Pilihan raya kecil Hulu Selangor 2010

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pilihan raya kecil Hulu Selangor 2010 ialah pilihan raya kecil Malaysia yang diadakan berikutan kematian penyandang kerusi P-94 Parlimen Hulu Selangor, YB Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac 2010. Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menyatakan pilihan raya diadakan pada 25 April 2010 dan penamaan calon pada 17 April 2010. Calon hanya dibenarkan berkempen dalam tempoh itu sahaja, iaitu selama 9 hari.

Di dalam pilihan raya kecil ini, calon Barisan Nasional yang diwakili oleh Kongres India Malaysia (MIC), P. Kamalanathan telah menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti undi sebanyak 1,725 undi.[1]

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Pada 25 Mac 2010, ahli parlimen Hulu Selangor Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia akibat barah otak. Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau memang mengetahui bahawa Datuk Dr. Zainal memang tenat dan pernah menjalani tiga pembedahan sebelum ini.[2] Berikutan daripada itu, pada 27 Mac 2010, Pakatan Rakyat memulakan kempennya untuk mempertahankan kerusi parlimen Hulu Selangor dengan perhimpunan kira-kira 5,000 penyokongnya di Stadium Mini Kuala Kubu Bharu di dalam sebuah majlis yang dinamakan "Kempen Selamatkan Malaysia".

Sebelum itu lagi, komponen Barisan Nasional (BN) iaitu Kongres India Malaysia (MIC) pula telah mencadangkan G. Palanivel sebagai calon BN untuk pilihan raya kecil ini.[3] Pada 29 Mac 2010, Parti Hak Asasi Manusia (HRP) yang diwakili oleh setiausaha agung penaja parti berkenaan, P. Uthayakumar, telah mengesahkan tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut.[4]

Sebanyak 34,020 atau 52.7 % pengundi adalah Melayu; 16,964 atau 26.3 % Cina; 12,453 atau 19.3 % India dan 1,063 atau 1,7 % kaum lain.

Maklumat SPR[sunting | sunting sumber]

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar menyatakan tempoh rasmi kempen hanya selepas penamaan calon pada 17 April 2010. SPR tidak boleh bertindak ke atas mereka yang memasang bendera dan sepanduk, berkumpul dan berarak untuk tujuan berkempen sebelum 17 April. PBT dan polis ditugaskan untuk melakukan pemantauan.

Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen sehingga tamat hari mengundi. SPR menubuhkan enam Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya mengikut Seksyen 27B Akta tersebut sebaik sahaja menguatkuasakan Akta Pilihan Raya supaya pihak terbabit mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.[5]

Keputusan pilihan raya diumumkan pada jam 11.00 malam kerana kesemua 136 peti undi tiba di pusat pengiraan jam 9 malam. Undi pos untuk pasukan tentera dan polis di di ibu pejabat polis daerah dan kem tentera di Kuala Kubu Bahru pada hari Jumaat 23 April 2010.[6]

Terdapat 137 peti undi termasuk peti undi dari Bukit Fraser. Jumlah pusat pengundi ialah 48 buah, semuanya sekolah menengah dan sekolah rendah. Pusat penjumlahan undi terletak di Dewan Serbaguna Kuala Kubu Bharu. Ia terletak bersebelahan dengan Stadium Kuala Kubu Bharu dan Masjid Ar Rahimah Kuala Kubu Bharu. Pengundi seramai 64,500 yang mana 1,039 adalah pengundi pos. Seramai 34,020 atau 52.7 peratus pengundi adalah Melayu, 16,964 atau 26.3 peratus Cina, 12,453 atau 19.3 peratus India dan kira-kira 1,000 Orang Asli.

Semasa hari pengundian, cuaca panas dan tidak hujan sepanjang hari. Oleh itu peratus keluar agak tinggi iaitu 75.8 %. Namun ia tersasar dari jangkaan SPR sebanyak 80 %. Kesesakan lalulintas berlaku di beberapa tempat di jalan persekutuan dari Rawang ke Tanjung Malim dan sekitar pusat mengundi. Di sini tidak ada lebuh raya kecuali persimpangan di Bukit Beruntung.

