Sumolah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke navigasi Pergi ke carian
Sumolah
Sumolah.jpg
Poster promosi
PengarahAfdlin Shauki
Penulis
  • Michihiro Kubota
  • Tomoko Kubota
  • Christina Orow
  • Afdlin Shauki
Lakon layar
  • Michihiro Kubota
  • Tomoko Kubota
Dihasilkan oleh
  • Jason Lau
  • Priscilla Orow
  • Nazatul Shima
  • Zona Marie Tan
  • Afdlin Shauki
Dibintangi
SinematografiHelmi Yusof
Disunting olehFaizul Mohd Noh
Muzik oleh
  • Pacai
  • Afdlin Shauki
Syarikat
penerbitan
Tarikh tayangan
10 Mei 2007
Durasi tayangan
110 minit
NegaraMalaysia
Bahasa
BajetRM3 juta
Pecah panggungRM600,000

Sumolah (digayakan sebagai SUMOlah) merupakan filem aksi komedi sukan Malaysia 2007 arahan Afdlin Shauki, yang menampilkan seni mempertahankan diri sumo dari Jepun.[1][2][3] Afdlin menulis skrip filem ini bersama isterinya, Christina Orow dan ditulis bersama oleh Michihiro dan Tomoko Kubota. Filem ini dibintangi oleh Afdlin sendiri bersama Awie, Patrick Teoh, Radhi Khalid menampilkan barisan pelakon dari pelbagai negara termasuk Inthira Charoenpura (Thailand) yang dikenali menerusi filem Nang Nak, serta Gurmit Singh (Singapura) yang dikenali dengan watak dan sitkom Phua Chu Kang. Filem ini mengisahkan apa yang bakal terjadi apabila seorang berbangsa Melayu dipaksa menyertai persada sukan sumo yang mencabar.[4][5] Dikeluarkan pada 10 Mei 2007, filem ini mendapat sambutan di pawagam dan menerima ulasan positif daripada pengkritik filem.

Plot[sunting | sunting sumber]

Ramlee (Afdlin Shauki) ialah seorang pemuda Melayu yang sukar mengekalkan pekerjaannya, lalu menyebabkan kekecewaan ibunya (Kartina Aziz). Pada suatu hari, Ramlee yang menganggur dan kesempitan wang ini bertembung dengan cabaran yang dikeluarkan oleh seorang pemilik kedai sushi bernama Honda (Patrick Teoh) untuk “makan seberapa banyak yang mampu – dalam had masa yang ditentukan”. Dengan perut lapar dan hati terdesak, Ramlee cuba mengharungi cabaran ini, lalu gagal. Sebagai sagu hati, Honda membenarkan Ramlee bekerja di restorannya untuk melangsaikan hutangnya.

Ramlee menjadi seorang kakitangan kedai Boleh Sushi, dan bertemankan Haris (Awie) dan Andy (Radhi Khalid). Ramlee juga terus tertarik kepada anak gadis Honda yang jelita bernama, Siti (Inthira Charoenpura), yang merupakan kacukan Jepun dan Melayu. Ramlee kemudian mula mempelajari erti mendapat pekerjaan yang bagus, serta sahabat dan keluarga yang baik.

Suatu hari Ramlee menyedari bahawa sebahagian kewajipannya sebagai kakitangan Boleh Sushi adalah untuk menyertai Kejohanan Sumo Amatur Persatuan Sushi Malaysia yang dianjurkan oleh pemilik restoran sushi berbangsa Jepun di Malaysia.

Para Rishiki yang diketuai oleh Ramlee (Afdlin)

Sewaktu menyertai satu perlawanan persahabatan, Akira (Gurmit Singh), bekas teman lelaki Siti, memalukan Ramlee di khalayak umum. Setelah itu Ramlee mendapati bahawa dia telah terpedaya untuk bekerja di Boleh Sushi kerana Honda terdesak untuk mencari ahli ketiga bagi pasukan mereka.

Ramlee perlu membuat pilihan sama ada untuk terus bekerja dan berjuang untuk Boleh Sushi menjelang Kejohanan akan datang, atau berhenti kerja lalu mengecewakan sahabatnya. Dia berputus untuk menyahut cabaran itu lalu mula berlatih dengan rakan sekerjanya untuk perlawanan tersebut.

Ramlee menghayati erti perkataan bahasa Jepun nokotta – jangan sesekali putus asa, perlawanan masih belum ditentukan siapa yang menang. Selain itu, dia juga menyedari bahawa tidak kira apa keputusannya, adalah satu penghormatan besar baginya untuk berjuang. Akhirnya, cabaran Ramlee adalah untuk melepaskan alasan yang direkanya untuk kepentingan sendiri, lalu berjuang sampai habis, pantang berundur sebelum berlawan.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Hasbullah Awang menyumbangkan suaranya dalam filem ini.

