Saudari Nivedita

Saudari Nivedita atau Sister Nivedita (28 Oktober 1867 – 13 Oktober 1911) adalah seorang pekerja sosial, penulis, pendidik, dan pengikut Swami Vivekananda yang berasal dari keturunan Scot-Irish. Nama asalnya ialah Margaret Elizabeth Noble. Beliau menghabiskan masa awal kehidupannya di Ireland. Berasal dari sebuah keluarga Kristian yang alim, Margaret Noble telah aktif dalam pelbagai aktiviti kebajikan sejak kecil. Beliau menjadi seorang guru dan kemudian membuka sebuah sekolah persendirian. Pada tahun 1895, beliau bertemu dengan Swami Vivekananda di London dan mulai mengikuti ajarannya. Pada tahun 1898, Cik Noble menerima jemputan Swami Vivekananda untuk pergi ke India. Di India, Swami Vivekananda menamakan Cik Noble sebagai 'Nivedita' (bermaksud "Yang Berbakti kepada Tuhan") dan memberinya ikrar Brahmacharya (ikrar kebujangan sepanjang hayat) pada 25 Mac 1898. Pada November 1898, Nivedita membuka sebuah sekolah perempuan di Baghbazar, Kolkata. Nivedita berhasrat untuk memberikan pendidikan kepada golongan perempuan yang ketika itu dinafikan sebarang pendidikan asas. Pada tahun 1899, Nivedita menerima sahutan Vivekananda untuk melakukan kerja-kerja bantuan bagi orang-orang miskin yang ketika itu ditimpa wabak epidemik. Nivedita menjadi salah seorang pembantu Swami Vivekananda dalam memajukan pertubuhan Ramakrishna Mission yang masih baru. Selepas kematian Swami Vivekananda, Nivedita mula bergiat cergas dalam gerakan kebebasan India. Pada 13 Oktober 1911, Saudari Nivedita meninggal dunia di Darjeeling. Memorialnya berbunyi begini, "Saudari Nivedita, yang telah menyerahkan segalanya untuk India, berada di sini."
Kehidupan Awal
[sunting | sunting sumber]Margaret Elizabeth Noble dilahirkan pada 28 Oktober 1867 di pekan Dungannon, County Tyrone, Ireland. Ibunya bernama Mary Isabel, manakala bapanya ialah Samuel Richmond Noble.[1] Margaret ialah anak sulung daripada enam beradik. Selain Margaret, hanya dua orang adiknya, May dan Richmond, yang mencapai usia dewasa.
Keluarga Noble berketurunan Scot dan telah bermastautin di Ireland selama lebih lima kurun. Bapa Margaret, seorang paderi, mengajarnya bahawa berbakti kepada manusia adalah bentuk perkhidmatan sebenar kepada Tuhan. Ketika Margaret berusia setahun, keluarganya berpindah ke Manchester, England. Di sana, Samuel menjadi pelajar teologi di Gereja Wesleyan. Pada waktu ini, Margaret tinggal bersama datuknya, Hamilton, di Ireland Utara.
Margaret kembali kepada ibu bapanya di Great Torrington, Devonshire semasa berumur empat tahun. Margaret menjadi anak kesayangan bapanya. Apabila bapanya Samuel keluar untuk melawat orang-orang miskin, Margaret akan mengikut bersama.
Bapa Margaret meninggal dunia pada tahun 1877 ketika Margaret berusia sepuluh tahun. Ibunya, Mary, membawa ketiga-tiga anaknya pulang ke rumah bapanya, Hamilton, di Ireland. Mary kemudian melanjutkan pelajaran dengan mengikuti kursus pendidikan awal kanak-kanak di London dan seterusnya menjadi seorang guru tadika. Namun, tidak lama kemudian, Mary membantu bapanya, Hamilton, menguruskan sebuah rumah rehat berdekatan Belfast.
Hamilton merupakan salah seorang pemimpin utama dalam gerakan kebebasan Ireland. Selain menerima pengaruh kealiman daripada bapanya, pengaruh datuknya turut menanamkan dalam diri Margaret semangat kebebasan serta cinta terhadap tanah air.
Margaret mendapat pendidikan di Kolej Halifax, yang dikendalikan oleh seorang ahli Gereja Congregational. Pengetua kolej tersebut mengajarnya tentang nilai pengorbanan. Di sana, Margaret mempelajari pelbagai subjek, termasuk fizik, seni, muzik, dan kesusasteraan.