Sejarah pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Jadual berikut merupakan rentetan pilihan raya di Hulu Selangor semenjak 1990:-

Tahun Ahli Parlimen Parti Lawan Parti Lawan Majoriti
1990 G. Palanivel BN BN-MIC Nazar Yakin Semangat 46 Semangat 46 8,982
1995 G. Palanivel BN BN-MIC Adnan Din Semangat 46 Semangat 46 21,415
Peng Kim Sing DAP DAP
1999 G. Palanivel BN BN-MIC Dr. Halili Rahmat Keadilan Keadilan 8,595
2004 G. Palanivel BN BN-MIC Ismail Kamus PAS PAS 14,483
2008 Zainal Abidin Ahmad Keadilan Keadilan G. Palanivel Barisan Nasional BN-MIC 198

Semasa pilihan raya umum Malaysia 2008 pada Mac 2008, Barisan Nasional menang kesemua tiga kerusi Dewan Undangan Negeri di Hulu Selangor, namun PKR menang kerusi Parlimen menerusi Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad. Jumlah majoriti terkumpul kemenangan calon BN di tiga DUN iaitu Hulu Bernam, Kuala Kubu Bharu dan Batang Kali ialah 6,179 undi. Sedangkan Dr Zainal menang kerusi Parlimen dengan majoriti hanya 198 undi.

Di DUN Hulu Bernam, Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor Datuk Idris Abu Bakar menewaskan calon PAS Abdul Shukor Ali dengan majoriti 3,549 undi. Idris mendapat 7,985 undi manakala Shukor 4,436 undi.Di situ ada seramai 17,549 pengundi.

Di DUN Kuala Kubu Bharu, calon MCA Wong Kun Moon menewaskan calon DAP Annamalai Ramu dengan majoriti 448 undi. Beliau mendapat 6,107 undi manakala Ramu 6,555. Pengundi di situ ialah seramai 18,212 orang.

Di DUN Batang Kali, calon UMNO Mohd Isa Abu Kasim menewaskan calon PKR Mohd Nasarudin Abdul Aziz dengan majoriti 2,179 undi. Mohd Isa mendapat 11,724 undi manakala Mohd Nasarudin 9,545 undi. Pengundi ialah seramai 27,832 orang.

Calon kerusi Parlimen BN ialah Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel. Beliau mendapat 22,979 undi manakala Dr Zainal 23,177. Pengundi untuk kerusi Parlimen ialah seramai 63,593 orang. Perbezaan undi pula bukan sedikit tetapi sampai 5,981.

Spekulasi calon Barisan Nasional[sunting | sunting sumber]

Calon Barisan Nasional

Tan Sri Samy Vellu selaku Presiden MIC awal-awal lagi telah mencadangkan Timbalan Presiden MIC, Datuk Palanivel a/l K. Govindasamy bertanding semula untuk kali ke-5. Beliau pernah menang 4 kali (1990, 1995, 1999 dan 2004) dan kalah sekali di situ (2008).[7] Beliau adalah ketua bahagian MIC Hulu Selangor, ketua MIC Selangor dan Timbalan Presiden MIC Pusat. MIC hanya mencadangkan nama beliau sahaja. Hulu Selangor ialah kuota MIC, selaras dengan permuafakatan Barisan Nasional.[8] Pertimbangan Samy Vellu ialah apa akan jadi jika Palanivel jadi Presiden MIC nanti tanpa jawatan ataupun bukan wakil rakyat.[9]

Beberapa pihak mencadangkan MIC hendaklah mengemukakan calon yang muda dan segar seperti Cikgu K. Parthiban atau Naib Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan. Tetapi ditempelak oleh Datuk Seri Samy Vellu yang menyatakan akan mengemukakan pemuda berumur 19-21 tahun. Parthiban pernah mengalahkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Ijok pada 2007.

