Sahih Bukhari

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kulit kitab induk Sahih Bukhari

Sahih al-Bukhari (Bahasa Arab: صحيح البخاري), adalah salah satu daripada Kutub al-Sittah (enam koleksi hadith utama) Sunni Islam. Kitab Sahih Bukhari merupakan kitab (buku) koleksi Hadis yang disusun oleh Imam al-Bukhari (nama lengkap: Abu Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah al-Ja'fai) yang hidup antara 194 hingga 256 Hijrah.

Koleksi hadis yang terkandung dan tersusun dalam sahih ini dianggap oleh hampir keseluruhan penganut Muslim Ahli Sunah wal-Jamaah sebagai salah satu daripada himpunan hadis yang terbaik kerana Imam Bukhari menggunakan kriteria yang sangat ketat dalam menyeleksi hadis-hadis peringkat paling sahih. Maka tidak hairanlah jika orang Islam ahli sunah wal-jamaah mengganggap Sahih Bukhari sebagai Kitab yang kedua paling murni selepas Kitabullah. Imam Bukhari menghabiskan waktu selama 16 tahun untuk menyusun koleksi ini dan menghasilkan 2,602 hadis dalam kitabnya (9,802 dengan perulangan). Semua hadis-hadis sahih disusun mengikut 70 kategori berpautan dimana setiap satu kategori mewakili satu kitab.

Tajuk sebenar kitab[sunting | sunting sumber]

Tajuk sebenar kitab ini yang biasanya dirujuk sebagai Sahih al-Bukhari, menurut Ibn al-Salah, ialah: al-Jaami 'al-Sahih al-Musnad al-Mukhtasar min Umuri Rasooli-llahi wa sunanihi wa Ayyaamihi. Tajuk yang dipilih membawa maksud yang tersendiri. Al-Jami’ bererti kumpulan lengkap hadith Rasulullah yang merangkumi semua bidang keperluan hidup umat Islam. Al-Sahih pula beerti majoriti hadith yang terdapat di dalam karangan beliau merupakan hadith-hadith yang sahih. Al- Musnad beerti hadith-hadith karangan Imam Bukhari mempunyai sanadnya yang bersambung hingga kepada sahabat yang merawikan sesuatu hadith sama ada dalam bentuk pertuturan, perlakuan dan pengakuan. Maksud di akhir nama kitab ini adalah menunjukkkan bahawa hadith ini adalah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w di sepanjang hidupnya.[1]

Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan tajuk yang sama, menggantikan perkataan umuri dengan hadis.[2]

Sejarah Pengumpulan dan Penulisan Hadis[sunting | sunting sumber]

Imam al-Bukhari telah mengembara secara meluas di seluruh empayar Abbasiyah semenjak berumur 16 tahun. Beliau telah mengumpulkan hadis-hadis yang boleh dipercayai. Imam Bukhari berkata, "Kami bersama-sama dengan Ishaq Ibn Rahwayh (gurunya) yang berkata, 'Sekiranya engkau menyusun kitab riwayat-riwayat hanya sahih dari Rasulullah saw.' Cadangan ini kekal di dalam hati saya jadi saya mula menyusun Sahih". Imam al-Bukhari juga pernah bermimpi menghalau lalat dari Rasululah SAW. Daripada mimpi tersebut, beliau membuat kesimpulan bahawa dia akan menulis buku hadis dan mempertahankan sunnah Rasulullah SAW, sebagaimana dia mempertahankan Rasulullah SAW daripada lalat di dalam mimpi beliau. [3]

Kitab sahih al –Bukhari merupakan tapisan daripada 600, 000 hadith yang dijalankan dalam masa 16 tahun. Imam Bukhari berkata " Saya telah menghafal 100,000 hadis sahih dan 200,00 hadis yang tidak sahih dan hadis-hadis yang ditulis didalam kitab saya telah dipilih daripada 600,000 hadis". [4] Dilihat dari gaya persembahan penulisan kitab ini, ia menunjukkan suatu susunan yang mantap dan mencakupi semua topik penting dan dasar dalam Islam yang meliputi ; Aqidah, Fiqh, Akhlak , Muamalat, Sirah,. Tafsir, Manaqib dan sebagainya.

Di setiap bandar yang Bukhari lawati, beribu-ribu orang akan berkumpul di masjid utama untuk mendengar beliau membaca hadis. Berkata al-Bukhari: "aku memasuki Syam, Mesir dan Jazirah dua kali, aku memasuki Basrah empat kali, Hijaz enam tahun, dan aku tidak dapat menghitung berapa kali aku masuk dan keluar dari Baghdad dan Kufah untuk berjumpa ahli hadis[5].