Ketika berusia tujuh belas tahun, Margaret memulakan kerjayanya sebagai guru di Keswick. Pada tahun 1886, beliau berpindah ke Rugby untuk mengajar di sebuah rumah anak yatim. Setahun kemudian, Margaret menyertai sebuah sekolah di kawasan perlombongan di Wrexham, North Wales. Di situ, beliau aktif dalam kerja-kerja kebajikan serta perkhidmatan kepada golongan miskin.
Semasa di Wrexham, Margaret bertunang dengan seorang lelaki Welsh. Namun, tidak lama selepas pertunangan mereka, tunangnya meninggal dunia.
Pada 1889, Margaret berpindah ke Chester. Pada ketika ini, adik-adiknya, May dan Richmond menetap di Liverpool. Ibunya Mary juga turut menyertai mereka tidak lama kemudian. Margaret berasa gembira untuk bertemu semula dengan keluarganya. Kadang-kadang, dia juga pergi ke Liverpool untuk bertemu dengan keluarganya.
Margaret meneruskan pengajiannya dalam bidang pendidikan dan mendalami idea-idea pendidikan baharu yang diperkenalkan oleh pelopor pendidikan moden, Johann Heinrich Pestalozzi dan Friedrich Fröbel dari Jerman.[2] Kedua-dua tokoh ini menekankan kepentingan pendidikan prasekolah. Menurut mereka, pendidikan harus bermula dengan menggalakkan minat semula jadi kanak-kanak untuk bermain, bersenam, meneroka, meniru, dan membina.
Sekumpulan guru yang tertarik dengan pendekatan baharu ini mula mengikutinya di London, lalu lahirlah gerakan ‘Pendidikan Baru’. Margaret turut menjadi sebahagian daripada gerakan ini. Tidak lama kemudian, beliau juga dikenali sebagai seorang penulis dan penceramah yang popular di ‘Sunday Club’ dan ‘Liverpool Science Club’.
Pada tahun 1891, Margaret membantu seorang wanita bernama Puan de Leeuw menubuhkan sebuah sekolah di Wimbledon, London, yang mengamalkan pendekatan pengajaran uniknya. Pengalaman baharu ini memberikan kepuasan besar kepadanya.
Setahun kemudian, pada tahun 1892, Margaret membuka sekolahnya sendiri di Kingsleygate. Di sekolah ini, tidak ada sistem pendidikan formal yang tetap. Sebaliknya, pelajar belajar melalui permainan. Pada masa yang sama, Margaret juga mengasah bakatnya sebagai pengkritik seni di bawah bimbingan Ebenezer Cooke, seorang seniman dan pelopor dalam bidang pendidikan seni yang bekerja di sekolahnya.
Margaret juga terlibat dalam pelbagai kegiatan gereja kerana sifatnya yang alim. Selain itu, beliau merupakan seorang penulis terkenal pada zamannya dan sering menyumbang artikel kepada surat khabar serta jurnal. Namanya cukup dikenali dalam kalangan intelektual di London.
Selepas kematian tunangnya, Margaret semakin mendalami kehidupan rohani. Beliau mula mempelajari pelbagai kitab agama dan falsafah, mencari makna yang lebih mendalam dalam kehidupan.
Pertemuan dengan Swami Vivekananda
[sunting | sunting sumber]
Pada November 1895, Margaret bertemu dengan Swami Vivekananda, yang ketika itu melawat London.[3] Suatu petang, Swami Vivekananda menyampaikan syarahan tentang falsafah Vedanta di ruang tamu sebuah keluarga bangsawan. Lady Isabel Margesson, sahabat Margaret, telah menjemput beliau ke rumahnya.
Sebagai seseorang yang telah banyak mempelajari falsafah dan agama dari negara-negara Timur, Margaret pada awalnya tidak menganggap ajaran Swami Vivekananda sebagai sesuatu yang baharu. Namun, keperibadian Vivekananda meninggalkan kesan mendalam padanya. Tertarik dengan pemikirannya, Margaret menghadiri beberapa lagi ceramahnya. Beliau mengajukan banyak soalan, dan setiap jawapan yang diberikan oleh Vivekananda secara beransur-ansur menghilangkan keraguannya. Akhirnya, Margaret menaruh kepercayaan penuh terhadap ajaran dan bimbingan Vivekananda.
