Adnan Sempit 2

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Adnan Sempit 2
AdnanSemp-it2poster01.jpg
Poster keluaran tayangan
Pengarah Ismail `Bob' Hashim
Penerbit David Teo
Dibintangi oleh Shaheizy Sam
Intan Ladyana
Yana Samsudin
Along Cham
Angah Raja Lawak
Syarikat
produksi
Mula ditayangkan
23 Februari 2012
Tempoh tayangan
90 minit
Negara  Malaysia
Bahasa Bahasa Melayu
Pecah panggung RM 6.82 juta

Adnan Sempit 2 merupakan sebuah filem genre komedi aksi Malaysia 2012 yang diarahkan oleh Ismail "Bob" Hasim dan diterbitkan oleh David Teo menerusi Metrowealth Pictures.[1] Ia merupakan kesinambungan kepada filem Adnan Sempit dan kedua dalam siri filem Adnan Sempit. Ia berkisarkan hubungan antara Adnan (Shaheizy Sam) dan Nadia (Intan Ladyana) semakin intim sehinggakan mereka bercadang untuk berkahwin. Filem ini dibintangi oleh Shaheizy Sam, Intan Ladyana, Along Cham, Yana Samsudin, Angah Raja Lawak dan Shuk Balas dan ditayangkan pada 23 Februari 2012. Ia juga merupakan filem Adnan Sempit pertama yang diarahkan oleh Ismail.[2]

Filem ini meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM68.2 juta dalam masa seminggu selepas tayangan perdananya, mengatasi kutipan filem Evolusi KL Drift 2 (RM5.05 juta). Kesinambungan ketiga filem ini, Adnan Sempit 3 ditayangkan pada 8 Ogos 2013 dan yang keempat dan terakhir Adnan Sempit Sawadikap ditayangkan pada 7 Ogos 2014.[3]

Plot[sunting | sunting sumber]

Setelah berjaya menempuh pelbagai dugaan dalam filem sebelumnya, hubungan antara Adnan dan Nadia semakin intim sehinggakan mereka bercadang untuk berkahwin. Namun, hubungan intim mereka kurang disenangi oleh bapa Nadia, Datuk Ithnin yang merasakan Adnan sepatutnya berperwatakan seperti ahli korporat. Oleh itu, sebagai syarat kepada Adnan untuk mengahwini Nadia, dia dikehendaki mengubah penampilannya kepada seorang ahli korporat tersohor dalam masa 30 hari - tahu berbahasa Inggeris, pandai bermain golf, tahu memandu kereta serta berupaya mempengerusikan mesyuarat syarikat pada akhir tempoh 30 hari tersebut. Dalam masa yang sama pula, Nadia disyaratkan untuk belajar memasak dan mengemas rumah dalam masa 30 hari.

Syarat tersebut tidaklah semudah yang disangka; Adnan terpaksa menggunakan kayu hoki untuk belajar bermain golf dan menggunakan buku sekolah tadika untuk belajar bahasa Inggeris atas "tunjuk ajar" rakan baiknya Bobby (Pelakon: Along Cham) yang sebenarnya tidak pandai berbahasa Inggeris. Dalam masa yang sama pula, masakan Nadia sering kali tidak menjadi, lebih-lebih lagi apabila dia diajar memasak oleh ibunya, Datin Mas, yang sememangnya tidak tahu memasak langsung. Sementara itu, sepupu Nadia iaitu Fendi, seorang lelaki lembut datang untuk "mengajar" Nadia cara-cara mengurut.

Dalam masa yang sama, hubungan antara Bobby dan kekasihnya Wawa sedang mengalami masalah kerana Wawa merasakan Bobby malas untuk berubah dan tidak berusaha demi hubungan mereka. Dalam masa yang sama, Bobby bertelingkah dengan rakan kongsinya Ismat . Akibatnya, Wawa mahu memutuskan hubungannya dengan Bobby. Bobby yang sangat kecewa kemudian menyertai perlumbaan haram dan mencabar seorang Minah Rempit yang handal. Adnan yang mendapat tahu Bobby mencabar Minah Rempit itu kemudian turut sama menyertai perlumbaan haram tersebut untuk menghalang Bobby. Kedegilan Bobby menyebabkan perlumbaan yang sepatutnya hanya sejauh 5 km sahaja bertukar menjadi perlumbaan ketahanan yang hanya berakhir setelah Bobby ditahan polis dalam satu sekatan jalan raya. Setelah Bobby dibebaskan atas jaminan Nadia, Adnan dan Nadia bertekad mahu membantu menyatukan semula Bobby dan Wawa.

Pada suatu hari, semasa Nadia membawa Wawa ke rumah Adnan untuk memujuknya berbaik semula dengan Bobby, dia terkejut melihat Adnan yang hanya berkain pelikat diurut oleh Fendi lalu mula menjauhkan diri daripada Adnan kerana sangki akan kejantanan Adnan. Namun, Adnan tetap hadir mempengerusikan mesyuarat syarikat (dengan bantuan Wawa dan Bobby yang membacakan teks ucapannya dalam Bahasa Inggeris). Pada mulanya Adnan berupaya berucap dengan lancar, tetapi rancangannya terganggu apabila Bobby dan Wawa bertengkar tentang sebutan sebetulnya bagi satu perkataan dalam Bahasa Inggeris.

Setelah rancangannya dibongkarkan oleh Fendi, dia mengejek ketidakupayaan Adnan berbahasa Inggeris dan mendakwa Adnan tidak akan mampu memiliki Nadia. Dia juga turut mendedahkan bahawa selama ini dia berpura-pura menjadi lelaki lembut supaya Nadia berasa sangsi akan kejantanan Adnan dan seterusnya membenci Adnan. Namun, tanpa disangka-sangka, wakil syarikat rakan niaga dari luar negara mengagumi persembahan Adnan dan meminta Adnan meneruskan persembahannya dalam Bahasa Melayu pula. Begitu juga dengan Datuk Ithnin, yang mengubah fikirannya kerana kagum dengan kesungguhan Adnan untuk berubah walaupun sedar adalah mustahil untuk melakukannya dalam tempoh yang sangat singkat. Nadia yang sedar akan perkara sebenar cuba meminta maaf kepada Adnan. Pada mulanya, Adnan tidak mengendahkannya, tetapi Adnan bersetuju memaafkannya, tetapi dengan syarat Datuk Ithnin mesti mengubah penampilannya menjadi seorang Mat Rempit pula.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Adnan Sempit 2 merupakan filem ke-56 terbitan Metrowealth Pictures. Ia merupakan filem Adnan Sempit pertama arahan Ismail "Bob" Hasim selepas tidak lagi diarahkan oleh Ahmad Idham.[4]

Keluaran dan sambutan[sunting | sunting sumber]

Adnan Sempit 2 dikeluarkan pada 24 Februari 2012 di pawagam seluruh Malaysia. Ia menjadi filem pembukaan kedua terbesar dengan 98 salinan dikeluarkan untuk tayangan di seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei selepas Kongsi dengan 100 salinan.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Adnan Sempit 2 lebih mencuit hati Selebriti Online (24 Februari 2012). Dicapai pada 9 November 2012.
  2. ^ Adnan Sempit 2 Profhariz (21 Febuari 2012). Diperoleh pada 9 November 2012.
  3. ^ "Adnan Sempit 2". Cinema.com.my. 1 September 2013. Dicapai pada 26 Oktober 2013. 
  4. ^ Adnan Sempit 2 menjengkelkan Utusan Malaysia (11 Mac 2012). Dicapai pada 9 November 2012.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]