Pada mulanya kitab Sahih al-Bukhari hanya ditulis tangan (tanpa cetakan) sehinggalah Maulana Ahmad Ali Saharanpuri رحمه الله تعالى juga adalah Muhadith yang pertama, bukan sahaja di India tetapi di dunia, telah berjaya menerbitkan Sahih Bukhari dalam bentuk cetakan. (Nota -  sebelum ini, semua makhtutat/manuskrip yang sedia ada dari sahih Bukhari adalah dalam bentuk tulisan tangan)[6]. Oleh itu, melalui usaha gigih beliaulah, versi cetakan Sahih Bukhari telah wujud di dunia ini bagi memudahkan penuntut ilmu hadis.Jilid pertama telah berjaya diterbitkan pada tahun 1851M dan jilid yang kedua telah berjaya diterbitkan pada tahun 1853M.

Usaha menyempurnakan cetakan Sahih al-Bukhari bukanlah kerja yang mudah, bahkan ianya melibatkan usaha pencarian salinan asal dari setiap makhtutat/manuskrip Sahih Al-Bukhari yang ada pada masa itu. Ianya memerlukan seorang yang betul-betul berkemahiran tinggi untuk melakukannya. Al-Muhadith Maulana Ahmad Ali Saharanpuri رحمه الله تعالى telah mengkaji makhtutat/manuskrip asal Sahih Al-Bukhari iaitu:

  1. Manuskrip Al-Imam Muhammad Saghani رحمه الله تعالى tokoh hadith pada abad 7 Hijrah - mendapat pengesahan secara langsung dari anak murid Imam Al-Bukhari رحمه الله تعالى iaitu Al-Imam Muhammad ibn Yusuf al-Firabri رحمه الله تعالى
  2. Manuskrip daripada gurunya iaitu Shah Muhammad Ishaq Muhadith Dehlawi رحمه الله تعالى yang merupakan koleksi simpanan warisan daripada Shah Waliyullah Dehlawi رحمه الله تعالى - salinan kepada manuskrip tokoh hadith Al-Imam Al-Hafiz Abdullah Bin Salim Al-Basri رحمه الله تعالى (abad 12 Hijrah)
  3. Manuskrip Al-Imam Sharaf Din Abu Hasan Ali Al-Yunini رحمه الله تعالى (tokoh hadis abad ke 8 Hijrah)

Selepas membuat perbandingan antara makhtutat/manuskrip lain tersebut, maka beliau telah menghasilkan makhtutat/manuskrip Sahih Al-Bukhari beliau sendiri.[6]

Bilangan Hadis Dalam Sahih Bukhari[sunting | sunting sumber]

‘Allamah Ibnu al-Solah ada menyebutkan, bahawa jumlah hadis Sahih Bukhari sebanyak 7275 buah hadis, termasuk hadis-hadis yang disebutnya berulang kali atau dihitung sebanyak 4000 buah hadis tanpa pengulangan. [7] Bagi menjelaskan mengapa berlaku pengulangan hadith pula, adalah disebabkab beberapa tujuan iaitu ; Hadith yang sama tetapi terdapat hukum yang lain di dalamnya, hukum lain perlu dimasukkan di dalam pecahan kitab dan bab yang lain, hukum yang diistinbatkan perlu diselaraskan dengan hadith walaupun diulangi dengan hadith yang sebelumnya, serta hadith yang sama, tetapi rangkaian sanad berbeza.[1]

Senarai Kitab[sunting | sunting sumber]


  1. Kitab Permulaan Wahyu
  2. Kitab Iman
  3. Kitab Ilmu
  4. Kitab Wudhu'
  5. Kitab Mandi
  6. Kitab Haid
  7. Kitab Tayammum
  8. Kitab Solat
  9. Kitab Waktu-Waktu Solat
  10. Kitab Azan[8]
  11. Kitab Solat Jumaat
  12. Kitab Haji[9]
  13. Kitab Puasa
  14. Kitab Solat Tarawih [dan I'tikaf]
  15. Kitab Jual Beli
  16. Kitab Salam (Tempah, Pemesanan)
  17. Kitab Syuf'ah (Penyewaan)
  18. Kitab Ijarah (Upah)
  19. Kitab Wakalah (Perwakilan)
  20. Kitab tentang Berladang dan Bercucuk Tanam
  21. Kitab Distribusi Air (Pengairan)
  22. Kitab Masalah Hutang peribadi
  23. Kitab Dalam Perselisihan (Pertengkaran)
  24. Kitab Luqathah (Barang Temuan)
  25. Kitab Tentang Perbuatan-Perbuatan Zalim
  26. Kitab Syirkah (Perseroan)
  27. Kitab Penggadaian
  28. Kitab Pembebasan Hamba
  29. Kitab Hibah (Hadiah) dan Keutamaannya
  30. Kitab Syahadah (Persaksian)
  31. Kitab Perdamaian
  32. Kitab Persyaratan[10]
  33. Kitab Wasiat
  34. Kitab Jihad dan Ekspedisi
  35. Kitab Permulaan Makhluk
  36. Kitab Manaqib (Biografi)[11]
  37. Kitab Berbagai Keutamaan Shahabat-Shahabat Nabi
  38. Kitab Perang[12]
  39. Kitab Tafsir[13]
  40. Kitab Nikah
  41. Kitab Thalaq
  42. Kitab Nafkah
  43. Kitab Makanan
  44. Kitab Akikah
  45. Kitab Sembelihan-Sembelihan, Berburu, dan Membacakan Bismillah atas Hewan Buruan
  46. Kitab Korban-Korban
  47. Kitab Minuman
  48. Kitab Musibah Sakit
  49. Kitab Pengubatan
  50. Kitab Mengenai Makanan[14]
  51. Kitab Adab (Budi Pekerti)
  52. Kitab Isti`dzan (Memohon Izin)
  53. Kitab Do'a-Do'a
  54. Kitab Kalimat-Kalimat yang Melunakkan Hati
  55. Kitab Ketentuan Allah
  56. Kitab Sumpah dan Nadzar
  57. Kitab Kafarat Sumpah
  58. Kitab Faraidh (Hukum Waris)
  59. Kitab Had (Pidana) dan Apa yang Harus Dihindari dari Had
  60. Kitab yang Menjelaskan Orang-Orang yang Diperangi Terdiri dari Orang-Orang Kafir dan Orang-Orang yang Harus Diperangi dari Orang-Oang Murtad Sehingga Mereka Meninggal Dunia[15]
  61. Kitab Diyat (Tebusan Kejahatan)
  62. Kitab Orang-Orang Murtad dan Orang-Orang yang Menentang Diminta Bertaubat, dan Peperangan Terhadap Mereka
  63. Kitab Pemaksaan
  64. Kitab Helah (Upaya Tersembunyi)
  65. Kitab Tafsir Mimi
  66. Kitab Fitnah-Fitnah (Ujian/Siksaan)
  67. Kitab Hukum-Hukum
  68. Kitab Harapan Jauh (Angan-Angan)
  69. Kitab Berpegang kepada Qur'an dan Sunnah
  70. Kitab Tauhid[16]

