Telegram Göring

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
a yellowing German-language form with typewritten details and a red classification stamp
Salinan dicetak dalam Führerbunker
JenisTelegram, military communications Sunting ini di Wikidata
Bahasa asalBahasa Jerman Sunting ini di Wikidata
Dibuat23 April 1945
Lokasi
PengarangHermann Göring
Jenis mediumTelegram
TujuanUntuk memberitahu Hitler bahawa Göring bersedia untuk mengambil alih pemerintahan Empayar Jerman Raya sekiranya Hitler melepaskan kuasa
Teks penuh
de:Göring an Hitler über dessen Nachfolge-Erlass di Wikisumber
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Telegram Göring ialah satu mesej yang dihantar oleh Hermann Göring, panglima Luftwaffe dan pengganti yang dilantik oleh Adolf Hitler sebagai pemimpin Jerman Nazi, bagi meminta kebenaran untuk mengambil alih kepimpinan kerajaan yang diambang kejatuhan pada 23 April 1945. Telegram ini mengundang kemarahan Hitler yang segera melucutkan kuasa Göring dan kemudian melantik pengganti baru, Joseph Goebbels dan Karl Dönitz, masing-masing sebagai canselor dan ketua negara.

Göring sebagai pewaris politik Hitler[sunting | sunting sumber]

Hermann Göring telah menjadi orang kedua paling berkuasa dalam Parti Nazi untuk beberapa waktu sebelum Hitler berkuasa pada tahun 1933, setelah menyertai parti itu pada tahun 1922 dan mengalami kecederaan semasa peristiwa Beer Hall Putsch pada 1923. Pada tahun-tahun awal rejim Hitler, Göring terus menimbun gelaran sesuka hati, termasuk Presiden Reichstag, Ketua Menteri Prusia dan pemangku Reichsstatthalter (gabenor) negeri Prusia, dan Menteri Penerbangan Reich serta panglima tertinggi Luftwaffe.

Pada 1 September 1939, semasa meletusnya Perang Dunia Kedua apabila Jerman menceroboh Poland, Hitler membuat ucapan menyatakan bahawa Göring akan menggantikan beliau "jika sesuatu akan menimpa saya". Status itu telah digariskan dalam dekri 1940, menamakan Göring sebagai Reichsmarschall des Grossdeutschen Reiches (Marsyal Reich Empayar Jerman Raya), pangkat yang dicipta khas sebagai orang kedua Hitler selaku Pemerintah Tertinggi. Pada 29 Jun 1941, seminggu selepas Operasi Barbarossa, Hitler mengeluarkan dekri rahsia yang secara rasmi menyatakan bahawa jika beliau kehilangan kebebasan bertindak, dengan cara ketidakupayaan, kehilangan atau penculikan, Göring akan bertindak sebagai timbalannya, dengan kuasa penuh untuk bertindak bagi pihak Hitler.

"Tugas" Göring[sunting | sunting sumber]

Pada 21 April 1945, Tentera Merah Soviet telah mara ke dalam Berlin. Hitler, Martin Bormann dan Joseph Goebbels kekal di dalam Führerbunker, kompleks bawah tanah pemimpin Nazi berhampiran Reich Chancellery, untuk mengetuai pertahanan ibukota daripada pihak Soviet. Göring meninggalkan Berlin dan bergerak ke selatan, tiba di estetnya di Obersalzberg pada 22 April. Pada hari yang sama, apabila mengetahui arahan untuk menyerang balas tentera Soviet tidak dipatuhi, Hitler naik angin sambil memaki hamun para jeneralnya dan buat pertama kali secara terbuka mengakui perang telah kalah. Hitler mengumumkan hasratnya untuk kekal di Berlin sehingga ke akhir dan kemudian membunuh diri.[1][2] Beliau juga menyatakan Göring berada ditempat yang paling sesuai untuk merundingkan perjanjian damai.[3]

Apabila ketua staf am Luftwaffe, Karl Koller, mendengar kenyataan Hitler daripada Alfred Jodl, ketua operasi Oberkommando der Wehrmacht (OKW), beliau segera terbang ke Obersalzberg untuk memberitahu Göring tentang berita itu. Jika Göring mengetuai rundingan damai, Koller merasakan ini adalah peluang yang tidak boleh dipersiakan. Selain itu, beliau mahu menghalang Pihak Bersekutu daripada memintas mesej radio.