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Sumolah ialah filem kedua terbitan syarikat penerbitan milik Afdlin Shauki, Vision Works selepas Buli Balik (2006).[6][7] Ia merupakan filem keempat arahan Afdlin yang sebelum ini telah mengarahkan filem Buli (2004), Baik Punya Cilok (2005) dan Buli Balik yang mendapat sambutan menggalakkan di pawagam.[1][2][8][9] Penulis kelahiran Jepun, Michihiro Kubota menulis cerita asal. Beliau kemudiannya telah meminta Afdlin untuk mengadaptasikan kisah itu dalam bentuk filem.[7] Kubota dipetik sebagai berkata: "Saya boleh menarik nafas lega sekarang! Afdlin telah merealisasikan impian saya".[10]

Syarikat telekomunikasi negara, Celcom menjadi penaja rasmi Sumolah.[11] Sebuah pertandingan juga diadakan bagi mencari bakat baharu yang berminat berlakon dalam filem ini.[7][12] Untuk Sumolah, Afdlin sanggup berbelanja lebih dalam usahanya menjaga budaya Jepun selain mengekalkan budaya Melayu dalam filem arahannya.[13][14][15] Penggambaran dijalankan pada Jun 2006 di Kuala Lumpur dan Tokyo dengan kos pembikinan dianggarkan berjumlah RM3 juta selepas lebih setahun setengah dirancang rapi.[2] Menurut Afdlin, semasa memulakan penerbitan Sumolah, beliau dihujani dengan pelbagai soalan. Ibunya, Fadzillah Jelani menghubunginya dan bertanya mengenai pakaian yang digunakannya dalam filem itu.[1]

Afdlin sendiri turut berlakon dalam filem arahannya dengan memegang watak sebagai Ramlee, seorang pemuda yang sering bertukar pekerjaan. Awie yang sebelum ini bekerja dengan Afdlin menerusi Baik Punya Cilok, memegang watak sebagai Haris. Patrick Teoh dan Kartina Aziz yang sebelum ini bekerja di bawah arahan Afdlin, menjayakan watak masing-masing; Patrick memegang watak sebagai Honda manakala Kartina memegang watak sebagai ibu Ramlee. Pelakon dan pelawak Singapura, Gurmit Singh yang terkenal dengan watak dan sitkom Phua Chu Kang memegang watak sebagai Akira, musuh ketat Ramlee. Pelakon Thailand, Inthira Charoenpura yang terkenal menerusi filem seram Thai, Nang Nak, memegang watak sebagai Siti, anak perempuan Honda.[1][16][17] Untuk menjayakan watak Siti, Inthira menghadiri kursus mempelajari bahasa Melayu. Beliau mengakui tidak pernah menonton filem Malaysia, apatah lagi mengenali Afdlin.[18]

Keluaran dan sambutan[sunting | sunting sumber]

Sumolah asalnya dijadualkan untuk tayangan pada Disember 2006,[19] kemudian ditukar kepada Februari atau Mac 2007,[20] bagaimanapun ia dikeluarkan secara rasmi pada 10 Mei 2007 di 52 pawagam seluruh negara.[10][21] Filem ini menjadi kegagalan komersial apabila kutipan pecah panggung hanya mencecah sekitar RM600,000 sahaja, 6 hari selepas tayangan perdana rasminya. Namun ia berjaya tersenarai antara tiga filem yang mendapat sambutan penonton.[22][23]

Nurulhisham Abdul Latiff dalam ulasan retrospektif untuk Berita Harian mengenai filem ini berpendapat bahawa lawak selamba yang diketengahkan mampu menarik perhatian penonton.[24] Suzan Ahmad dari akhbar sama pula menulis bahawa "Sumolah layak dilabel filem terbaik Afdlin".[25] Akmal Abdullah, juga dari akhbar sama, berpendapat sama dengan Suzan sambil menyifatkan Sumolah mempunyai "banyak mesej tersirat, bersahaja dan bentuk penyampaian komedi yang menarik. Mudah cakap ia filem yang menghiburkan sesuai dengan genrenya sebagai komedi aksi romantik".[22] Dharshana Sivapatham dari New Sunday Times pula berkata: "Jika sesebuah filem itu mewakili mentaliti budaya kita sekarang, inilah yang akan berlaku. Dalam Sumolah, kita digambarkan sebagai penjahat yang malas, sentiasa mencari jalan untuk mencapai matlamat dan sentiasa mencari contoh kehidupan yang lebih baik kepada orang lain. Dalam kes ini, kehidupan ahli gusti sumo Jepun yang ketat dan berdisiplin - daripada semua contoh di dunia".[5] Pairamaporn Buranakol, mengulas untuk Cinema Online menulis bahawa kempen pemasaran filem ini menjadikan Sumolah seperti filem yang luar biasa sambil berkata: "Dalam gaya Malaysia yang sebenarnya, filem ini akhirnya menjadi semangkuk rojak - manis, masam dan pedas - namun kurang 'umph' atau 'tendangan' untuk menjadikannya hidangan terbaik".[26]