Namun menurut para pemerhati MIC hendaklah berkorban dengan memberi peluang kepada UMNO untuk meletakkan calon di Hulu Selangor. Ini adalah realiti dan hakikat politik serta kehendak orang Hulu Selangor sendiri.[10]

Tan Sri Muhammad Haji Muhd Taib mungkin dicalonkan kerana beliau berasal dari Batang Kali, Hulu Selangor. Majoriti pengundi di situ ialah Melayu dan logik jika tidak mahu pengundian songsang berlaku. Nama Datuk Zainal Abidin Sakom bekas ADUN Batang Kali, Ketua Wanita Bahagian, Puan Rosni Sohar dan Setiusaha bahagian, Md. Nazri Ahmad Dahlan turut ditonjolkan. Kuota MIC boleh dipindahkan ke parlimen Kuala Selangor.

Namun sebarang keputusan mengenai siapa calon yang layak akan diputuskan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN.[11]

Spekulasi calon Pakatan Rakyat[sunting | sunting sumber]

Calon nasional dari Parti Keadilan Rakyat mungkin sekali Datuk Zaid Ibrahim, Datuk Seri Chua Jui Meng, Shamsul Iskandar Mohd Akin, tokoh AMK Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin atau Dr Badrulamin Bahron. Datuk Dr. Halili Rahmat sebagai anak tempatan turut dilihat sesuai.[12]

Janji pilihan raya[sunting | sunting sumber]

  1. Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjanjikan empat buah sekolah baru di Hulu Selangor sebagaimana Belanjawan Malaysia 2010. RM2 juta diperuntukkan untuk mengatasi masalah banjir di Kampung Sentosa di Batang Kali. Permohonan RM 100 ribu untuk Masjid Al-Sajdin di Kampung Sentosa diluluskan. Idris Ahmad selaku Ketua Penerangan PAS Pusat menyatakan pendirian bahawa PAS tidak menolak peruntukan itu tetapi mempersoalkan mengapa peruntukan mencurah-curah menjelang pilihan raya tanpa merujuk kepada Kementerian Kewangan Malaysia. Masjid di bawah tanggungjawab JAKIM.[13]
  2. Pada 3 April, Projek Perumahan Warga FELDA untuk Gugusan Sungai Dusun, Hulu Selangor diumumkan oleh Datuk Seri Mohd Najib bin Abdul Razak. Ia bagi keperluan dan permintaan generasi baru yang tinggal di dalam rancangan yang memerlukan rumah kediaman. 250 perumahan baru (RM32 juta di tanah seluas 14 hektar) untuk generasi kedua FELDA di Felda Soeharto turut dilancarkan. Harga seunit ialah RM42,000 bagi rumah kos rendah dan RM75,000 bagi rumah kos sederhana rendah. Kerajaan akan membiayai kos infrastruktur berjumlah RM20,000 seunit yang terdiri daripada kos sistem kumbahan, perparitan, jalan, tiang lampu, tempat rekreasi.[14]
  3. Yayasan Kelana Ehsan (YKE) dilancarkan di Felda Sungai Tengi dengan tujuan menyalurkan pelbagai bantuan dan peruntukan kepada penduduk di Selangor khususnya masyarakat FELDA.[15]
  4. Pada 3 April, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turun padang menyerahkan geran tanah kepada penduduk di Ladang SKC Bernam, Kalumpang. Seramai 108 penduduk diberikan Borang 5A Hak Milik Tanah bagi melayakkan mereka memperoleh geran tanah. Mereka adalah bekas pekerja lombong Southen Kinta Cosolidate (SKC) Bernam yang telah menetap di Ladang SKC Bernam. Borang 5A adalah borang pendudukan sementara yang diserahkan kepada pemohon ketika menunggu permohonan hakmilik kekal diluluskan.
  5. Khalid Ibrahim juga memberi Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Fasa 2 (RM109,500) kepada 73 waris warga emas (60 tahun ke atas) yang telah meninggal dunia dan berdaftar di bawah skim tersebut daripada seluruh daerah Hulu Selangor.[16] Waris yang layak akan mendapat RM 2,500.00.[17]
  6. Pada 10 April, Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar turut mengagihkan RM6.4 juta yang diperuntukkan kerajaan bagi membantu sektor pertanian, penternakan dan penanaman di daerah Hulu Selangor.
  7. Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Partanian (Mini Maha) diadakan di Hulu Selangor pada 25 April 2010.[18]
  8. 21 April, Hari Terbuka Tenaga Nasional Berhad (TNB) diadakan di Hulu Selangor. Datuk Seri Peter Chin Fah Kui selaku Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air memberi peruntukan RM450,000 bagi membaikpulih sistem paip air di Kampung Pasir Puteh, Kalumpang.[19]
  • Persimpangan bertingkat di Sungai Buaya oleh syarikat Plus (Plus Expressways Bhd).