Sahih Bukhari mempunyai 70 kitab menurut terjemahan Ahmad Sunarto dkk. Sedangkan menurut terjemahan M. Muhsin Khan, 93 kitab.[17] Hal ini terjadi akibat beberapa perbezaan dalam pembahagian kitab. Misalnya Kitab Solat menurut terjemahan Ahmad Sunarto dkk[8] terhitung sebagai dua kitab dalam terjemahan M. Muhsin Khan, iaitu Book of Prayers (Salat) dan Book of Virtues of the Prayer Hall (Sutra of the Musalla).[17]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Muat turun[sunting | sunting sumber]


Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b http://sautussolihin.blogspot.my/2011/08/ulum-hadith-imam-al-bukhari.html
  2. ^ Hadyi al-Sari, pg. 10.
  3. ^ Imam Bukhari: His Life and Works. Maulana Ahmad Ali. Published by Al Ma'hadul Islami, Bradford, west Yorkshire
  4. ^ Tarikh Baghdad
  5. ^ Mukadamah Fathul Bari
  6. ^ a b Ulama-i Hind Ki Ḥadithi Khidmat Men Ayk Waqiʿ Aur Khubṣurat Iḍafah disiarkan dalam majalah bulanan Al-Furqan, Lucknow. m/s 47-53, jilid 80.
  7. ^ Muqaddimah Ibn al-Salah, pg. 160-9 Dar al-Ma’aarif edition
  8. ^ a b (Indonesia) Achmad Sunarto dkk. Tarjamah Shahih Bukhari, Jilid I. CV Asy Syifa`, Semarang. Cetakan Pertama, Desember 1991.
  9. ^ (Indonesia) -----. Tarjamah Shahih Bukhari, Jilid II. CV Asy Syifa`, Semarang. Cetakan Pertama, Maret 1993.
  10. ^ (Indonesia) -----. Tarjamah Shahih Bukhari, Jilid III. CV Asy Syifa`, Semarang. Cetakan Pertama, Februari 1992.
  11. ^ (Indonesia) -----. Tarjamah Shahih Bukhari, Jilid IV. CV Asy Syifa`, Semarang. Cetakan Pertama, Maret 1993.
  12. ^ (Indonesia) -----. Tarjamah Shahih Bukhari, Jilid V. CV Asy Syifa`, Semarang. Cetakan Pertama, Mei 1993.
  13. ^ (Indonesia) -----. Tarjamah Shahih Bukhari, Jilid VI. CV Asy Syifa`, Semarang. Cetakan Pertama, Juli 1993.
  14. ^ (Indonesia) -----. Tarjamah Shahih Bukhari, Jilid VII. CV Asy Syifa`, Semarang. Cetakan Pertama, Juli 1993.
  15. ^ (Indonesia) -----. Tarjamah Shahih Bukhari, Jilid VIII. CV Asy Syifa`, Semarang. Cetakan Pertama, Juli 1993.
  16. ^ (Indonesia) -----. Tarjamah Shahih Bukhari, Jilid IX. CV Asy Syifa`, Semarang. Cetakan Pertama, Juli 1993.
  17. ^ a b (Inggeris) M. Muhsin Khan. Translation of Sahih Bukhari.