Kelantan FM

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Kelantan FM merupakan salah satu stesen radio negeri di Malaysia. Slogannya ialah Penuhi Citarasa Anda. Ia diselenggarakan oleh RTM Negeri Kelantan. Ia boleh didengari di seluruh negeri Kelantan dan juga kawasan sempadan seperti Jerteh di Terengganu dan Lipis di Pahang dan Golok di Selatan Negara Thai.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sejarahnya bermula pada 16 November 1963, dimana Radio Malaysia Kota Bharu mula beroperasi. Perasmian pembukaan pula dilakukan pada 6 November 1964 oleh K.D.Y.M.M. Al-Sultan Kelantan, Sultan Yahya Petra ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim Petra. Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abd. Razak, Menteri Penerangan dan Penyiaran Malaysia dan juga Menteri Besar Kelantan, Encik Muhammad Asri.RTM Kota Bharu merupakan stesen RTM pertama di Malaysia yang mempelopori siaran daerah.

Kos pembinaanya mencecah RM 115 juta dan dilengkapi 3 Studio yang terdiri dari 2 Studio Siaran dan 1 Studio Ceramah. Bangunan ini turut dilengkapi dengan sebuah Panggung ataupun dikenali sebagai Auditorium dan boleh memuatkan lebih kurang 160 orang penonton. Siaran daerah pada masa itu disiarkan hanya beberapa jam sahaja sehari dan mendapat sambutan segenap lapisan masyarakat.

Di awal penubuhannya,Radio Malaysia Kota Bharu merupakan stesen permulaan memulakan siaran daerah kawasan timur berbanding dengan negeri-negeri lain dan berita daerah disampaikan dalam loghat Kelantan. Kakitangan awal radio ini hanyalah seramai 66 orang iaitu dari bahagian teknikal dan rancangan. Pada awal penubuhannya, stesen ini merupakan Ibu Pejabat bagi Kawasan Timur sehinggalah pada tahun 1972.

Pada tahun 1972, fungsinya sebagai Ibu Pejabat telah dipindahkan ke Stesen Radio Televisyen Malaysia Kuala Terengganu yang baru siap dibina.Dengan perpindahan ini maka RTM Kota Bharu menjadi stesen siaran tempatan. Siaran tempatan bermula jam 5.15 petang hingga 6.15 petang. Mulai 1 September 1980 masa siaran tempatan ditambah selama 30 minit lagi untuk siaran sebelah pagi dari jam 8.30 hingga 9.00 pagi. Apabila waktu Semenanjung, Sabah dan Sarawak diselaraskan pada 1 Januari 1982. waktu siaran tempatan juga diubah kepada mulai jam 8.35 pagi hingga 9.00 pagi manakala siaran sebelah petang pada jam 5.45 petang hingga 6.45 petang.Masa siaran tempatan turut diubah pada tahun 1986 apabila siaran tempatan dikenali RMKB yang bermula jam 7.00 pagi hingga 9.00 pagi setiap hari manakala pada tahun 1988 siaran tempatan sebelah petang dimulakan dari jam 4.00 petang hingga 6.00 petang.

Pada tahun 1993, RTM telah mengubah polisinya daripada tiga siaran iaitu siaran kebangsaan, daerah dan tempatan kepada siaran kebangsaan dan negeri. Sehubungan dengan itu, nama stesen telah ditukar kepada Radio 3 Kota Bharu.Radio Malaysia Kota Bharu juga menyumbang beberapa rancangan peringkat nasional seperti rancangan Dikir Barat, Segar dan Mengharum, Pilihanku tetapi diambilalih stesen Kuala Terengganu beberapa tahun kemudian yang dikenali nama rancangan Timur 11.30. RTM Kota Bharu juga menyumbang rancangan peringkat siaran daerah kawasan timur seperti, Dalam kenangan, Dikir Barat, Hanya Untukmu Puan berbentuk kapsul, Permintaan Dariku Untukmu sebuah rancangan bersama RTM Kuala Terengganu dan Kuantan dan banyak lagi.

Bermulanya selama 8 jam sehari dan seterusnya 18 jam sehari bermula dari 06:00 hingga 00:00.pagi

Pada tahun 1996, nama Radio 3 Kota Bharu telah ditukar kepada Radio Malaysia Kelantan selari dengan penyusunan semula stesen radio negeri-negeri di seluruh negara. RMK boleh diterima siarannya melalui FM stereo dan Gelombang Sederhana di negeri Kelantan, Hulu Terengganu dan Selatan Thailand.

Pada 1 April 2005, sempena Penjenamaan Semula Radio Malaysia nama Radio Malaysia Kelantan ditukar kepada KELANTAN fm.Pada 17 Jun 2005, sempena Perasmian Pelancaran Penjenamaan semula Radio Malaysia Kelantan kepada KELANTAN fm, Yang Berhormat Menteri Penerangan Dato’ Sri Abdul Kadir Syeikh Fadzir mengumumankan siaran KELANTAN fm dilanjutkan dari 18 jam kepada 24 jam mulai 1 Ogos 2005.

Sejak awal penubuhanya, RTM Kelantan telah diterajui oleh 11 orang Pengarah yang bermula dengan Encik Mohd Tahir Ramli sebagai Penyelia Stesen ketika itu. Kini RTM Kelantan berada dibawah pengurusan Encik Zulkipli Salleh selaku Pengarah Penyiaran Kelantan.

Frekuensi[sunting | sunting sumber]

    88.1 MHz Felda Paloh Gua Musang
    90.0 MHz Jeli
    92.0 MHz Bukit Chupot (Gua Musang)
    97.3 MHz Bukit Bakar (Machang, Kelantan Tengah)
   102.9 MHz Telipot (Kota Bharu, Thailand: Narathiwat)
   107.1 MHz Bukit Bintang (Besut, Terengganu)

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]