Tipah Tertipu The Movie

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Tipah Tertipu The Movie merupakan filem cereka Malaysia bergenre komedi dan muzikal ditayangkan pada 1 Jun 2006. Terbitan Excellent Pictures. Seperti filem Grease era 70an dimana banyak babak menari dan menyanyi.

Tipah Tertipu The Movie
Fail:Tipah Tertipu the movie.jpg
Poster Filem Tipah Tertipu
PengarahAhmad Idham
PenerbitAzlan Shah Jafril & Ahmad Idham Ahmad Nadzri
PenulisMamat Khalid & Bront Palarae
Dibintangi oleh
Muzik olehExcellent Tunes Sdn Bhd

Noh Hujan/Noh Salleh Hang Dimas

Marzuki
PengedarMetrowealth
Mula ditayangkan
1 Jun 2006 (2006-06-01)
Tempoh tayangan
92 minutes
NegaraMalaysia
BahasaBahasa Melayu

Ringkasan[sunting | sunting sumber]

Cerita ini berkisahkan lima orang jejaka, Azan; Amer; Cat; Sein dan Zain yang berkawan rapat dari sekolah rendah dan memendam perasaan masing-masing kepada perempuan yang sama yang juga kawan rapat mereka, Tipah. Mereka semua menerima satu panggilan daripada Tipah untuk menjelaskan sesuatu buat penghabisan kali. Lalu, mereka berlima dalam perjalanan pulang ke kampung untuk mengetahui siapa pilihan Tipah. Dalam perjalanan tersebut, pelbagai perkara yang tidak dirancang berlaku ke atas mereka.

Masing-masing kini menetap di ibukota setelah bekerjaya. Mereka bergegas pulang ke Perlis untuk mengetahui siapa yang dipilih oleh Tipah kerana mereka sudah menunggu sejak tamat SPM. Semasa berhenti di RnR mereka terlibat dengan satu insiden tembak menembak, dengan pantas mereka menyelamatkan diri tanpa mereka sedar malang yang bakal menimpa.

Mereka dibawa ke ladang getah oleh sekumpulan samseng bermotorsikal berkuasa tinggi, mujurlah mereka tak di apa-apakan. Persahabatan mereka diuji apabila Azan mengaku dia tahu kewujudan beg berisi wang tunai milik samseng itu. Lantas kumpulan itu saling menyalahkan antara satu sama lain. Mereka akhirnya dapat meneruskan perjalanan setelah Azan menggunakan wang milik samseng itu yang ditukar dengan sejadah. Mereka bermalam di dalam hutan kerana enjin rosak dan terkejut kerana terjumpa dengan abang Mamat Khalid sedang menjalani pengambaran filem, sekali lagi mereka dapat dikesan oleh samseng itu dan tayar mereka dicabut.

Filem ini banyak diselang seli dengan babak imbas semula, dimana perjalanan mereka ke utara tanah air lebih pada mengimbau kenangan mereka sepanjang membesar dan perjalanan hidup mereka dari kanak-kanak, remaja hingga tamat persekolahan.

Perjalanan diteruskan dengan mereka menumpang mana-mana kenderaan sebelum sampai ke kampung. Tetapi mereka pasrah kerana tiada seorang dari mereka dipilih kerana dia mempunyai calonnya sendiri, Tipah menganggap mereka seperti adik beradik.

Ulasan[sunting | sunting sumber]

Filem ini adalah satu percubaan yang menarik sebenarnya. Ia berdasarkan sebuah lagu yang popular nyanyian Kumpulan Ruffedge dan judul lagu itu sendiri pula berdasarkan petikan dialog daripada sebuah filem yang pernah popular pada tahun 1980-an dahulu iaitu filem Ali Setan. Jika anda masih ingat, dalam filem Ali Setan terdapat satu watak bernama Latipah (lakonan Sheila Majid) yang melafazkan dialog bahawa dia telah diperdaya oleh teman lelakinya. Dialog yang kedengaran lucu itu telah menghasilkan ungkapan agak popular di kalangan penonton ketika itu dan seterusnya dijadikan lagu oleh Kumpulan Ruffedge.