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Tahun Anugerah Kategori Penerima/Karya tercalon Keputusan
2007 Festival Filem Malaysia ke-20 Pengarah Terbaik Afdlin Shauki Tercalon
Pelakon Lelaki Terbaik Tercalon
Lakon Layar Terbaik Tercalon
Penyunting Terbaik Faizul Mohd Noh Tercalon
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Patrick Teoh Tercalon
Lagu Tema Asal Terbaik Afdlin Shauki, Pacai Tercalon
Pereka Kostum/Busana Terbaik Shada Tercalon

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d Zul Husni Abdul Hamid (17 Mei 2006). "'Lari' gara-gara cawat Sumo". Berita Harian. Dicapai pada 23 Oktober 2011.
  2. ^ a b c Nurulhisham Abdul Latiff (8 Mei 2007). "'Harap langkah Sumolah panjang'". Berita Harian. Dicapai pada 23 Oktober 2011.
  3. ^ "Sumolah bakal menggegar!". Berita Harian. 18 Mac 2007. Dicapai pada 24 Oktober 2019.
  4. ^ "Fighting the good fight" (dalam bahasa Inggeris). New Sunday Times. 6 Mei 2007. Dicapai pada 24 Oktober 2019.
  5. ^ a b Dharshana Sivapatham (20 Mei 2007). "Caught wit their pants down" (dalam bahasa Inggeris). New Sunday Times. Dicapai pada 24 Oktober 2019.
  6. ^ Khadijah brahim (17 Mei 2006). "Sumolah papar pertembungan dua budaya". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-09-29. Dicapai pada 2010-03-11.
  7. ^ a b c Budiey (10 April 2007). "Sinopsis filem Sumolah". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 24 Oktober 2011.
  8. ^ Firdaus Sahat (6 Mei 2007). "Sumo Melayu". Harian Metro. Dicapai pada 24 Oktober 2019.
  9. ^ Nurulhisham Abdul Latiff (18 Mei 2007). "Laluan Sumolah tak mudah". Berita Harian. Dicapai pada 24 Oktober 2019.
  10. ^ a b Pairamaporn Buranakol (5 Mei 2007). ""Sumolah" in 52 theatres nationwide next week!" (dalam bahasa Inggeris). Cinema Online. Dicapai pada 24 Oktober 2011.
  11. ^ "Afdlin Shauki's latest movie" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Celcom. 9 Mei 2006. Dicapai pada 26 Oktober 2011.
  12. ^ "Celcom cari bakat baru melalui Sumolah!". Berita Harian. 3 Julai 2006. Dicapai pada 24 Oktober 2019.
  13. ^ Rozdan Mazalan (7 Disember 2006). "Afdlin kekalkan identiti Melayu". Berita Harian. Dicapai pada 23 Oktober 2011.
  14. ^ Abie Abdullah (3 Disember 2006). "Sasaran dunia". Metro Ahad. Dicapai pada 24 Oktober 2019.
  15. ^ Zubir Mohd Yunos (20 Mei 2007). "Sumolah budaya Jepun diMelayukan". Berita Minggu. Dicapai pada 24 Oktober 2019.
  16. ^ "(Ramlee (Afdlin) seorang pemuda...)". Berita Harian. 16 Februari 2007. Dicapai pada 24 Oktober 2019.
  17. ^ "Gegaran Sumolah". Berita Harian. 12 Mei 2007. Dicapai pada 24 Oktober 2019.
  18. ^ Raja Nurfatimah Mawar Raja Mohamed (21 Januari 2007). "Inthira Charoenpura aura Nang Nak masih kuat". Berita Minggu. Dicapai pada 24 Oktober 2019.
  19. ^ "Sumo-Lah to hit local cinemas in December" (dalam bahasa Inggeris). The Star Online. 16 Mei 2006. Dicapai pada 24 Oktober 2011.
  20. ^ Pairamaporn Buranakol (5 Mei 2007). ""Sumolah" cast and crew wraps up at a party" (dalam bahasa Inggeris). Cinema Online. Dicapai pada 24 Oktober 2011.
  21. ^ Pamela June (2 Disember 2006). "The cast of "Sumolah" to meet fans" (dalam bahasa Inggeris). Cinema Online. Dicapai pada 24 Oktober 2011.
  22. ^ a b Akmal Abdullah (17 Mei 2007). "Kenapa Sumolah kurang sambutan?". Berita Harian. Dicapai pada 24 Oktober 2019.
  23. ^ Freda Hassan (5 Jun 2007). "Sumolah". Berita Harian Singapura. m/s. 11.
  24. ^ Nurulhisham Abdul Latiff (11 Mei 2007). "Lawak selamba Sumolah mampu pikat penonton". Berita Harian. Dicapai pada 24 Oktober 2019.
  25. ^ Suzan Ahmad (13 Mei 2007). "Sumolah layak dilabel filem terbaik Afdlin". Berita Minggu. Dicapai pada 24 Oktober 2019.
  26. ^ Pairamaporn Buranakol (23 September 2008). "Sumolah" (dalam bahasa Inggeris). Cinema Online. Dicapai pada 24 Oktober 2011.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]