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib bin Abdul Razak menyatakan pengumumkan pelbagai projek pengumuman adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat yang sudah lama hadapi mereka. Ia bukan bertujuan membeli undi para pengundi.Selepas pilihan raya, pembangkang mendakwa BN membelanjakan RM167 juta bagi melaksanakan pelbagai projek untuk meraih undi di Hulu Selangor.[20]

Hari penamaan calon[sunting | sunting sumber]

Pada 17 April 2010, 4 orang disahkan menghantar borang penamaan calon di Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor. Pegawai Pengurus Pilihan raya kecil itu, Nor Hisham Ahmad Dahalan mengumumkan hanya 4 calon bertanding:[21]

Nama calon (Umur) Parti Keterangan
P. Kamalanathan (41) Barisan Nasional-MIC Ketua Penerangan MIC
Datuk Mohd Zaid Ibrahim (56) PKR Ahli Majlis Tertinggi PKR
VS Chandran (56) BEBAS Bekas Timbalan Pengerusi MIC Hulu Selangor
Johan Mohd Diah (31) BEBAS AJK Pemuda UMNO Shah Alam

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar menafikan polis menghalang calon wanita, Anuradh Jeyasingam atas tiket Bebas menghantar borang pencalonan.

Penyokong Barisan Nasional ditempatkan di Pejabat UMNO Hulu Selangor bersebelahan masjid. Manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kawasan perhentian bas KKB. Namun jalan raya sempit menghalang laluan masuk dan keluar. Jarak antara kedua-dua kumpulan penyokong ialah 200 meter.

Polis turut menerima laporan polis dari seorang lelaki 34 tahun yang dibaling dengan objek keras berhampiran masjid. Kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata. Berlaku insiden kecil seperti baling botol berisi air, kayu bendera dan batu kecil, ejek-mengejek, jerit-menjerit, rampasan kain rentang dan baju yang berunsurkan provokasi dan pembesar suara. Tidak ada tangkapan oleh polis atau Unit Simpanan Persekutuan (FRU).[22] Mereka membawa potret 'Teoh Beng Hock' dan kain rentang 'Altantuya', 'Chua Soi Lek', 'kaki botol' dan 'liwat' serta 'Umno-Apco, Umno-Apco' dan lain-lain.

Tian Chua salah laluan
Cermin kereta pecah di hadapan masjid KKB

Kekecohan dipercayai bermula apabila Tian Chua tersalah lorong memasuki 'zon larangan'. Sebuah kereta Proton Wira pecah cermin sisi kerana ditendang dan dipijak serta dibaling botol air oleh penyokong BN. Puncanya mungkin kerana ada baju berlogo 'PKR' dan melalui 'zon larangan'.

Kawad berduri khas telah mencederakan beberapa pemimpin dan penyokong di laluan masuk BN. Antara yang cedera ialah Datuk Seri Samy Vellu, Datuk Mohd Shafie Apdal dan S. Ganesan.

Laluan masuk PKR tiada kecederaan kerana dikawal oleh 50 anggota Unit Amal PAS yang membuat rantai manusia untuk mengelak tolak menolak.

Bagaimanpun, selang beberapa jam selepas menyerahkan borang, kedua-dua calon bebas menarik diri, menjadikan pilihan raya ini satu lawan satu.[23]

Kempen pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Permit kempen / ceramah dikeluarkan mula 17 April - 24 April 2010. Permit boleh dipohon dari Ibu Pejabat Polis Daaerah Kuala Kubu Baru, Balai Polis Sentosa dan Balai Polis Hulu Bernam.