Dialog ‘Tipah tertipu’ yang diungkapkan Sheila dalam filem itu juga telah memberi ilham kepada Mamat Khalid (pengarah/penulis filem Man Laksa, Rock dan Lang Buana) dan Bront Palarae untuk menghasilkan filem Tipah Tertipu. Tetapi filem Tipah Tertipu bukanlah spin off filem Ali Setan atau sinambungan daripada filem tersebut. Sebaliknya ia adalah sebuah filem dengan kisahnya yang tersendiri dan malah ia tidak dibayangi langsung oleh kisah filem tersebut.

Filem arahan Ahmad Idham ini mengisahkan tentang keakraban persahabatan pada zaman kanak-kanak di kampung sehinggalah mereka dewasa dan bekerja di kota Kuala Lumpur. Di antara kumpulan mereka ialah anak gadis penghulu bernama Tipah (Intan Ladyana) yang mana setiap seorang daripada lima sahabat ini sebenarnya menaruh harapan untuk dipilih sebagai teman istimewa Tipah suatu masa nanti. Tetapi siapa yang dipilih oleh Tipah hanya akan diberitahu oleh Tipah pada satu masa yang ditentukan.

Terpisah

Kisah filem ini sebenarnya tertumpu pada peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh kumpulan lima sahabat ini iaitu Amir, Hussin, Cat, Zain dan Azam (anggota kumpulan Ruffedge) dalam perjalanan pulang ke kampung di Perlis untuk menemui Tipah setelah terpisah beberapa tahun dan masing-masing telah mempunyai kerjaya sendiri di kota. Mereka secara tidak sengaja bertembung dengan sekumpulan penjahat yang sedang melarikan sejumlah wang dan akibatnya pelbagai peristiwa berlaku.

Ahmad Idham dan Mamat Khalid menggunakan adegan pertembungan mereka ini untuk mencipta peristiwa-peristiwa yang melucukan. Adegan kumpulan sahabat ini bertembung dengan sekumpulan penjahat adalah alasan terbaik untuk melambatkan perjalanan menemui Tipah dan mencipta suspens dalam plot filem ini dan seterusnya akan mampu mencipta kelucuan pula. Adegan-adegan awal filem ini memang mampu melucukan biarpun adegan pertembungan dengan penjahat dalam filem ini rasanya sudah menjadi klise. Bagaimanapun, apabila pengulangan pertembungan itu berlaku dalam plot yang dipaksa maka kesan kelucuannya mulai tawar. Tetapi mujurlah lagu-lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan Ruffedge mampu menyeimbangkan minat yang telah menurun.

Lirik lagu-lagu tersebut telah berjaya bertindak sebagai penyambung cerita. Hal ini penting bagi sebuah filem yang dihasilkan dalam konsep muzikal. Lagu harus juga menjadi pencerita.

Tipah Tertipu sebagai sebuah komedi muzikal tidaklah mengecewakan kalaupun tidaklah begitu cemerlang, malah banyak adegannya berjaya menimbulkan kelucuan (terutama imbas kembali adegan kanak-kanak di kampung). Ahli kumpulan Ruffedge dan Intan Ladyana memperlihatkan keupayaan yang sederhana sebagai pelakon, tetapi Adlin sebagai ketua kumpulan penjahat berjaya membawa elemen kelucuan dalam kelasnya yang tersendiri dan wataknya berjaya memperkuatkan plot filem ini. Begitu juga Bront yang semakin memperlihatkan keupayaan yang baik dalam lakonan.