Walaupun Göring telah lama menantikan saat untuk menggantikan Hitler, beliau terkejut dengan perkembangan ini. Göring takut dilabel sebagai pengkhianat jika beliau cuba mengambil alih kuasa, tetapi beliau juga takut dituduh mengabaikan tugas jika tidak berbuat apa-apa. Beliau menyemak dokumen dekri 1941, yang bukan sahaja melantiknya sebagai pengganti Hitler tetapi juga memberinya kuasa penuh untuk bertindak bagi pihak Hitler jika Hitler hilang kebebasan bertindaknya. Selepas berunding dengan Koller dan Hans Lammers, ketua Reich Chancellery, Göring memutuskan bahawa dengan tinggal di Berlin hingga mati, Hitler tidak lagi berupaya memerintah. Semua bersetuju dibawah syarat-syarat dekri itu, jika Hitler benar-benar hilang kebebasan bertindak, menjadi tanggungjawab Göring untuk mengambil alih kuasa menggantikan Hitler.[4]

Pada 23 April, Göring menghantar satu telegram, meminta Hitler mengesahkan yang beliau akan menjadi pemimpin Jerman mengikut dekri 1941. Beliau menambah jika Hitler tidak menjawab sebelum pukul 22:00 malam itu, beliau akan menganggap Hitler telah hilang kebebasan bertindaknya dan akan mengambil alih kepimpinan Reich selaku timbalan.[5]

Reaksi Hitler[sunting | sunting sumber]

Selepas telegram sampai melalui radiogram daripada Obersalzberg pada 23 April 1945 pukul 00:56, Bormann, yang mengawal akses kepada Hitler, merampasnya sebagai bukti niat Göring untuk melancarkan kudeta, mendakwa telegram itu bukan permintaan mengambil alih kuasa mengikut dekri tetapi tuntutan meletakkan jawatan atau digulingkan. Hitler, menurut Speer, pada asalnya tidak menunjukkan banyak reaksi terhadap telegram itu, menyambutnya dengan kemuraman yang menimpanya sejak kebelakangan ini semasa Pertempuran Berlin. Bagaimanapun kata-kata Goebbels dan Bormann membangkitkan kemarahan yang meluap-luap oleh Hitler yang tidak dilihat sejak beberapa minggu atau berbulan-bulan.

Menurut Albert Speer, telegram itu mencetuskan krisis hingga merosakkan psikologi Hitler, yang membangkitkan perpecahan politik perintah dan kawal tentera serta keruntuhan Reich. Beberapa telegram dari Göring kepada para pegawai yang merujuk kepada permohonan wasiat rahsia Hitler menyebabkan Hitler naik marah. Speer menyatakan secara khusus bahawa Göring mengarah Ribbentrop melaporkan kepadanya jika beliau atau Hitler tidak menghantar komunikasi balas sebelum tengah malam.[6]

Pada 25 April, Hitler menghantar telegram balas kepada Göring yang beliau telah melakukan "pengkhianatan negara" dan memberinya pilihan untuk meletakkan semua jawatan "kerana masalah kesihatan", sebagai pertukaran untuk nyawanya. Göring akhirnya meletakkan jawatan.[7] Bormann kemudian mengarahkan SS di Obersalzberg untuk menahan Göring. Pada 28 April, Hitler mendapati Reichsführer-SS Heinrich Himmler juga cuba merundingkan syarat-syarat penyerahan kalah bersama pihak Sekutu.[8] Beliau mengarahkan penangkapan Himmler dan menghukum tembak Hermann Fegelein, wakil Himmler di Führerbunker, yang sebelum ini telah ditangkap kerana cuba membolos.[9][10]