Pada 17 April 2010, jam 11.15 malam, berlaku insiden baling botol berisi air ketika kempen di padang berdekatan Pekan Kerling, Kuala Kubu Baru. Insiden itu sejurus ketibaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.[24]

Keputusan pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Dewan Rakyat Malaysia: Pilihan raya kecil Hulu Selangor 2010
Parti Calon Undian % ±%
Barisan Nasional BN-MIC P. Kamalanathan 24,997 -
PKR PR-PKR Mohd Zaid Ibrahim 23,272 -
undi rosak 731 -
Majoriti 1,725 -
Peratusan mengundi 48,935 75.87 -

Analisis selepas pilihan raya[sunting | sunting sumber]

  1. Bilangan pengundi Pakatan Rakyat tidak merosot sebaliknya bertambah 200 berbanding 2008. Pengundi BN bertambah 2000 undi termasuk 700 undi pos mungkin kerana bilangan pengundi bertambah besar. BN - 24,997 undi. PKR - 23,272 undi. Pemindahan 13,488 pengundi di Hulu Selangor oleh Suruhanjaya Pilihan Raya mungkin mengelirukan pengundi. 60 % pengundi kawasan FELDA telah memilih calon BN.
  2. Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendapati 70 % pengundi Cina tidak menyokong BN, bukan sahaja dalam pilihan raya kecil ini malahan semasa pilihan raya umum Malaysia 2008. Sementara pengundi India dan Melayu kembali kepada BN. Datuk Ibrahim Ali selaku Presiden Perkasa menggesa kerajaan Barisan Nasional (BN) menangguhkan bantuan dan peruntukan yang dijanjikan untuk masyarakat Cina dan India. Jelas pengaruh MCA dan Gerakan ditolak masyarakat Cina. BN meletakkan sasaran majoriti 6,000 undi, tetapi hasilnya cuma 1,725 undi sahaja.[25] Tan Sri Muhyiddin Yassin menjanjikan RM3 juta untuk sekolah Cina di Rasa.[26] RM90,000 untuk tanah perkuburan Kwang Tung di Ulu Yam selain peruntukan untuk persatuan muhibah dan Hokkien.[27]
  3. Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyatakan bahawa MCA perlu anjakan paradigma bagi mendekati pengundi Cina. Jika tidak, MCA akan menjadi bakul sampah politik atau dinosaur politik. Hanya 25 % pengundi Cina menyokong BN. Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu mendapati 65 % pengundi India menyokong BN.
  4. Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel menyatakan beliau bersedia mengambil alih pucuk pimpinan MIC selepas pilihan raya kecil ini. Namun begitu ia bergantung kepada keputusan Presiden MIC.
  5. Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan kemenangan pilihan raya ini adalah kemenangan bagi Najib. Najib tergesa-gesa pulang dari Jepun pada hari Rabu dan terus berkempen selama 4 hari.[28]
  6. Tuduhan pemimpin BN bahawa Zaid Ibrahim sebagai kaki botol, lumba kuda dan sebagainya mempengaruhi pengundi Melayu.
  7. P. Kamalanathan digambarkan mencium tangan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta menyokong perjuangan kumpulan ultra-Melayu Perkasa. Beliau membawa imej 1Malaysia iaitu 'Kamal Alan Nathan'.[29]

Zaid bantah keputusan[sunting | sunting sumber]