Bagaimanapun, kita sedikit keliru dengan judul filem ini, Tipah Tertipu. Kisah dalam filem ini tidak memperlihatkan Tipah tertipu oleh kawan-kawannya dan Tipah juga tidak mempunyai hasrat untuk menipu kawan-kawannya itu kerana merahsiakan siapa pilihan hatinya. Jadi siapa yang sebenarnya menipu dan tertipu? Bukankah judul adalah pancaran awal sebuah cerita, bukan sekadar gimik yang bersandarkan kepopularitian judul sebuah lagu?[1]

Pelakon utama[sunting | sunting sumber]

  • Azan (Ruffedge) - azan, seorang yang pendiam tapi mahir dalam bab melukis
  • Amer (Ruffedge) - amer, cikgu sekolah. ketua kumpulan dan paling menaruh hati pada Tipah
  • Cat Farish (Ruffedge) - Cat, penggemar motosikal berkuasa tinggi.
  • (Sein Ruffedge) - Sein, penjual karpet.
  • Zain (Ruffedge) - Zain, bisnes man. memiliki perniagaan trak tunda/tow truck yang berjaya
  • Intan Ladyana - Tipah, baru saja pulang dari luar negara. memanggil mereka pulang kerana telah membuat pilihan.

Pelakon Pembantu[sunting | sunting sumber]

  • Adlin Aman Ramlie
  • Zaidi Rock
  • Bront Palarae
  • Jue Aziz
  • Puteri Sarah
  • Diya Kholid

Kemunculan Khas[sunting | sunting sumber]

  • Mamat Khalid (pengarah filem)
  • Jaafar Onn (pelanggan karpet)
  • Hamdan Ramli (pemandu lori ikan)
  • Ismail Din (pemilik beca)

Pelakon kanak-kanak[sunting | sunting sumber]

Trivia[sunting | sunting sumber]

  • Ini barisan kedua Ruffedge selepas Mode mengundur diri dan digantikan dengan Sein dari kumpulan MOB.
  • Semasa promo filem ini berlaku ketegangan antara ahli kumpulan dengan Cat, selepas filem ini ditayangkan Cat Farish mengundur diri dan menubuhkan Faboulous Cat
  • Sein dan Zain lebih menumpukan pada kerjaya lakonan mereka selepas filem ini. Cat pula aktif berlakon disamping aktif dalam bidang muzik.
  • Jue Aziz, Puteri Sarah dan Diya Kholid belum dikenali ramai semasa mereka tampil dalam filem ini. Jue aziz kemudian memegang watak utama dalam Dua Hati[2] yang ditayangkan setiap selasa di tv3 disamping terlibat dalam program realiti Malaysia most beautiful,[3] Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin memiliki kerjaya yang stabil[4] dalam dunia peragaan dan lakonan[5] dan Diya Kholid terpilih menyertai AF5 dan masih berlakon dibawah produksi Ahmad Idham.[6]
  • Ada diantara lagu-lagu didalam filem ini tidak dirilis dalam mana-mana album ruffedge dibawah label EMI. lagu-lagu itu khusus dirakamkan untuk filem ini dan didaftar dibawah Excellent Tunes Sdn Bhd.Tajuk lagu-lagu itu ialah seloka tipah, kenangan bersama, pilihanku, kamu yang, indah, seperti ditipah. Paling digemari penulis ialah lagu Setia ciptaan Amer Munawer dan dinyanyikan sendiri oleh beliau. Lagu ini dapat didengar semasa geng ini menumpang lori ikan dipandu Hamdan Ramli selepas mereka bertengkar di ladang getah.
  • Pelakon Ismail Din meninggal dunia pada dunia di Mekah pada 5 oktober 2005.[7] Filem ini dipasarkan selepas beliau meninggal dunia.

Pengarah[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • ^ http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_06.htm
  • ^ http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0722&pub=utusan_malaysia&sec=hiburan&pg=hi_01.htm&arc=hivearc=hive
  • ^ http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm
  • ^ http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_11.htm
  • ^ http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_06.htm
  • ^ http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0321&pub=utusan_malaysia&sec=hiburan&pg=hi_01.htm
  • ^ http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1006&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_10.htm