Margaret amat berminat dengan ajaran Gautama Buddha. Perbincangannya dengan Swami Vivekananda menghilangkan segala keraguannya dan membawa ketenangan dalam dirinya. Ajaran Vivekananda memberi pengaruh yang mendalam dan membawa perubahan ketara dalam kehidupannya.
Nivedita juga mengambil tugas memberikan pendidikan kepada golongan perempuan India, satu tugas yang amat penting. Swami Vivekananda percaya bahawa pendidikan wanita penting bagi pembangunan masyarakat India.
Di India
[sunting | sunting sumber]Margaret Noble menerima panggilan Vivekananda untuk berkhidmat di India. Pada 28 Januari 1898, Cik Noble tiba di Kolkata. Pada 22 Februari, Margaret menziarahi kuil Dakshineswar di mana Sri Ramakrishna menjalani kehidupan rohani. Pada mulanya, Swami Vivekananda ingin mengajar Margaret mengenai negara dan masyarakat India, dan membantunya untuk menyintai penduduk negara itu. Vivekananda menjelaskan sejarah, falsafah, dan kesusasteraan India serta kehidupan dan amalan tradisi sosial penduduknya. Beberapa hari selepas kedatangan Margaret, dua orang pengikut Amerika Vivekananda, Puan Sarah Bull dan Cik Josephine MacLeod tiba di India. Margaret dan kedua-dua wanita Amerika ini menjadi teman sepanjang hidup.
Pada 11 Mac 1898. Swami Vivekananda mengatur suatu majlis pertemuan ramai di Star Theatre. Dalam pertemuan ini, Swami Vivekananda memperkenalkan Saudari Nivedita kepada masyarakat Kolkata. Vivekananda berkata - "England telah memberi kita satu lagi hadiah dalam rupa Cik Margaret Noble." Margaret meluahkan hasratnya untuk berkhidmat kepada India dan penduduknya dalam pertemuan ini.
Pada 17 Mac 1898, Margaret bertemu dengan Sri Sarada Devi yang memanggilnya dengan penuh kasih sayang sebagai Khooki (bermaksud, "budak kecil").
Brahmacharya
[sunting | sunting sumber]Melihat semangat dan minat Margaret, Vivekananda yakin bahawa beliau mempunyai peranan penting di India. Pada 25 Mac 1898, Swami Vivekananda menganugerahkannya ikrar Brahmacharya (ikrar membujang sepanjang hayat) memberinya nama baharu, "Nivedita", yang bermaksud yang berdedikasi atau yang telah menyerahkan dirinya. Dalam upacara ini, Vivekananda juga mendedikasikan Nivedita untuk berkhidmat kepada Tuhan dan India.[4]
Lawatan ke Seluruh India
[sunting | sunting sumber]Nivedita merantau benua India bersama-sama Swami Vivekananda, Josephine Mcleod, dan Sara Bull. Dengan lawatan ini, Nivedita mengenai dan menyedari tentang masyarakat, kebudayaan, dan sejarah India purba dan semasa. Pada 11 Mei 1898, Nivedita menyertai rombongan Vivekananda ke pergunungan Himalaya bersama-sama Sara Bull, Josephine MacLeod, dan Swami Turiyananda. Dari Nainital, mereka melawat Almora.
Pada 5 Jun 1898, Nivedita menulis kepada sahabatnya, Nell Hammond, "Oh Nell, Nell, sesungguhnya India adalah tanah suci."
Pada musim panas 1898, Swami Vivekananda membawa Nivedita ke Amarnath. Nivedita merakamkan pengalaman ini dan beberapa pengalamannya bersama Vivekananda dalam buku The Master as I Saw Him.
Kematian
[sunting | sunting sumber]Nivedita meninggal dunia pada 13 Oktober 1911, pada usia 43, di Roy Villa, Darjeeling. Kini, memorialnya berada di bawah stesen keretapi yang menuju ke Victoria Falls (di Darjeeling) yang tertera dengan ayat - "Saudari Nivedita, yang telah menyerahkan segalanya untuk India, berada di sini."
Pengaruh
[sunting | sunting sumber]
Saudari Nivedita dikenali sebagai seorang wanita India yang paling berpengaruh. Bukunya, Kali, the Mother mempengaruhi Abanindranath Tagore yang melukis gambar Bharat Mata (Ibu Pertiwi India).