Pada 24 Mei 2010, Datuk Zaid Ibrahim memfailkan petisyen di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam di bawah Seksyen 32(a) dan 32 (c) Akta Kesalahan pilihan Raya 1954 bagi mencabar keputusan pilihan raya ini. Barisan Nasional (BN) didakwa memberi rasuah terutama di kawasan Felda.[30] Beliau menamakan Kamalanathan, 45, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden. Peguam Datuk Zaid diwakili oleh Malik Imtiaz Sarwar. Pada 20 Julai 2010, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Lumpur telah menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh ketua PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim terhadap permohonan ahli parlimen BN yang memenangi pilihan raya kecil Hulu Selangor, P Kamalanathan untuk membatalkan petisyen plihan raya yang dikemukakannya.[31] Pada 23 Julai 2010, Mahkamah Pilihan Raya akan memutuskan pada 5 Ogos 2010 sama ada membenarkan permohonan ahli parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan bagi membatalkan petisyen yang difailkan oleh ahli majlis tertinggi PKR, Datuk Zaid Ibrahim. Akhirnya Pada 5 Ogos 2010, Mahkamah membenarkan permohonan ahli parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan bagi membatalkan petisyen Datuk Zaid.[32]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ ""Rasmi: BN berjaya rampas kerusi Hulu S'gor", Malaysiakini.com, 25 April 2010". Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-10-25. Dicapai pada 2010-04-25.
  2. ^ "Pakatan akui sukar pertahan Hulu S'gor", Malaysiakini.com. 27 Mac 2010.
  3. ^ "Sah: MIC akan calonkan Palanivel", Malaysiakini.com. 28 Mac 2010.
  4. ^ "HRP sahkan tak akan tanding di Hulu S'gor", Malaysiakini.com, 29 Mac 2010.
  5. ^ ""SPR Beri Amaran Hentikan Sebarang Kempen Di Hulu Selangor", MStar Online. 4 April 2010". Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-04-02. Dicapai pada 2021-09-03.
  6. ^ "Keputusan Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor Diketahui Pukul 11 Malam, Kata SPR", Bernama.com, 21 April 2010.
  7. ^ MIC mahu Palanivel Utusan Malaysia
  8. ^ Hulu Selangor : Inilah nama yang tertulis atas batu... Diarkibkan 2008-05-04 di Wayback Machine AgendaDaily
  9. ^ Betul ke Samy Vellu telefon Cikgu Parthiban marah-marah? AgendaDaily
  10. ^ Pilihanraya kecil Hulu Selangor…jangan sampai pisang berbuah dua kali AgendaDaily
  11. ^ Mat Taib mungkin dicalon Utusan Malaysia
  12. ^ G. Palanivel bukan denyut nadi rakyat…pengundi India Hulu Selangor mahu V. Mugilan AgendaDaily
  13. ^ Hulu Selangor : PAS bidas projek politik Timbalan Perdana Menteri HarakahDaily
  14. ^ Kerajaan Umumkan Satu Lagi Projek Perumahan FELDA Di Sg Dusun Bernama
  15. ^ Penduduk Hulu Selangor Beri Sokongan 25 April Ini Bernama
  16. ^ PRK Hulu S’ngor : Masalah tanah lebih mudah diselesaikan di era Pakatan Rakyat
  17. ^ MB Serah Hak Milikan TANAH Kepada 108 Penduduk Bernam TV Selangor
  18. ^ Noh Nafi Dakwaan Pameran Mini Maha Gimik Politik Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor Bernama
  19. ^ SUPP Yakin Akan Kekalkan Kerusi Parlimen Sibu Bernama
  20. ^ Najib nafi BN beli undi di Hulu S'gor malaysiakini
  21. ^ Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor bermula Utusan Malaysia
  22. ^ Polis Nafi Halang Wanita Jadi Calon Bebas P/Raya Hulu Selangor Bernama
  23. ^ 2 calon Bebas tarik diri, saingan BN-Pakatan The Malaysian Insider
  24. ^ Hari pertama kempen dicemari insiden baling botol malaysiakini
  25. ^ Hulu Selangor: Perkasa gesa BN tangguh bantu kaum Cina The Malaysian Insider
  26. ^ Is it worth it, Najib? — Kim Quek The Malaysian Insider
  27. ^ BN tolak gesaan Perkasa, tak wajar kaum Cina dihukum The Malaysian Insider
  28. ^ BN menang tapi hilang sokongan Cina malaysiakini
  29. ^ Jangan mengalah, Zaid The Malaysian Insider
  30. ^ "Zaid Fail Petisyen Cabar Keputusan Pilihan Raya Hulu Selangor", MStar. 24 Mei 2010.
  31. ^ "", Malaysiakini.com. 20 Julai 2010.
  32. ^ "", Malaysiakini.com. 5 Ogos 2010.

[[Kategori:Pilihan raya kecil di Selangor}P]]