lee pada 9.05 pagi dan selepas itu calon BN, Linda Tsen Thau Lin pada pukul 9.06 pagi. Senarai calon pilihan raya kecil pada 4 Nov itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohamad Hamsan Awang Supain, yang juga Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan, di pusat penamaan calon Dewan Komuniti Sandakan.

Antara pemimpin parti komponen BN yang hadir ialah Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai penyokong BN bersama-sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman. Selain itu pemimpin lain adalah Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk M. Kayveas dan wakil-wakil parti komponen.

Sementara itu, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mengiringi Ansari manakala Yong, yang merupakan calon SAPP, mengetuai sebilangan kecil penyokong ke pusat penamaan calon itu.

Kempen pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluluskan permintaan kerajaan negeri untuk membina sebuah lagi sekolah menengah di Batu Sapi yang akan memakan belanja sebanyak RM30 juta hingga RM40 juta. Selain itu beliau juga mengumumkan peruntukan kerajaan berjumlah RM5 juta untuk membina sebuah masjid baru di kawasan Batu Sapi.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan tujuh misi perjuangannya jika calonnya dipilih sebagai wakil rakyat kawasan Parlimen Batu Sapi. Tujuh misi berkenaan termasuk menyampaikan suara dan keluhan rakyat kawasan Batu Sapi ke Parlimen tanpa mengira agama, bangsa, kaum dan kedudukan. Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ansari Abdullah telah dua kali terjatuh ke dalam laut – iaitu ketika berkempen bersama empat jentera pilihan raya PKR di Kampung Gas pada 29 Oktober 2010, dua hari selepas terjatuh ke dalam laut di Kampung Api-Api, Pulau Timbang.

Wanita UMNO telah dikatakan telah memberi rasuah sebanyak RM20 kepada para pengundi di Batu Sapi. Portal Berita Malaysiakini telah melaporkan bahawa Wanita UMNO dikesan menyerahkan wang RM20 kepada mereka yang sanggup memberikan butiran peribadi dan juga mendedahkan parti mana yang disokong mereka.

Pada 29 Oktober 2010, Timbalan Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) Batu Sapi, Amir Bak dan 200 anggota bahagian itu hari ini mengumumkan keluar PKR dan menyertai UMNO. Turut menyertai Amir ialah naib ketua PKR Batu Sapi, Abdullah Madu dan tujuh lagi anggota jawatankuasa bahagian berkenaan. Selain itu, 50 anggota Parti Maju Sabah (SAPP) dari lima cawangan di Batu Sapi turut mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO. Bekas calon bebas pada pilihan raya umum 2008, Dr. Francis Chong pula mengumumkan menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS), salah sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN).

Calon SAPP, memainkan isu Sabah Untuk Orang Sabah dan perlunya autonomi yang lebih kepada rakyat Sabah, berdasarkan kepada Perjanjian 20 Perkara Sabah.

Hari pengundian[sunting | sunting sumber]

Keputusan pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Dewan Rakyat Malaysia: Pilihan raya kecil Batu Sapi 2010
Parti Calon Undian % ±%
PKR Ansari Abdullah 3414 22% -
BN Linda Tsen Tau Lin 9773 64% -
SAPP SAPP Yong Teck Lee 2031 13% -
undi rosak -
Majoriti 6359 -
Peratusan mengundi 61.47% -

Keputusan: Barisan Nasional menang.

Rujukan[sunting | sunting sumber]