Pada tahun 2010, Lembaga Sekolah Menengah West Bengal di Salt Lake City, Kolkata, telah dinamakan semula sempena nama Saudari Nivedita. Sister Nivedita Academy merupakan sebuah institusi yang ditubuhkan di Chennai, Tamil Nadu. Selain itu, beberapa sekolah dan kolej lain juga telah dinamakan sempena namanya sebagai penghormatan terhadap jasa dan sumbangannya.
Pada tahun 1968, Kerajaan India mengeluarkan sebuah setem sebagai penghormatan kepada Saudari Nivedita.
Jambatan Nivedita, yang terletak berhampiran Dakshineswar, Kolkata, juga dinamakan sebagai penghargaan terhadap jasanya.
Pada tahun 2015, sebuah kolej kerajaan di Hastings House, Alipur, Kolkata, telah dinamakan sempena Saudari Nivedita.
Selain itu, Saudari Nivedita turut memainkan peranan penting dalam kerjaya saintis terkenal, Jagadish Chandra Bose. Beliau membantu Bose mendapatkan sokongan kewangan, mengedit manuskripnya, serta memberi dorongan agar beliau dapat meneruskan penyelidikannya.
Seorang lagi tokoh terkenal yang dipengaruhi oleh Saudari Nivedita ialah Subramanya Bharathi, penyair dan penulis Tamil. Selepas pertemuan dengan Saudari Nivedita, Bharati mula memperjuangkan untuk kebebasan wanita.
Buku-buku
[sunting | sunting sumber]Sumbangan Nivedita termasuklah 'The Web of Indian Life', di mana Nivedita berusaha untuk membetulkan banyak kepercayaan salah mengenai kebudayaan dan tradisi India, Kali the Mother, The Master as I Saw Him mengenai Swami Vivekananda, Notes of Some Wanderings with the Swami Vivekananda mengenai lawatannya ke Nainital, Almora dan tempat-tempat lain bersama Swami Vivekananda, The Cradle Tales of Hinduism mengenai kisah-kisah Purana, Ramayana dan Mahabharata, dan Studies from an Eastern Home, Civil Ideal and Indian Nationality, Hints on National Education in India, Glimpses of Famine and Flood in East Bengal—1906.
- Kali the Mother, Swan Sonnenschein & Co.,. 1900.
- The Web of Indian Life, W. Heinemann 1904
- Cradle Tales of Hinduism, Longmans 1907
- An Indian Study of Love and Death, Longmans, Green & Co.,
- The Master as I Saw Him, 1910
- Select essays of Sister Nivedita, 1911 Ganesh & Co.,
- Studies from an Eastern Home, Longmans, Green & Co., 1913
- Myths of the Hindus & Buddhists, London : George G. Harrap & Co., 1913
- Notes of some wanderings with the Swami Vivekananda, 1913
- Footfalls of Indian History, Longmans, Green & Co., 1915
- Religion and Dharma, Longmans, Green, and Co., 1915
Sebuah edisi beranotasi baharu The Ancient Abbey of Ajanta, yang asalnya diterbitkan secara bersiri dalam The Modern Review pada tahun 1910 dan 1911, telah diterbitkan semula pada tahun 2019 oleh Lalmati, Kolkata.
Selain itu, sebuah koleksi esei mengenai agama Buddha telah diterbitkan oleh New Age Publishers di Kolkata dengan judul Studies in Buddhism.
The Complete Works of Sister Nivedita
[sunting | sunting sumber]- Volume 1: The Master as I Saw Him; Notes of Some Wanderings; Kedar Nath and Bhadri Narayan; Kali the Mother. ISBN 978-81-8040-458-0
- Volume 2: The Web of Indian Life; An Indian Study of Love and Death; Studies from an Eastern Home; Lectures and Articles. ASIN B003XGBYHG
- Volume 3: Indian Art; Cradle Tales of Hinduism; Religion and Dharma; Aggressive Hinduism. ISBN 978-1-177-78247-0
- Volume 4: Footfalls of Indian History; Civic Ideal and Indian Nationality; Hints on National Education in India; Lambs Among Wolves. ASIN B0010HSR48
- Volume 5: On Education; On Hindu Life, Thought and Religion; On Political, Economic and Social Problems; Biographical Sketches and Reviews. ASIN B0000D5LXI