Wasiat dan amanat terakhir Adolf Hitler telah ditulis pada 29 April dan diceritakan oleh Hitler tentang telegram Göring, berita percubaan Himmler merundingkan penyerahan kalah bersama pihak Sekutu, dan laporan-laporan tentang askar Tentera Merah berada dalam jarak satu atau dua blok dari Reich Chancellery.[11] Dalam dokumen itu, Hitler memecat Göring daripada semua jawatannya, membatalkan hak penggantinya dan membuangnya daripada Parti Nazi. Wasiat telah diimlak oleh Hitler kepada setiausahanya, Traudl Junge, pada hari beliau dan Eva Braun berkahwin.[12] Hitler dan Braun membunuh diri pada keesokkan harinya.[13]

Penggantian politik baru membahagikan kuasa antara Goebbels dan Grossadmiral Karl Dönitz, panglima besar Kriegsmarine dan Ketua Markas Besar Tentera Laut, yang akan menjadi Presiden (Reichspräsident) Jerman selepas Goebbels membunuh diri bersama keluarganya.[14]

Penemuan selepas perang[sunting | sunting sumber]

Salinan yang ditemui oleh Kapten Bradin

Selepas penerimaannya di Führerbunker, Telegram Göring telah ditaip pada borang Marinenachrichtendienst (Risikan Tentera Laut) dengan salinan karbon dan dikelaskan "Geheim!" (Rahsia!). Selepas pihak Soviet menawan Berlin, para pegawai A.S. memasuki Führerbunker dan mengambil kertas dan dokumen, yang dianalisis oleh sejarawan.

Pada Julai 1945, Kapten Benjamin M. Bradin memasuki Führerbunker dan menemui salinan karbon asal telegram itu, ditanda dengan huruf 'F' dalam timbunan kertas Hitler; salinan itu diberikan pada tahun berikutnya kepada Robert W. Rieke, profesor sejarah di The Citadel, The Military College of South Carolina|the Citadel.[15]

Terjemahan Trevor-Roper[sunting | sunting sumber]

Ahli sejarah British Hugh Trevor-Roper menerbitkan terjemahan awal Bahasa Inggeris bagi Telegram Göring dalam bukunya The Last Days of Hitler:

My Führer:

General Koller today gave me a briefing on the basis of communications given him by Colonel General Jodl and General Christian, according to which you had referred certain decisions to me and emphasized that I, in case negotiations would become necessary, would be in an easier position than you in Berlin. These views were so surprising and serious to me that I felt obligated to assume, in case by 2200 o'clock no answer is forthcoming, that you have lost your freedom of action. I shall then view the conditions of your decree as fulfilled and take action for the wellbeing of Nation and Fatherland. You know what I feel for you in these most difficult hours of my life and I cannot express this in words. God protect you and allow you despite everything to come here as soon as possible.

Your faithful Hermann Göring.[16]

Pembelian 2015[sunting | sunting sumber]

Pada 7 Julai 2015, dalam satu majlis Lelongan Koleksi Sejarah Alexander di Stamford, Connecticut, Amerika Syarikat, seorang pembeli yang tidak dinamakan membeli telegram itu pada harga $54,675.[17]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Nota

  1. ^ Beevor 2002, m/s. 255, 256, 278.
  2. ^ Evans 2008, m/s. 723.
  3. ^ Shirer 1960, m/s. 1115–1116.
  4. ^ Shirer 1960, m/s. 1116.
  5. ^ "Goering telegram picture". Boston.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-11-19. Dicapai pada 2015-07-28.
  6. ^ Speer, Albert (1971) [1969]. Inside the Third Reich. New York: Avon. m/s. 571-572. ISBN 978-0-380-00071-5.
  7. ^ Evans 2008, m/s. 724.
  8. ^ Kershaw 2008, m/s. 923–925, 943–945.
  9. ^ Joachimsthaler 1996, m/s. 276.
  10. ^ Kershaw 2008, m/s. 943–947.
  11. ^ Kershaw 2008, m/s. 943–949, 953.
  12. ^ Kershaw 2008, m/s. 947–949.
  13. ^ Kershaw 2008, m/s. 953–955.
  14. ^ Kershaw 2008, m/s. 949–950.
  15. ^ Dr. Robert W. Rieke, "Goering Telegram," unpublished
  16. ^ Hugh Trevor-Roper, The Last Days of Hitler, 1947
  17. ^ "Goering Telegram sold at auction". NY Daily News. Dicapai pada 2015-07-28.

Bibliografi