Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Datuk Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz merupakan bekas Menteri Besar Perak dari 1 Februari 1948 hingga 1 Ogos 1957. Beliau mendapat gelaran Orang Kaya-kaya Dato’ Panglima Bukit Gantang dari Perak iaitu pembesar Perak empat.

Beliau dari keturunan bangsawan Perak (Pembesar Empat Perak) dan merupakan anak pembesar Melayu yang pertama dapat melanjutkan pelajaran ke England.

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Dia dilahirkan pada 4 Mei 1905 di Sayong , sebuah perkampungan kecil di tepian Sungai Perak, berhampiran Kuala Kangsar. . Ibu beliau bernama Teh Halimah iaitu anak tunggal kepada Dato’ Setia Bijaya Jeragan Abdul Syukor dari isteri yang pertama. Datuk dan bapanya Toh Muda Abdul Aziz bin Haji Mahmud Taib mendapat gelaran 'Datuk Panglima Bukit Gantang'. Abdul Wahab adalah anak kedua dari 14 orang adik-beradik. Sejak kecil beliau dipelihara oleh datuknya di Ipoh.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Abdul Wahab bersekolah di Sekolah Melayu Pekan Baru, Ipoh. Beliau melompat ke darjah empat dalam tempoh tiga tahun. Kemudian ke Sekolah Anderson Ipoh ketika berumur 10 tahun .Sekolah Anderson adalah sekolah yang ternama di Perak. Beliau lulus peperiksaan Cambridge pada bulan Mei 1925 dan cemerlang dalam pelajaran Kesusasteraan dan Bahasa Inggeris. Oleh itu beliau layak untuk melanjutkan pelajaran ke universiti luar negeri.

Beliau menuntut di Inner Temple, Universiti London dalam bidang undang-undang dan aktif dalam persatuan pelajar. Pada 1928 Haji Abdul Wahab menjadi Presiden Persatuan Anak-Anak Melayu Great Britain. Haji Abdul Wahab ternyata cerdas kerana sentiasa lulus dalam peperiksaan undang-undang. Sebagai ganjaran, Haji Abdul Wahab diberi beberapa pas untuk membawa beberapa rakan pelajar ke mahkamah untuk mendengar perbicaraan penuh di mahkamah England.

Ketika Sultan Ibrahim dari Johor melawat pelajar-pelajar Melayu di England, Abdul Wahab selaku pemimpin pelajar gagal memberi ucapan dalam bahasa Melayu, sebaliknya berucap dalam Bahasa Inggeris . Tindakan ini tidak disenangi oleh Tunku Abdul Rahman.

Beliau pulang ke tanah air setelah lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan Bar Final Examination di London.

Rakan seangkatannya yang belajar di London ialah Tunku Abdul Rahman, Raja Muda Raja Haji Bot dari Selangor, Nik Ahmad Kamil dari Kelantan, Abdul Hamid Mustafa dan Syed Syeikh Barakbah dari Kedah.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Sekembali ke Malaysia, beliau telah membuat latihan Chamber selama enam bulan di Mahkamah Tinggi Malaysia. Kemudian beliau bekerja dengan peguam J. Dunford Wood di Ipoh. Abdul Wahab membuka firma guamannya sendiri di No.21, Jalan Hale (Jalan Bandaraya) Ipoh. Selain itu, beliau juga menubuhkan Persatuan Drebar-drebar (Pemandu-pemandu) Melayu Perak (PDMPK) pada tahun 1930.

Pada 1936, beliau mendapat gelaran Dato’ Panglima Bukit Gantang dari Sultan Perak. Beliau dipilih kerana menggantikan datuknya sebagai Dato’ Panglima Bukit Gantang dan bapanya yang berturut-turut meninggal dunia sebelum itu. Kamatian ini menyebabkan beliau terus dilantik sebagai Dato’ Panglima Bukit Gantang tanpa perlu menjadi Toh Muda terlebih dahulu mengikut adatnya.

Beliau dilantik menjadi salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak pada tahun 1937 memandangkan pendidikan tinggi yang diterimanya.

Beliau menubuhkan Perikatan Melayu Perak pada 27 Januari 1946 untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Beliau juga memainkan peranan penting dalam usaha menubuhkan Parti UMNO pada tahun 1946 bersama dengan Dato Onn Jaafar dari Johor .

Beliau menjadi Menteri Besar Perak dari dari 1 Februari 1948 hingga 1 Ogos 1957. Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang pertama sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.

Disingkir dari UMNO[sunting | sunting sumber]

Beliau rapat dengan Dato Onn Jaafar yang menubuhkan UMNO dan kemudian parti IMP. Haji Abd Wahab selaku Menteri Besar Perak telah menubuhkan Parti Kebangsaan Perak (Perak National Party). Pada peringkat awal, parti-parti politik ketika itu bercorak kenegerian sahaja. Ketika itu seseorang boleh menyertai dua atau lebih parti politik.

Kemudian pada Mac 1953 Dato' Panglima Bukit Gantang (walaupun sebagai Pengerusi UMNO Perak) telah mula mengusahakan penubuhan sebuah parti politik yang lain di luar kekuasaan UMNO dan memberikan sokongan politiknya kepada Dato Onn Jaafar yang telah menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (Independence of Malaya Party / IMP).

Pada April 1953 beliau telah dipecat dari UMNO tetapi cawangan-cawangan UMNO Perak telah menyokong Haji Abd Wahab dengan majoriti undi percaya 37 berbanding 15. Presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman memberi amaran kepada cawangan-cawangan UMNO di Perak bahawa mereka akan dipecat jika terus-terusan mengakui Dato' Panglima Bukit Gantang sebagai pengerusi UMNO Perak. Akhirnya sebahagian besar UMNO Perak keluar menyertai Dato' Panglima Bukit Gantang menubuhkan Parti Kebangsaan Perak yang menjadi teman politik Dato' Onn dan Parti Kemerdekaan Malaya

Akhirnya beliau disingkirkan dari parti UMNO kerana tindakan beliau mengepalai Gerakan Menteri-menteri Besar untuk mengadakan Persidangan Kebangsaan pada 27 April 1953. Setelah itu beliau menubuhkan Parti Kebangsaan Perak (NAP). Bagaimanapun parti tersebut gagal mendapat sokongan dalam pilihan raya. Akhirnya beliau keluar dari parti tersebut dan menumpukan perhatian kepada tugasnya sebagai Menteri Besar Perak hingga tahun 1957.

Meletak jawatan[sunting | sunting sumber]

Beliau meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar secara rasmi pada 31 Julai 1957 kerana keuzuran. [1]



Penyandang Terdahulu Menteri Besar Perak
1 Feb 1948 - 1 Ogos 1957
Penyandang Kemudian
Jawatan belum ada Mohamed Ghazali bin Jawi

Rujukan dan pautan[sunting | sunting sumber]

  • Kamaruddin Yaakob (1998). Riwayat Hidup Menteri-menteri Besar Perak Darul Ridzuan. Yayasan Perak. Pencetakan Zainon Kasim Sdn. Bhd.